BAB 5

Romance Completed 4661

Yusuff menghempas badannya atas katil. Cukup seminggu dia bertapa di rumah itu. Seminggu juga dia berhempas-pulas mengikuti setiap ujian yang diberikan oleh abang-abang Sara. Tobat! Hampir saja dia mengalah. Tapi bila fikirkan pasal Sara. Dia bangkit kembali. Berjuang habis-habisan untuk melepasi segala ujian itu. Semua demi Sara. Hoho, tahap cinta dia sudah jatuh pada tahap kritikal. Parah!

Dulu, lepas disuruh mencuci pinggan mangkuk. Boleh pula Izzue kejutkan dia untuk turut serta main futsal bersama dua lagi adiknya. Menggelegak Yusuff bila fikirkan balik tentang tu. Ingatkan dia dikejutkan untuk solat tahajud. Rupa-rupanya untuk main futsal. Gila bercampur sakit hati Yusuff dengan faii perangai abang Sara yang tidak boleh diagak bagaimana sikap mereka sebenarnya. Sekejap alim. Sekejap… hancur.

Bila di gelanggang futsal, entah kenapa dia pula yang meroyan nak main sekali. Tiga beradik itu langsung tidak memaksa malah menggalakkan lagi kalau dia mahu ikut serta. Apa lagi, sekali dia bedal main setelah lama meninggalkan gelanggang futsal. Hampir pukul 5 pagi baru mereka berhenti. Balik rumah, baru hajat nak buat kauk rentang atas toto. Zul menegah. Siap dilipat toto yang dijadikan alas untuk Yusuff tidur semata-mata mahu menghalang Yusuff tidur.

“Kejap lagi dah masuk subuh. Kalau tidur, jawabnya subuh ke laut. Kau kena tunggu. Mak Ngah paling pantang subuh lewat-lewat. Kalau ada yang buat, dia akan libas kita dengan bebelan dia. Andai terjadi juga, kami takpe… dah biasa. Tapi kau… kami bimbang. Mungkin belum sempat habis mukadimah dia bersyarah. Kau dah tersungkur dulu. Lebih malang, telinga keluar nanah sebab tak dapat tahan asakan demi asakan dek katanya nanti… kau nak ke hadap semua tu?”

Ugut Izzue. Yusuff yang sudah layu matanya menggeleng laju.

“Dah! Kau pergi mandi. Subuh nanti kita ke surau. Nanti kat sana, ujian dari aku menanti kau.”

Ujar Zul langsung tanpa berperasaan. Biarpun mata sendiri sudah kuyup menahan mengantuk tapi disebabkan Yusuff ada di situ, dipaksa jua mata untuk dicelik luas-luas. Kalau dia sendiri tumbang, maka pasti Yusuff akan mengikut jejak langkahnya.

Tiba di Surau, baru sahaja Yusuff nak bersendeng pada tiang, dia dipanggil oleh Zul. Dari riak muka Zul, dia dapat mengagak, ujian untuknya sedang menanti. Mohon jangan diberinya ujian yang tidak masuk akal lagi. Gumam Yusuff dalam hati.

“Azan.”

Suruh Zul sepatah. Jatuh rahang Yusuff sebaik otaknya mentafsir bunyi suara Zul yang dilantungkan masuk ke telinga seterusnya dihantar terus ke otak. Aduh! Apa punya ujianlah… Yusuff menurut. Dilaungkan juga azan itu. Merdu juga suara aku. Puji Yusuff pada diri sendiri.Terkulai malu. Kembang-kempis hidung Yusuff menerima pujian yang sama daripada beberapa orang kampung yang turut datang berjemaah di surau pada pagi subuh itu.

Namun, tidak pada abang-abang Sara. Sikit pun tidak terkeluar kata-kata pujian dari mereka. Nyaris terguris hati Yusuff dengan sikap mereka. Tapi bila fikir tentang Sara. Semua rasa itu dicampak jauh ke dasar hati. Dikambus dalam-dalam agar tidak muncul kembali. Sabar Yusuff. Sabar…

“Apasal suara kau terketar-ketar? Nampak sangat kau jarang azan. Banyak makhraj… sebutan ikut suka hati kau hentam… langgar je. Kau ingat ni lampu isyarat yang boleh kau nak langgar ikut sedap kau rasa nak?”

Izzue hampir menyiku-lipat Yusuff tapi dibatalkan saja niatnya apabila Pak Nasir mengerling ke arahnya. Nasib baik tidak terkantoi…

“Jaga-jaga dengan pujian, Yusuff. Bimbang makan dalam. Hati kita ni… iman bukan selalu lekat. Kadang iman tu naik. Kadang turun. Beringat sikit. Jangan sampai hati terbuai dengan kata-kata pujian tu. Boleh terjangkit penyakit riak, takabur… tak ikhlas buat ibadah.”

Ateeq tetap dengan ceramah agamanya. Cukup menyengat telinga Yusuff mendengar. Biarpun dituturkan secara mendatar namun cukup tajam. Zupp! Tertusuk terus menembusi dada sampai ke hati. Yusuff menengadah memandang siling bilik. Minda ligat memikirkan apa yang berlaku dan pernah dilaluinya sepanjang menumpang teduh di rumah bakal mertuanya itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience