Rate

BAB 1

Drama Completed 226

Musim sejuk kali ini bertemu musim peperiksaan semester akhir. Dan musim
peperiksaan semester akhir kebiasaannya tidak akan berakhir dengan baik
jika dilangsungkan pada musim sejuk. Semua orang tahu tentang itu.
Ceritera sejarah turun-temurun daripada pelajar senior berkongsi
kesukaran menelaah dalam keadaan suhu rendah menggamit tulang dan
perubahan malam yang terlalu panjang berbanding siang menyebabkan Neal
lebih bersungguh-sungguh. Malah terlebih bersungguh-sungguh. Dia tidak
mahu mengulangi beberapa kertas peperiksaan kerana alasan bodoh seperti
suhu dan cuaca. Dia tidak suka berada lebih lama di kota asing ini, jauh
dari rumah, daripada papa, daripada abang.

Neal mahu pulang. Dan untuk pulang, dia harus habiskan semester ini pada
masa yang ditetapkan.

Demi mencapai matlamatnya itu, Neal memilih sebuah perpustakaan di
tengah-tengah kota London, jauh dari kampusnya. Mengambil masa lebih
kurang sejam menggunakan tren underground untuk sampai ke destinasi
pada setiap pagi dia meredah dalam waktu genting dan satu jam setengah
untuk pulang pada waktu petang juga dalam waktu genting.

Teman serumahnya pernah mempersoalkan tindakannya itu. Kenapa dia
berlepas pada waktu genting sedangkan tambang pengangkutan dicaj sedikit
rendah jika servis digunakan melepasi jam sembilan pagi atau tujuh
malam. Selain itu, Mathew juga memberitahu yang Neal boleh sahaja
mengulangkaji di biliknya. Tiada sesiapa yang akan mengganggu kerana
tiada sesiapa yang berani mengganggu apabila Neal mula serius membuka buku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience