BAB 2

Family Completed 492

Mungkin juga! Jawab akalnya sendiri bila dia terkenangkan keluh kesah
Razni minggu lepas. Pernah juga dia meminta Razni balik ke kampung
mertuanya untuk menjenguk khabar Arianna sekeluarga tapi alasan Razni,
permohonan cutinya tidak diluluskan majikan. Ada kamu telifon Arianna?
Soalnya lagi dan Razni hanya mengangguk acuh tak acuh.

“Jauh benar kamu melamun!” tegur Budin. Sharifah kembali ke titik asal.
Air matanya sudah bertakung. Kalaulah Razni berterus terang, pasti dia
akan memahami walau berat rasa di hati untuk menerima segala kejadian ini.

“Kalau betul dia cuma mahu tinggalkan kamu sehari saja di sini,
takkanlah sampai dua beg baju kamu dibawanya!” marah Budin. Sharifah kian
tersentap. Kata- kata Budin tidak ubah seperti seorang musuh yang sangat
membencinya. Serta merta, jiwa keibuannya terasa disiat- siat tanpa belas.

“Abang marah pada saya atau abang tak suka saya di sini?” sudahnya,
Sharifah mengacu tanya bila keruh di wajah Budin masih juga belum reda.
Seperti ada dendam lama yang terpendam antara mereka berdua sedangkan
Sharifah yakin, dia belum pernah mengenali manusia berwajah seperti Budin.

“Aku bukan marah kamu tapi aku marah pada anak lelaki kamu tu! Perangai
dia sama macam anak aku! Harap kereta jer besar tapi…” kata- kata Budin
tertahan di situ. Redup matanya berpadu dengan warna – warna Jalur
Gemilang bila kibarannya lebih kuat dari biasa. Pasti kerana angin yang
sedang bertiup.

“Ayah, esok hari jadi Man!” jerit Azman gembira saat kakinya memijak
anak- anak tangga rumah. Beg sekolah langsung diletakkan ke tepi.

“Azman nak kek yang ada gambar bendera boleh tak ayah?”

Budin tersenyum. Bisakah dia menunaikan permintaan anak merdeka itu?
Hari sudah petang, malah mendung pula. Kedai kek di pekan pasti akan
ditutup dalam masa dua jam lagi. Budin masuk ke dalam bilik. Kocek
sakunya diseluk. Not lima puluh di tangan membuatkan senyumnya kembali
merekah.

Dia harus ke pekan dalam kadar segera. Guruh di langit seperti memberi
amaran hujan akan turun bila- bila masa saja. Budin tidak peduli. Lampu
oren di simpang tiga pekan turut dilanggarnya. Destinasi pertama yang
dituju adalah Kedai Kek Murni. Meninjau- ninjau deretan kek yang ada
dalam peti sejuk kedai itu membulatkan kecewa di hati.

Budin pergi pula ke kedai kek yang terletak di sebelah Maybank. Pintu
kaca ditolak. Kedatangannya disambut mesra oleh pengusaha kedai, Mr. Lee.

“Cari apa boss?” sapa lelaki itu dengan senyuman.

“Kek merdeka ada? Kek yang ada gambar bendera.”

Mr. Lee tangkas menggeleng.

“Boss lambat sikit. Kek itu sudah habis.”

Sekali lagi hati Budin diikat kecewa.

“Cuba tenguk di pekan Slim!” jerit Mr. Lee saat langkah Budin hampir
melepasi pintu kedainya. Budin mengangguk. Ya, di Slim River mungkin
ada! Hatinya kembali bersinar. Harapannya naik menggunung.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience