Series
146
“BERAPA gaji bini kau ni, Mil?” tanya Kartini sambil makan kuaci di hadapan TV.
Kamil yang sedang bermain judi online itu mahu saja menghempas telefonnya. Tadi dia melihat nombornya sudah cantik. Sekarang dia sudah kerugian. “Mama ni bisinglah. Pergilah tanya dia sendiri.”
“Mama tak tahu dia kerja apa dengan kat mana. Apa jawatan dia dengan nama syarikat dia? Ada tak gaji dia atas 2,000? Yalah, lepasan universiti kan?” Kartini mula mengorek ingin tahu. Mana tahu dia boleh meminta duit bulanan daripada menantunya itu.
“Kerani je kut. Adalah tu 2,000 sebab dia kata tak banyak sangat gaji dia. Tapi, kalau mintak dia ada jelah duit tak pernah tak ada.” Kamil tersenyum bila hasil judi online dia mula membuahkan hasil.
Kartini mengangguk. “Nanti cuba Mil mintak duit sewa daripada dia. Konon macam Mil kena bagi duit kat rumahlah. Contoh anak lelaki nak berbakti walaupun kau macam hawau.”
“Hmm…”
“Assalammualaikum,” sapa Aurelia sambil masuk ke dalam rumah membawa beberapa bungkusan makanan. Sengaja dia membeli KFC dengan pelbagai pilihan makanan bersempena dia mendapat kerja ini sebagai tetap.
Bauan KFC masuk ke dalam rongga hidung dua beranak itu.
“Wow, dah gaji ke?” tegur Kamil sambil sibuk melihat isi dalam plastik KFC itu.
Aurelia tersenyum sambil menggeleng. “Saja nak belikan untuk awak dengan semua orang kat rumah ni.”
Kartini sudah berlari ke meja makan dan sibuk memilih bahagian ayam yang dia mahukan. “Ha, macam nilah baru seronok sikit ada menantu. Belanja makan sedap-sedap macam ni. Kenyang aku ha.”
“Baik, ma. Saya masuk dalam nak mandi dan solat dulu. Makanlah tak perlu tunggu saya,” ucap Aurelia yang masuk ke dalam bilik mandi bila dia lalui meja makan selepas mandi dia perasan dua beranak itu begitu seronok makan.
Selesai solat Aurelia duduk lama di atas sejadah mendoakan kesihatan emak dan abahnya. Dia menarik nafas sedikit kerana dia fikir dia mahu mengajak Kamil pulang ke kampung nanti.
Dia terus bangun dan keluar dari bilik dan lihat tiada siapa di ruang tamu. Atas meja makan bersepah dengan sisa makanan dan air yang tumpah. TV terbuka dan ruang tamu berselerak dengan baju tidak berlipat.
Pintu bilik emak mertuanya sudah tertutup.
Lalu, dia memandang tempat letak helmet suaminya. Kosong.
Terus saja dia membuka kotak KFC yang dibelinya 5 bungkus snack plate. Sorang satu, namun… semuanya sudah habis dan ayam itu makannya tidak licin. Seperti dikuis-kuis bahagian yang sedap sahaja.
Nasib baik ada kentang putar dan sayur. Itu sahaja yang boleh dimakan.
BARU buat kerja sikit Kamil sudah penat. Bukannya apa oder yang dia dapat semuanya kena menunggu baik di kedai mahupun menunggu pelanggan untuk turun. Sudahlah penat melawan kesesakan lalu lintas.
Jam kini baru menunjukkan 9.00 malam, lebih baik dia melepak bersama kawan-kawannya di belakang bangunan besar di Kuala Lumpur.
“Muka banyak barai, Mil?” tegur sahabatnya Joe.
“Koyaklah buat Grab. Tak ada ke kerja yang senang?” balas Kamil sambil tersandar pada kerusinya dan sempat memesan sirap ais.
Tergelak kawan-kawannya di situ. “Jual buntut pun penat Mil. Inikan kerja-kerja macam kita. Bukan kerjalah namanya kalau tak penat. Bini kau takkan tak tolong, dia pun kerja bagus jugak kan kat company besar tu?”
“Hmm, kita lelaki tak sentuh duit perempuanlah.” Lagak Kamil di hadapan kawan-kawannya.
Kamil tenggelam dalam fikirannya mengenangkan bagaimana dia boleh jadi kaya dan menambah pendapatannya tanpa penat. Kalau dirinya perempuan pasti dia sudah menggoda lelaki kaya, tetapi mana ada wanita kaya mahukan lelaki miskin sepertinya.
Kawan-kawannya yang sedang rancak berborak itu langsung dia tidak pedulikan. Sebenarnya, dia patut rasa ringan sedikit kerana Aurelia sudah membayar banyak benda keperluan harian mereka. Hampir semua sebenarnya.
“Mil, Kimi ada cadangan ni. Tapi kau jangan nak baranlah. Sebab kau suka benda ni cuma kau nak tak nak jelah,” kata Joe sambil tergelak kecil.
“Apa tu?”
Sunyi.
Joe terus menunjukkan satu video di Telegram. “Kau buat channel kau sendiri kat Telegram. Lepas tu, tiap kali kau buat dengan bini kau. Kau rekod tak payah tunjuk muka. Nampak kan korang punya barang je. Kau jual. Member aku ni dia punya channel kat Telegram dapat sebulan banyak weh ada sekali tu sampai 10k pergi dia. Paling cikai pun 3 ke 4 ribu tak lari.”
Tegak badan Kamil melihat video itu dan terfikir ada bagusnya juga.
“Kau kan nafsu kuda. Setiap kali buat, kau rekod. Edit sikit. Lepas tu apa lagi jual lah. Bukan orang tahu pun siapa kau dengan bini kau.” Berdekah-dekah kawan-kawannya mengajarnya tentang benda baru itu. Kamil mula merasakan berminat kerana kelihatan mudah dan wangnya lagi cepat.
Tapi, Kamil menggeleng. “Bini aku memang taklah dia nak. Dia mesti tanya phone ni nak rekod apa? Dia bukannya bodoh. Orang pergi belajar katakan. Memang lambatlah lagi aku dapat nak buat dengan dia sambil rekod.”
“Kalau tak boleh dengan dia. Dengan orang lainlah.” Ketawa bergema.
AURELIA menutup pintu bilik perlahan-lahan sebelum duduk di hujung katil.
Suasana di luar masih kedengaran samar-samar. Bunyi televisyen dari ruang tamu bercampur dengan suara Zira dan Mira yang sesekali ketawa. Kamil pula entah ke mana.
Telefon pintar di tangannya dipandang seketika.
“Assalamualaikum, Lia.”
Suara emaknya membuatkan wajah Aurelia terus berubah lembut.
“Waalaikumussalam, mak.”
Aurelia tersenyum sambil menarik bantal kecil ke atas ribanya.
“Emak buat apa?”
“Duduk depan rumah ni. Abah kau tengah tengok pancing dia.”
Aurelia terus tersenyum.
“Abah sihat?”
“Sihat. Kejap, emak bagi telefon dekat abah.”
Tidak lama kemudian kedengaran suara lelaki yang sangat dirinduinya.
“Assalamualaikum, anak abah.”
Mata Aurelia terus terasa panas.
“Waalaikumussalam, bah.”
“Haa… macam mana kerja?”
“Okey.”
“Penat?”
“Biasalah. Kerja kan.”
Zakaria ketawa kecil.
Aurelia dapat membayangkan wajah abahnya di kampung. Duduk di kerusi plastik di hadapan rumah, berkain pelekat sambil memandang halaman yang sentiasa dijaganya sendiri.
“Abah sihat?”
“Sihatlah. Kau ni setiap kali telefon mesti tanya benda sama.”
“Sebab Lia risau.”
“Abah bukan tua sangat lagi.”
Aurelia tersenyum.
“Lutut macam mana?”
“Masih boleh jalan.”
“Jangan buat kerja berat sangat.”
“Kalau tak buat kerja, siapa nak buat?”
Aurelia diam sebentar sebelum teringat sesuatu.
“Bah…”
“Hmm?”
“Mesin rumput dah beli?”
Zakaria terus ketawa kecil.
“Dah. Yang ni eloklah. Buat potong rumput depan rumah je, bukan abah nak buka bisnes potong rumput.”
Aurelia ketawa kecil.
“Abah ni.”
“Tapi sedap sikitlah. Tak payah dah abah tarik-tarik mesin lama tu sampai berpeluh.”
“Baguslah.”
Ada rasa lega dalam hatinya.
Sekurang-kurangnya satu perkara yang dia mahu lakukan untuk abahnya sudah selesai.
“Esok jangan lupa ya, bah.”
Zakaria terdiam.
“Lupa apa?”
“Mintak tolong Abang Husin bawak pergi pekan. Esok pergi keluarkan ya. Beli lauk yang emak dengan abah suka.”
Zakaria mendiamkan diri.
“Beli ikan ke, ayam ke… apa-apa.”
“Emak kau tu bukannya makan banyak.”
Aurelia tersenyum.
“Belikan mak ikan merah. Emak suka tu.”
Dari jauh kedengaran suara emaknya membalas sesuatu.
Kemudian Zakaria ketawa.
“Emak kau kata dia nak udang.”
Aurelia terus tersenyum lebar.
“Haa, udang.”
“Kat sini mahal sekarang.”
“Tak apa.”
Aurelia memeluk bantal di atas ribanya.
“Nanti Lia balik…”
Suaranya tiba-tiba menjadi lebih perlahan.
“Kita pergi pasar sama-sama. Lia belikan udang besar-besar.”
Zakaria ketawa. “Macam lobster boleh?”
“Kalau emak nak lobster pun boleh.”
“Aih, mengada.”
Aurelia turut ketawa kecil.
Namun entah mengapa selepas itu, dadanya terasa berat semula.
Rindu.
Dia rindu rumahnya.
“Macam mana kehidupan Lia dekat sana?”
Aurelia terdiam.
Jarinya yang tadi bermain dengan hujung sarung bantal terus berhenti.
“Dengan Kamil… dengan keluarga dia.”
Aurelia menelan liur.
“Baik-baik je ke?”
Mata Aurelia terus berkaca.
Dia cepat-cepat mendongak ke siling.
Tidak mahu air mata itu jatuh.
Tetapi semakin dia cuba menahannya, semakin sesak dadanya.
Satu.
Kemudian satu lagi.
Tangannya pantas menyeka pipi.
“Okey je, bah.”
Suaranya hampir pecah.
BISING. Itulah suasana di gerai tepi jalan ini. Dia sengaja berhenti di sini selepas membawa motosikalnya melalui jalan-jalan di Kuala Lumpur. Sengaja ingin mengingati jalan setelah lama tidak pulang ke Kuala Lumpur.
Di sini jika tidak mahir pasti akan salah lorong saja. KL adalah satu bandar yang sangat pesat terutama pada jalan rayanya.
Suara-suara budak-budak motor di situ sangat mengganggunya. “Lepas habis air ni, geraklah.”
Sehinggalah dia menangkap perbualan lelaki-lelaki itu yang dirasakan sangat mengganggu fikirannya.
“Kau buat channel kau sendiri kat Telegram. Lepas tu, tiap kali kau main dengan bini kau. Kau rekod tak payah tunjuk muka. Nampak kan korang punya barang je. Kau jual. Member aku ni dia punya channel kat Telegram dapat sebulan banyak weh ada sekali tu sampai 10k pergi dia. Paling cikai pun 3 ke 4 ribu tak lari.”
Gila.
Apa jenis fikiran macam ni?
Matanya terus memandang ke arah lelaki yang sedang memberikan idea gila yang penuh dosa itu. Namun matanya menangkap pada satu sosok yang dia kenali. Dia mencari motosikal yang dia temui siang tadi.
Ya.
Motor Y15 berwarna merah, sportrim berwarna emas.
Lelaki itu.
Lelaki yang menghantar Aurelia ke tempat kerja.
Jangan kata…
“Kau kan nafsu kuda. Setiap kali main, kau rekod. Edit sikit. Lepas tu apa lagi jual lah. Bukan orang tahu pun siapa kau dengan bini kau.”
p/s: Selamat membaca novel yang akan main emosi dan cabaran. Jangan risau tidak terlalu berat dan tidak terlalu ringan. Isu yang dibahaskan dalam novel ini adalah lebih kepada kisah benar dan masalah sosial yang melanda. Terima kasih jangan lupa teruskan membaca ya.
Share this novel