Tindakan mama dan papa disekat hebat. Usaha mama dan papa ditentang
kuat. Mekar lantang bersuara, “Jangan mama, jangan papa! Nanti akan
menjejaskan reputasi mama dan papa kerana tidak pandai mengasuh anak
hingga lari dari rumah.”
Kuncup turut menyatakan pesanan yang hampir serupa, “Jangan…jangan
sekali-kali dipanjangkan kepada pihak media. Reputasi kami, anak-anak
mama dan papa yang kemuncak menara gading ini pun pasti dijaga. Pasti
ada saja buah mulut yang meludah kepada kami kerana berbuat jahat kepada
kakak sendiri.”
Ya, pastinya kalian yang meminta buah-buah mulut meludah kelat perbuatan
kalian. Tidak pernah sekali kalian sedar, hati Kuntum bukanlah bola yang
mudah disepak ke sana dan ke sini. Perasaan Kuntum bukanlah seguni gula
yang boleh disorok dan digadai setamak nafsu. Kuntum sepatutnya kalian
hormati. Diam dan sabarnya perlu kalian hargai. Kuntum anak yang baik.
Kuntum kakak yang baik. Tapi kalian…sengaja merobek dan menghancur
perasaannya. Hingga kini, Kuntum tidak pulang lagi.
“Mama, papa! Mari lihat akhbar hari ini…’Bunuh Diri Lagi.’”
Desas desus angin tidak sayup melintas ruang masa. Mama dan papa laju
mendapatkan Mekar yang asyik membelek helaian akhbar. Kuncup langsung
senyap di hujung sofa menonton televisyen. Sesekali terdengar gelak tawa
yang panjang. Hatinya tidak terusik pada tajuk akhbar yang dilaung
Mekar. Beberapa hari lepas saja dia mendengar berita yang sama.
Hakikatnya, kisah pujukan diri pada jalan yang salah sering saja
berulang-ulang setiap hari. Pada fikirnya, sekarang ini musim
menjunanmkan diri ke lantai kiamat. Maut diundang sendiri, jalan paling
mudah menyelesaikan masalah.
“Syukurlah bukan Kuntum. Ke mana dia bang? Sampai bila kita akan menanti
duduk dan bermenung begini? Mari kita laporkan saja pada media dan pihak
polis. Abang?” Papa serba salah mengenangkan rayuan mama. Seolah-olah
ada resah yang mengganggu papa apabila mama menyebut nama polis.
Seketika Kuncup mengeluh. Siaran gelak tawanya beralih kepada ‘Berita
Terkini’, “Buang bayi lagi! Apa jenis bapaklah, anak sendiri dirogol.
Akhirnya melahirkan benih daripada anak kandung. Paling mudah tidak mahu
menanggung pekung sendiri, bayi yang tidak berdosa itu dicampak sana sini.”
Amarah yang terlontar disambut tawa ria Mekar. Gempita vokal Mekar
melayang dibawa pawana. Seakan dia tidak percaya akan rungutan prihatin
Kuncup yang selama ini kejap merampas kebahagiaan Kuntum. Masakan hati
Kuncup yang kejam itu berubah sepantas kilat?
Mama dan papa hanya melihat keletah dua anak itu berkejaran mengejek
sesama sendiri. Kehadiran Kuntum di teratak mewah ini benar-benar
dirasakan hilang dan sepi. Walau pun diam yang kerap disaluti jiwa
Kuntum, namun detak nafasnya cukup membuatkan teratak ini bernyawa.
Angin menderu laju, pohon-pohon buahan di kebun Harum ria berpantun,
sesekali terdengar jeritan manja si pohon durian tika daunnya gugur
disambar bayu. Riang itu disambut pula si pohon rambutan kuning dan si
pohon betik tatkala reranting kering si pohon mangga tertampar tanah
yang mengakari sekalian mereka. Berbisik masing-masing menyampaikan
hasrat cinta kepada Harum, “Senyumlah…Si Kuntum sudah mula berputik.
Lihat-lihat, matanya terkebil-kebil menahan cahaya.”
Share this novel