BAB 6

Romance Completed 9928

“Kami datang ni membawa hajat, rasanya biar kami berterus terang saja. Kami ni datang nak meminang Najwa untuk anak kami Razif,” suara Haji Leman begitu jelas. Hashim dan Samsiah terus sahaja berpandangan. Sesungguhnya mereka langsung tidak tahu dengan kehadiran rombongan untuk merisik anaknya pada hari ini.

“Tak payahlah kamu nak fikir panjang-panjang lagi Hashim, Siah, kamu terima sahaja pinangan ni. Lagipun sampai bila kamu berdua nak terima penghinaan daripada orang kampung pasal hal dulu tu,” Lebai Johari pula bersuara bagi pihak keluarga Razif.

“Bukan kami nak menolak Pak Lebai, tapi ini soal hidup Najwa, satu-satunya anak perempuan kami, kami tak boleh nak terima pinangan ni kalau kami tak tanya dia dulu,” jawab Hashim lembut. Dia tahu, dia sudah banyak menerima penghinaan di atas pertunanga anaknya yang terputus dahulu tetapi dalam soal penting begitu pendapat Najwa masih lagi diutamakan.

“Kami tahu, anak kami tak adalah sehebat anak Ana tu, yalah! Siapa yang tak kenal dengan Faez yang dah jadi jurutera terkenal dekat KL kan. Tapi Razif anak kami pun apa kurangnya. Memang la dia bukannya lulusan luar negara tapi dia pun berjaya juga. Tak lama lagi dia dah nak mulakan kerja, dia nak buka perniagaan dengan abang-abang dia dekat KL juga. Dia pun boleh bagi kesenangan pada Najwa!” Hajah Rogayah pula menyampuk. Sekali lagi Samsian dan Hashim berpandangan.

“Begini sajalah, biar kami tanya anak kami dulu. Lagipun Wawa tak ada kat rumah sekarang ni. Dia belum balik kerja lagi,” Samsiah bersuara lembut.

“Wawa terima pinangan ni ibu, ayah! Maafkan Wawa kalau Wawa biadap. Tapi Wawa terima pinangan ni,”

Semua mata terus sahaja tertumpu pada wajah Najwa yang sedang berdiri di muka pintu rumahnya. Samsiah terus sahaja bangun dan berjalan mendapatkan anaknya. Tangan anaknya segera digenggam dengan erat. Dia memandang jauh ke dalam mata ankanya dan inginkan kepastian sama ada apa yang baru sahaja dia dengari sebentar tadi adalah pengakuan ikhlas daripada anaknya.

“Wawa, Wawa tak perlu nak bersetuju disebabkan nak jaga nama baik ibu dan ayah. Kami tak akan paksa Wawa kalau Wawa tak suka,” suara lembut Samsiah membuatkan Najwa tersenyum memandang wajah ibunya.

“Wawa ikhlas ibu. Kalau Wawa ditakdirkan kahwin dengan Razif, Wawa redha ibu. Kalau dah itu memang jodoh untuk Wawa,” Najwa cuba menenangkan kembali ibunya dengan membalas genggaman tangan ibunya dengan begitu kuat.

“Kalau dah tuan badan bersetuju, kita tunggu apa lagi. Boleh la kita tetapkan tarikh pertunangannya sekarang ni,” Lebai Johari tersenyum gembira, begitu juga dengan seisi tetamu yang lain. Masing-masing mengangguk dan bersetuju dengan cadangan yang baru sahaja dicadangkan oleh Lebai Johari.

“Maaf, boleh saya cakapkan sesuatu?” Wawa melangkah perlahan menuju ke arah tetamu yang sedang duduk bersila di tengah-tengah rumah usangnya itu.

“Cakaplah Wawa, apa yang Wawa mahukan. Mak cik akan ikut apa sahaja permintaan Wawa,” Hajah Rogayah tersenyum bangga. Siapa sangka gadis yang paling diminati oleh anak muda kampung bakal menjadi menantunya. Walaupun sudah banyak cerita yang tidak enak yang dia dengar daripada orang kampung mengenai Najwa namun dia langsung tidak kisah. Apa yang dia tahu dia bakal mempunyai menantu yang sememangnya mempunyai raut wajah yang cantik dan sedap mata memandang.
“Wawa nak perkahwinan Wawa ni hanya dilakukan secara kecil-kecilan sahaja dan kalau boleh Wawa tak nak ada majlis pertunangan,”

Hajah Rogayah terus sahaja memandang suaminya untuk mendapatkan persetujuan. Haji Leman mengangguk perlahan. Baginya persetujuan Najwa untuk berkahwin dengan anak bongsu mereka sudah memadai. Dia dan isterinya susah bosan mendengar rengekan anak bongu mereka itu yang betul-betul tergilakan Najwa. Tambahan pula, dia berharap sangat agar Najwa boleh membimbing anaknya itu agar berubah dan menjadi lelaki yang berguna. Dia dan isterinya sudah tidak berdaya lagi untuk menasihati Razif agar berubah.

“Kalau dah itu permintaan Najwa, kami setujulah!” senyuman Hajah Rogayah semakin lebar. Samsiah dan Hashim hanya terdiam seribu bahasa. Mereka langusng tidak menjangkakan jawapan yang telah diberikan oleh anak perempuannya itu. Selama ini dia tahu, satu-satunya lelaki yang bertaktha di dalam hati anaknya itu hanyalah Faez seorang sahaja. Tambahan pula lelaki yang bakal dikahwinkan dengan anak perempuanya itu sememangnya terkenal di seluruh kampung sebagai anak muda yang sering menadi kutu rayau dan agak nakal semenjak usia remajanya sehinggalah kini.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience