2

Zombie Series 1394

Sudah hampir tiga jam. Hujan masih tiada tanda-tanda yang ianya akan berhenti. Malah cuaca berubah menjadi semakin lebat.

Cuaca di luar kedai buku semakin gelap. Wafa yang sudah hampir menghabiskan buku novel pendek yang dibacanya sedari tadi mula menjadi gelisah.

Dia melihat jam di tangan. Kemudian dia mengeluarkan telefon dari poket begnya untuk memeriksa jika terdapat mesej dari sesiapa, terutama sekali dari ibu atau bapanya. Peti simpanan teks mesej masih tersimpan mesej yang diterima dari ibunya beberapa jam tadi. Tiada mesej yang baru. Juga tiada panggilan. Dari sesiapa pun.

Wafa menutup buku dan bangun dari tempat duduk. Dia melihat keadaan di sekeliling kedai. Tertanya-tanya jika hanya dia seorang diri yang menjadi pelanggan kedai buku itu, yang tersangkut di dalam hujan pada hari itu.

Selain Wafa, terdapat seorang lelaki dewasa dan tujuh orang perempuan termasuk dua kanak-kanak yang lain sedang mencari buku-buku mereka di rak-rak buku. Wafa berasa sedikit lega. Padanya, ada juga orang lain yang berkongsi pengalaman dan jalan cerita yang sama dengan dirinya pada hari itu.

Dia meletakkan kembali buku di tangan ke raknya semula dan berjalan menghampiri pintu masuk kedai buku. Matanya memerhati keadaan di luar kedai dari sebalik pintu kaca yang besar itu.

“Hujan masih belum berhenti. Wafa mahu balik macam mana?” sapa En. Upperswitch yang sedang duduk membaca surat khabar di kaunter bayaran.

“Hari dah gelap sangat, En. Upperswitch. Kena redah. Kalau tunggu lagi, mungkin sampai ke malam.” jawab Wafa.

Dia kelihatan seperti sudah menimbang keputusan untuk bergerak pulang dengan sebaik-baiknya.

“Betul lah tu. Tapi Wafa ada bawa baju hujan?” tanya En. Upperswitch lagi.

Wafa menggelengkan kepala menjawab. Kebiasaannya dia akan membawa baju hujan atau payung kecil yang boleh dimuatkan ke dalam beg galasnya. Tetapi bila teringat betapa kelam kabutnya pagi tadi semasa dia hendak ke sekolah, terasa sedikit kekesalan akibat keterlewatannya itu.

“Tak apa, En. Upperswitch. Saya sudah biasa meredah hujan.”

“Bahaya lah Wafa. Nanti pakcik pinjamkan payung ya.”

“Eh, tak apa En. Upperswitch. Betul, saya ok. Lagipun saya menunggang basikal hari ini. Jadi agak sukar untuk membawa payung sambil mengayuh.” Wafa memberi penjelasan yang kukuh untuk menolak tawaran En. Upperswitch dengan baik supaya dia tidak kedengaran seperti terlalu biadap.

“Nanti saya datang balik untuk beli buku yang baru saya baca tadi. Nak beli sekarang, takut basah kena hujan nanti. Rosak buku,” sambung Wafa.

“Baiklah. Balik ke rumah elok-elok dan hati-hati. Hujan-hujan macam ni macam-macam kemalangan boleh berlaku.” nasihat En. Upperswitch. Dia menjengukkan kepalanya cuba meletakkan pandangan matanya ke ruang langit yang semakin kelabu.

“Baik, En. Upperswitch. Jumpa lagi.”

Wafa keluar dari kedai dan berdiri di bawah anjung kedai bagi mengelak dibasahi hujan. Wafa memandang ke kanan. Kemudian ke kiri. Dia merangka perjalanan yang akan diambilnya.

Jika dia mengambil keputusan untuk mengambil jalan di sebelah kirinya, trek jalan basikal yang akan dilaluinya melalui kawasan kilang yang ditakuti untuk sampai ke rumah. Dalam keadaan yang basah dan gelap, pemandangan di kawasan itu menimbulkan rasa yang lebih menakutkan dari biasa. Namun jalan itu lebih dekat berbanding jalan di sebelah kanan.

Jalan di sebelah kanan akan membawa dirinya ke kawasan semak tinggi dan padang rumput yang lebih lapang selepas itu berbanding jalan di sebelah kiri. Walaupun begitu, jalan itu lebih dipenuhi dengan kawasan perumahan yang terletak berhampiran dengan kawasan itu. Namun jalannya mengambil masa yang lebih lama untuk sampai ke rumah disebabkan jaraknya yang lebih jauh berbanding jalan di sebelah kiri.

Selepas beberapa ketika, Wafa mempersiapkan dirinya untuk meredah hujan. Dia membutangkan jaket selepas menyelit begnya ke bahagian dalam jaket. Dia berlari anak untuk mendapatkan basikalnya. Lalu dia terus meluncur ke jalan sebelah kanan. Titisan air hujan yang pertama jatuh menyapa kepala Wafa sekaligus menawarkan amaran kepadanya akan jenis hujan yang bagaimana akan menerjah membasahi sebelum deraian kawanan titisan hujan yang lain jatuh menderap kasar di bahu dan lengannya. Dalam sekelip mata hujan terus membasahi dirinya.

Wafa mengayuh basikal di dalam keadaan berhati-hati. Tidak lah dia laju, juga tidak perlahan. Pesanan En. Upperswitch sebentar tadi memberi visual kurang menarik di kotak pemikirannya. Jalan licin. Bermacam perkara boleh berlaku. Kata-kata En. Upperswitch tadi menjadi tembok mental yang menghalang keinginan dirinya untuk terus memecut lebih laju.

Simpang jalan utama untuk masuk ke kawasan pekan itu telah pun berada di belakang Wafa beberapa meter. Selepas melepasi lampu trafik simpang empat yang bengkok tiangnya akibat dilanggar oleh sebuah lori ais minggu lepas, jalan yang lurus dan terus terhampar menjadi trek mudah untuk Wafa mengemudi kayuhan basikalnya di dalam hujan yang lebat itu.

Tiada sebarang kereta atau motosikal yang lalu di jalan yang diambil Wafa. Walau selepas beberapa minit kayuhan, Wafa masih lagi tidak bertembung dengan sebuah kenderaan pun. Mungkin kerana hujan, orang lain hanya duduk di rumah, fikir Wafa.

Dalam keadaan dirinya yang sudah basah kuyup, Wafa mula terasa sejuk hingga ke tulang apabila angin kencang bertiup. Perasaan kurang selesa mula terlahir di dalam dirinya terhadap pakaiannya yang basah dan melekat di tubuh badan. Putaran kayuhannya pula dirasakan sedikit sukar bila arah laluan pengemudian basikalnya menjadi musuh kepada tiupan arah angin apabila treknya bertukar menjadi bertentangan dengan arah laluan angin yang sedang bertiup kencang menghempaskan sisa udara ke wajahnya.

Kasut hitam yang dipakainya menjadi lencun dengan air lecah dan becak yang bersatu di dalam kawasan berlopak di atas trek laluan kayuhan basikalnya. Kewujudan beberapa takungan air itu sedikit memberi rintangan dan mencabar keselamatan kepada Wafa.

Guruh berdentum kedengaran sedikit jauh dari atas kawasan hujan di atas kepala Wafa. Sekilas pandangan ke ufuk menampak beberapa carikan bercahaya mencakar bumi seperti sebatang garfu gergasi mencucuk dan membenamkan ke tanah. Jauh di hatinya berharap agar dia sempat untuk sampai ke destinasi sebelum kawanan kilat itu beralih arah ke ruang udara kelabu di atas kepalanya.

Agak seriau bila memikirkannya. Imaginasi Wafa menjadi sedikit meliar membayangkan perkara yang tidak boleh digambarkan oleh gambaran mata kasar manusia. Dia cuba mengukur tahap kesakitan yang mungkin boleh dihadapi dengan kemampuan manusia untuk menerima tenaga elektrik yang dipam masuk ke seluruh pelusuk tubuh badan melalui setiap pembuluh darah, setiap rangkaian urat saraf, setiap sel, setiap pigmen, setiap nadi, dengan skala voltan yang teramat tinggi. Betapa sakitnya jika seseorang itu dipanah petir memang benar-benar di luar jangkaan manusia.

Wafa menghampiri kawasan semak tinggi. Kawasan itu menjadi sedikit gelap akibat dari bayang-bayang semak liar dan pokok-pokok yang teguh berdiri di sisi jalan. Wafa tahu yang dia perlu lalu kawasan itu untuk jangka masa yang pendek memandangkan kawasan itu tidaklah seluas seperti kawasan rumput hijau yang lapang terletak di hadapan.

Dari jauh dia terlihat dua kelipan cahaya merah berkelip-kelip di bahu jalan. Wafa tertanya-tanya. Di dalam keadaan hujan yang lebat dan cuaca yang kelabu, ianya sedikit membataskan tahap visual matanya. Dia perlahan-lahan menghampiri dan berhati-hati.

Kelihatan sebuah kereta terbabas menghentam sebuah pokok besar di bahu jalan. Bahagian depan kereta rosak teruk dan mengeluarkan kepulan asap. Lampu kecemasan berkelip-kelip di bahagian belakang kereta. Pintu bahagian pemandu terbuka. Beg angin kecemasan kemalangan berwarna putih kelihatan sudah meleper kehabisan angin di bahagian pengemudian pemandu kereta itu. Cermin kereta itu hancur berderai. Hanya satu cermin penumpang belakang sahaja yang masih tercantum teguh. Ada percikan cecair likat berwarna biru dan merah kelihatan melekat pada cermin penumpang dan bahagian belakang kereta. Selebihnya mengalir dan menitis keluar dari ruang pintu kereta tertutup yang berlubang akibat dari kemalangan itu. Merah dan biru, bersebelahan.

Wafa tidak terus mendekati kawasan kemalangan itu kerana dia dalam keadaan yang agak terkejut. Kejadian kemalangan di hadapan matanya bukanlah perkara enak yang disaksikannya setiap hari. Namun dia cuba kuatkan diri. Dia menolehkan pandangannya ke belakang untuk seketika dan kembali ke hadapan, melangkaui kawasan kemalangan di hadapannya mengharapkan agar ada satu atau dua kenderaan yang akan lalu menggunakan jalan di situ. Apa jua kenderaan pun. Ianya akan menjadi sangat-sangat membantu pada ketika itu. Tetapi harapan kecilnya menghampakan.

Wafa perlahan-lahan menolak basikalnya menghampiri kereta. Dalam masa yang sama, ekor anak matanya dapat menangkap satu lagi visual yang lain di tengah-tengah jalan tidak jauh dari kereta itu. Terlihat sekujur tubuh seorang lelaki terdampar terlentang penuh dengan darah di badan dan mukanya.

Wafa terhenti. Matanya melilau melihat ke arah kedua-dua kereta dan jasad di hadapannya. Menilai betapa gentingnya keadaan pada waktu itu. Mungkin ada lagi mangsa lain yang tersangkut di dalam kereta yang remuk itu. Atau mungkin hanya dia seorang diri sahaja. Dia harus tahu apa yang perlu dilakukan. Wafa membuka butang jaket dan mencari beg di bahagian dalam dengan tujuan mencari telefon untuk menghubungi ambulans. Dia tahu perkara itu yang sepatutnya dilakukan dahulu sebelum dia bertindak melakukan perkara yang lebih lanjut. Wafa meraba-raba bahagian dalam beg.

Dalam beberapa ketika, terdapat suara yang datangnya dari kujuran tubuh lelaki yang sedia terlentang di hadapan Wafa. Wafa terhenti meraba dan mengalihkan pandangan matanya ke arah jasad yang disangkanya sudah menjadi mayat. Dia memerhati dengan degupan jantungnya yang kencang.

Wafa terlihat sedikit gerakan pada bahagian tangan lelaki yang sudah berlumuran dengan darah itu. Badan lelaki itu bergerak perlahan dalam cubaan untuk memusingkan badannya yang terlentang. Tangan dan kakinya bergerak seperti tidak bertulang. Dia kembali kaku sesudah berpusing tertiarap di atas permukaan jalan yang basah dan bertakung dek air hujan. Baju kemeja putih yang dipakainya koyak, basah dan merah.

Wafa tidak berkata apa-apa. Dia masih kaku di tempat dia berdiri. Menyaksikan detik-detik yang cemas di hadapannya.
Sekali lagi lelaki itu bergerak dan cuba bangun dari tempat dia terbaring. Sambil mengeluarkan suara seperti seseorang yang sedang bergumam. Bila dia sudah hampir berjaya berdiri, dia jatuh semula terjelepuk ke atas jalan akibat dari kecederaannya yang sangat parah.

Wafa hanya memerhati dalam keadaan dirinya yang kurang baik.

“Encik! Encik ok?!” Wafa memberanikan diri bertanya. Dari tempatnya berdiri, deria hidu Wafa dapat menangkap satu aroma bau yang sangat hanyir dan meloyakan. Bau darah yang sangat menebal datangnya dari jasad di hadapan Wafa yang berdarah teruk di seluruh muka dan badan sehingga mampu menembusi ruang bau hujan yang sedang turun dengan lebat.

Ianya berselang dengan satu lagi bau yang lain yang menerawang di kawasan tersebut: seperti bau bahan kimia yang digunakan oleh pencuci kenderaan untuk mencuci badan kenderaan, khasnya untuk menghilangkan kotoran yang sukar di tanggalkan oleh pancuran air biasa dan sabun atau bahan kimia yang mereka gunakan di setiap pasar basah untuk mencuci peti sejuk dari sisa-sisa dan darah daging-daging yang disimpan di dalamnya; bercampur dengan bau tar yang terdapat di dalam setiap puntung rokok yang sering dihisap di rumah setiap kali bapanya menghisap rokok secara berterusan sepanjang hidupnya; dan dia tahu jejak bau itu datangnya dari cecair merah dan biru yang tertumpah dari kereta ke atas rumput di gigi jalan.

Tiada jawapan dari lelaki tersebut. Dia sekali lagi cuba untuk bangun dan berdiri. Darah yang mengalir dari badannya menitis dengan banyak. Sedikit demi sedikit ianya menjadi takungan air berwarna merah di kakinya. Kali ini lelaki tersebut berjaya berdiri sepenuhnya membelakangi Wafa.

Wafa dapat melihat keseluruhan tubuh badan lelaki tersebut. Terdapat sedikit tanda tanya yang terus menghambat benak hati Wafa apabila melihat keadaan lelaki tersebut yang seakan-akan tidak normal. Kepalanya seperti sedikit melentok ke bahu kanannya. Tangan kiri lelaki itu pula seperti sedikit lebih panjang dari tangan kanannya. Ianya terkulai dan berdarah dengan banyak. Apa yang menjadi tanda tanya padanya ialah bagaimana seorang manusia normal yang mengalami kecederaan sebegitu rupa mampu lagi untuk bangun dan berdiri.

Lelaki itu sekali lagi mengeluarkan suara tanpa perkataan. Wafa hanya melihat dengan penuh rasa hati-hati. Rasa takut sedikit mula menular dari lubuk hatinya. Keadaan yang sedang dihadapinya itu tidak pernah dia rasakan sepanjang hidupnya sebelum ini.

“Encik? Encik ok?” sekali lagi Wafa bersuara. Kali ini lebih kuat.

Namun tiada respon dari lelaki yang sedang berdiri dengan kecederaan yang amat parah beberapa meter dihadapannya. Wafa merasakan mungkin disebabkan hujan yang lebat, suaranya mungkin sedikit tidak kedengaran dengan jarak seperti itu. Wafa masih kaku berdiri. Matanya terkunci pada jasad di depannya.

Lelaki yang bergumam sedari tadi itu, mula berpusing sisi perlahan-lahan ke arah kanan dan mula berjalan terhencut-hencut ke arah semak yang tinggi di sisi jalan.

Wafa cuba melihat wajah lelaki itu. Pandangan matanya memaku ke arah sisi kepalanya yang sedang terlentok lemah. Keadaan muka yang agak parah itu menimbulkan rasa ngeri kepada Wafa. Muka yang hampir hancur itu membentuk sedikit tanda tanya kepada di lubuk hati Wafa. Bagaimana mukanya boleh menjadi sedemikian rupa sedangkan terdapat beg angin kecemasan kemalangan yang sudah dipam keluar dari stereng kereta yang sepatutnya bertujuan melindungi keselamatan pemandu. Dia tidak sedaya upaya untuk mencapai jawapan logik yang terawang-awang di ruang imaginasinya pada waktu ini.

Dia mengambil keputusan untuk tidak terus bertanya dan berdiam diri. Melihatkan keadaan seperti itu, dia sedar tiada siapa yang boleh bertindak normal bila berdepan dengan situasi yang sedang dihadapinya.

Lelaki yang kelihatan separuh mati itu berjalan terhencut-hencut ke dalam semak meninggalkan kesan darah yang banyak di atas jalan menuju ke semak. Dalam beberapa ketika, jasad itu hilang dari penglihatan. Wafa tahu akan bahaya yang akan ditimpanya jika dia cuba mengekori lelaki itu. Mungkin itu satu perangkap untuk seorang perompak atau penculik yang ingin mengambil kesempatan di dalam hujan lebat ini. Segala macam situasi dan tahap kegentingan bermain di mindanya.

Dia naik ke atas basikalnya semula dan mula mengayuh laju melepasi kawasan kemalangan itu. Dan dia terus memecut di dalam hujan lebat dengan penuh rasa tanda tanya, bingung dan takut. Tidak pedulikan keadaan jalan yang basah dan licin. Apa yang ada di benak pemikirannya adalah dia perlu sampai ke rumah secepat mungkin dan memaklumkan keadaan itu kepada ibu dan bapanya.

Share this novel

NH.HANS
2020-04-23 22:02:37 

bst..lke it, mre pls


NovelPlus Premium

The best ads free experience