Tempoh semalaman cukup meretak aman dalam hati Harum. Makan, tidur dan
mandinya serba ditebak bisikan jahat. Adakah Kuntum sudah tidak suci
lagi? Jangan…! Tidak sekali...
“Kuntum, bangunlah!” Tiada saksi pepohon yang riang lagi. Kuntum masih
membisu. Hanya mimik wajah yang tiba-tiba terusik igau dilihat
berlegar-legar erat. Duduklah Harum menatap diam Si Kuntum di pojok
kamar sepi.
Sejak kehilangan Kuntum, teratak mewah papa dan mama sekejap-sekejap
sunyi. Lebih banyak aktiviti menung dan renung berlangsung. Aksi papa
dan mama turut disertai Mekar dan Kuncup. Kedua-dua anak ini tiba-tiba
menjadi anak yang patuh mengikut saja gelagat papa dan mama yang tidak
diarah. Tidak seperti sebelum kehilangan Kuntum, kedua-dua anak ini
cukup keras menurut pinta papa dan mama.
“Di mana Kuntum, bang?” Sebut mama.
“Manalah Kak Kuntum? Semua kerja dalam rumah ini tak terurus. Bila Kak
Kuntum nak balik?” Amarah membuak daripada Mekar dan Kuncup.
Mekar seorang anak tengah yang kerap membuli Kuntum. Kuncup pula anak
bongsu yang akrab mengarah Kuntum. Kuntum masih diam, diperlakukan
seadanya daripada adik-adiknya itu.
“Kuntum sayang adik-adik Kuntum, Harum.” Begitulah setiap kali ucapan
Kuntum apabila dia diarah itu dan ini daripada adik-adiknya yang tidak
ubah seperti majikan zalim menyebat emosi pembantu rumah.
“Kuntum, kau terlalu penyabar. Curahan sayang dan kasihmu tak berbalas
sepatutnya. Aku…aku geram lihat kau diperlakukan seperti hamba oleh
adik-adikmu.” Harum seorang teman baik sering melepas amarah atas hal
yang menimpa Kuntum. Hanya senyuman berbalas di bibir Kuntum.
“Biarlah, suatu hari nanti bila Kuntum tiada…mungkin mereka akan sedar.”
Harum lekas-lekas melempiaskan telunjuknya yang panjang ke hujung bibir
Kuntum. Senyuman Kuntum masih berbekas menghalang kedut duka terbias di
wajah teman baiknya.
Kini, Kuntum benar-benar hilang. Kuntum dan bayang-bayangnya tidak
pulang lagi ke teratak mewah. Kuntum lesap. Keluarga di teratak mewah
itu hanya sekadar menung dan renung. Buntu akan cara untuk melemaskan
diri dalam pencarian ahli keluarga mereka yang seorang itu. Pada
awalnya, mama dan papa mahu panjangkan usaha pencarian kepada pihak
media. Pencawang yang ada di mana-mana ceruk, pasti saja akan ketemu
jasad dan nyawa Kuntum.
Share this novel