BAB 1

Family Completed 492

SHARIFAH masih tidak berganjak dari kerusi. Mata hitamnya cuma tertumpu
pada pintu pagar Rumah Budi Kasih. Kibaran Jalur Gemilang di sebelah
kanan pintu masuk mengacau perhatian. Resah di muka kian bercambah.
Manakan tidak, sudah lima jam dia duduk di situ demi menanti kedatangan
anak lelakinya sesuai dengan apa yang dijanjikan oleh Razni semalam.

“Mak hanya perlu tidur di sini satu malam saja. Esok, selepas mesyuarat
Raz selesai, Raz akan datang ambil mak ya,” kata janji Razni kembali
segar di telinga. Dia belum lagi pekak walau usianya sudah melepasi enam
puluhan. Sharifah yakin itu.

“Sudahlah kak, jangan mengharap sangat,” sapa Halijah seraya meletakkan
punggung di kerusi sebelah. Halijah merupakan kawan barunya di daerah
asing ini. Pada Halijahlah tempat diceritakan akan semua kebaikan Razni
yang menjaganya selama ini. Tiada sedikit pun keburukan apatah lagi
kekurangan.

“Mungkin jalan nak ke mari sesak agaknya. Mungkin juga hal kerjanya
masih belum selesai,” Sharifah segera menyatakan kebarangkalian. Senyum
di bibir jelas terukir bila renungan mata Halijah bertamu di muka.
Seperti ada simpati yang tersimpan di balik raut itu.

“Jom kita makan tengahari kak,” ajaknya kemudian. Sharifah menggeleng.
Seleranya sudah hilang. Hilang ditelan rindu dan resah. Wajah Razni
dibiarkan menyelinap di dalam diam. Sejurus, mampir pula tiga orang
lelaki dan sepasang suami isteri di hadapannya. Mereka duduk berdekatan
dengan Halijah seperti mengepungi kedudukan Sharifah .

“Kenapa mereka semua tinggal di sini, Jah? Mana anak- anak mereka atau
mereka memang tak pernah dikurniakan anak?” bisik Sharifah hairan.
Halijah tidak segera menjawab pertanyaan itu.

“Shhh… mereka tak suka kita tanya soalan macam tu,” balas Halijah turut
berbisik. Sharifah mengangguk. Renungannya berlaga dengan mata seseorang.

“Beginilah nasib kita bila anak- anak tak mahu lagi peduli,” keluh
seorang lelaki yang duduk betul- betul di hadapan Sharifah . Mungkin juga
sindiran itu ditujukan kepadanya. Kalau bukan dia, siapa lagi?

“Maksud abang?” tanya Sharifah bila semua mata menumpuk ke arahnya.

“Kami dulu macam kamu juga. Sehari suntuk duduk di luar nie menenguk
pintu pagar depan tu. Mengharapkan anak- anak kami akan datang semula,
sesuai mengikut janjinya tapi setelah berhari- hari menunggu, yang kami
dapat cumalah hampa,” jelas lelaki itu. Senyap. Masing- masing
menunjukkan wajah kecewa. Sharifah berasa terpana.

“Budak yang bawa kamu ke mari semalam, anak kamu?”

Sharifah mengangguk berat. Hatinya kurang senang bila ada pihak yang
memandang serong pada niat asal Razni.

“Dia sibuk ke luar daerah untuk urusan kerja. Dia akan datang semula
hari nie,” Sharifah cuba menerangkan situasi yang berlaku. Budin
menggeleng sinis. Gelengan yang menambahkan rasa sakit di hati Sharifah .

“Dia dah kahwin?” tanya Budin lebih serius. Sharifah mengangguk.

“Ada anak?”

Sharifah menggeleng pula.

“Isterinya mana? Kenapa dia tak ada sekali semalam?”

“Isterinya di kampung. Sudah sebulan dia di kampung. Kata Razni, ibunya
sakit.”

“Ibunya sakit atau mereka berselisih faham? Dan kamulah puncanya
perselisihan faham itu!”

Sekali lagi, Sharifah tersentak. Benarkah begitu? Wajah Arianna masuk ke
kotak memori. Kali terakhir mereka bertemu, menantunya itu biasa- biasa
saja. Tambahan pula dia memang jenis yang tidak banyak cakap. Matanya
kerapkali basah dan merah. Dikiranya, Arianna dalam kesedihan kerana
kesihatan ibunya yang kurang baik atau memang ada sebab lain? Kali ini,
hati kecil Sharifah benar- benar membuka pertanyaan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience