Suji Nan Bagus

Mystery & Detective Series 739

Dengan semangat berkobar-kobar aku datang awal ke sekolah kerana terlibat mengajar sesi pagi, tambah lagi sudah menjadi ketua disiplin sesi petang untuk 1600 orang pelajar. Setelah mendapat agihan jadual waktu, terbuntang mataku melihat 27 waktu mengajar seminggu sedangkan dalam masa yang sama terpaksa memikul tugas ketua disiplin. Aku merasa sedikit tekanan, kerana kebiasaannya ketua disiplin hanya diberikan 12 waktu seminggu kerana disamping mengajar, mereka perlu melakukan siasatan kes pelajar, meronda dan mengawal kawasan sekolah. Maklumlah era millenium ni serba mencabar, guru terutama guru disiplin berdepan dengan macam-macam karenah pelik terutama dari ibu bapa golongan kelas menengah.

Dalam masa yang sama, nama aku sudah dimasukkan dalam group whats'up rasmi unit disiplin dan guru disiplin sesi petang. Aku mengambil masa menyesuaikan diri dengan cikgu-cikgu lain, terutama guru sesi petang. Pn Ramlah mengarahkan aku duduk bersama dengan Zakri dan Husein dalam bilik disiplin lelaki. Aku diberitahu bahawa Cikgu Suji juga akan duduk bersamaku kerana dia bakal dilantik sebagai penolong ketua disiplin lelaki. Oleh kerana Suji belum turun sesi petang, Aku tidak berani masuk ke bilik disiplin lelaki itu, kerana ingin menjaga hati geng-geng sesi petang yang terasa hati bila Husein snap gambar aku duduk atas sofa dalam bilik itu. Sofa itu menjadi isu utama geng-geng petang sebelumnya tersingkir dari bilik itu.

Guru-guru disiplin petang sudah mula bising kerana aku belum menjalankan tugas disiplin sedangkan kes ponteng kelas sudah mula meningkat. Aku memberikan alasan mengambil masa melakukan tinjauan pergerakan murid solat di surau dan kantin. Aku sebenarnya keberatan masuk bilik itu kerana Suji yang aku harapkan boleh jadi kawan, belum turun sesi petang.

Aku perlu mencari senior lelaki untuk dapatkan maklumat tentang konflik antara guru lelaki di sekolah ini. Aku bersembang dengan kaunselor lelaki Badrul untuk mengetahui punca sebenar rasa tidak puas hati antara geng pagi dan petang, begitu juga cikgu lekaki yang lain Habrun dan Bakri. Tidak banyak maklumat diperolehi memandangkan mereka berkecuali dan memilih sikap tunggu dan lihat. Menurut mereka, Husein dan Zakri sangat berpengaruh dalam kalangan guru-guru terutama guru perempuan. Aku tidak pasti apa yang membuatkan Husein dan Zakri sangat berpengaruh kerana watak mereka seperti guru biasa, tidak memegang apa-apa jawatan, santai dan tidak menonjol.

Kes merokok di tandas, ponteng kelas, lompat pagar, pergaduhan dan kecurian mula banyak dilaporkan. Aku terkial-kial dan mula cuak. Kebiasaannya kes dalam group wasap akan kecoh dan mendapat komen meleret-leret dari cikgu perempuan dalam group rasmi sekolah. Pada hemat aku, guru-guru biasa yang bukan guru disiplin memang banyak cakap, kadang-kadang ingin menutup pekung masing-masing sengaja lewat masuk kelas, menyebabkan pelajar mengambil kesempatan untuk ponteng kelas. Merekalah paling kecoh menuntut murid bersalah dihukum buang sekolah. Padahal kebanyakan kes disiplin berlaku kerana guru subjek tak masuk kelas, lambat masuk kelas, guru relief tak masuk dan guru cuti sakit tidak diberikan guru pengganti.

Jauh dari itu, lebih penting sebenarnya sedang menunggu pihak pentadbir sekolah dan ketua umum disiplin (sesi pagi) akan memanggil aku bermesyuarat untuk menerangkan dasar unit disiplin sekolah supaya menjadi selaras. Sebab aku tidak pernah ada pengalaman menjadi ketua, dan kebiasaan PPD akan memanggil ketua disiplin untuk memberi kursus atau taklimat kepada ketua disiplin atau setiausaha disipin sekolah.

Sekali sekala aku melihat Pn Ramlah meminta bantuan bekas ketua sesi petang untuk memberi taklimat untuk pengurusan disiplin. Aku mengambil sikap tunggu dan lihat, kerana tidak tahu nak buat apa sebenarnya, sebab ini sekolah baharu bagi aku, dan aku tidak pernah kenal batang hidung sesiapa.

Tibalah hari aku diperkenalkan sebagai ketua disiplin sesi petang dalam majlis perhimpunan rasmi dihadiri semua pentadbir dan murid sesi petang. Aku disuruh berucap memperkenalkan diri, aku berucap panjang tentang dasar yang akan aku laksanakan. Selepas aku berucap, Suji datang dekat aku dan menegur, "panjang ustaz ceramah tadi, hahaha.." dia gelak. Aku turut sama gelak bersamanya, dalam hati aku meneka, kata-kata itu untuk pujian dan sindiran sebenarnya. Oleh kerana dia bersifat kaki sembang dan gelak sepanjang masa, aku mengagak Suji seorang yang boleh dipercayai. Kemudian Pn Ramlah mengarahkan supaya aku dan Suji segera masuk bilik disiplin lelaki bersama Zakri dan Husein.

Suji setuju masuk bilik menemani aku sebilik dengan Husein dan Zakri, guru disiplin sesi pagi. Aku menjadikan Suji sebagai kawan paling rapat, dan guru-guru mula melihat kami sebagai gandingan serasi selalu bersama di kantin dan sama-sama mengambil tindakan disiplin. Ia berlaku selepas kami berdua berjaya menyelesaikan kes murid india curi baju anak ketua disiplin pagi. Sebagai orang baru aku, teruja ada kawan yang boleh membantu. Aku menarik nafas lega, kami menyelesaikan kes bersama-sama terutama kes ponteng kelas dan merokok enam pelajar yang tegar melanggar disiplin, hampir setiap minggu melibatkan pelajar yang sama. Segalanya berjalan dengan lancar.

Penat menunggu pertemuan atau sesi mesyuarat bersama guru disiplin sesi pagi dan petang tidak kunjung tiba, aku mengambil inisiatif membuat tindakan sendiri berdasarkan sistem perlaksanaan disiplin yang lama, secara manual. Pelajar yang ponteng aku terpaksa rotan dan keluarkan surat secara tradisional, aku tahu ada sistem SSDM tapi kelihatan agak rumit kerana aku tidak pernah diberi taklimat mengenainya. Ketika aku merujuk penegurusan kes kepada ketua disiplin sesi pagi seorang ustazah, dia hanya menyuruh aku mengambil semua salinan softcopy fail dan surat lama dalam desktop komputer untuk urusan surat menyurat disiplin. Ustaz guna format surat-surat itu, katanya.

Baik PK Hem sehinggalah ketua disiplin pagi, kelihatan liat untuk mengoperasikan unit displin secara sistematik. Apabila mesyuarat di peringkat pengurusan Hem dan pentadbir sekolah, mereka hanya memanggil ketua disiplin pagi dan tidak pernah menjemput aku selaku ketua sesi petang. Pihak sesi pagi menyalahkan pelajar sesi petang dan kelemahan pengurusan sesi petang seperti kes kecurian beg dan datang lambat dan pergaduhan, mereka sering merujuk masalah kepada pelajar sesi petang padahal pelajar sesi pagi yang datang lewat serta ponteng sangat kritikal.

Guru-guru senior sesi petang seperti Kak Sahirah mula menyatakan tidak puas hati dengan keadaan yang berlaku, mereka menyatakan sebenarnya masalah pengurusan sesi pagi teruk termasuk PK Hem sendiri. PK Hem tidak pernah mengambil tahu perkembangan pelajar petang dan pengurusan disiplin petang. Aku mula memahami bahawa sekolah ini penuh dengan masalah termasuk di peringkat pentadbir sendiri. Guru-guru senior disiplin petang mula mendekati kami mengadu masalah dan meminta kami membantu. Aku bersama Kak Shahirah dan Cikgu Nisa merancang untuk mengerakkan sendiri pengurusan disiplin petang tanpa menghiraukan PK Hem yang umpama seperti tunggul. Kami berpakat dengan Pn Ramlah untuk mengadakan mesyuarat tergempar disiplin sesi petang untuk menyusun gerak kerja.

