Tidak Valid !

Mystery & Detective Series 739

Menjelang empat bulan aku menjadi ketua disiplin, keadaan sudah menjadi agak tenang, kerana sebahagian besar kes disiplin sudah mampu ditangani. Nama kami mula menjadi perhatian guru-guru termasuk guru-guru sesi pagi. Aku mula menjadi popular kalangan pelajar. Segelintir pelajar nakal memanggil aku sebagai 'ayahanda' mungkin kerana mereka menyangka aku sangat garang.

Aku bersama Kak Shahirah merancang untuk mengadakan taklimat disiplin lebih kerap bagi mengawal tingkah laku pelajar. Pelajar mula gelisah kerana banyak barangan terlarang yang dibawa oleh mereka dirampas seperti telefon pintar, vape dan unit disiplin berjaya mengesan dan mengambil tindakan terhadap pelajar ponteng sekolah dengan memakai uniform sekolah di luar pagar sehingga waktu balik. Boleh dikatakan kami berusaha mendidik pelajar secara menyeluruh atas dasar membangunkan sahsiah diri mereka.

Aku langsung tidak mempedulikan cemuhan dan makian pelajar bawah usia yang kantoi melakukan kesalahan, kerana mengawal pelajar sesi petang berjumlah hampir 1600 orang bukanlah urusan yang mudah. Beberapa pelajar yang baru tumbuh bulu kapak cuba melawan tetapi berjaya dikawal. Kami sangat memahami bahawa mereka ini masih berhingus baru hendak mengenali dunia.

Dalam kesibukan yang melanda, sekolah digemparkan cerita pelajar nampak kelibat perempuan berkebaya memakai sanggul emas di kawasan tertentu dekat dewan, dewan terbuka dan di ruang depan blok bangunan pelajar. Pelajar mula menjadi ketakutan. Berlaku kes histeria melibatkan murid perempuan yang lemah semangat pengsan, menangis, meracau-racau dan bercakap bersendirian. Keadaan menjadi huru-hara hampir seminggu. Lebih memeningkan, perangai meracau turut berlaku pada guru yang tidak sihat dari segi mental, menyebabkan pentadbiran mula menjadi huru-hara. Kebiasaannya dalam kejadian tahun-tahun sebelumnya, orang paling sibuk menguruskan gangguan misteri ini adalah golongan ustaz dan ustazah termasuk Pn Ramlah.

Oleh kerana Husein berada di hospital, mereka memanggil aku untuk mengusahakan dan memulihkan pelajar yang terkena gangguan. Cikgu Nisa yang suka menunjukkan dirinya pandai dan berlagak seperti kaunselor, memujuk murid yang terkena sampuk. Aku pun turut membaca sepotong dua ayat Al-Quran yang aku ingat tetapi nampak benar aku tidak berpengalaman handle kes-kes sebegini. Kes yang kritikal kami memanggil ibu bapa supaya membuat rawatan sendiri di rumah. Pn Ramlah mengarahkan bacaan Yasin dibuat di dewan sekolah sebagai usaha menghalau makhluk halus. Peliknya, gangguan histeria ini hanya melibatkan pelajar sesi petang sahaja manakala pelajar sesi pagi boleh belajar dengan aman damai.

Aku mula merasa tekanan dan turut terkena gangguan tempat-tempat tertentu termasuk di dalam kelas tempat aku mengajar. Terasa ada benda menghinggap di bahu, badan terasa berat semacam ada benda menumpang, kepala aku menjadi pening dan pusing dan aku menjadi blur dan seolah berkhayal, tengkuk aku menjadi sakit dan rasa merinding. Aku membaca ayat-ayat Al-Quran bagi mengurangkan rasa gangguan. Selepas itu tular berita 2-3 orang pelajar perempuan melakukan ritual 'babyblue' sejenis pemujaan memanggil 'hantu' dalam tandas, hasil siasatan seorang cikgu perempuan. Salah seorang pelajar dituduh terlibat adalah budak kelas aku mengajar.

Pn Ramlah meminta aku berusaha memanggil orang yang pandai melakukan rawatan dan pagar kawasan sekolah dari gangguan makhluk halus. Aku menjemput sahabatku, Ust Husaini ke sekolah. Usaha dilakukan oleh beliau hanya sekadar meredakan sementara, kes masih berlanjutan sehingga terpaksa memanggil geng Darul Syifa'. Aku bertindak memanggil pelajar tertuduh untuk menyiasat mereka dan memberikan taklimat kepada pelajar lain di dewan supaya tidak melakukan ritual yang sama dan memberikan amaran kerosakan aqidah boleh berlaku jika terus mengamalkan perkara tersebut.

Hasil perbincangan dengan Ustaz Husaini dan geng Darul Syifa, dan cerita-cerita guru lama, mereka membongkarkan rahsia bahawa sekolah ini kawasan keras, ada penunggu memandangkan kawasan tersebut asalnya pemempatan orang asli dan ada bekas kubur orang asli di kawasan tersebut. Ketika seorang pelajar perempuan cuba dirawat oleh Suji, pelajar itu makin meronta serta meracau melihat Suji. Keadaan menjadi huru-hara. Kebetulan Cikgu Bakri berada di tempat tersebut dan melihat kejadian itu. Bakri mula perasan dengan situasi itu lalu bertindak mengarahkan Suji meninggalkan tempat kejadian.

Dalam masa hampir tiga minggu kes histeria sudah menjadi reda. Timbul pula kes baharu, ibu bapa kepada pelajar dituduh melakukan ritual 'babyblue' itu tidak berpuas hati kerana anaknya dituduh oleh cikgu perempuan yang melakukan siasatan melakukan ritual tersebut. Satu keluarga datang ke pejabat sekolah menyuarakan tidak puas hati. Oleh kerana kebetulan pentadbir tidak ada di pejabat, Puan Aini Pembantu PK Petang enggan melayani mereka dan menyuruh aku menyelesaikan kes itu. Akhirnya mereka menerima baik pandangan dan penjelasan yang diberikan.

Aku merenung sendiri berfikir, apa jawatan sebenar aku di sekolah ini? Pengetua sekolah ke, Penolong Kanan ke atau Ketua Disiplin? Semuanya ditolak kepada aku menyelesaikannya dalam keadaan tiada siapa yang back-up di belakang. Teruknya sekolah ni, kataku dalam hati.

Sementara Cikgu Suji pula sudah mula merasa selesa kerana kes-kes disiplin sudah reda, dia kerap kali menghilang dan hanya muncul penghujung masa sebelum balik. Aku lebih banyak berinteraksi dengan Kak Shahirah dan Nisa' membincangkan situasi disiplin, antara yang kami bincangkan ialah kes-kes berat melibatkan isu seksual pelajar dalam maya, masalah ibu bapa, termasuk isu guru disiplin yang tidak menjalankan tugas. Kes-kes biasa seperti ponteng kelas, merokok, vape dan mencuri berjaya diselesaikan dengan baik.

Manakala Suji meneruskan kebiasaanya bercakap banyak seolah-oleh terlalu pandai dalam pengurusan disiplin dan mahir segala surat SOP atau pekeliling disiplin. Percakapannya seringkali membuatkan orang baru mengenalinya percaya bahawa dia adalah seorang guru hebat dan pandai dalam segalanya. Namun kata-kata di bibirnya, dia selalu berharap dapat keluar dari unit disiplin dan mahu aktif dalam kokorikulum atau sukan pula.

Menjelang akhir tahun, aku didatangi ketua disiplin pagi meminta dokumen yang aku uruskan pada sesi petang untuk dimasukkan dalam fail induk. Aku terus bagi surat-surat dan laporan yang aku pernah buat berdasarkan dokumen dalam folder, dalam desktop seperti yang diajarkan oleh beliau sebelum ini. Ketua disiplin perempuan itu pun kata,"..Ustaz ! ustaz tahu tak dokumen ni semuanya tak valid, budak yang ustaz gantung itu, tak sah penggantungan mereka, PPD tak akan luluskan sebab semuanya perlu dijana melalui sistem SSDM sebelum pengetua tandatangan !" Bulat biji mata aku mendengar kata-kata beliau.

Aku terduduk atas kerusi, mula memikirkan di mana puncanya. Pada fikiranku, puncanya pengurusan di atas tak pernah ambil tahu keadaan pengurusan disiplin petang, tak pernah bermesyuarat bersama. Dah la bilik disiplin pagi dan petang berasingan menyebabkan banyak maklumat tercicir. dalam bilik kami tidak ada satu buku pekeliling pun tentang disiplin, bahkan sehelai fail lapuk pun tidak ada. Aku membayangkan penat lelah mengendalikan disiplin sepanjang tujuh bulan, berhasil mengurangkan kes dan berjaya mengawal situasi pelajar dengan tindakan tegas, tetapi semuanya pending kerana dokumen tidak valid. Selama ini tidak pernah pula mereka datang berbincang dan memberikan teguran!

" Mulai hari ni, ustaz kena key-in data dalam SSDM, tapi jangan banyak sangat nanti pengetua tak sahkan." kata perempuan itu. Sekali lagi aku menjadi bingung, arahan apa ini? Selama ni tak pernah isukan pun tentang SSDM? Malah tidak pernah panggil kami mesyuarat bersama pun untuk menyatakan segala tindakan mesti melalui SSDM, tidak pernah ada arahan turun pun untuk menyelaraskan pengurusan disiplin. Aku mula merasa serabut dan letih dengan pengurusan yang sangat teruk. Dalam pada itu namaku telah disebut-sebut untuk menggantikan ketua disiplin pagi pada tahun berikutnya.

Kehadiran aku pada tahun itu, umpama pisang goreng panas yang laris, semua tertumpu pada kudrat yang ada pada tubuh aku. Aku memegang jawatan ketua disiplin, dalam panitia aku umpama pelindung bagi sikap pemalas Husein yang diketahui oleh hampir semua cikgu.

Tugasan program panitia yang memerlukan ustaz seperti Husein, semuanya dilonggokan atas bahu aku, baca doa majlis rasmi, imam terawih, khatam Quran, dan banyak terlibat dengan majlis program besar sekolah, kawalan disiplin untuk perkhemahan akademik pelajar, kelas tambahan semua diberikan kepada aku, sudahlah program-program besar sekolah berkait tugas disiplin semuanya atas bahu aku.

Pada penutup penghujung tahun, panitia memberi aku tugas sebagai pengerusi majlis program solat hajat untuk anak-anak bakal mengambil peperiksaan SPM di masjid berhampiran. Tugas itu sepatutnya dipikul oleh Husein, oleh kerana dia masih dirawat di IJN maka aku lah orang yang kena pikul kerana guru bertitle ustaz hanya tinggal aku sahaja, aku menerima dengan redha.

Namun, masih ada yang tidak berhati perut membuat cerita kononnya aku hanya tumpu pada unit disiplin saja, program panitia tak join sangat, ayat begini sampai kepadaku ! Walaupun aku hadir setiap kali mesyuarat panitia dan melaksanakan tugasan diberikan, pada pandangan sebahagian mereka, aku masih belum buat sesuatu untuk panitia.

Dah la kehadiran aku tidak dipedulikan, tidak ada langsung ramah mesra yang berlaku sehingga aku tidak mengenali kesemua guru agama sesi pagi. Sebaliknya ketua panitia seringkali datang berbincang dengan Husein yang dianggap sebagai guru besar dan pakar rujuk agama disekolah itu. Banyak arahan kerja-kerja panitia dibincang bersama Husein di mana Hisein akan terlepas dan kerja-kerja untuk Husein akan dilonggokan atas bahu aku. Aku tidak merasa diri menjadi sebahagian anggota panitia kerana sedangkan masa aku sangat terbatas di bilik disiplin.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience