Series
173
Mata Fazlin masih meliar memandang siling. Dia tahu, dia sepatutnya bersyukur kerana memiliki suami yang begitu prihatin tapi entah kenapa, dalam sanubarinya yang berasa amat tidak kena.
Bunyi gembok yang dikunci dari luar tadi, masih tergiang-giang di telinga. Mengapa dia perlu dikunci dari luar jika dia hanya seorang isteri yang sedang sakit?
Untuk keselamatannya?
Atau untuk menghalangnya daripada keluar?
Fazlin cuba menggerakkan badannya. Kesakitan di pinggang kembali menyengat namun kali ini, dia mengeraskan hati.
"Argh!" Dia terjerit. Dia memang terasa pelik akan kondisi tubuhnya. Makin hari makin lemah. Walhal setiap kali menerima pemeriksaan berkala, jawapannya menyenangkan tapi?
"Come on...you can do it!" Fazlin memberi kata semangat ketika memaksa tubuh lesunya itu untuk bangun.
"Argh!" Dia terduduk lagi. Kedua-dua kakinya terasa amat lemah sekali.
"Kenapa dengan badan aku ni, Ya Allah?" Fazlin benar-benar keliru.
"Ubat hari-hari aku makan. Bukankah sepatutnya aku boleh ada tenaga dan kesakitan yang melanda pinggang aku ni pun boleh sembuh?" Fazlina bertanya lagi sambil memandang sepi melalui tingkap. Sungguh, dia rindu sekali nak menghirup udara segar luar sana.
***
Di skrin, terpampang wajah Maya yang sedang tersenyum manja melalui panggilan FaceTime.
"You nampak penat sangat hari ni, Khir. Banyak sangat ke kerja kat pejabat?" tanya Maya, kedengaran begitu prihatin sambil membetulkan rambutnya.
Khir mengeluh namun senyuman nipis terukir di bibirnya. Dia melonggarkan sedikit tali lehernya.
"Kerja pejabat tu biasa lah, Maya. Tapi fikiran I ni yang sarat. You tahu kan keadaan kat rumah macam mana."
Wajah Maya berubah simpati malah ada sedikit riak jengkel yang cuba disembunyikannya apabila nama 'perempuan itu' secara tidak langsung disebut.
"Dia... masih macam tu lagi? Maksud I, belum ada tanda-tangan nak pulih?" Maya memancing maklumat.
Khir memusingkan pen di jarinya. Merenung tajam ke skrin, menembusi pandangan Maya.
"Kondisi dia makin merosot. Kaki dia dah mula lemah, nak bangun dari katil pun dah tak bermaya. I... I cuma jalankan tanggungjawab I sebagai suami yang baik, Maya. I bagi dia makan, I pastikan dia 'makan ubat' ikut jadual."
Khir menekankan perkataan 'makan ubat' diselangi senyuman yang hanya difahami oleh mereka berdua.
Maya tersenyum lebar.
"Baguslah kalau you prihatin macam tu. I kagum dengan kesabaran you, Khir. Tapi kesihatan you pun kena jaga juga. Jangan sebab nak jaga orang sakit, you pula yang merana. Lagipun, sampai bila you nak hidup dalam 'penjara' tu?"
Khir mematikan pusingan pen dan mengetuknya sekali di atas meja kerja. Bunyi ketukan itu kedengaran tegas.
"Sabar, Maya. Semuanya mengikut perancangan. Pemeriksaan doktor berkala pun semuanya 'cantik' atas kertas. Tak ada sesiapa akan syak apa-apa. Just a little bit more time, sayang. Bila semuanya selesai, tak akan ada sesiapa lagi yang boleh menghalang kita."
"I pegang janji you, Khir. Jangan biarkan I tertunggu-tunggu terlalu lama," balas Maya dengan nada manja yang menuntut.
"I tak pernah mungkiri janji pada you," jawab Khir lembut namun pandangan matanya beralih sekilas ke arah monitor litar tertutup. Skrin kecil yang memaparkan visual bilik tidur utama, di mana Fazlin sedang terbaring kaku memandang siling.
***
Di luar, dunia kelihatan begitu murni dan bebas. Dari balik hamparan kaca, Fazlin melihat Siti sedang leka melayan kerenah Boy yang mengejar bola plastik merah di atas rumput. Tawa girang anak kecil itu sayup-sayup menembusi dinding. Itulah simfoni yang sangat dia dambakan.
"Siti... Boy... pandanglah sini," panggilnya serak dan tersekat di kerongkong.
Badan diseret. Setiap inci pergerakan memicu rasa ngilu yang amat sangat di pinggang, namun digagahkannya juga demi sekilas harapan. Dia merangkak dari birai katil, mengheret sepasang kaki yang kini tidak lebih daripada bebanan daging yang kaku.
Apabila jemarinya yang runcing dan pucat menyentuh selak tingkap, dunianya semakin terhenti. Selak itu bukan sekadar berkunci. Di sekeliling bingkainya, deretan skru keluli telah tertanam kemas, mematikan terus fungsi tingkap itu dari luar.
"Tak... takkanlah sampai macam ni sekali? Apa salah aku, Khir?"
Air mata yang ditahan pecah juga. Dadanya berombak kencang, dihimpit rasa sesak yang luar biasa.
Puk! Puk! Puk!
Tapak tangannya yang menggigil menghentak-hentak cermin berkali-kali. Namun, bunyinya mati di situ. Lapisan kaca tebal yang dipasang Khir atas alasan ‘penebat bunyi demi keselesaan rehatnya’ kini bertukar menjadi tembok gergasi yang menimbus suaranya daripada dunia luar.
Di bawah sana, Siti sedang membetulkan kedudukan tudungnya yang beralun ditiup angin. Langsung tidak menoleh ke atas.
"Siti! Pandang atas, Siti! Lin kat sini! Tolong..."
Fazlin menjerit sekuat hati sehingga urat lehernya tegang. Dia melambai cemas, berharap warna merah jambu bajunya mampu menangkap retina mata itu. Kudrat yang tersisa diperah habis-habisan demi sebuah perhatian.
Namun, takdir tidak menyebelahinya. Siti membongkok, memimpin tangan Boy dan melangkah masuk ke dalam rumah melalui pintu dapur. Laman kembali sunyi.
"Siti, jangan masuk lagi... tolonglah..." Pintaannya menjadi tangisan yang rapuh. Lambaiannya mati, melorot jatuh bersama tubuhnya yang longlai ke lantai. Sejuknya simen meresap ke kulit, sefirasat dengan hatinya yang mula membeku.
Dalam samar tangisan, mindanya yang celaru mula menyusun cebisan logik yang selama ini cuba dinafikan.
"Aku mesti tanya abang..." Fazlin bernekad. Nalurinya memang kuat menyatakan ada yang tidak kena. Dek terlalu memikir sangat kepala berdenyutan semula. Pinggang juga.
***
"Menyusahkan betul!" Hamun Khir ketika dapat tahu tentang kedatangan ibu mertuanya itu. Dan ingin tidur di situ pula.
"Tak boleh tengok orang senang sikit," bebel Khir terpaksa buka serta menanggalkan rantai bermangga itu dari bilik Fazlin.
"Siti. Aku harus berpesan pada dia. Jangan sesekali nak buka mulut atau nak menyampai," ujar Khir setelah rantai dan mangga dia buka. Kini keadaan pintu itu seperti tiada apa-apa yang mencurigakan.
Khir menarik keluar Iphone.Menatal skrinnya seketika sambil tersenyum. Status dia sebagai doktor pakar perubatan memudahkan segalanya.
Tanpa mahu melihat keadaan si isteri dia langsung bergerak ke arah tangga. Dia mahu memberi kata dua pada pengasuh Boy pula agar menjaga mulut jika mahu kerja lama lagi.
"Apa yang kau berdua sembangkan tadi?" Tanpa salam. Tanpa panggilan hormat. Khir yang muncul secara tiba-tiba itu langsung bersuara.
"Kus semangat..." balas Siti perlahan sambil memegang dadanya yang terperanjat.
"Jangan nak terkejut sangatlah! Soalan aku tadi kau masih tak jawab," tukas Khir enggan berlengah. Tak mahu Puan Sri Rosiah syaki apa-apa.
"Sembang biasa-biasa je Tuan. Takde apa-apa pun," jawab Siti seringkali menunduk saat bersemuka dengan majikannya itu.
"Saya bukan nak larang awak bersembang tapi ingat ya pesanan saya tu," ujar Khir beri amaran dalam ketenangan bicaranya itu. Siti laju saja mengangguk.
"Bagus. Buat kerja awak elok-elok. Itu saja yang saya mintak," sambung Khir lagi. Nada suaranya mendatar, namun matanya mencerun tajam menancap wajah Siti yang masih menunduk ketakutan.
Siti hanya mampu menelan liur yang terasa kesat. Selepas kelibat Khir berpaling dan melangkah menuju ke ruang tamu. Barulah dada Siti terasa lapang sedikit. Namun begitu, jantungnya masih mengepam laju. Ada sesuatu pada pandangan Khir yang sentiasa membuatkan bulu romanya meremang tetapi demi sesuap nasi, dia terpaksa mengeraskan hati.
Sementara itu di tingkat atas, Fazlin memicingkan matanya apabila terdengar bunyi keriutan halus pada pintu biliknya. Keadaan yang tadinya sunyi sepi. Tba-tiba, diubat dengan bunyi tombol pintu yang dipusing dari luar. Hati Fazlin berdegup kencang.
' Abang dah balik?'
Dia cuba mengerengkan badannya, menahan sakit yang kembali menyengat di bahagian pinggang. Matanya merenung tepat ke arah daun pintu yang mula terbuka sedikit demi sedikit. Tiada lagi bunyi seretan rantai keluli mahupun dentingan mangga yang sering menjadi hantu dalam lencongan fikirannya sejak kebelakangan ini.
"Lin? Ya Allah, bertuah punya budak... kenapa bergelap macam ni?"
Satu suara yang amat dikenalinya memecah kesunyian kamar. Susuk tubuh anggun Puan Sri Rosiah melangkah masuk dengan wajah yang sarat dengan kerisauan.
Melihatkan wajah ibunya, empangan air mata Fazlin yang baru sahaja mengering kini pecah semula. Rasa hiba dan keliru bercampur-baur menjadi satu.
"Ibu..." panggil Fazlin. Suaranya serak, tenggelam dalam esakan yang mendalam. Dia mahu bangun, dia mahu meluru memeluk ibunya namun tubuhnya tetap kaku di atas tilam, langsung tidak memberi tindak balas.
Puan Sri Rosiah segera meluru ke birai katil. Tangan tua itu terus meraba dahi dan pipi pucat anaknya, sebelum menggenggam jemari Fazlin yang terasa sejuk bagai ais.
"Kenapa menangis ni, sayang? Khir kata Lin tak sihat sangat, sebab tu ibu datang nak tengok. Kenapa badan Lin sejuk sangat ni?" Bertubi-tubi soalan keluar dari mulut Puan Sri Rosiah.
Anak matanya meliar dalam memeriksa keadaan fizikal anak perempuannya yang kelihatan jauh lebih cengkung daripada kali terakhir mereka bertemu.
Dia perlu mengadu. Dia mesti memberitahu ibunya tentang apa yang berlaku di dalam bilik ini.
"Ibu... Lin... Lin sebenarnya..."
Belum sempat ayat itu dihabiskan, daun pintu yang ternganga luas itu diketuk lembut dua kali.
Tok! Tok!
Khir berdiri di bendul pintu bersama senyuman yang cukup murni di wajahnya. Di tangannya, terdapat sebuah dulang kecil yang berisi segelas air suam dan beberapa biji ubat tablet.
"Ibu... Lin kena makan ubat dulu ni. Dah lewat jadualnya," potong Khir dengan nada suara seorang suami yang teramat prihatin, mematikan terus bait kata yang hampir meluncur dari bibir Fazlin.
Pandangan mata Khir beralih dari Puan Sri Rosiah sebelum beralih ke dalam mata Fazlin. Senyuman di bibir lelaki itu kelihatan mesra di mata si ibu tapi tidak pada Fazlin sekarang ini...
Share this novel
Sampainya hati kan.. its hurt.. tgok nnti akhirnya derita or bahagia..dok x guna..
Isteri tersakiti dlm diam.. kau curang , tak guna punya jantan?