Mesyuarat pertama turut dihadiri PK Hem selain Pn Ramlah. AJK lain mula diberikan tugas masing-masing. Aku mula mengenali Kak Mala dan beberapa guru perempuan yang lain. Dalam mesyuarat pertama itu, PK Hem dan Pn Ramlah berkali-kali memuji Cikgu Suji dan mengalu-alukan kedatangan beliau, yang disebut sebagai orang hebat dalam bidang koko. Pujian yang membuatkan aku dan guru-guru yang tidak mengenali Cikgu Suji menjadi terlopong. Dalam hati aku berkata, Wah hebat ! bolehlah selepas ni jawatan ini aku serahkan pada Suji kerana dia lebih berkaliber dan sudah dikenali oleh pentadbir. Aku juga merasa teruja untuk melihat kehebatan Suji seperti digembar-gemburkan.

Hasil dari mesyuarat itu, banyak perkara dapat diselesaikan terutama tugasan AJK berjaya diselaraskan, kawalan pelajar di dewan dan pematuhan pakaian seragam sekolah. Aku mula memahami gambaran kasar halatuju sesi petang serta masalah dan rintangannya. Kerja aku lebih mudah apabila Kak Mala sangat dedikasi dan tegas, sangat ditakuti oleh pelajar. Kami kerap melaksanakan spot check menyebabkan pelajar menjadi gelisah dan tidak berani membawa barang terlarang. Fungsi Kak Mala sangat berkesan.

Minggu demi minggu telah berlalu. Seperti amalan di sekolah lain, setiap isnin adalah hari perhimpunan rasmi di mana aku akan duduk bersama pentadbir dipentas utama bersama Pn Ramlah, Cikgu Shahirah, guru kaunselor dan guru-guru lain. Sepatutnya Cikgu Suji turut bersama kerana beliau adalah penolong aku. Suji memberikan alasan menjaga pintu pagar dan murid di bawah. Sebenarnya itulah perangai segelintir guru lelaki suka menyendiri dan menghilang ketika acara rasmi diadakan. Mereka memilih menjauhkan diri dari acara rasmi dengan melepak bersama rakan-rakan lebih-lebih lagi kalangan guru yang merupakan perokok tegar.

Mana Suji ustaz? Tanya Kak Shahirah. Entah katanya jaga pagar, jawabku. Majlis bermula dengan bacaan doa, ucapan guru bertugas dan ucapan Pn Ramlah. Selesai acara ucapan dan murid mula diarahkan beredar, Kak Shahirah menyuarakan pandangan. Kita kena buat sesuatu pada pengawas ni ustaz, kita nampak pengawas sendiri tidak amanah melaksanakan tugas, ada yang melanggar peraturan. Ramai pengawas lelaki yang berambut panjang. Kalau mereka berambut panjang, macam mana mereka nak tegur pelajar lain ! sambung Kak Shahirah. Aku mendengar bebelannya, Kak Shahirah guru bertanggungjawab menguruskan badan pengawas sekolah, di samping menjadi Penolong PK Petang kepada Pn Ramlah sekaligus merupakan penolong guru displin petang sesi petang yang membantu tugasku.

Aku hanya mengangguk-anggukan kepala mengiyakan kata-kata beliau, kerana dia merupakan guru senior yang terkenal dengan kerja di lapangan dan di atas kertas. Walaupun seorang yang serius tetapi boleh melayan kami bergurau senda. Kalau macam tu, kita buat lagi spot check pelajar melibatkan pengawas sekali. kita periksa keadaan rambut mereka, aku menyambung. Ok kalau macam tu, kita nak buat bila ustaz? tanya Kak Shahirah, seolah-olah berpuas hati dengan jawapan aku. Minggu depan! jangan bocorkan pada pengawas termasuk ketua pelajar. kita buat secara mengejut! kataku. Dia bersetuju dengan cadanganku.

Minggu yang dijanjikan, selepas perhimpunan selesai aku bergegas mengarahkan pengawas menutup pintu dewan, guru-guru ajk disiplin telah diberi mesej melalui telefon agar berkawal kerana tidak mahu pelajar tercicir dari pemeriksaan spot check. Pengawas sekolah terpinga-pinga dengan spot check mengejut ini, Kak Shahirah dan Nisa memgawal kawalan untuk pelajar perempuan. Budak-budak lelaki yang berambut panjang, tidak memakai tanda nama dicatatkan nama dan dikumpulkan mengikut kategori kesalahan. Kemudian aku sendiri bertindak memotong rambut mereka. Saya sudah memberi amaran banyak kali dalam taklimat disiplin, kamu degil jugak, terus mengekalkan rambut panjang dan berfesyen kataku, murid-murid yang bersalah hanya akur sesekali menjawab, tetapi aku berjaya mematahkan kata-kata mereka.

Selepas itu aku memgarahkan pengawas lelaki berkumpul. Saya akan periksa rambut pengawas hari ni! kataku. Pengawas yang berambut panjang mula merungut dan membebel sebagai tanda protes tetapi masih setia beratur panjang untuk sesi pemeriksaan. Tiba-tiba datang seorang pengawas, ustaz ada dua pengawas lari dia pergi ke surau kat kantin belakang, Haidar dengan Syukri ustaz, lapor pengawas tersebut. Ok, kamu pergi dekat mereka cakap mereka nak datang sendiri, atau saya cari mereka!, aku mengarah sambil memberikan amaran. Selepas memotong rambut pengawas terakhir yang melakukan kesalahan, datanglah Haidar dengan Syukri. Ustaz saya janji saya akan potong di rumah, kata Haidar. Oh tidak adil saya telah pun potong rambut mereka yang lain di sini, kamu pula nak layanan istimewa, bukankah saya telah berkali-kali memberi amaran supaya pengawas potong rambut dan menjaga peraturan disiplin supaya menjadi contoh kepada pelajar lain. Aku dapat mengecam pengawas ini ada kes datang lambat ke sekolah, melepak di luar dan ada kes couple dengan pelajar lain. Suji, kau potong rambut dia! aku memberikan arahan.

Suji mencapai telefonnya mendail nombor bapa pelajar itu. Helo! Assalamualaikum En. Razman, saya nak mintak izin, potong rambut anak tuan ni, dia melakukan kesalahan berambut panjang. Aku hairan melihat sikap Suji mendail nombor bapa pelajar itu, aku mencapai gunting terus memotong rambut Haidar dan Syukri. Haidar menjeling ke arahku menunjukkan rasa marah dan tidak puas hati, kemudian membebel secara perlahan. Aku membiarkan dia pergi masuk ke kelas. Saya telefon dia ustaz, sebab dia ni jiran saya, ayahnya ni tak boleh main, orang kaya perangai dia pelik sikit, dia suka menyerang kalau tak puas hati. Ayahnya mintak nak potong dirumah nanti. Aku pun kata, mana adil kau buat macam ni, budak lain kita potong rambut masa jiran kau sendiri, kau telefon parents dia. Mana adil, budak-budak ni kita dah beri amaran lama dah, kita perlu ambil tindakan. Saya takut ustaz! nanti dia serang saya, katanya. Aku tidak berpuas hati dengan sikap Suji dan dapat merasakan dia lebih suka menjaga kepentingan diri dari kepentingan organisasi, jenis orang yang menyelamatkan tengkuk sendiri.

Keesokan harinya, aku melalui hari seperti biasa datang awal masuk kelas sebelum rehat pada tengahari. Tetiba telefon aku berdering. Helo Assalamualaikum! Walaikummussalam, jawabku, ustaz ada tak kat bawah, ada parent nak jumpa ustaz. Ada, kenapa ye.. Ada parent marah-marah kat pejabat ni ustaz, sebut nama ustaz nak jumpa ustaz. Eh pentadbir tak ada ke? sepatutnya, kes ni dihandle oleh pentadbir dulu, sebelum jumla direct dengan ketua disiplin, getus hatiku. Saya ada kat bawah, suruhlah diorang turun, jawabku. Aku dapat mengagak, barangkali. Suji melangkah masuk ke bilik disiplin dengan muka selamba sambil berkata. Parent Haidar datang tu, malam tadi dia jumpa saya kat surau, siap bawak pembaris ukur rambut anaknya sembang ngan saya kata nak datang sekolah hari ni. Ooo, kata ku.

Bunyi suara parent memberi salam dari luar. Aku menjawab salam. Saya nak jumpa ustaz Zulhadi. saya Zulhadi silakan duduk kataku. Suami isteri yang datang, muka isterinya ketat macam tak suka dengan aku, nak marah. Suaminya muka selamba. Saya nak tanya ustaz, ustaz potong rambut anak saya tu ikut sop ke? ustaz tahu ke sop macam mana, mana boleh potong rambut yang belum panjang sampai 6 inci. Ustaz buat macam ni, anak saya mengamuk, dia rasa malu nak datang sekolah. dia malu kat kawan-kawan dia. ustaz tak boleh buat macam ni. Anak saya ni bukan jenis melanggar peraturan, saya ni setiap 11 hari saya akan bawa ke ekdai gunting potong rambut anak, saya. Suaminya mengeluarkan surat sop, kalau cara bekerja ustaz macam ni tak profesional, saya boleh ambil tindakan. Saya ni pegawai syarikat xxxxxx, isteri saya pegawai bank xxxx, keluarga saya orang besar dan saya kenal orang-orang yang berpengaruh, saya boleh ambil tindakan terhadap ustaz kalau saya nak. Rambut anak saya tu tak sampai 6 inici bahagian atas ustaz potong.

Aku berusaha menjawab sambil melihat respon Suji yang turut bersama aku masa tu. Suji kata ini isu SOP, tak patuhi SOP. Dia menyokong hujah-hujah jirannya. Aku berusaha terangkan tentang berapa kali amaran yang diberikan terhadap anaknya sebelum diambil tindakan dan cuba menjelaskan rambut anaknya di bahagian depan sudah menutup bahagian mata. Mereka tidak mahu menerima bertegas dengan suara marah-marah. Suji kelihatan tenang dan langsung tidak membela tindakan pihak disiplin. Ok, kalau macam tu, jika ada kesalahan di pihak saya, saya mintak maaf cuma puan kena ingat bahawa anak puan ni seorang pengawas yang perlu menjadi contoh kepada pelajar lain kataku, kerana jika aku berhujah pun sememangnya tak guna dan tak memihak kepadaku.

Si puan itu menjeling aku dalam keadaan menjengkelkan. Aku membiarkan mereka pergi. Kejadian itu membuatkan aku rasa sedikit tertekan, dan aku mula memahami bahawa aku bekerja dalam unit disiplin dalam keadaan berseorangan. Apa yang dikatakan bagus tentang Suji hipkorit semata-mata dia hanya menjaga tengkuknya. Kepercayaan aku sedikit luntur terhadapnya. Dan aku menjangkakan tugas berat ini bakal aku lalui keseorangan. Aku tidak sanggup memikul tugas ini melainkan hanya kerana amanah dan aku juga perlu melalui untuk memudahkan anak-anak aku belajar di sekolah ini di tingkatan satu dan dua. Pun begitu aku terus menjadikan Suji sebagai kawan rapat, sebab rakan sebilik, walaupun masa tu, dia sudah mula menolak-nolak arahan aku merotan pelajar yang melakukan kesilapan. Dia sudah mula menunjukkan perangai curi tulangnya.

Pelajar mula terasa dengan kesan spot check yang dilakukan. Tindakan aku memotong rambut menjadikan mereka mula memandang aku ketua disiplin yang ketat mengongkong kebebasan mereka. Dalam keadaan itu, berita parent Haidar menyerang aku dan aku terpaksa meminta maaf kepada mereka pecah di kalangan pelajar. Aku dapat meneka barangkali ini angkara Haidar menceritakan kepada pelajar lain. Semasa aku memberikan taklimat disiplin sudah ada pelajar mengejek-ejek aku dan mengunjing. Aku dapat mendengar dengan jelas suara-suara sumbang mereka dan mereka mentertawakan aku. Aku biarkan situasi demikian untuk meredakan ketenangan dan mengawal perasaan.

Haidar pula semakin biadap, melakukan pelbagai kesalahan, sehingga kami terpaksa memecatnya sebagai pengawas. Aku menceritakan kronologi yang berlaku kepada Shahirah, dia agak terkejut dan tidak menyangka sikap Suji yang sebelum ini dipuji-puji. Baru pecah cerita rupanya guru perempuan sudah lama bergossip bahawa Suji diumpamakan seperti lalang dan tidak boleh dipercayai, cuma ramai terpikat dengan kepatahannya bercakap dan pandai mengusik cikgu-cikgu perempuan. Dia cukup popular kalangan guru perempuan, sangat berbeza denganku yang terpaksa berperwatakan tegas.

Kebiadapan pelajar mula kelihatan jelas, Haidar mengumpulkan kawan-kawannya yang berperangai sepertinya ponteng kelas, berambut panjang dan datang lewat ke sekolah. Aku membiarkan sahaja kerana ingin meredakan ketenangan. Sehinggalah ada salah seorang dari mereka bernama Iskandar membuat fesyen rambut trojan seperti askar kuno tentera Empayar Rom. Aku segera memanggil pelajar itu ke bilik disiplin.

Bagi alasan kat saya kenapa kamu buat rambut macam ni. Pelajar itu buat muka terkebil-terkebil dan menunjukkan reaksi ingin melawan. Kalau ustaz potong rambut saya, saya akan panggil bapak saya serang ustaz!, jeritnya dengan nada kemarahan. Oooo... Haidar lah yang pecahkan cerita bapak dia mari serang aku ni, kau dengar dari Haidarlah kan.., aku menyahut dengan kasar dengan bahasa agak kasar kerana menyampah dengan sikap kurang ajar. Iskandar menundukkan mukanya, dan berkata, Saya tak kira, kalau ustaz potong rambut saya hari ni, saya akan panggil bapak saya datang! katanya. Aku mengagak parent Haidar menceritakan segala perbincangan mereka dengan aku tempohari kepada anaknya Haidar dan Haidar bertindak menyebarkan kepada kawan-kawan yang bermasalah di sekolah. Patutlah anak tak guna, mak bapak memang tak berguna kataku dalam hati.

Ok, Ayah kau kerja apa? tanyaku aku cuba menakutkan dia dengan nama ayah dia kerana dari penampilan Iskandar aku tahu, ayahnya kerja bawahan bukan macam Haidar yang budget orang berada. Ayah saya driver lori. Oo driver, kalau setakat driver lori tu kalau saya panggil nanti dengan kesalahan kau buat ni, saya tak tahu siapa yang kena belasah dulu. saya ni dah lama jadi guru disiplin, mak ayah datang sekolah belasah anak dia buat salah depan mata saya banyak kali dah, depan cikgu-cikgu nilah mereka dedahkan kelemahan mereka jaga anak. saya banyak kali dah terpaksa menahan mak ayah dari belasah budak takut budak tu masuk hospital kataku. Kau nak tahu mak bapak macam Haidar ni satu-satunya mak ayah paling pelik dalam sekolah ni, mak ayah lain tak datang pun saya potong rambut mereka, itu mak bapak tak sayang anak, kau tengoklah Haidar tu perangai macam sampah walaupun anak orang kaya, aku meneruskan leteran aku pada Iskandar.

Iskandar tunduk diam, strategi aku menggunakan nama parent dia menjadi, kerana pelajar ini banyak masalah disiplin dan ibubapanya pernah dihubungi sebelum ini. Barangkali dia selalu kena pukul di rumah menjadikan dia semakin degil, aku menduga. Ok ustaz, saya janji saya akan potong dan akan tunjuk pada ustaz esok, katanya dengan suara perlahan. Aaa, macam nilah saya nak tengok, pelajar yang bagus, pandai menghormati guru kataku, aku memuji. Ok esok tunjukkan kat saya keadaan rambut awak ni. aku memberi arahan. Baik ustaz katanya. Benar dugaanku keesokannya dia datang mengetuk pintu bilik disiplin sebelum masuk kelas dan menunjukkan kepalanya yang botak, tidak lagi bertrojan seperti sebelumnya. Caranya bercakap nada menghormati aku sebagai guru. Aku melihatnya semakin berubah dan seringkali menegur aku secara hormat, aku merasa lega.

Sejak peristiwa itu, aku kembali bersemangat meneruskan kerja-kerja aku. Haidar pula semakin biadap seringkali mencuri peluang ponteng kelas dan mengambil peluang untuk tidak masuk kelas atas alasan membantu guru. Kak Shahirah mula melaporkan kepadaku perangai anak orang kaya itu, aku menyuruh dia merekodkan kesalahan-kesalahannya dengan terperinci untuk aku berdepan dengan bapanya.

Saban hari yang aku lalui, dengan kesibukan di bilik disiplin. Aku jarang dapat bersembang dengan Husein dan Zakri. Husein kadang-kadang cuti sakit, keduanya dia jarang dilihat dalam bilik itu, mungkin masuk kelas atau lepak di tempat tertentu dan masuk bilik agak lewat dan kami seringkali sembang secara ringkas. Manakala Zakri pula, lagi santai kerana walaupun masa bekerja sepatutnya berakhir jam 1.45 petang, dia segera menunggu di pagar sekolah untuk keluar balik menguruskan perniagaan bajunya di rumah. Jarang sangat dia akan kembali semula ke sekolah semula. aku tidak tahu sama ada dia melakukan punch out atau tidak. Begitulah rutinnya setiap hari.

Sehingga pertengahan tahun itu, Cabaran menguruskan disiplin agak lega kerana keadaan sudah terkawal. Sekolah pula digemparkan berita Husein menerima serangan jantung selepas balik dari ceramah. Katanya jatungnya tahap kritikal dan terpaksa dihantar segera ke IJN untuk mendapatkan rawatan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience