Rate

BAB 3

Drama Completed 895

“Saya pukul dia bersebab. Encik kena tahu yang anak encik tu kaki buli di sekolah. Saya tampar dia kerana saya sudah hilang sabar dengan sikap dia. Dia pukul budak darjah dua dan mengugut budak tu supaya memberikan duit. Saya nampak perbuatan dia itu. “Kemudian, saya panggil dia ke bilik guru. Pada awalnya, saya tidak ada langsung niat untuk menamparnya. Cukuplah saya memarahinya tetapi anak encik tidak henti-henti memaki-hamun saya. Saya hilang sabar dan terpaksa menamparnya,” jelas Cikgu Salbiah panjang lebar.

Namun, sepatah pun aku tidak mempercayai kata-katanya. Bagi aku, itu hanyalah alasan Cikgu Salbiah bagi melepaskan dirinya. Aku lebih mempercayai cerita anak aku berbanding dengan Cikgu Salbiah yang karut ini.

“Jangan cuba nak berdalih! Cikgu dah buat salah, sekarang cikgu nak salahkan anak saya pula?” tengking aku kepada Cikgu Salbiah .

“Encik, jom berbincang secara baik di bilik saya.” Guru besar mencelah sambil mempelawa aku ke biliknya.

“Tidak! Saya takkan berbincang lagi. Sudah terang lagi bersuluh Cikgu Salbiah yang bersalah. Dia telah melanggar undang-undang. Tiada satu pun dalam undang-undang yang mengatakan guru boleh memukul murid. Saya akan laporkan perkara ini kepada polis. Saya akan lawan di mahkamah!” Aku terus beredar daripada situ sebaik sahaja kata-kataku itu terpacul keluar daripada mulutku.

Destinasi aku seterusnya adalah balai polis. Aku sudah nekad untuk membuat kes. Aku menginginkan keadilan buat anakku kerana bagiku hukuman tampar yang baru sahaja aku lakukan kepada Cikgu Salbiah itu tidak memadai. Cikgu itu perlu mendapatkan hukuman yang lebih berat.

Aku akhirnya tiba di sebuah balai polis yang terletak tidak jauh daripada sekolah tersebut. Segala borang berkenaan laporan aku isi satu per satu dengan harapan tindakan biadap Cikgu Salbiah itu mendapat balasan yang sepatutnya. Pegawai polis yang bertugas ketika itu juga turut berminat dengan kes ini. Bertalu-talu soalan diajukan kepadaku tatkala aku sedang sibuk mengisi borang laporan.

Beliau juga turut menyebut peranan ibu bapa penting dalam mencorak anak-anak. Aku terus menatap mukanya. Reaksi wajahku turut bertukar serta-merta. Biadap sungguh pegawai polis ini. Dia cuba untuk memerliku secara tidak langsung. Tanpa mengeluarkan sebarang kata, aku menyerahkan borang laporan yang siap diisi itu kepadanya dan terus keluar dari balai polis tersebut.

Aku mengharapkan tindakan yang tegas akan dikenakan kepada Cikgu Salbiah yang mencari pasal denganku itu. Aku terus pulang ke rumah dengan sedikit rasa puas hati. Sekurang-kurangnya Cikgu Salbiah sudah merasai penamparku tadi.

Anas menyambut kepulanganku di rumah. Sengaja aku mengarahkan dia supaya tidak pergi ke sekolah hari ini kerana aku yakin dia masih dalam keadaan trauma akibat dipukul kelmarin. Anas mengucapkan terima kasih kepadaku dan terus memelukku erat.

“Ayah tak akan benarkan sesiapa pun pukul anak ayah,” kataku sambil memeluk erat Anas.

Keesokan harinya, aku mengambil cuti kerana bak kata pegawai polis yang bertugas di balai itu semalam, aku perlu bersedia. Pihak polis akan memanggilku dalam masa terdekat untuk memberikan keterangan. Untuk memudahkan kerja, aku sengaja ambil cuti. Anas pula sedang bersiap-siap untuk pergi ke sekolah.

“Anas jangan takut ye. Cikgu tu tak akan berani sentuh Anas dah. Ayah dah ajar dia cukup-cukup kelmarin,” kataku kepada Anas sebelum dia bertolak pergi ke sekolah.

Aku membelek-belek surat khabar di ruang tamu rumah sambil menunggu jika pihak polis menelefonku dan mengarahkan aku pergi ke balai untuk diambil keterangan. Jam demi jam berlalu, tiada juga panggilan daripada pihak polis.

Mataku tiba-tiba tertangkap sebuah bungkusan yang terletak di atas meja ruang tamu. Aku mendekati bungkusan tersebut untuk memastikan bungkusan apakah itu. Rupa-rupanya itu adalah bungkusan makanan Anas. Dia terlupa untuk membawanya ke sekolah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience