Rate

BAB 4

Drama Completed 895

Aku perlu menghantarkan makanan itu kepadanya kerana anak aku ini bukannya jenis yang makan di kantin sekolah. Dia lebih gemar memakan makanan yang dimasak oleh isteriku. Aku pantas mencapai bungkusan makanan itu dan juga kunci motosikalku. Aku segera bergegas ke sekolah untuk memberikan makanan itu kepada Anas.

Kebetulan juga pengawal keselamatan yang bertugas hari ini adalah orang yang sama. Mereka berdua hanya memandangku dan tidak berkata apa-apa. Mereka membenarkan aku masuk ke dalam kawasan sekolah. Kedua-duanya kelihatan takut melihatku.

Aku terus bergegas ke kelas 4 Dinamik iaitu kelas Anas. Ketika itu, Ustaz Wadi yang mengajar subjek Bahasa Arab sedang tekun mengajar. Ustaz Wadi terus terdiam melihat kehadiranku. Seluruh kelas turut membisu seolah-olah melihat sesuatu yang menakutkan.

“Saya datang nak bagi makanan Anas yang tertinggal,” kataku sambil menghulurkan bungkusan makanan kepada Ustaz Wadi.

“Maafkan saya, encik. Anas tak datang sekolah hari ini,” jawab Ustaz Wadi.

“Ustaz biar betul! Dia pergi sekolah depan saya tadi.”

“Betul, encik. Dari pagi tadi dia tak masuk sekolah. Encik boleh tengok buku senarai kehadiran hari ini.” Ustaz Wadi menghulurkan buku kehadiran murid kelas 4 Dinamik kepadaku yang tertera di situ tanda bulat pada ruangan nama Anas menandakan dia tidak hadir.

“Kalau begitu, di mana dia? Dia datang sekolah tadi.” Aku buntu.

“Saya tahu di mana Anas, pak cik.” Seorang budak lelaki kelas itu bersuara.

“Kalau kamu tahu, di mana dia?” tanya Ustaz Wadi kepada budak itu.

“Dia selalunya berada di tapak lombong lama hujung kampung dengan kawan-kawan dia. Kawan-kawan dia tu dah besar. Semua sekolah menengah,” jawab budak itu.

Aku semakin buntu. Apakah benar kata budak ini? Aku dengan segera bergegas meninggalkan sekolah itu dan terus ke pusat lombong lama yang dikatakan budak lelaki itu tadi. Sepanjang perjalanan, aku hanya mampu berdoa supaya apa yang dikatakan budak itu tadi adalah tidak benar.

Aku akhirnya tiba di pusat lombong lama tersebut. Aku mengurut dada perlahan sambil mengucapkan beberapa kali istighfar. Mengucap panjang aku melihat anakku, Anas bersama tiga orang lagi rakannya yang lengkap berpakaian sekolah menengah sedang khayal dibuai asap rokok. Mereka tidak menyedari kehadiranku.

“Ya Allah! Ini kerja kau ya Anas?”

Kesemua mereka terkedu melihatku terutama sekali Anas. Luluh sekali hatiku ketika itu. Jantungku bagaikan berhenti. Air mata sesalan mulai terbit. Aku telah tersalah mendidik anakku. Aku terlalu memanjakannya hingga menyebabkan dia keras kepala. Aku berasa sangat bersalah ketika ini termasuklah kepada Cikgu Salbiah yang baru sahaja aku tampar semalam.

Aku mengangkat tinggi tanganku dan menghadiahkan Anas penampar sebagai pengajaran. Aku menariknya dan membawanya pulang. Barulah aku sedar akan kesalahanku kerana terlalu memanjakan Anas.

Aku sedar suatu hari nanti tindakan aku memanjakan Anas akan memakan diriku sendiri. Anas akan hilang hormatnya kepadaku dan akan menyalahkan tindakanku itu sama seperti dalam filem Anakku Sazali lakonan Tan Sri P. Ramlee. Persoalannya kini adalah anakku sudah seperti Sazali. Seorang anak yang dimanjakan dan akhirnya menconteng arang ke muka ibu bapa sendiri.

Anak akukah Sazali? Tangisanku tidak lagi berlagu. Sesalanku tiada gunanya lagi. Gurunya yang ikhlas mendidiknya menjadi manusia telah aku pukul. Aku memang sudah gagal dalam mendidik anakku sendiri.

Sejurus selepas menghantar Anas pulang, aku bergegas ke balai polis dan menarik balik kes yang aku buat ke atas Cikgu Salbiah kelmarin. Aku juga terus bergegas ke sekolah untuk berjumpa dengan Cikgu Salbiah . Dengan rendah diri aku titiskan air mata dan meminta maaf daripadanya. Peribadi seorang guru sangatlah mulia. Biar sedalam mana pun luka yang dibuat oleh muridnya, guru tetap akan memaafkannya.

Aku insaf dengan perbuatanku. Aku sedar sehebat mana pun aku dalam mendidik anakku, aku masih memerlukan guru untuk mendidik anakku menjadi manusia ketika dia berada di sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience