Series
401
Fazlin mengerutkan dahi dengan hebat. Kesakitan yang mencucuk di bahagian pinggangnya kian membataskan setiap inci pergerakan.
Di bawah remang cahaya lampu tidur, tulisan kemas Khir itu kelihatan berbalam-balam dan bertindih-tindih. Dia memaksa matanya yang kian berpusing untuk meneliti aksara seterusnya namun seisi bilik seolah-olah, diayun badai yang maha dahsyat.
Pandangannya gelap gelita.
Gedebuk!
Fazlin langsung tidak sedar bila tubuhnya melorot jatuh dari birai katil. Dia tidak mendengar bunyi dentuman tubuhnya sendiri yang menghempas lantai kayu. Dan tidak juga, mendengar bunyi derapan langkah kaki Khir yang bergegas mendaki anak tangga tatkala terdengar bunyi bising dari tingkat atas. Dunianya mati seketika dalam kekosongan yang hitam.
Setengah jam kemudian...
Kelopak mata yang terasa seberat timah, dipaksa buka perlahan-lahan. Siling putih yang samar kembali menyapa pandangan Fazlin. Kepalanya terasa teramat pening dan berpusing manakala dahinya terasa sejuk, ditampal sesuatu.
"Lin? Sayang dah sedar?"
Satu suara yang teramat lembut dan sarat dengan nada kerisauan menyapa cuping telinga. Fazlin menoleh lemah. Khir sedang duduk di birai katil sambil memegang sehelai tuala kecil yang lembap. Wajah suaminya itu kelihatan begitu bimbang, malah ada sisa peluh yang merenik di dahi lelaki itu.
"Abang... Lin... Lin di mana ni? Kenapa kepala Lin sakit sangat?" Tanya Fazlin dengan suara yang tenggelam.
Dia benar-benar keliru. Memori terakhirnya langsung tidak wujud. Dia tidak ingat apa yang berlaku sebelum dia tidak sedarkan diri. Apa yang dia tahu, badannya terasa lebih lemah daripada biasa.
"Sayang dalam bilik kita lah. Sayang pengsan tadi, jatuh dari katil," kata Khir sambil meletakkan tuala lembap itu kembali ke atas dahi Fazlin dengan penuh kelembutan.
"Abang dengar bunyi bising dari bawah, bila abang naik... sayang dah terlantar atas lantai. Mujur dahi sayang cuma lebam sedikit, tak ada luka berdarah."
"Lin... Lin jatuh?" soal Fazlin umpama tak percaya. Sempat lagi dia memicit pelipisnya. Sedaya-upaya memerah ingatannya yang kian hari, kian kosong.
"Ya, sayang jatuh. Sembab muka abang tengok sayang tak sedarkan diri tadi," balas Khir mengeluh kecil lalu mengusap pipi pucat Fazlin, bagai sutera yang cuba memujuk duka.
"Sebab itu abang selalu pesan... kalau nak apa-apa, tunggu abang. Tubuh sayang tu rapuh sejak sakit buah pinggang ni. Jangan buat abang macam ni lagi, boleh?"
"Maafkan Lin, abang... Lin betul-betul tak ingat macam mana Lin boleh jatuh," bisik Fazlin. Rasa bersalah menghantui.
"Tak apa. Benda dah nak jadi. Yang penting sayang dah sedar," ujar Khir lalu dia menghadiahkan isterinya itu dengan sebuah kucupan di dahi tidak di bibir sepertimana selalu.
"Dah, abang nak turun bawah sekejap nak sambung kemas dapur dan tengok Haris. Sayang rehat ya? Jangan turun katil langsung."
"Baik, abang. Terima kasih jaga Lin."
"Sama-sama, sayang. Tidur ya?" Arah Khir dan bangun. Tangan mencapai dulang sup yang sudah kosong di atas meja sisi. Dia berjalan ke pintu. Membuka dan menutup rapat pintu bilik.
Klek.
Bunyi kunci gembok dari luar rumah itu bergema, mengunci rapat dunianya. Suasana kembali sepi. Fazlin memeluk erat selimutnya ke dada.
Korneanya merenung siling dalam remang malam yang kian mencengkam. Walaupun otaknya, langsung tidak mengingat apa-apa tentang kejadian sebelum dia pengsan.
Entah mengapa, sebaik sahaja kelibat Khir hilang dari pandangan. Suasana bilik itu terasa berubah. Dinding-dinding konkrit mahligai mewah ini dia merasakan sedang menghimpit diri.
***
Khir meletakkan dulang kayu ke atas kaunter pulau dapur. Sisa sup yang melekat pada mangkuk dipandang dengan ekor mata yang kosong, sebelum dia menyeluk poket seluar.
Dia menarik keluar telefon pintar berasingan yang tidak pernah diletakkan di atas meja terbuka jika ada Fazlin. Skrin telefon dileret. Jari-jemarinya yang runcing cekap menekan satu nama pada senarai panggilan peribadi.
Panggilan bersambut pada nada kedua.
"Dia dah sedar?" Satu suara wanita di hujung talian menerpa laju, kedengaran agak tidak sabar dan sedikit cemas.
"Dah. Baru sekejap tadi," jawab Khir tenang.
Tubuhnya disandarkan pada kaunter dapur, matanya meliar memandang ke arah tangga bulat yang sunyi.
"Dia jatuh katil masa pengsan. Tapi jangan risau, tak ada kecederaan serius. Cuma lebam sikit di dahi."
Wanita di seberang sana melepaskan keluhan berat yang jelas kedengaran melegakan.
"You ni biar betul, Khir? Kan I dah cakap, dos minggu ni agak tinggi. Kalau dia mati mengejut sebelum masanya... pihak forensik hospital akan hidu sesuatu. You nak kerjaya you melingkup?"
Khir tertawa. Tampang berahang persegi itu langsung tidak mempamerkan riak wajah seorang suami yang sedih saat melihat isteri terlantar tidak sedarkan diri.
"You rasa I ni doktor baru setahun jagung ke, Maya?" bidas Khir perlahan.namun nadanya cukup tajam menusuk.
"I tahu apa yang I buat. Kesakitan dia nampak semula jadi di mata orang luar. Malah pengasuh budak tu pun cuma nampak Fazlin makin hari makin tenat sebab penyakit buah pinggang dia. Semuanya dalam kawalan I."
"Tapi I tak sedap hatilah, Khir. Tadi I semak semula jadual makmal yang you hantar semalam. Kesan ubat tu... kalau dia mula hilang ingatan jangka pendek, itu maknanya sistem saraf dia dah mula terjejas teruk. You tak takut dia mula syak apa-apa kalau dia tersedar?" Soal Maya lagi. Wanita itu menuntut kepastian.
"Dia tak akan ingat apa-apa," potong Khir dengan keyakinan yang mutlak.
Jari telunjuknya mengetuk-ngetuk permukaan meja kaunter mengikut ritma yang tersusun.
"Minda dia terlalu lemah. Apa yang dia tahu cuma rasa bersalah dia tula...sebab menyusahkan I and di mata dia, I ni benar- benar malaikat pelindung."
"Baguslah kalau macam tu. I cuma tak sabar nak tunggu semua ni selesai. I dah rimas kena menyorok macam ni," rungut Maya, menagih perhatian daripada lelaki yang bergelar suami orang itu.
"Sabar. Sikit saja lagi, Maya. Bila masanya tiba nanti, tak ada sesiapa lagi yang akan menghalang kita. Mahligai ni... akan jadi milik kita sepenuhnya," bisik Khir.
Talian dimatikan.
Khir memasukkan semula telefon peribadinya ke dalam poket seluar. Dia berpaling menghadap singki, membuka pili air lalu membiarkan air yang deras membasuh mangkuk sup dan cawan kaca yang digunakan Fazlin tadi.
Di bawah pancaran lampu dapur yang samar, wajah Khir kelihatan begitu tenang bagaikan perbualan tadi itu hanyalah sebahagian daripada rutin harian seorang doktor yang sedang menguruskan jadual tugasnya di hospital.
Dia menarik sehelai tisu, mengesat tangannya yang basah sehingga kering. Pandangannya beralih arah buaian yang terletak di sudut ruang tamu yang kian menggelap.
"Semuanya... demi masa depan kita," bisik Khir sendiri, membiarkan senyuman tipisnya mekar dalam kepekatan malam yang menyimpan seribu satu rahsia hitam.
Share this novel