Series
401
"Eh, Khir. Masuklah. Ibu pun baru je sampai ni ha," kata Puan Sri Rosiah sambil mengesat hujung matanya lalu memberi ruang untuk menantunya itu menghampiri katil.
Khir melangkah masuk dengan tenang. Dulang diletakkan di atas meja sisi katil sebelum dia melabuhkan punggung di birai tilam, rapat dengan Fazlin.
"Abang bawa ubat sayang ya? Kesian isteri abang ni, mesti sakit lagi pinggang tu kan?" Khir mengusap lembut rambut Fazlin.
Fazlin mengetap bibir. Kelopak matanya mencerun memandang dua biji pil putih di atas dulang.
"Abang, Lin rasa ubat tu buat Lin makin lemahlah. Boleh tak kalau Lin tak nak makan..." tegur Fazlin merenung muka Khir. Dia perasan pada perubahan tampang itu.
"Eh, apa cakap macam tu, Lin? Suami kamu ni doktor, dia lebih tahu apa yang terbaik untuk anak ibu," tegur Puan Sri Rosiah, dahi tua itu berkerut sedikit.
Khir tersenyum tulus, memandang ibu mertuanya sebelum kembali menatap Fazlin.
"Tak apa, ibu. Orang sakit memang macam ni, emosi tak stabil. Tapi sayang, ubat ni untuk kuatkan saraf pinggang Lin. Kalau tak makan, macam mana nak sembuh? Macam mana nak main dengan Boy?" balas Khir tahan perasaan.
'Dah kenapa pula perempuan ni tak mahu makan pula? Selalu tu...ok saja. Hari ni pulak banyak cengkadak? Mentang-mentang mak dia ada tu. Nak tunjuk perangai!'
" Lin bukan sesaja tak mahu makan, bang. Kedua belah kaki Lin ni langsung tak boleh gerak sekarang? Sebelum ni tak macam ni pun!" Lin akhirnya meluahkan apa yang memeningkan kepalanya lewat kebelakangan ini.
"Lin, jangan pertikaikan ubat yang suami kamu bagi. Khir ni sanggup bersengkang mata jaga kamu, tahu tak?" Puan Sri Rosiah mencelah, nadanya sarat dengan rasa bersalah terhadap menantunya.
Khir memegang tangan sejuk Fazlin, menggenggamnya dengan terlalu erat sehingga Fazlin terasa tulang jemarinya mahu patah.
"Betul kata ibu tu, sayang. Abang buat semua ni sebab abang sayangkan Lin. Abang tak sanggup tengok Lin merana. Dah, makan ya?" Khir tetap memakss dalam 'lembut'
'Kau jangan nak buat perangai sangatlah perempuan!'
"Itu semua side effect je sayang. Makan iya. Takde apa-apa pun. Ke...sayang memang dah tak percayakan abang?" duga lelaki itu sambil memaksa buka genggaman jemari itu. Fazlin akhirnya mengalah tapi tetap memandang ke arah ibunya, mengharapkan ada sedikit rasa sangsi dalam hati wanita itu.
'Ibu... Lin... Lin tak tipu, ibu. Tolong Lin...'
"Lin, makan ubat tu sekarang. Sejak bila dah mula pandai melawan suami ni?" potong Puan Sri Rosiah yang menganggap anaknya itu tidak matang.
'Allahuakbar. Macamanalah nak aku buktikan?' gerutu Fazlin akur dalam keterpaksaan. Fazlin membuka mulut. Pil itu disuap masuk dan air disisip perlahan di bawah pandangan penuh kemenangan daripada Khir.
"Anak baik. Ibu, Khir rasa biarlah Lin rehat dulu ya? Kesan ubat ni sekejap lagi buat dia mengantuk. Jom kita turun bawah, Khir suruh Siti buatkan teh kegemaran ibu," pelawa Khir sambil bangun dan membetulkan selimut Fazlin dengan begitu rapi.
"Yelah. Lin, rehat tau. Jangan fikir bukan-bukan lagi," pesan Puan Sri Rosiah sebelum memusingkan badan melangkah keluar dari bilik.
***
Tekak Fazlin terasa bagai dijerut. Rasa mual yang membuak-buak memaksa dadanya berombak kencang, menolak asid perut naik ke kerongkong. Dia perlu mengeluarkan pil jahanam itu. Dia mesti muntah!
Dengan sisa kudrat yang ada, Fazlin mencengkam cadar katil. Dia cuba menonggengkan badannya ke birai tilam namun badannya langsung tidak memberi tindak balas. Separuh badannya kaku bagai disimen.
"Uwek! Uhuk... uhuk!"
Dia terbatuk-batuk kecil. Cecair jernih bercampur liur pekat meleleh di celah bibirnya namun pil yang sudah mula larut itu tetap gagal dimuntahkan. Kesakitan di pinggang kembali menyengat, memijar sehingga ke urat saraf kepalanya.
"Ya Allah... tolong aku..." rintih Fazlin dalam hati.
.Air mata kekecewaan mengalir deras, membasahi bantal yang sudah lencun.
Di bawah, Puan Sri Rosiah sedang menghirup teh o panas yang disediakan Siti. Bau aroma teh itu sedikit sebanyak meredakan keresahan di hatinya.
"Sedap teh ni, Khir. Pandai Siti buat," puji Puan Sri Rosiah lalu meneguk lagi air dari dalam cangkir tersebut.
Khir yang sedang membelek telefon bimbitnya mendongak lalu tersenyum manis.
"Siti memang cekap, ibu. Sebab tu Khir simpan dia. Senang ada orang boleh tolong tengok-tengokkan rumah ni bila Khir sibuk di hospital."
"Baguslah kalau macam tu. Sekurang-kurangnya ringan sikit beban kamu. Ibu ni bukannya apa, Khir... kesian tengok kamu. Muda-muda lagi dah kena hadap dugaan macam ni," luah Puan Sri Rosiah, bersimpati dengan nasib menantunya.
Khir meletakkan telefonnya di atas meja. Masa yang sama, sengaja dia lepaskan dengusan persis sebuah keluhan, bagi memancing lagi emosi wanita tua itu.
"Khir tak kisah, ibu. Lin tu isteri Khir. Sikit pun Khir tak pernah merungut. Cuma, Khir terkilan bila dia tuduh Khir macam-macam. Kadang-kadang dia kata Khir nak kurung dialah, Khir nak dia mati lah. Apalah. Khir ralat juga, ibu."
Puan Sri Rosiah meletakkan kembali cangkir ke pelapik. Roman wajahnya bertukar serius.
"Astaghfirullahaladzim... sampai macam tu sekali Lin tuduh kamu? Melampau budak ni. Khir, kamu jangan ambil hati ya? Orang sakit saraf ni kadang-kadang otak dia pun terganggu sekali. Esok pagi tahu lah ibu nak ajar dia macam mana."
"Eh, janganlah marah dia, ibu. Khir tak ambil hati pun. Khir faham keadaan dia," balas Khir intonasinya kedengaran sangat murni namun di dalam hati, dia sedang ketawa berdekah-dekah melihat betapa mudahnya ibu mertuanya itu masuk ke dalam jerangkap.
Sementara itu, Siti yang berada di ruang makan sedang berpura-pura mengelap meja. Namun, telinganya dipasang rapat mendengar setiap butir bicara dua beranak itu. Tangannya menggigil kecil.
'Tuan Khir memang psndai bermuka-muka... Puan Lin tak gila. Aku tahu Puan Lin tak gila!' jerit Siti dalam hati.
Dia teringat kejadian petang tadi, bagaimana dia melihat tingkap bilik utama di tingkat atas telah diskru mati dari luar. Malah, rantai mangga yang disembunyikan Khir tadi sempat dikesannya di dalam laci ruang tamu sebelum ini. Siti mahu bersuara tetapi memikirkan ugutan Khir tentang pekerjaannya, dia kembali kecut.
***
Bilik itu semakin dirasakan sempit dan melemaskan buat Fazlin. Pandangannya kini benar-benar berpusing. Siling putih di atasnya kelihatan seperti ingin menghempap tubuhnya yang longlai.
'Muntah... please, muntah...' Fazlin merayu pada tubuhnya sendiri.
Dia cuba memasukkan jari kelingkingnya yang menggigil ke dalam mulut, menjolok anak tekak demi merangsang muntah. Namun, jarinya terlalu lemah malah tenaganya sudah ditarik pergi oleh ubat penenang dos tinggi tersebut. Jari itu melorot jatuh ke dada.
"I... ibu..." Suara Fazlin akhirnya tenggelam, diganti dengan deruan nafas yang semakin berat dan perlahan.
Kedua-dua kelopak matanya terasa bagai dipasung dengan batu pemberat.
"Tidak!" Jerit Fazlin berusaha melawan agar tidak tertidur. Dia tahu agak sukar tetapi dia harus berusaha jika tidak, keadaan tubuhnya akan menjadi semakin lemah.
"Ya Allah, kalaulah..."
Imbas kembali,
"Eheh! Ke...ken..kenapa ni? Allah!" Rungut Dr Fazlin ketika stereng dan brek kakinya tak jalan dengan kereta semakin menderas laju secara bengkak-bengkok di laluan mencuram tepi highway itu.
"Ya Allah! Kenapa dengan kereta aku hari ini. Selalu tu elok saja. Eh! Allah!!!" Pekikan itu merupakan pekikan terakhir bibir itu suarakan sebelum semuanya menjadi gelap.
Kereta meluru melanggar pembagi jalan sedikit saja lagi bakal terjun cenuram highway. Muka terhantuk pada cermin. Dan pinggang pula terjolok ranting besar pokok.
Skrin memaparkan nama Dr Khir.
***
"Aku kena buat sesuatu... Puan Lin dalam bahaya," bisik Siti sendirian.
Siti tahu, dia tidak boleh terus berdiam diri. Sejak sebulan lalu, dia perasan perubahan fizikal Dr Fazlin atau Fazlin terlalu mendadak. Daripada seorang doktor wanita yang ceria dan aktif, kini menjadi lumpuh separuh badan. Dan segala-galanya bermula sejak Khir mengambil alih tugas memberikan ubat secara peribadi di rumah.
Siti berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu. Dia mahu memastikan sama ada Khir masih berada di tingkat atas atau tidak. Namun sebaik sahaja dia melepasi tiang ruang makan, satu suara garau menegurnya dari arah belakang.
"Siti. Tak tidur lagi?"
Siti tersentak. Jantungnya bagai luruh ke lantai. Dia berpusing perlahan-lahan dengan senyuman yang dipaksa. Khir sedang berdiri di kaki tangga sambil memegang sebuah gelas kosong. Anak matanya merenung tajam ke arah Siti bagai sang helang mengintai mangsa.
"Eh... Tuan Khir. Belum lagi... saya baru lepas kemas dapur sikit," gagap Siti, jarinya diramas sesama sendiri bagi menyembunyikan keguguran.
Khir berjalan mendekati Siti. Setiap langkah lelaki itu dirasakan seperti detik jangka masa yang menghitung ajal. Khir meletakkan gelas kosong di atas meja, betul-betul di hadapan Siti.
"Baguslah kalau macam tu. Awak pekerja yang baik, Siti. Saya suka. Tapi..." Khir menggantung ayatnya. Dia merendahkan badannya sedikit, menyamai paras ketinggian Siti yang sedang menunduk.
"Kerana saya paling tak suka kalau ada pekerja yang suka menyibuk hal peribadi majikan. Awak tahu kan, status awak kat negara ni atas jaminan saya? Sekali saya buat laporan polis mengatakan awak mencuri barang kemas Puan Lin... awak rasa awak sempat balik kampung ke atau mereput dalam lokap?"
Urat-urat hijau di dahi Siti timbul. Dia menahan nafas. Air matanya sudah bergenang di kelopak mata. Ancaman Khir bukan main-main. Lelaki bergelar doktor ini mempunyai pengaruh dan reputasi yang terlalu bersih di mata masyarakat.
"Saya... saya faham, Tuan. Saya cuma buat kerja saya sahaja," jawab Siti, suaranya bergetar hebat.
"Bagus. Esok pagi, pastikan bubur Puan Lin siap awal. Dan ingat, jangan sesekali biarkan dia bercakap dengan sesiapa yang datang melawat tanpa izin saya. Faham?"
"Satu lagi. Jangan biarkan Mem Rosiah korek sebarang rahsia dari kau mahupun Fazlin. Jangan biarkan Mem Rosiah masuk ke kamar kerja aku. Faham!!!"
Share this novel