Guruh berdentum sekali dua. Menyemarakkan lagi hujan yang sedang turun untuk terus turun dengan tiada maafnya. Deruan angin yang berkejaran di luar menghuru-harakan ranting-ranting pokok yang tinggi dan memaksa hujung jari-jemarinya menyapa permukaan cermin tingkap bilik tidur Amanda yang berada di tingkat atas.
Jarum saat jam terus berputar, membawa jarum minit ke kedudukan dua puluh tujuh minit melepasi penanda aras tengah malam. Mata Amanda masih belum mahu terpejam.
Pandangan matanya di letakkan di tingkap bilik yang diketuk ranting pokok sedari tadi. Sekali dua pancaran cahaya menerjah masuk menembusi kain langsir di sebalik tingkap bilik.
Amanda masih memikirkan perihal yang berlaku kepadanya siang tadi. Juga video yang di saksikannya di rumah Anna. Serta kata-kata yang di sebutkannya. Satu idea yang buruk. Yang tersangat-sangat buruk. Fikir Amanda. Anna menghantarnya pulang selepas mereka bersantai di bilik menonton filem yang baru di muat turun oleh Anna dari laman sesawang yang membekalkan filem-filem terbaru yang tersedia untuk dimuat turun secara percuma selepas santapan makan malam yang sangat menyelera dan mengenyangkan.
Dia menarik selimutnya menyelubungi seluruh badan. Suasana biliknya yang menjadi agak sejuk mula menghimpit ruang hangat yang kebiasaannya menjadi penghuni tetap bilik itu. Matanya di tutup sepenuhnya cuba untuk menghayati suasana yang sedang berlaku di sekeliling. Juga berharap untuk terus masuk ke dalam tidurnya dan berehat. Apa yang berlaku pada hari ini teramat-amat membuatkan dirinya terasa letih dan kepenatan lebih dari hari-hari biasa yang di laluinya setiap hari.
Sudah hampir dia hanyut ke dalam tidur, pintu biliknya di ketuk perlahan. Daun pintu di kuak nipis membuka sedikit celahan yang membenarkan cahaya dari ruang legar diluar bilik menceroboh masuk mencium lantai dan diding bilik.
"D?" kepala ibunya menjenguk ke dalam bilik, mencari anaknya yang yang sudah terbaring di atas katil.
Amanda berpusing dan memandang ibunya yang masih berada di daun pintu bilik.
"Ya ma?"
"Boleh mama masuk?"
Amanda hanya menganggukkan kepala, sambil cuba bangkit dari pembaringannya mencari posisi duduk yang selesa juga untuk ibunya datang dan duduk di sisi.
"D ok?" ibunya bertanya sambil melabuhkan punggung di sisi tepi katil Amanda yang begitu empuk.
"Ok ma." Balas Amanda pendek.
Ibunya hanya mengukirkan senyuman sambil mengangkat tangan kanan mencari rumpun rambut anak perempuannya itu. Di usap perlahan kepala Amanda.
"Mama harap D tidak terlalu memikirkan sangat tentang perkara yang berlaku siang tadi."
"D ok ma. Betul." Amanda cuba meyakinkan keraguan ibunya itu yang barangkali masih menghuni separuh hati merisaukan dirinya. Ibunya hanya tersenyum.
"Ayah dah balik, ma?" teringat Amanda kepada bapanya.
"Belum lagi. Mungkin lewat lagi." Ibu Amanda menarik selimut yang di badan Amanda dan menyelimuti dirinya sehingga ke paras bahu. Amanda baring semula seperti tadi.
"Kami sepatutnya ada permainan catur malam ini. Ayah kalah perlawanan terakhir kami pada minggu lepas. Dua kali. Teruk. " bangga Amanda.
"Mama tahu. Ayah ada beritahu Mama. Dia cakap yang D sudah jauh lebih hebat dari mula-mula dia mula bermain dengan D dahulu." balas ibunya.
"Betul?. Ayah beritahu mama?. Haha!" gelak Amanda kecil.
"Tapi D rasa ayah saja biarkan D menang game tempoh hari. Sebab semua taktik yang ayah guna langsung tidak masuk akal." Sambungnya lagi.
"Ayah memang seseorang yang suka melakukan eksperimen dalam apa jua yang di buatnya. Dia cuma hanya mahu melihat kebarangkalian dan pandangan yang berbeza dari yang lain. Itu sahaja."
"Tetapi, perkara itulah yang membuatkan ayah D seorang lelaki yang pandai dan bijak. Dan istimewa." sambung ibunya lagi.
"Hmm." Amanda mengherotkan mulut dan mengerutkan dahi tanda persoalan.
Ibunya hanya tersenyum kecil tanda mengerti dengan reaksi yang di ukir di wajah Amanda.
"Bagi dia masa. Dan mama pasti D akan faham dengan apa yang mama beritahu. Dia sayangkan D lebih dari apa yang ada di dunia ini."
"D tahu ma. D juga sayangkan mama dan ayah." Jawab Amanda perlahan.
Dia sedar yang ibu dan bapanya adalah keluarga yang tiada gantinya di dunia atau di mana-mana sekali pun. Ibunya merapatkan badan mencium dahi.
"Selamat malam, D."
"Selamat malam, mama."
Ibu Amanda bangun dari katil dan menuju ke pintu bilik. Sebelum keluar, dia sempat melihat ke arah Amanda dan tersenyum. Pintu bilik di tutup perlahan sepenuhnya meninggalkan bilik itu kembali gelap seperti keadaan sebelumnya.
Hujan yang masih lebat di luar melemahkan semua deria rasa Amanda untuk hanyut sepenuhnya ke dalam tidur. Mata di pejam. Badan di rehatkan sepenuhnya. Amanda terus tertidur.
Ibu Amanda turun dengan perlahan tangga rumah yang menghubungkan tingkat atas dengan ruang rehat di bawah. Dia melabuhkan punggungnya di atas sofa kelabu yang empuk di ruang tamu utama rumah. Di garapnya telefon bimbit yang terletak di atas meja kaca kecil yang terletak di tengah-tengah rumah di hadapannya. Jari halusnya mengetik-ngetik ruang permukaan telefon mencari sesuatu yang di tunggunya sedari tadi. Ruangan mesej dan log keluar masuk panggilan di periksa teliti.
Mukanya berkerut menandakan kerisauan yang datang menghimpit. Persoalan demi persoalan datang membadai hati dan pemikirannya. Seolah-olah terdapat banyak perkara yang tidak mengikut rutin berlaku pada hari itu.
"Abang di mana?." Bisiknya seorang diri selepas tiada satu pun mesej dan panggilannya di balas.
Ibu Amanda sekali lagi menekan-nekan punat digital di permukaan telefonnya itu. Dan menekan punat Hantar.
Share this novel