BAB 4

Family Completed 492

Deruan enjin kereta di pintu pagar membuatkan masing- masing terdiam.
Sharifah bingkas bangun bersama beg di tangan. Mukanya bertukar merah dan
berseri. Dia tahu Razni anak yang baik. Anak yang tidak akan pernah
mengecewakannya.

“Kan saya dah kata, anak saya akan datang,” lirih Sharifah sambil
mengesat air mata. Namun perasaan itu kembali menyorok bila susuk tubuh
yang keluar dari perut kereta itu bukanlah Razni.

“Siapa tu?” tanya Ariff kepada Daud. Daud mengangkat bahu.

“Ayah,” panggilan itu bergema di telinga. Budin terpaku bila anak muda
itu melutut di kakinya.

“Ampunkan Man ayah. Man banyak buat salah dengan ayah.”

Budin cuba membawa lututnya ke sisi lain. Malah dia seperti ingin
bingkas dari situ tapi berjaya ditahan oleh Ariff. Perlakuan Azman yang
menangis teresak- esak, mengongoi seperti anak kecil tidak mahu
dibelikan aiskrim sedikit pun tidak dipandang.

“Kau bukan anak aku! Aku tak ada anak macam kau! Ini tempat aku, rumah
aku! Aku tak kenalkan pun kau.”

“Ayah… Man datang nie nak bawa ayah balik. Man nak ayah tinggal dengan
Man. Sudah tidak tertanggung rasa di jiwa Man nie ayah. Setiap kali
bulan kemerdekaan tiba, setiap kali Man terpandangkan Jalur Gemilang,
Man rasa bersalah. Man rasa menyesal ayah,” luah Azman tidak tertahan.
Dua mata itu beradu tenung sejenak.

“Maafkanlah dia bang. Janganlah berdendam. Syukur kepada ALLAH kerana
telah menyedarkan anak abang dari terus melakukan kesilapan,” pinta Sharifah .

“Iya Budin. Hari baik bulan baik nie… seharusnya kau maafkanlah dia,”
tambah Ariff pula. Budin yang sudah berdiri tidak jadi melangkah.
Matanya turut berkaca. Figura Azman diraih dan dipeluk. Mereka menangis
semahu- mahunya. Sharifah , Halijah dan lain- lain turut sama menangis
akibat sebak di dada.

Kepergian Budin meninggalkan segugus rasa di jiwa. Sharifah melihat pintu
pagar di depannya sudah kembali lengang. Masihkah ada kebebasan untuknya
kelak seperti yang dilalui oleh Budin tadi? Kebebasan dari sudut emosi
atau dia perlu menunggu sepuluh tahun lamanya untuk Razni muncul di
pintu itu. Jika tidak, dia hanya menunggu Izrail mampir di depannya
untuk membawanya kembali kepada pencipta.

Hai anak, kau laungkan kalimah merdeka dengan bangga dan mendabik dada
hingga kau terlupa pada manusia yang telah memerdekakan hidupmu dengan
kasih sayang dan perhatian sampai kau bebas untuk menikmati hidup
sebagai seorang dewasa yang berhak punya cita- cita dan dicinta! Sharifah
mengeluh dalam diri setelah dia bingkas dari kerusi bersama dua beg baju
di tangan. Lantai Rumah Budi Kasih dipijak dengan tujuh duri di hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience