Series
146
“BUKAN main lagi nak sambut anak dia balik. Macam nak sambut menantu,” usik Tan Sri Ayob kepada isterinya Puan Sri Hanim. Tersenyum dia melihat isterinya yang bersungguh menghiasi rumah mereka dan menambah kelengkapan gim di rumah untuk menyambut anak lelaki mereka yang bakal pulang ke Kuala Lumpur.
Aniq Waseem.
“Kita ada sorang je anak jantan ha. Anak soleh saya tu,” ucap Puan Sri Hanim dengan senyuman. Anak yang sangat manja dengannya. Walaupun masih ada dua orang anak perempuan yang lain tapi anak lelakinya ini sangat rapat dengannya.
Tan Sri Ayob mengangguk. “Saya pun tak sabar nak tunggu dia balik sini for good. Walaupun dia selalu je balik sini melawat kita tapi dah lama sangat dia kat sana. Lebih baik dia berbakti dengan kita kat sini.”
“Aniq akan tolong awak. Aniq anak yang baik,” kata Puan Sri Hanim sambil tersenyum.
TAN SRI AYOB tersenyum sambil bersandar pada kerusi kerjanya.
Di hadapannya terbuka sebuah fail nipis yang baru sahaja diserahkan oleh pembantunya beberapa minit tadi. Beberapa helaian laporan prestasi pekerja tersusun kemas di dalamnya.
Selepas sekian lama membangunkan Megox daripada sebuah syarikat kecil sehingga menjadi antara syarikat keselamatan siber yang dikenali dalam industri, Tan Sri Ayob sudah terbiasa membaca laporan seperti itu.
Megox merupakan hasil titik peluhnya sendiri.
Dia yang mengasaskan syarikat tersebut dan sehingga hari ini masih memegang jawatan sebagai pengasas serta Ketua Pegawai Eksekutif.
Namun semakin bertambah usia, semakin dia sedar bahawa tidak selamanya dia mahu menghabiskan hampir seluruh masanya di pejabat.
“Yang ni bagus.”
Jarinya mengetuk perlahan pada salah satu laporan.
Pembantunya yang berdiri di hadapan meja terus memberi perhatian.
“Contract staff, Tan Sri,” terang lelaki itu. “Performance dia antara yang paling tinggi dalam team. Supervisor dia pun recommend untuk permanent.”
Tan Sri Ayob mengangguk perlahan.
Matanya kembali membaca beberapa catatan yang diberikan oleh ketua jabatan.
Cepat belajar.
Analytical thinking yang baik.
Consistent.
Mampu mengendalikan tugasan dengan minimum supervision.
“Kalau orang bagus, jangan tunggu orang lain ambil.”
Pembantunya tersenyum kecil.
Tan Sri Ayob mencapai pen lalu menurunkan tandatangannya pada ruangan kelulusan.
“Offer permanent.”
“Baik, Tan Sri.”
“Benefit ikut permanent staff biasa dulu. Lepas confirmation nanti tengok performance dia macam mana.”
“Baik.”
Tan Sri Ayob menyelak helaian seterusnya sebelum pandangannya berhenti pada nama yang tercetak di bahagian atas.
Aurelia binti Zakaria.
“Aurelia…”
Dia membaca nama itu perlahan.
Kemudian fail tersebut ditutup.
“Yang ni sekali masukkan dalam list.”
Pembantunya segera mencatat sesuatu pada tablet di tangannya.
Tan Sri Ayob bersandar semula.
“Bila hari rasmi Aniq masuk nanti, kumpulkan sekali staff yang baru join dengan staff yang dapat promotion.”
Pembantunya mengangkat wajah.
“Semua department, Tan Sri?”
“Yang terlibat saja. Tak payah ramai sangat.”
“Baik.”
Tan Sri Ayob mengetuk hujung pen pada permukaan meja.
“Saya nak Aniq kenal orang-orang yang akan kerja bawah dia nanti. Especially key people.”
Pembantunya mengangguk memahami.
“Untuk Aurelia pun kita masukkan sekali sebab status dia dah bertukar permanent?”
“Ya.”
Tan Sri Ayob tersenyum kecil.
“Biar sekali jalan.”
Dia kemudian menutup beberapa fail lain yang berada di atas meja sebelum menarik nafas panjang.
Bertahun-tahun dia menguruskan Megox sendiri.
Daripada mencari klien pertama, membina pasukan, berdepan krisis, kehilangan kontrak, mendapatkan semula kepercayaan pelanggan sehinggalah syarikat itu berkembang seperti hari ini.
Sudah sampai masanya dia mula melepaskan sedikit demi sedikit.
“Aniq masuk nanti, banyak benda saya boleh serahkan dekat dia.”
Nada suaranya kedengaran jauh lebih santai kali ini.
Pembantunya tersenyum.
“Tan Sri memang dah lama tunggu Encik Aniq balik.”
“Memang.”
Tan Sri Ayob ketawa kecil.
“Anak saya tu dah cukup lama cari pengalaman dekat luar. Sekarang masa dia balik dan sambung apa yang saya dah bina.”
Dia menoleh ke arah tingkap besar di belakang meja.
Pemandangan Kuala Lumpur terbentang luas dari tingkat tinggi bangunan tersebut.
Megox bukan satu-satunya perniagaan yang dimilikinya.
Masih banyak lagi pelaburan dan beberapa syarikat lain yang memerlukan perhatiannya.
Dan tidak lama lagi, syarikat itu akan diserahkan kepada satu-satunya anak lelakinya.
Tan Sri Ayob tersenyum puas.
“Lepas ni bolehlah saya berehat sikit.”
Pembantunya ketawa kecil.
“Tan Sri boleh berehat ke?”
Tan Sri Ayob terus menjelingnya sambil tersenyum.
“Berehat daripada Megox.”
Dia mencapai satu lagi fail di atas mejanya.
“Bisnes lain banyak lagi saya nak urus.”
“BODOH!”
Suara lengkingan itu membuatkan Aniq Waseem memandang ke arah dua sosok yang berada di atas motosikal. Seorang perempuan baru turun dari motosikal, namun ditolak sedikit oleh lelaki itu.
Perempuan itu menunduk-nunduk seperti sedang meminta maaf.
Terus kakinya mendekat sedikit dan menyorok di belakang tembok pemisah bangunan. Ketika ini pekerja sudah masuk ke pejabat. Dia menjeling jam menunjukkan 9.35 pagi. Lambat 35 minit ni.
“Macam bodoh. Kau yang lambat, aku yang kena hadap.” Terus lelaki itu mengacah seperti mahu melempang perempuan itu. Aniq Waseem sudah bergerak ke depan secara spontan seperti mahu menghalang.
Dia berhenti. Memerhatikan perempuan itu yang mengesat air matanya dan berlari masuk ke pintu depan pejabat. Aniq Waseem mengekori dan bayang perempuan itu hilang di dalam lif. Dia menggeleng.
“Suami isteri ke? Atau adik-beradik? Kesiannya,” bisik Aniq Waseem perlahan.
“Encik Aniq Waseem?”
Suara dari arah belakang menghentikan langkah Aniq Waseem. Dia tersenyum melihat wajah pembantu papanya.
“Abang Lan.”
Terus saja dia bersalaman dan mencium tangan Razlan iaitu orang yang banyak membantu papanya di syarikat ini.
“Sorry Abang Lan. Kereta parking jauh. Papa dah tunggu ke?” tanya Aniq Waseem dengan wajah serba salahnya.
“Suruh parking dekat VVIP punya tak nak? Tan Sri dah tunggu kat atas dengan staf yang baru dilantik dan dinaikkan pangkat. Jomlah kita naik ke conference room.” Razlan menunjukkan jalan untuk naik ke atas.
Aniq Waseem mengekori Razlan. Dia tidak mahu parkir di tempat VVIP kerana dia belum lagi secara rasmi menjadi staf dan dia mahu dilayan seperti biasa. Cuma selepas ini mungkin tidak lagi.
Pintu dibuka dan hanya beberapa staf yang sudah menanti sambil tersenyum dengan suara bisikan.
“Anak papa,” sambut Tan Sri Ayob ceria sambil mendepakan tangannya. Bangga dengan anaknya.
“Ha, inilah anak saya. Aniq Waseem yang akan menggantikan saya. Jangan risau dia dah ada pengalaman di syarikat luar negara. Pelbagai platform dan pelbagai security dan saya percaya dengan kepakarannya untuk dikongsikan dengan kita di sini,” kata Tan Sri Ayob sambil tersenyum.
Aniq Waseem hanya menunduk merasakan diri begitu sangat kerdil. Namun, bila dia menunduk matanya sempat tertangkap satu wajah yang dia kenali. Dia cuba pandang dan tiba-tiba…
Zap.
Mata mereka bertaut dan perempuan itu mengalihkan pandangannya.
“Untuk pengetahua Aniq. Yang di sini adalah bahagian utama security. Dan manager serta supervisor-supervisor setiap bahagian. Selain itu juga ada dua orang staf yang sorang dinaikkan pangkat dan sorang ditarik masuk dari kontrak ke permanent. Dan, papa nak Aniq yang isytihar nama ni. Supaya Aniq kenal dengan potensi baru dan besar syarikat ini yang sama potensinya dengan Aniq,” kata Tan Sri Ayob sambil tersenyum bahagia.
“Baik, pa.” Dia mengambil kertas yang diserahkan oleh Razlan kepadanya.
“Assalammualaikum semua. Saya, Aniq Waseem. Sebelum ini bekerja di luar negara cuma saya tak nak sebut dulu company mana. Cuma saya boleh beritahu saya ada pengalaman dalam bidang ini tidaklah lama cuma ada pengalaman sedikit. Jadi, pada hari ini saya mewakili papa saya mengumunkan Encik Malik Ghazali bin Mohammad dinaikkan pangkat kepada Senior Manager bahagian operasi syarikat. Tahniah,” ucap Aniq Waseem sambil bersalaman dengan lelaki yang mungkin sebaya dengannya.
Tepukan bergema di dalam bilik itu.
“Dan, seterusnya. Dari kontrak kita serap masuk kepada tetap. Di atas prestasi yang baik dan membanggakan syarikat telah bersetuju melantik…”
Sunyi.
Sedapnya nama dia…
Aurelia…
“Ehem.” Tan Sri Ayob berdeham.
Aniq Waseem menarik nafasnya dan matanya cuba mencari pemilik nama ini. “Aurelia binti Zakaria daripada kontrak kepada tetap. Tahniah, Aurelia.”
Dan, sosok wanita tadi yang diherdik dan dimarahi dia selekoh pejabat mula kelihatan sambil tersenyum malu dan menunduk sahaja.
Cantiknya dia…
Share this novel