The Truly Ustaz

Mystery & Detective Series 739

Selepas balik dari ceramah dari surau Taman Sutera Kajang, Husein mendapat serangan jantung secara mengejut dan terpaksa dibawa ke pusat rawatan NCI. Husein kemudiannya dipindahkan ke hospital kerajaan selepas pusat swasta tersebut tidak menyediakan proses rawatan penyakit tahap kritikal yang dialaminya. Selepas beberapa hari di hospital, rakan-rakan guru mula menziarahi ustaz terkenal kalangan guru-guru tersebut. Anak sepupu kepada Husein, seorang doktor pakar di IJN bertindak pantas memindahkan Husein ke IJN untuk pembedahan segera kerana beliau memerlukan rawatan major operation.

Selepas selesai proses pembedahan dan mulai sedar, Husein membuka mata dan sudah mampu berkomunikasi. Peliknya, Husein hanya boleh bertutur dalam bahasa Inggeris dengan staf jururawat IJN, bukannya dengan bahasa Melayu. Keadaan itu berlarutan sehinggalah dia telah dibenarkan keluar dari hospital. Cerita mengenai beliau tidak boleh bercakap dengan bahasa Melayu dan hanya menjawab pertanyaan dalam bahasa Inggeris mula kecoh kalangan guru-guru agama yang menziarahinya. Husein juga dikatakan menunjukkan perangai pelik dengan hanya memakai seluar pendek semasa menerima tetamu yang melawat.

Ramai guru merasa kesian dengan keadaan menimpa Husein kerana beliau menunjukkan perkara yang melucukan dan bercakap merapu. Sebahagian guru menyangka perkara itu berlaku kerana akibat penggunaan dos ubat bius yang berlebihan semasa pembedahan. Selepas dua bulan beliau mulai pulih dan sudah boleh bercakap dengan bahasa Melayu, guru-guru lelaki mula menziarahinya.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Husein merupakan antara guru paling senior di sekolah ini yang belum mencapai satu dekad ditubuhkan. Selain dari menjadi guru 'pakar' subjek agama Islam, beliau merupakan 'pakar' rujuk kepada masalah rumahtangga dan petua membersihkan hati (ilmu tasawwuf) dari kalangan guru-guru biasa. Malah yang turut belajar dengan beliau termasuklah beberapa orang ustazah di sekolah itu. Ramai guru bermasalah rumahtangga datang meminta nasihat dan petua daripada beliau. Ada kalangan guru agama sekolah lain memanggil Husein dengan nama 'tuan guru'.

Selanjutnya, Husein juga seorang bomoh yang boleh merawat guru-guru yang mengalami masalah gangguan makhluk halus. Di samping juga pandai mengurut, memberikan petua orang tua dahulu kala, kadangkala dalam selingan nasihat dan petua itu, dia mengajarkan ayat-ayat atau bacaan tertentu kepada guru-guru yang datang menadah dengan beliau, dan guru-guru pula tekun menerima dan menyalin ayat-ayat amalan yang diberikan.

Perwatakan Husein sangat mesra, suka bergurau senda serta bermulut manis, kaya dengan senyuman terutama dengan guru-guru perempuan. Apabila bersama dengan guru perempuan tutur katanya bertambah lembut bagaikan lebih lembut gigi dari lidahnya, celotehnya mengusik jiwa dengan cerita-cerita humor. Ia menjadikan Husein sangat disukai dan kaum yang lemah itu sangat menghormatinya terutama kalangan guru-guru bukan aliran agama.

Apabila bersama guru-guru lelaki, Husein sering menjaja cerita tentang 'keajaiban' bapanya, pesara guru dan tokoh masyarakat yang pernah disengat ular tedung, tetapi masih mampu memandu ke hospital, boleh menumpangkan orang lain dalam keretanya yang dipandu menuju ke hospital sebelum dirawat oleh doktor. Cerita itu sering diulang-ulangnya. Begitu juga dia menceritakan kisah dirinya sendiri menundukkan orang tidak siuman mengamuk di pejabat sekolah lama sehingga menjadikan dia masyhur dalam kalangan guru dan mendapat kepercayaan warga sekolah lama.

Selain itu, Husein turut menceritakan kisah bagaimana pengetua sekolah lama beliau yang mengkritiknya kerana tidak melaksanakan tugasan di sekolah, akhirnya tunduk meminta maaf kepada beliau. Dia juga sering mengulang cerita-cerita kisah dia bertemu dengan seorang tok guru handal, orang Pattani yang boleh berkomunikasi dengan makhluk halus, tinggal di perkampungan Melayu di atas bukit berhampiran kota Mekah semasa menunaikan haji. Tok guru itu katanya, melayan dia sangat baik dan menerimanya sebagai anak murid dalam lawatan tersebut. Dengan kata lain, di mata guru biasa dan rakan-rakan sekerja yang tidak berpendidikan agama, Husein seorang yang tinggi ilmunya selain peramah dan mesra. Apatah lagi Husein memang suka menunjukkan kehebatannya menguasai ilmu-ilmu hikmat dan ilmu-ilmu agama yang menjadikan kepercayaan guru terhadap beliau sangat tinggi.

Atas dasar itu, ramai guru menyerahkan diri untuk berubat dengannya, terutama berkaitan penyakit misteri dan gangguan halus. Tambahan pula di sekolah itu banyak kes gangguan makhluk halus yang dikatakan berkeliaran di serata tempat, kerap berlaku histeria dan guru-guru ramai yang sakit misteri tidak dapat dikesan. Hairannya, selepas beberapa lama berubat dengan Husein, penyakit itu berulang kembali menyebabkan Husein sentiasa menjadi tempat mengadu nasib kerana di samping mendapatkan rawatan. Husein akan mengajar ayat-ayat untuk diamalkan sebagai amalan dan pendinding.

Husein juga pandai memikat hati guru-guru terutama pihak pentadbir sebelumnya. Sebelum kehadiranku, rutin harian Husein semasa bekerja, selepas punch-in, dia bersama Zakri sentiasa mencari peluang untuk keluar dari pagar sekolah untuk melepak di kedai makan berdekatan, sebelum balik semula ke sekolah dengan membawa beberapa bungkus nasi kerabu bungkus yang akan dihadiahkan kepada guru tertentu dari kalangan pentadbir sebagai meminta 'lesen' untuk dia selalu keluar bersama Zakri. Kebiasaanya juga dia akan balik ke rumah sebelum punch-out, selepas habis waktu mengajar.

Di samping seorang yang peramah, mulut manis, ustaz, sering mengubat orang bermasalah, dia juga mempunyai strategi untuk menjadikan guru-guru sayang kepadanya. Perkara yang paling disukai Husein ialah hari Jumaat, di mana dia akan mengambil peluang berceramah atau bertazkirah dengan membawa cerita-cerita kelakar diselang-seli cerita 'keajaiban' memuji dirinya yang dirasakan hebat. Anak sulungku pernah memberitahu, ada guru yang sangat taksub kepadanya sehingga Husein digelar 'the truly ustaz' oleh guru tersebut. Seperti kata Bakri, Husein pandai menjaga nama dan air mukanya di mata guru-guru dengan menunjukkan senyuman dan sering bergurau manja dengan guru-guru biasa terutama guru perempuan, untuk menutup perangai sebenarnya.

Namun pada sisi lain, sikapnya suka ponteng waktu mengajar dengan tidak masuk kelas, baran dan suka memukul pelajar malah menghina pelajar dengan kata-kata makian. Kadangkala Husein masuk kelas tetapi tidak mengajar dan hanya menyuruh budak menyalin nota. Pelajar tidak diberikan penjelasan tajuk pelajaran dan hanya di suruh menyalin nota. Tindakan Husein tersebut menyebabkan segelintir pelajar bertindak mengadu kepada pihak sekolah tentang perangai Husein melalui ibubapa mereka.Sebahagian yang mengadu termasuklah anak-anak guru sekolah itu sendiri yang belajar dengan Husein. Perkara ini sampai kepada pengetahuan pentadbir, namun pentadbir tidak mampu melakukan apa-apa kerana Husein seorang yang baran dan berpengaruh.

Tidak cukup di situ tabiat Husein selalu lambat menanda kertas peperiksaan dan kerap kali juga guru-guru agama lain terpaksa mengambil alih menanda kertas peperiksaannya di saat akhir. Sikapnya semasa menanda skrip jawapan SPM juga sama, sehinggakan ketua pemeriksa sengaja memberikan skrip jawapan dalam jumlah yang sedikit kerana banyak kali beliau gagal menanda skrip sampai habis. Sikap sebegini sudah diketahui oleh ahli panitia dan mereka yang pernah bekerjasama dengannya. Ramai yang pening kepala dengan perangai Husein. Apabila ditegur Husein akan mengamuk dengan baran dan akan membuat perangai merajuk. Tiada siapa boleh memintas anginnya.

Seorang cikgu sesi pagi, Raihan namanya seorang kenalan lamaku pernah menegur aku di kedai buku sebelah bilik disiplin. Mungkin agaknya dia melihat aku agak aktif dan menunjukkan hasil yang baik dalam pengurusan disiplin terutama pengurangan kes dan membina kerjasama kalangan guru petang. Kata Raihan,

" Zul, akan nak tegur sikit engkau ni ," kata beliau yang lebih senior yang selalu aku panggil akak di sekolah lama.

"Buat setakat mampu aje, jangan lebih-lebih nanti orang mengutuk engkau di belakang. Kalau dah tak mampu, jangan paksa diri, nanti orang akan menyalahkan engkau", beliau menyambung.

Agaknya dia melihat keadaan aku sangat aktif masa itu, selaku ketua disiplin sesi petang dan hampir semua program sekolah tercatat namaku sebagai ajk, sekurang-kurangnya sebagai pembaca doa majlis.

" Insya Allah Kak Han, saya dengar cakap akak, saya pun dah nak slow-slow ni, tak terbuat juga kalau semua," aku memberikan jawapan.

"Bukan apa akak tegur engkau ni, akak tak nak kau jadi serupa orang itu, Husein maksud akak.
Ramai cikgu mengutuk dia di belakang, sebab dia tak buat kerja. Akak pun dah kena banyak kali dengan dia, sepatutnya dia buat kerja dengan akak dalam kelab dan persatuan. Akak beri tugas kat dia, dia kata saya tak nak buat. Orang lain pun sama alami macam akak ni. Kerja persatuan, sukan dan program-program dia tak nak datang. Dia jenis pemalas tak nak buat kerja, semua orang tahu." jelas Raihan panjang lebar.

"Ye ke akak, terima kasih akak ingatkan saya," balasku dengan penuh hormat pada beliau.

XXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXXX

Cerita pelik tentang Husein selepas pembedahan jantungnya rupanya ada sambungannya. Pn Ramlah merupakan ustazah senior yang sama dengan Husein di sekolah itu dan umur mereka hampir sebaya. Mereka pernah bekerjasama dalam unit disiplin sesi pagi. Beliaulah orang yang paling mengenali Husein di sekolah itu. Pn Ramlah menyifatkan Husein ini sebagai orang 'banyak' ilmunya, kata-kata yang aku tidak faham sama ada sebagai pujian atau hint terhadap sesuatu perkara tersembunyi mengenai Husein.

Pn Ramlah menceritakan keadaan terkini tentang Husein selepas pembedahan, Husein selalu mengadu kepada beliau dan kadangkala meminta Pn Ramlah memasak masakan istimewa, dan Husein bersama isterinya pernah datang ke rumahnya untuk merasai air tangan masakan Pn Ramlah yang terkenal dengan suka menjamu guru-guru sesi petang dengan masakan air tangannya sendiri.

Daripada sumber Husein dan isterinya sendiri, Pn Ramlah menceritakan bahawa Husein dalam keadaan sakit dan agak tidak menentu kerana kesan pembedahan sarafnya menjadi lemah, penglihatan dan telinganya menjadi kabur. Baru aku teringat, aku pernah berjumpa dengan Husein ketika dia membuat rawatan ENT di klinik swasta di Sg Kandis. Aku menegur Husein dan dia tidak memberikan respon dengan baik seperti melihat orang asing baginya. Menurut Pn Ramlah lagi, Husein pergi berubat di merata tempat, katanya bukan penyakit jantung semata-mata, tetapi ada orang tuju sihir kepadanya. Sihir itu kononnya ditujukan kepada anak perempuan Husein tetapi terkena pada Husein. Aku ternganga mendengar cerita yang rumit itu.

Pn Ramlah juga bercerita, Husein memiliki anak perempuan yang sedang sakit gangguan makhluk halus, tidak dapat meneruskan pembelajarannya di IPTA kerana masalah penyakitnya dan terpaksa dipindah ke kolej berdekatan di rumahnya. Namun selepas berpindah, anaknya tetap tidak dapat meneruskan pembelajaran. Kononnya pada tanggapan Husein, anaknya terkena tempias sihir yang ditujukan kepadanya. Aku menunjukkan simpati terhadap perkara yang menimpa Husein dan keluarganya, di depan Pn Ramlah. Masakan tidak, Husein bergelut dengan penyakit jantung dan keluarganya dalam masalah.

Selepas bergelut dengan pelbagai masalah dan usaha berubat, Husein akhirnya berjaya pulih walaupun masih lemah dan akhirnya boleh kembali meneruskan tugas selepas cuti sakitnya sudah habis tempoh. Beliau kelihatan kurus dan tidak bermaya, seringkali cuti sakit malah hanya sekejap berada dalam kawasan sekolah kemudian ghaib balik ke rumah. Tugas beliau dalam program besar sekolah beliau diletakkan atas bahu aku, sehinggalah habis sesi tahun tersebut dan sekolah mula bercuti dalam masa pelajar tingkatan lima menjalani peperiksaan SPM. Sesi sekolah tamat dengan semua guru bercuti hampir sebulan dan menunggu mesyuarat guru pertama sesi sekolah yang baharu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience