Rate

BAB 2

Drama Completed 226

Neal biarkan sahaja persoalan kawannya itu tergantung. Bukan kerana dia
tidak tahu jawapannya, tetapi kerana dia tidak mahu berkongsi rahsianya
itu dengan sesiapa.

Memilih perpustakaan yang jauh dari kampus adalah strategi yang bagus
untuk menghadapi peperiksaan akhir. Tetapi memilih meja nombor 12 di
hujung kanan dewan belajar bersendirian adalah satu bonus untuknya
setiap hari. Meja nombor 12 yang terletak di sebelah meja nombor 11.
Meja nombor 11 yang menjadi kunjungan tetap seorang gadis kenit berwajah
masam. Gadis kenit yang sentiasa menggalas beg belakang dan berjaket
tebal siap ber’hood’ berwarna biru gelap. Dan Cuma akan menanggalkan
‘hood’ yang sering menutupi wajahnya itu apabila melepasi waktu tengah
hari bilamana suhu pemanas di dalam dewan itu mula ditinggikan.

Neal selalu memerhatikan kelakuannya. Neal gembira memerhatikan
kelakuannya. Dari cara matanya membuntang, atau terkebil-kebil, atau
mengecil, atau kembali membuntang sebagai reaksi terhadap pembacaannya,
Neal suka. Juga cara jari ibu dan telunjuk kanannya yang selalu
bermain-main dengan pensel kayu hitam di tangan, memutarkan pensel itu
berkali-kali tanpa sedar sebelum membawa bahagian belakang hujung pensel
tersebut ke bibir. Bibir yang kadangkala digigit juga tanpa sedar, yang
akan menyebabkan Neal terpaksa mengalihkan pandangan kerana kelakuan
yang satu itu memberikan impak yang pelbagai kepada hatinya, jiwanya,
fikirannya.

Mungkin Neal perlu berhenti sahaja berkunjung ke perpustakaan ini,
fikirnya pada suatu hari ketika dia mula sedar bahawa dia lebih banyak
membuang masa dengan gembira tersenyum sendiri mengamati keberadaan
gadis itu di sisinya sedangkan matlamat asal adalah untuk mendapatkan
graduasi tepat pada masa.

Jadi, ya, Neal patut berhenti. Dia bertekad untuk berhenti. Sehinggalah
buat pertama kali mereka bertemu mata dan dia kembali menurut kehendak
hati.

Gadis itu menjeling ke arahnya dan tersenyum. Kemungkinan bukan senyuman
dengan niat untuk memikatnya, tetapi Neal sudah melekat. Dia membalas
senyuman itu dengan menelan liur pekat dan kelat. Hampir sahaja
menghantar mesej berisyarat yang dia tidak berminat untuk membuka
perbualan di antara mereka.

Mujur gadis itu tidak cepat mengalah. Dia membuka mulut. Buat pertama
kali, dia membuka mulut, bertanya satu soalan rambang,

“You suka poetry?”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience