BAB 1

Drama Series 173

Khir sedang berdiri tenang, membelek kepekatan kuah sebelum mengecilkan api dapur gas. ​Sambil memegang sudip, Khir menoleh ke sudut ruang makan.

     Sebuah buaian kain berayun perlahan, menampakkan sepasang kaki kecil yang sedang terawang-awang comel.

     ​"Anak papa... tunggu sekejap ya? Sup mama dah nak siap ni," kata Khir dengan nada suara yang sengaja diceriakan. Dia melangkah mendekati buaian lalu mencuit lembut pipi tembam bayi perempuan mereka yang baru berusia lapan bulan.

     ​Bayi itu mengekek suka, menendang-nendang udara apabila melihat wajah bapanya yang tersenyum manis. Khir tertawa kecil. Dia tertunduk lantas melabuhkan satu ciuman hangat pada dahi anaknya sebelum membetulkan kedudukan kain buai.

     ​"Jangan nakal-nakal tahu. Papa nak bawa makanan untuk mama di atas sekejap. Haris duduk diam-diam," bisik Khir lagi, penuh dengan kelembutan seorang bapa. Lagipun dia tahu, tak lama lagi Siti sang pengasuh Boy akan tiba.

     ​Khir melangkah semula ke kaunter dapur. Dia menyenduk sup yang masih berasap itu ke dalam mangkuk porselin lalu menyusunnya di atas dulang kayu, bersandarkan sebuah cawan kaca. Tangan sasa seorang pakar bedah itu bergerak begitu tangkas namun sangat berhati-hati.

     ​Sebelum mengangkat dulang, Khir menyeluk poket seluarnya. Dia mengeluarkan sebuah botol kecil berisi cecair pekat berwarna putih keruh. Dengan ketelitian seorang doktor, dia menitiskan cecair itu ke dalam cawan kaca mengikut sukatan yang sangat tepat, sebelum melarutkannya bersama sedikit air suam.

     "Sempurna," bisik Khir perlahan dengan senyuman yang sedikit melebar.

     ​Dia menjinjing dulang kayu itu dengan penuh cermat ke arah takah-takah tangga. Setiap langkahnya tersusun rapat, tanpa menimbulkan sebarang bunyi yang boleh mengejutkan seisi rumah yang sunyi.

     krek...

     ​Pintu bilik terkuak perlahan. Fazlin yang sedang berbaring lesu di atas katil menoleh lemah. Wajahnya yang pucat tanpa sebarang calitan mekap kelihatan begitu rapuh, tatkala terbias  cahaya lampu tidur yang samar.

     ​"Sayang, abang ada masakkan sup. Mari makan sedikit.  Nanti boleh makan ubat..." ujar Khir meletakkan dulang di atas meja sisi lalu duduk di birai katil.

     ​"Boy... macam mana di bawah? Dia tak meragam?" tanya Fazlin dengan suara yang hampir tenggelam.

     Setiap sendinya terasa luluh, seakan ada batu besar yang mengimpit dada setiap kali dia cuba menarik nafas sejak disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik.

     ​Khir tersenyum nipis. Jari-jemarinya yang dingin beralih mengusap pipi pucat Fazlin dengan penuh kelembutan, bagai sutera yang cuba memujuk duka.

     ​"Haris budak baik, dia tengah main dalam buai di bawah tadi. Sayang jangan risaukan anak, urusan Haris dengan rumah semua abang boleh jaga. Sayang cuma perlu fikir pasal kesihatan sayang saja," balas Khir dengan nada yang sangat romantis. Dia menyedut sedikit sup dengan sudu lalu ditiupnya lembut.

     "Buka mulut... nganga sedikit, sayang."

     ​Fazlin akur, menyambut suapan suaminya dengan hati yang sarat dengan keharuan. Air mata hampir bertakung di kelopak mata. Rasa bersalah sentiasa menghantui tangkai hati kerana merasakan dirinya sering menyusahkan suami.

    ​"Lin bernasib baik sebab ada abang. Kalau abang tak ada, Lin tak tahu apa akan jadi pada Lin dan Haris," luah Fazlin tulus sesudah menelan suapan ketiga.

     ​"Sebab itu abang tak pernah biarkan orang lain sentuh urusan ubat sayang. Hanya abang yang tahu apa yang terbaik untuk tubuh sayang ni," kata Khir sambil tangannya beralih mencapai cawan kaca yang berisi cecair keruh tadi.

     ​"Bau dia macam lain sedikit, abang. Rasanya pun agak payau," tegur Fazlin apabila cawan itu bertukar tangan. Dia merenung cecair tersebut dengan dahi yang sedikit berkerut.

     ​"Kenalan doktor abang cakap, mereka ada ubah sedikit formula untuk kurangkan sakit saraf sayang pada waktu malam. Minum ya? Biar sayang boleh tidur lena," pujuk Khir. Sepasang matanya yang redup merenung tepat ke dalam anak mata Fazlin, langsung tidak berkelip.

     ​"Baiklah, abang." Fazlin meneguk cecair itu sehingga habis walaupun tekaknya terasa kesat.

     ​Khir menyambut kembali cangkir kosong tersebut. Senyumannya kembali mekar melihat setiap titisan cecair itu selamat masuk ke dalam tubuh isterinya.

     "Good girl. Sekarang sayang rehat. Abang nak turun bawah sekejap, nak mandikan Haris dan kemas dapur."

     ​"Terima kasih, abang. Lin sayang abang."

     "Abang lebih sayangkan Lin. Tidur ya?" Ucap Khir lantas mengucup dahi Fazlin lama, sebelum melangkah keluar dan menutup rapat pintu bilik.

     ​Suasana kembali sepi. Sentuhan lembut Khir tadi meninggalkan rasa dingin yang aneh pada kulitnya. Fazlin memejamkan mata, membiarkan kehangatan sup dan ubat itu meresap ke dalam tubuhnya.

     ​Fazlin bersyukur kerana dia sedang dijaga oleh seorang malaikat yang tidak akan sesekali membiarkan dirinya terluka.

    ***

​Suasana kamar kembali diselimuti keheningan yang tebal, hanya berteman dengungan perlahan pendingin hawa.

     Di bawah selimut tebal, Fazlin cuba mengiringkan tubuhnya. Namun, rasa kebas yang mencucuk-cucuk di hujung jari kaki mula menjalar naik ke betis.

     ​‘Kesan ubat... abang kata ini normal,’ bisik hatinya jelas cuba mengusir rasa tidak selesa yang kian kerap bertamu, sejak sebulan lalu.

     ​Sebaik sahaja Khir melangkah melepasi anak tangga terakhir, senyuman manis yang dilemparkan kepada isterinya tadi pudar dalam sekelip mata. Wajahnya bertukar menjadi sebuah topeng yang dingin dan tanpa emosi.

     ​Dulang kayu diletakkan di atas kaunter dapur dengan hentakan yang sedikit kasar. Cawan kaca yang kosong dicapai. Khir tidak membasuhnya di singki. Sebaliknya, dia mengeluarkan sehelai tisu khas dari dalam poket apron lalu mengesat dinding dalam cawan itu dengan begitu teliti. Dia tidak mahu, ada sisa cecair putih itu tertinggal walaupun setitik.

     ​"Ehem... assalamualaikum, Tuan Khir." ​Satu suara wanita yang agak gementar menyapa dari arah pintu belakang yang sedia terdedah.

     Siti, wanita pertengahan umur yang diupah sebagai pengasuh kini,  berdiri  sambil memeluk beg tangannya rapat ke dada. ​Khir tidak menoleh. Tangan sasa itu masih ralit mengesat cawan.

      "Awak lewat sepuluh minit, Siti."

     ​"Maaf sangat-satu, tuan. Bas tadi lambat, jalan pula agak sesak," hujah Siti dengan dahi yang berpeluh. Dia segera melangkah ke arah buaian untuk mendapatkan Haris.

      "Mari sayang... ikut acik Siti ya? Kita mandi..."

     ​Prak!

     ​Siti tersentak. Langkahnya mati apabila melihat Khir menghempas cawan kaca itu ke atas kaunter dapur. Walaupun tidak pecah, bunyi itu cukup kuat untuk mendiamkan tangisan kecil  yang baru terjaga.

     ​Khir memusingkan tubuhnya perlahan-lahan. Sepasang matanya merenung Siti  dengan tajam seperti seorang pakar bedah yang sedang menilai sebilah pisau yang tumpul.

     ​"Saya bayar awak mahal bukan untuk dengar alasan tentang bas, Siti," kata Khir. Suaranya tidak tinggi malah sangat mendatar tetapi setiap butir perkataannya, bak satu ancaman maha halus.

      "Tugas awak mudah. Jaga anak saya, jangan masuk campur urusan tingkat atas dan pastikan, yang awak tu... balik tepat jam lapan malam. Boleh faham?"

     ​"B... boleh, tuan. Maafkan saya," jawab pengasuh itu. Kecut perut Siti dibuatnya. Dia segera mendukung Boy yang mula merengek, tidak berani memandang wajah majikannya itu lagi.

     ​Siti dah lama tahu, ada sesuatu yang tidak kena dengan keluarga ini. Puan Fazlin yang dahulunya sihat dan ceria, kini langsung tidak dibenarkan turun ke bawah. Malah, ubat-ubatan dan makanan wanita itu semuanya dikawal ketat oleh Khir. Pernah sekali Siti cuba membawa semangkuk bubur yang dibelinya di luar untuk Fazlin namun Khir telah membuang bubur itu ke dalam tong sampah di depan matanya sendiri sambil berkata.

     "Saya tak suka makanan luar mencemari diet isteri saya."

     ​"Siti," panggil Khir lagi, menghentikan langkah pengasuh itu yang mahu membawa Haris ke bilik air.

     ​"Ya, tuan?"

     ​"Kalau saya dapat tahu awak naik ke tingkat atas lagi tanpa izin saya... awak tahu apa akibatnya, bukan?" tegur Khir. Jungkitan senyuman itulah meresahkan Siti.

     ​"Tahu, tuan. Saya tak naik," angguk Siti laju-laju sebelum bergegas membawa Haris menjauhkan diri dari dapur.

     ​Khir kembali berpaling menghadap kaunter. Botol kecil berisi cecair pekat yang disembunyikan di dalam poket seluarnya dikeluarkan semula. Dia mengangkat botol itu separas mata, membelek sisa cecair di dalamnya dengan pandangan yang penuh kepuasan.

     ​"Sedikit demi sedikit, sayang... sehingga awak tak perlukan sesiapa lagi dalam dunia ni. Hanya abang," bisik Khir sendirian. Sebuah tawa halus yang sinis terlepas dari celah bibirnya.

     ​Sementara itu di tingkat atas, Fazlin terjaga apabila terdengar sayup-sayup bunyi dentuman pintu dari tingkat bawah. Kepalanya terasa sangat berat dan berpusing. Dia cuba bangun untuk membasuh muka namun kakinya terasa teramat lemah untuk menampung berat badan sendiri.

     ​Dengan nafas yang tercungap-cungap, Fazlin kembali merebahkan diri. Tekaknya terasa sangat kering. Sisa rasa payau ubat tadi masih melekat di lidah. Dia berpaling ke arah meja sisi, berniat untuk mencapai botol air mineral yang sering diletakkan Khir di situ.

     ​Namun, tangannya tersasar. Jemari Fazlin yang longgar terlanggar sebuah buku nota kecil berkulit kulit milik Khir yang terletak di tepi dulang sup.

     ​Buku itu jatuh ke lantai, terbuka di satu halaman yang bertulis tangan.

     ​Fazlin menundukkan kepala. Saat yang sama, cuba memicingkan matanya yang kian kabur untuk membaca tulisan kemas suaminya itu dalam remang cahaya lampu tidur. Ia kelihatan seperti sebuah jadual tetapi bukan jadual tugas di hospital.

​Minggu 1 - 2: 2 titis (Simptom awal: Kelesuan, pening ringan)

Minggu 3 - 4: 4 titis (Simptom: Sakit saraf, kebas anggota badan)

Minggu 5: Gagal fungsi organ menyeluruh.

     ​Dahi Fazlin berkerut kerana kesakitan yang dialaminya makin kuat. Tulisan itu juga berbalam-balam sehingga menyukarkan pembacaannya.

     ​Belum sempat Fazlin  memaksa untuk membaca lagi. Cuping telinganya menangkap bunyi derapan langkah kaki yang sedang mendaki anak tangga. Seseorang sedang menuju ke biliknya dengan langkah yang sangat pantas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience