BAB 7

Romance Completed 4661

Izzue mengemas sila. Zul dan Ateeq berdempek di sebelah abang mereka. Yusuff turut serta tapi duduk silanya di sebelah Pak Nasir.

“Abah… angah nak bagitahu sesuatu ni.”

Izzue memulakan perbualan dengan bunga bicara yang kedengaran mendatar dan tenang. Pak Nasir mengangguk membenarkan anak lelaki sulungnya meneruskan kata-katanya. Dia juga turut mengemas sila. Ketika ini mereka baru sahaja selesai solat di ruang tamu. Tidak ke surau seperti biasa. Memandangkan Pak Nasir ajak berjemaah di rumah sahaja. Maklum umur sudah berusia. Kaki sudah mula rasa lenguh-lenguh.

Jadi disebabkan anak-anak lelaki Pak Nasir ini boleh dikategorikan anak soleh wal mithali, mereka patuh tanpa membantah. Yusuff pun turut sekali berjemaah di rumah. Nak tak nak dia perlu ikut juga. Kalau pergi sorang-sorang kat surau pun tak guna. Pasti dia terkial-kial tanpa arah nak dituju nanti.

“Hujung minggu lepas…”

Seketika Izzue pandang muka Zul dan Ateeq.

“Ada orang datang rumah…”

Izzue berhenti lagi. Cari lorong di mana harus dia membelok. Ke kiri atau kanan. Silap lorong bimbang dia lingkup. Pasti akan dihempuk-hempuk dek abahnya nanti.Yusuff terkebil-kebil. Dia seperti dapat merasakan malam itu akan terbongkarnya identiti dirinya pada pengetahuan Pak Nasir.

Pak Nasir tenang menanti.

“Dia datang bawa hajat. Katanya, nak datang merisik Sara.”

Senafas Izzue memberitahu. Tak ada belok-belok. Terus lurus tanpa kona-leper.

Pak Nasir berubah riak. Sedikit tegang. Yusuff perasaan perubahan itu. Kecut perut pula dia dibuat bila melihat ketegangan muka Pak Nasir biarpun hanya sedikit.

“Siapa orangnya? Kenapa tak bawa jumpa abah?”

Kedengaran tegas suara Pak Nasir. Ketiga-tiga anak lelakinya dipandang silih berganti. Yusuff di sebelah sudah tidak senang duduk. Aduihhh! Nampak gaya aku tak ada cam nak jadi menantu Pak Nasir ni…

“Dah bawa.”

Jawab Izzue rendah. Wajah ditunduk sedikit. Mampuiih, aku…

“Tak pernah tengok pun.”

Tingkas Pak Nasir.

“Tu…”

Izzue memuncung mulut ke arah Yusuff. Pantas Pak Nasir berlipat tengkuk melihat Yusuff di sebelah. Yusuff apa lagi, tertelan liur dibuatnya apabila Pak Nasir merenung tajam padanya. Ucap wassalam saja Yusuff.

“Jadi… selama ni kamu tipu pak cik?”

Sedikit pun Yusuff tidak berkerdip mata. Wajah Pak Nasir memang menakutkan dia sekarang. Hampir sama dengan ‘Sarjan Misai’ cuma bezanya misai dia pendek sikit. Tak melentik sangat. Kalau panjang dan melentik jawabnya boleh terkencing Yusuff di situ nanti.

“Eh, tak abah. Dia tak tipu. Tapi… kami yang halang dia cakap benda sebenar. Kami nak uji dia dulu sebelum bagitahu perkara sebenar pada abah.”

Potong Zul sekaligus menunaikan janji mereka untuk membela Yusuff andai munculnya darurat. Setelah itu, dirungkai satu-persatu kisah sebenar di sebalik cerita kehadiran Yusuff ke situ. Pak Nasir tekun mendengar sesekali dia menyampuk sebab tidak puas hati dengan tindakan anak-anaknya kepada Yusuff. Bertindak tanpa kebenaran darinya.

“Jadi sekarang macam mana?”

Pelik pertanyaan Pak Nasir. Yusuff berkerut dahi. Tiga anak lelakinya saling berpandangan sambil mengaru pelipis. Juga tidak faham dengan pertanyaan abah mereka.

“Bila nak bawa rombongan?”

Pak Nasir memperbetulkan pertanyaan tergantungnya itu.

“Semudah itu? Tak ada ujian ke?”

Tanya Yusuff.

“Bila kamu lepas ujian abang-abang Sara. Maksudnya ujian dari pak cik pun kamu sudah lepas. Tapi kalau kamu nak juga… pak cik boleh saja bagi. Tapi pak cik nak cakap awal-awal, kalau ujian pak cik… kemungkinan besar peluang untuk kamu jadi menantu pak cik… tipis.”

Ujar Pak Nasir sambil mengangkat kedua-dua keningnya.Yusuff cepat-cepat menggeleng.

“Tak Nak!”

Pak Nasir merenung Yusuff seketika. Dalam tenungannya itu. Seperti sedang membaca sesuatu.

“Tapi.. cuma satu saja pak cik minta…”

Yusuff diam dan tidak berganjak dari memandang Pak Nasir.

“Jaga agama. Bila agama terjaga… inshaAllah kerja kamu nak urus rumah tangga nanti, jadi mudah. Pak cik tak suruh kau jadi ustaz, pakar agama ke apa… tapi cukup jadi orang yang tahu agama. Itu saja…”

Satu permintaan yang tulus ikhlas dari seorang ayah. Yusuff terkedu. Sejurus, dia mengangguk. Dalam hati, kesyukuran tak henti dilafazkan. Dia tidak silap memilih. Bukan saja Sara malah keluarganya.

“Jadi, bila kamu nak datang bawa rombongan?”

Tanya Pak Nasir kembali. Wajah redup Yusuff ditatap dalam-dalam.

Yusuff berubah ceria. Girang.

“Lagi cepat lagi bagus.”

Ujar Yusuff gelojoh.

“Baiklah. Kalau awal bulan depan, tunang. Hujung bulan kahwin… bagaimana?”

Cadang Pak Nasir. Jatuh rahang Yusuff mendengar cadangan Pak Nasir itu.

“Pak cik tak nak tangguh-tangguh. Tengok kamu ni pun, nampak dah tak sabar. Takut pula bila bagi lampu hijau, dibawanya anak pak cik tu keluar suka hati kamu pula. Lagi bagus kahwin terus. Kamu nak bawa ceruk dunia mana pun dia, ikut suka hati kamu. Kamu tak berdosa. Pak cik tak turut bersubahat. Amacam? Setuju atau tidak?”

Soal Pak Nasir. Tegas.

“Tapi kalau kamu tak setuju… kamu bol…”

“Setuju.”

Pintas Yusuff. Serentak itu juga, ketawa Pak Nasir terhambur keluar dengan reaksi balas Yusuff tadi. Tiga anak lelakinya juga turut serta berdekah-dekah. Yusuff tersengih. Allah terima kasih atas kemudahan ini…

Weh semua! Tak lama lagi aku kahwin… hohoho.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience