BAB 8

Romance Completed 9930

Perasaan Razif tidak menentu. Semenjak dia tahu kedatangan Faez ke rumah Wawa untuk menghalang perkahwinannya dengan gadis itu membuatkan dia diruntun rasa bimbang dan takut. Dia bimbang sekiranya dia akan kehilangan Najwa. Gadis yang dipuja sejak dia remaja lagi. Dia mencapai jaket yang tersangkut di paku yang terlekat di dinding dan terus melangkah keluar.

“Kamu nak ke mana malam-malam buta ni Razif?” suara Hajah Rogayah kedengaran agak nyaring. Dia menoleh memandang wajah ibunya namun langsung tidak menjawab pertanyaan yang diajukan oleh wanita itu. Dia terus membuka pintu rumahnya yang sudah terkunci dan terus melangkah keluar.

Dia menghentikan motornya agak jauh dengan rumah Najwa. Dia tidak mahu bunyi enjin motornya akan membuatkan keluarga Najwa mengetahui akan kedatangannya. Niatnya hanya satu, dia akan pastikan Najwa tidak akan melarikan diri mengikut Faez dan meninggalkannya. Walaupun dia tahu, Najwa bukannya jenis gadis yang begitu namun perasaan takut dan risau tetap juga ada.

Razif melangkah perlahan dan terus menuju ke tingkap bilik Najwa. Dari celahan dinding bilik Najwa, dia dapat melihat ada cahaya yang samar-samar dari bilik itu. Mungkin hanya gadis itu sahaja yang masih belum tidur memandangkan seluruh kawasan rumah sudahpun gelap gelita kecuali bilik Najwa. Dia tersenyum gembira. Sekurang-kurangnya dia tahu Najwa masih berada di dalam biliknya. Razif cuba untuk mencari di sekitar dinding bilik Najwa sekiranya terdapat lubang besar untuk dia melihat sama ada gadis itu berada dia dalam biliknya. Setelah beberapa minit dia terjenguk-jenguk di celahan dinding bilik Najwa akhirnya dia menemui satu lubang yang sedikit besar. Walaupun dia tidak dapat melihat dengan jelas kelibat gadis itu namun dia dapat melihat gadis itu sedang berteleku di sejadah dengan lengkap bertelekung. Ada sedikit perasaan aneh menusuk ke kalbunya ketika itu secara tiba-tiba.

“Kau memang baik Wawa,” detik hatinya. Dia tersenyum. Setelah berpuas hati dia cuba untuk melangkah dan meninggalkan kawasan rumah Najwa. Namun belum sempat dia melangkah, telinganya menangkap sesuatu yang menarik minatnya.

“Ya Allah yang Tuhanku Yang Maha Pemurah lagu Maha Mengasihani. Hanya kepada Kau aku bermohon dan hanya kepada Engkau aku meminta pertolongan Ya Allah. Ya Allah yang Tuhanku, hanya Engkau Yang mengetahui segala-galanya. Hanya Engkau yang mengetahui apa yang aku rasakan sekarang ini. Ya Allah Ya Tuhanku, sesungguhnya dugaan yang Engkau berikan kepadaku begitu berat sekali ya Allah. Kau kuatkanlah semangatku untuk terus bertahan menghadapi semua ini. Kau berikan aku kekuatan untuk memaafkan dia dan menerimanya sebagai suamiku dengan hati yang redha Ya Allah. Walaupun aku tahu dialah yang telah merampas kesucian diriku tetapi aku redha jika ini adalah ketentuanMu. Jika Engkau telah tetapkan bahawa dialah jodohku Ya Allah, akan aku terima dengan hati yang terbuka. Aku tahu apa yang berlaku pasti ada hikmah disebaliknya,”

Hati Razif seperti disentap. Tubuhnya menggeletar dengan tiba-tiba. Dia terduduk di tanah dan dadanya tiba-tiba sahja terasa sesak dan sukar untuk bernafas. Benarkah apa yang dia dengar sebentar tadi. Benarkah Najwa sudah lama mengetahui bahawa dia yang telah merampas kesucian gadis itu selama ini, bahawa dialah yang telah memperkosa Najwa pada petang itu. Tetapi kenapa gadis itu hanya mendiamkan diri? Mengapa gadis itu masih sudi menerima pinangannya? Pelbagai soalan menerjah ke dalam benak fikirannya. Perasaannya sudah tidak menentu. Dia sudah keliru dengan perasaanya ketika itu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience