Series
146
“NAK pergi mana tu?”
Aurelia tersenyum. “Nak pergi kerja ma.”
“Aik, Kamil tak bagitahu ke yang dia tak suka Lia pergi kerja. Katanya nak Lia duduk rumah je,” kata Kartini emak mertuanya. Wanita ini boleh dikatakan seusia dengan emaknya di kampung atau mungkin lebih muda.
Tetapi, Kartini punya kehidupan sangat lain. Hanya duduk di rumah dan menonton TV.
Aurelia menggeleng. “Tak ada, ma. Lagipun, Lia lagi suka kerja.”
Kartini mengangguk. “Lain kali sebelum nak keluar pergi kerja siapkan makanan sarapan dengan tengah hari. Jadi menantu kena buat baik dengan mertua kan? Lagipun, siapa nak bagi makan dekat Kamil tu. Dia tu karang bangun confirm nak makan je. Mama tak larat nak masak dah.”
“Oh… okey ma. Nanti Lia buat. Lia pergi dulu.” Aurelia terus keluar dari rumah. Dia mengeluh kecil. Mengapa dia rasa sangat berat dan ketat ya dalam hatinya? Dia jadi tidak suka dengan apa yang dia rasakan ini.
Terus saja dia berjalan menuju ke lif dan memulakan harinya selepas bercuti panjang.
AURELIA memandang jam di pergelangan tangannya sekali lagi.
Sudah hampir lima belas minit dia menunggu di atas motosikal milik Kamil. Helmet yang dipakainya tadi sudah dibuka dan diletakkan di atas paha. Cuaca petang Kuala Lumpur terasa agak panas walaupun matahari sudah tidak seterik tengah hari.
“Lama sangat ni…” gumamnya perlahan.
Kamil hanya berkata mahu singgah sebentar untuk membeli sesuatu. Disebabkan itu Aurelia tidak banyak bertanya. Dia sekadar menunggu di atas motosikal sementara suaminya menghilang di deretan kedai di hadapan mereka.
Namun apabila pintu sebuah kedai terbuka dan Kamil keluar dari situ, dahi Aurelia terus berkerut.
Matanya terangkat melihat papan tanda di atas kedai itu.
Aurelia terus diam.
Kamil pula berjalan selamba ke arahnya sambil melipat sekeping kertas kecil sebelum memasukkannya ke dalam poket seluar.
“Awak…”
Kamil yang sedang mencapai helmet menoleh. “Hmm?”
Aurelia memandang ke arah kedai tadi sebelum kembali memandang suaminya.
“Awak beli nombor ke?”
“So?”
Jawapan itu membuatkan Aurelia terkedu seketika.
“Benda tu kan haram.”
Wajah Kamil terus berubah.
Belum sempat Aurelia menyambung, lelaki itu sudah menjelingnya tajam.
“Diamlah.”
Aurelia mengerutkan dahi.
“Saya cuma cakap…”
“Saya kata diam.”
Nada suara Kamil tidaklah terlalu kuat, tetapi cukup keras untuk membuatkan Aurelia menutup mulut.
Kamil menyarungkan helmet ke kepala dengan kasar sebelum berdiri di sebelah motosikal.
“Dah lama saya main. Tak ada apa pun.”
Aurelia masih cuba mengawal suaranya.
“Tapi benda macam ni kalau dah biasa, nanti susah nak berhenti. Lagipun memang tak elok, awak.”
Kamil berdecit.
“Baru kahwin dah nak ajar saya bab halal haram ke?”
Aurelia terdiam seketika.
Dia tidak berniat hendak mengajar.
Dia cuma risau.
“Itu bukan maksud saya.”
“Sudahlah.”
Kamil mencampakkan barang ke dalam bakul di hadapan. Kemudian tangannya dihulurkan ke arah Aurelia.
“Bagi saya duit.”
Aurelia terpinga-pinga.
“Duit?”
“Yalah, duit.”
“Nak buat apa?”
Kamil terus memandangnya.
“Kenapa? Sekarang kalau saya minta duit pun kena soal siasat ke?”
“Bukan macam tu. Saya tanya je.”
Kamil mengeluh kasar.
“Saya perlukan duit. Minyak motor nak isi. Makan nak beli. Macam-macam benda nak guna.”
Aurelia memandang beg tangannya yang tergantung di bahu.
“Saya tak bawa banyak cash.”
“Berapa ada?”
Aurelia mula rasa tidak selesa.
Sejak berkahwin, dia sudah beberapa kali mengeluarkan duit untuk membeli barang dapur, membayar makan mereka dan sesekali mengisi minyak motosikal Kamil. Dia tidak kisah membantu.
Tetapi cara Kamil meminta membuatkan dia terasa seolah-olah duit itu memang hak lelaki itu.
“Minggu depan saya dah gaji,” katanya akhirnya. “Nanti saya bagi awak duit.”
Kamil ketawa kecil.
Bukan ketawa yang menggembirakan.
Lebih kepada sindiran.
“Minggu depan?”
Aurelia mengangguk.
“Hmm.”
Kamil bersandar sedikit pada motosikal.
“Habis duit cash yang saya nampak dalam purse awak hari tu?”
Jantung Aurelia seperti tersentak kecil.
Dia terus memandang Kamil.
“Awak buka purse saya?”
“Tak payah buka pun boleh nampak. Tebal.”
Aurelia menelan liur.
“Itu duit saya simpan.”
“Untuk apa?”
Aurelia tidak terus menjawab.
Kamil mengangkat kening.
“Saya tanya untuk apa?”
Aurelia menarik nafas perlahan.
“Saya nak belikan mesin rumput untuk abah.”
Kamil terus diam.
“Mesin rumput abah dekat kampung dah rosak,” sambung Aurelia. “Hari tu abah ada cerita dekat saya. Dah lama dah mesin tu buat hal. Jadi saya ingat nak belikan yang baru. Tak mahal sangat pun.”
Riak wajah Kamil berubah.
“Abah?”
“Yalah.”
Kamil ketawa kecil lagi sambil menggeleng.
“Dah kahwin pun masih nak sibuk bagi duit dekat bapak.”
Kening Aurelia terus bertaut.
“Abah saya, awak.”
“Saya tahulah.”
“Kalau saya ada duit lebih, apa salahnya saya belikan?”
Kamil merenung isterinya lama.
“Awak dah kahwin sekarang tau.”
Aurelia mengerutkan dahi.
“Ya, saya tahu. Tapi itu kan abah saya.”
Kamil berdiri tegak di hadapannya. “Bila dah kahwin, utamakan suami dulu.”
Aurelia terkebil-kebil.
Kamil menyambung tanpa sedikit pun rasa bersalah. “Duit ada dalam tangan, saya minta tapi awak kata tak ada. Tapi untuk bapak awak boleh pulak ada.”
“Bukan saya tak nak bantu awak. Saya dah cakap minggu depan bila gaji masuk…”
“Kenapa kena tunggu minggu depan kalau duit dah ada sekarang?”
Aurelia terus diam.
“Itu duit untuk abah.”
“Saya ni suami awak tau.”
Nada suara Kamil semakin keras.
“Awak kena tahu beza sebelum kahwin dengan lepas kahwin.”
Aurelia memandang wajah lelaki yang baru beberapa hari menjadi suaminya itu. Ada sesuatu dalam nada Kamil yang membuatkan dadanya terasa sempit. “Abah saya bukan orang lain pun,” balasnya perlahan.
“Saya pun bukan orang lain.”
Kamil terus mencelah.
“Saya suami awak. Syurga awak ada kat bawah tapak kaki saya ni.”
Kemudian lelaki itu mengetap bibir sebelum berkata, “Bila dah kahwin, utamakan suami daripada bapak.”
Aurelia terdiam.
Share this novel