Rate

BAB 2

Drama Completed 895

“Persetankan prosedur kau itu. Ini urusan aku dengan seorang cikgu di dalam sekolah ini yang namanya Salbiah . Kau tidak tahu apa-apa. Jangan masuk campur urusan aku!” Aku terus menolak salah seorang pegawai keselamatan itu dengan kuat sehingga dia jatuh menyembah bumi.

Seorang lagi pengawal keselamatan yang berada di situ cuba menghalang tindakanku itu namun sia-sia. Satu tumbukan padu daripada aku hinggap di bahagian pipinya sehingga dia turut sama jatuh menyembah bumi. Kedua-dua mereka mengerang menahan azab kesakitan.

Aku meneruskan perjalanan menuju ke bilik guru dengan harapan Cikgu Salbiah ada di situ. Aku terus melangkah masuk ke dalam bilik guru yang terletak di tingkat dua sekolah itu tanpa memberikan salam dan sebarang ketukan pintu. Terus sahaja aku terjah ke dalam bilik guru sehingga menyebabkan beberapa orang guru yang sedang menulis sesuatu di meja mereka masing-masing mendongak muka melihatku.

Salah seorang guru lelaki berbadan agak gempal yang memakai baju biru bersama tanda nama yang tertulis Amran pada bahagian dada sebelah kirinya bangun daripada kerusi dan mendekatiku dengan reaksi muka yang aneh.

“Saya Cikgu Amran. Boleh saya tahu encik nak jumpa dengan siapa?” tanya guru itu sambil menghulurkan tangan kanannya untuk berjabat denganku.

Aku langsung tidak mengendahkan tangannya itu. Tidak sama sekali aku menghulurkan tangan kanan aku juga untuk menyambut salamnya. Aku tahu perbuatanku itu agak tidak sopan tetapi apakan daya, amarah benar-benar menguasaiku ketika ini. Melihatkan aku tidak sudi untuk menyambut salamnya, Cikgu Amran menarik semula tangan kanannya ke belakang sambil menundukkan sedikit kepalanya.

“Aku nak jumpa dengan Cikgu Salbiah ,” jawabku separa menengking dengan riak muka yang masam.

“Maafkan saya, encik. Cikgu Salbiah tiada di sini sekarang. Beliau ada kelas dengan murid-murid kelas 5 Intelek .”

Tanpa mengeluarkan sebarang kata daripada mulutku, aku terus meninggalkan bilik guru itu dan bergegas ke kelas 5 Intelek . Amarahku semakin membara. Ghairahku untuk membalas dendam terhadap Cikgu Salbiah kerana memukul anakku semakin memuncak. Aku tidak sabar lagi untuk membayar balik perbuatan Cikgu Salbiah itu.

Langkahku yang laju akhirnya terhenti di muka pintu kelas 5 Intelek . Cikgu Salbiah sedang mengajar dengan tekun manakala murid-murid di dalam kelas itu pula sedang mendengar ilmu-ilmu yang diajarkan oleh Cikgu Salbiah dengan fokus. Aku pula sedang berdiri pegun di luar kelas tersebut sambil memerhati rapat Cikgu Salbiah .

Menyedari ada seseorang di luar kelas sedang memerhatinya, Cikgu Salbiah mengambil keputusan untuk memberhentikan seketika sesi pembelajaran dan berjalan menuju ke arah pintu kelas tersebut sambil menguntum sejalur senyum manis. Muda lagi orangnya.

“Boleh saya bantu encik?” soal Cikgu Salbiah kepadaku dengan nada suara yang lembut.

Aku pula ketika ini berfikir dua kali akan niatku. Adakah aku sanggup untuk memukul seorang perempuan hanya kerana dendam yang memuncak. Namun, perempuan di hadapanku ini jugalah yang telah menyakiti anak kesayanganku.

Aku sudah tidak berfikir panjang dan sudah tak sabar-sabar lagi memberi pengajaran pada manusia ini, aku terus mengangkat tangan kananku seraya itu juga penampar daripadaku melekat di pipi Cikgu Salbiah . Cikgu Salbiah menahan azab kesakitan sambil air matanya mulai mengalir. Aku tahu tindakanku itu sangat bodoh kerana seumur hidupku aku tidak pernah memukul wanita termasuklah isteriku sendiri. Inilah kali pertama aku bertindak bodoh begini. Namun, aku merasakan Cikgu Salbiah layak menerima hukuman tersebut kerana telah menyakiti anakku.

Serentak itu juga, guru besar dan beberapa orang guru lain datang dari arah belakangku dan menghalangku daripada terus menyakiti Cikgu Salbiah . Suasana di kelas 5 Intelek menjadi tegang seketika.

“Sabar dulu, encik! Kita boleh bincang. Jangan bertindak macam ni.” Guru besar cuba menenangkan aku.

“Jangan halang aku. Dia ni memang layak terima semua ni. Dia dah pukul anak aku. Aku di rumah pun tak pernah sentuh anak aku tu.” Aku terus melepaskan amarah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience