Rate

3

Zombie Series 1365

"Awak melakukan perkara yang betul dengan memaklumkan kepada kami kes kemalangan seperti ini. Terima kasih" ucap seorang pegawai polis kepada Amanda selepas pasukan mereka dan beberapa unit anggota ambulans menyiasat tempat kejadian dan mencari mangsa yang terlibat didalam kemalangan.

Keadaan yang sudah gelap agak menyukarkan mereka dalam usaha mencari dan menyelamat. Ditambah pula dengan keadaan hujan yang masih belum mahu berhenti.

Amanda bersama ibunya berada di tempat kemalangan itu. Ibunya berdiri bersamanya di bawah payung, mendakap Amanda rapat kerana khuatir akan anak perempuannya yang barangkali masih dalam keadaan trauma dengan kejadian seperti itu. Dia melaporkan kejadian itu kepada pihak yang berkenaan selepas melihat anak perempuannya pulang ke rumah dalam keadaan yang agak cemas dan ketakutan.

"Namun pihak kami masih belum menemukan mana-mana mangsa yang terlibat di dalam kemalangan ini. Tiada seorang pun di situ. Ianya satu berita gembira apabila mengetahui yang tiada sesiapa terkorban atau cedera. Tetapi berita buruknya, ke mana mereka menghilang."

"Dia masuk ke dalam semak itu." Amanda mengeluarkan jari telunjuknya kearah semak yang menebal di bahu jalan.

"Awak pasti?" pegawai polis itu bertanya untuk kepastian.

Amanda hanya mengangguk kan kepalanya. Dia yakin dengan apa yang di lihatnya petang tadi. Perkara seperti itu tidak mudah baginya untuk di lupakan. Segala perkara yang berlaku disimpanya erat di dalam kotak memori dirinya. Mungkin sampai bila-bila.

"Baik, kami akan memperluaskan perimeter pencarian. Buat masa ini, kamu semua boleh pulang dahulu. Kami akan memaklumkan apa-apa maklumat terbaru jika ada. Terima kasih sekali lagi kerana memberi kan kerjasama dan menjadi masyarakat yang prihatin. Kita semua amat memerlukannya. Terima kasih."

Selepas memberi sedikit keterangan saksi, Amanda bersama ibunya masuk kedalam kereta dan perlahan-lahan memandu pergi dari tempat kemalangan. Amanda melihat dari cermin sisi keadaan tempat kemalangan itu. Mungkin mereka semua akan dapat menjumpai lelaki tersebut. Fikirannya mereka beberapa andaian yang positif. Dan mengharapkan andaiannya itu menjadi benar belaka.

"Apa yang kamu buat hari ini amat mama banggakan, D." Ibunya berkata sambil menoleh ke Amanda yang duduk di kerusi penumpang di sebelahnya.

Amanda hanya berdiam diri tanpa berkata apa-apa. Matanya terpaku dengan keadaan hujan di luar. Namun pemikirannya melayang ke tempat lain. Ibunya hanya tersenyum dan cuba untuk memahami dengan keadaan yang telah anak perempuannya itu telah lalui.

"Kamu ok sayang?"

Amanda hanya mengangguk kecil.

Tiba-tiba Amanda teringat sesuatu. Dia menoleh ke arah ibunya,

"Mama, boleh hantar D ke rumah Anna?" pinta Amanda.

"Anna?"

"Hmm. Ok" sahut ibu nya dengan nada memberi keizinan kepada Amanda.

Pada pemikiran ibunya, mungkin anak perempuannya itu memerlukan kawan baiknya untuk menemani dan menenangkan diri. Naluri seorang ibu menjadi lebih aktif pada masa dan ketika seperti ini. Mencari ruang dan peluang untuk dia memenuhi segenap keperluan ruang rasa anak perempunanya itu.

Bila di ambil kira salah satu faktor, rumah mereka tidaklah terlalu jauh di antara satu sama lain. Ibu Amanda hanya mengukir sebuah senyuman.

Mereka masuk ke simpang taman perumahan rumah mereka dan membelok terus ke kanan. Tidak berapa lama kemudian ibunya berhenti di sisi jalan di hadapan sebuah rumah banglo putih yang besar.

"Nak mama tunggu?" tawar ibunya.

"Tak apa, mama. Nanti D balik dengan Anna." balas Amanda.

"Kamu pasti sayang?"

Amanda mengangguk pasti. Dia turun dari kereta dan membongkok menjenguk ibunya dari ruang tingkap pintu kereta.

"Kalau ada apa-apa, beritahu mama cepat-cepat, ok." Pesan ibunya.

Amanda hanya tersenyum dan menganggukan kepalanya. Jauh di sudut hatinya memberitahu dirinya yang betapa risau dan sayang ibunya kepada dirinya itu. Dia merasakan sedikit bertuah mempunyai ibu seperti ibunya. Amanda berdiri dan melihat ibunya itu memandu pergi sehingga hilang dari pandangannya.

Dia berpusing dan menghadap rumah sahabatnya itu. Kelihatan di sebuah tingkap berbentuk segi empat di tingkat atas rumah itu mempunyai nyalaan lampu disebalik kain langsir berwarna putih. Bilik tidur Anna.

Amanda berjalan perlahan menuju daun pintu hadapan rumah. Hujan yang berenyaian membasahi bahu dan kepala Amanda di kala mana dia hilang sebentar ke dalam kotak pemikiran. Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikirannya dalam tempoh yang begitu singkat itu berbanding menjumpai jawapan.

Apakah yang sebenarnya berlaku di dalam kejadian petang tadi?

Siapakah lelaki itu?

Kemanakah hilangnya lelaki itu?

Apa yang sebenarnya terjadi padanya sehingga mengakibatkan kemalangan tersebut?

Adakah patut dia mengekori lelaki itu demi keadaan dan keselamatannya supaya boleh dia laporkan semuanya kepada pihak yang bertanggungjawab?

Dan yang paling penting, apa yang mahu di kongsikan Anna?

Amanda berdiri di muka pintu rumah. Pintu rumah berwarna putih yang tersergam di hadapan matanya sekaligus menutup sebentar ruang persoalan yang masih tergantung tanpa jawapan di fikiran.

DING DONG

Amanda menekan butang loceng rumah itu. Dan menunggu.

Tidak berapa lama kemudian lampu hadapan rumah terpasang dan daun pintu rumah itu di buka.

"Amanda! " wajah Anna di sebalik pintu.

"Hi.." Amanda membalas perlahan.

"Jom!"

Anna menarik tangan Amanda masuk ke rumah dengan tergesa-gesa. Mereka terus naik tangga menuju ke tingkat dua rumah itu. Bilik Anna terletak di hujung koridor yang berwarna biru itu.

Anna sememangnya suka apabila sahabat baiknya datang ke rumah. Terasa seperti mereka berdua berada di sebuah kubu rahsia yang menyimpan maklumat sulit dan sangat penting untuk di kongsikan kepada dunia.

Mereka masuk dan terus menutup pintu bilik.
Amanda duduk di atas katil Anna. Bilik tidur sahabatnya itu penuh dengan barang-barang peribadinya yang di susun kemas. Jika hendak di bandingkann dengan bilik tidurnya yang simple dan minimal, Amanda lebih selesa dengan keadaan biliknya. Buku-buku tersusun rapi di atas meja dan rak buku. Dua almari baju yang besar serta beberapa poster motivasi yang terlekat pada dinding bilik. Sebuah gitar akustik terletak di satu penjuru bilik bersebelahan dengan almari mini tempat Anna menyimpan koleksi album-album muzik yang diminatinya.

Anna membalikkan kerusinya yang terletak di ruang meja komputer ribanya dan tempat dia mengulang kaji pelajaran. Dia duduk menghadap Amanda dan memandang tepat ke wajah sahabatnya itu.

"Kau ok?" tanya Anna.

"Emm? Ok.." Amanda membalas.

"Tapi kau kelihatan seperti baru lepas lawati majlis pengebumian. Kau pasti?" Anna inginkan kepastian.

"Yup." Amanda membalas pendek.

Anna masih merenung wajah Amanda. Padanya ada sesuatu yang lain terjadi pada diri sahabat baiknya yang sudah dia kenali sejak dari kecil itu. Dari raut wajah dan gerak tubuhnya dapat Anna baca.

"Hmm. Ok." Anna tidak mahu terus mendesak.

Dia bangun dan menuju ke almari kecil yang berdiri diam di sebelah pintu biliknya. Dikuak kecil pintu almarinya itu dan mencapai sesuatu ke dalam. Dia menarik keluar sebungkus paket coklat yang kelihatan seperti coklat import jika di nilai dari rupa luaran bungkusan itu.. Anna duduk semula di kerusinya.

"Nah, coklat. Rasa dulu. " Anna menghulurkan bungkusan coklat yang sudah dibuka. Amanda menyeluk kedalam bungkusan itu dan mengeluarkan dua paket kecil coklat. Dia buka dan makan.

"Ini pemberian dari makcik aku yang duduk di luar negara. Ada banyak lagi coklat yang dikirimkan tapi semua sudah habis di makan. Maklumlah, aku memang pantang dengan coklat." Anna tersenyum.

"Sedap. Citarasa coklat makcik kau memang tinggi. Berapa lama lagi dia akan menetap di sana?" tanya Amanda sambil menghabiskan coklat yang keduanya.

"Tak pastilah Amanda. Mak aku cakap, dia mungkin akan tinggal lebih lama di luar negara. Semuanya kerana kerjanya yang memerlukan dia berpindah ke merata tempat. Kali terakhir aku, dengar dia kini berada di Nepal. Aku tidak tahu apa pekerjaannya. Mak aku juga tidak pasti. Tetapi dalam setahun, dia akan datang ke rumah untuk melawati kami sekali dua. Itu pun tidak lama. Selepas tiga atau empat hari, dia akan pulang semula ke luar negara." Ujar Anna sambil memasukkan beberapa biji coklat ke dalam mulut.

"Dia juga bukanlah seorang yang banyak bercakap, tapi dia tetap seorang yang lembut dan melayan kami dengan baik." sambung Anna lagi dengan mulut yang penuh.

"Tapi apa yang penting, kesemua kirimannya tidak ada di jual di sini. Itu yang membuatkan coklat-coklat ini lebih berharga untuk aku nikmati."

"Hmm. Pekerjaan makcik kau itu kedengaran seperti sangat penting dan sangat mencabar. Kau pasti dia bukan agen pengintip?" balas Amanda sambil melirik senyuman sinis.

"Hahaha. Kau memang kelakar." Anna menjeling.

"Tapi...mungkin. Entah. Aku tidak suka dengan spekulasi. Aku lebih suka membiarkan keadaan yang sedia ada menjadi keadaan yang sedia ada. Tidak ada tambah, juga tidak tolak." Anna memasukkan seketul coklat yang dibukanya dari plastik kecil di tangannya.

"Oh ya, ada sebab kenapa aku minta kau datang malam ni." Anna kembali kepada alasan utama dia menjemput sahabatnya itu datang kerumahnya.

Terukir sebentuk senyuman yang sinis di wajah Anna. Dia berpaling ke meja belajarnya dan membuka komputer riba. Sebuah tetikus kecil yang terletak kemas disisi di garapnya dan memacu terus anak panah tetikus itu ke satu lampiran fail berbentuk tanda tanya di tengah-tengah skrin laptopnya. Anna klik dua kali.

Paparan skrin berwarna putih tertayang, dan sebuah lagi fail tersemat di kedudukan atas paling kiri di skrin.

"Mari." Anna mempelawa Amanda untuk duduk di sebelahnya.

Amanda bangun dari katil dan duduk di sebelah Anna. Penuh persoalan.

"Kau tahu apa yang ada dalam fail ini?" tanya Anna.

Amanda masih kelihatan kosong. Tiada klu langsung dengan apa yang cuba di perkatakan oleh sahabatnya itu.

Matanya tertumpu kepada skrin komputer. Anna menekan butang tetikusnya dua kali. Paparan seterusnya terpapar beberapa fail di dalam format berbentuk video. Anna menghalakan anak panah tetikusnya kepada satu video.

"Video ni aku dapat dari rangkaian sebuah blog yang sudah dipadam." terang Anna ringkas.

"Apa yang akan kau tengok ni, rahsia hanya di antara kita berdua sahaja, boleh?"

"Aku tahu kau pasti akan teruja dengan apa yang aku nak kongsikan. Maklumlah, isu-isu misteri dan penyiasatan memang sudah menjadi kegemaran dan hobi untuk kau kan, Amanda?" sambung Anna lagi

Amanda semakin keliru, namun perasaan ingin tahunya membuak-buak. Gelora perasaan gementarnya mula memenuhi ruang rasa hatinya. Dia hanya menganggukkan kepalanya tanda setuju.

Anna membuka fail video itu.

Mata kedua mereka terus fokus menatap paparan yang terpapar di tengah-tengah skrin komputer. Anna menghalakan anak panah tetikusnya ke ruangan volume suara. Dia menaikkan bar bunyi itu lebih tinggi dari asal. Hujan yang masih turun membasah, sedikit menenggelamkan bunyi video tersebut.

Video itu bermula dengan paparan seorang lelaki yang memakai baju berwarna putih, sedang menggelepar, menggigil dan meronta-ronta dengan mulutnya yang berbuih. Tiada anak mata kelihatan di matanya sebelum jasad itu terus terdiam dan terjelepuk di atas jalan kecil di tengah-tengah kawasan gelap yang kelihatannya seperti lorong di belakang sebuah bangunan. Kedengaran suara seorang lelaki yang memegang perakam video itu panik dan melihat antara satu sama lain. Sama seperti beberapa orang lelaki yang terdapat di dalam rakaman itu.

Amanda melihat dengan tidak berkelip. Degupan jantungnya semakin laju.
Tidak berapa lama kemudian, lelaki yang terjelepuk seakan sudah tidak bernyawa itu mula bangun dengan perlahan dan bergumam. Mereka yang menyaksikan peristiwa itu mula menjerit menyebut nama lelaki itu dan keadaan menjadi begitu mencemaskan apabila jasad itu menerkam seorang lelaki berbaju merah di hadapan mereka. Mereka terus melarikan diri meninggalkan rakan mereka seperti di baham di belakang dan video tersebut tamat begitu sahaja.

Amanda tergamam. Dia merasakan seperti pernah melalui keadaan genting seperti itu. Anna menutup video itu dan menoleh ke Amanda. Ingin melihat reaksi dan raut wajah Amanda. Video berdurasi selama 3 minit lebih itu benar-benar membuatkan bulu roma Amanda berdiri. Amanda terkesima.

"Aku pernah lihat ada dua atau tiga lagi video macam tu, tapi hanya pautan online dalam sebuah blog yang aku baca baru-baru ini." Anna cuba jelaskan dalam cubaan untuk mengurangkan sedikit tahap situasi yang tegang pada Amanda.

"Tapi bila aku klik pada butang carian untuk rangkaian blog itu, laman tu seakan tidak pernah wujud. Aku yakin ada sesuatu yang berlaku sekarang ini. Perkara yang tidak sepatutnya di ketahui oleh orang ramai." sambung Anna.

"Dan aku rasa, kerajaan memainkan peranan yang besar di dalam perkara seperti ini. Mungkin. Tapi siapa tahu. Cuba kau bayangkan, Amanda, jika sesuatu seperti ini datang dalam skala yang besar. Bayangkan betapa paniknya negara boleh jadi. Bagi mengelakkan dari perkara itu terjadi, kerajaan mengambil langkah drastik untuk menutup dan merahsiakan semua ini dari pengetahuan umum. Tetapi aku rasa, walaupun video ini hanya di siar kan di laman blog untuk waktu yang sekejap, mungkin sudah beribu, barangkali berpuluh ribu pelayar internet yang lain yang sudah melihat video itu. Dan bayangkan jika semuanya sedang panik sekarang ini. Wow." Anna memandang ke syiling bilik cuba membayangkan apa yang di katakannya sebentar tadi.

Amanda bangun dari kerusi dan duduk semula di katil Anna. Matanya seperti terkunci pada satu sudut. Dia seolah-olah tidak mengendahkan apa jua yang di katakan oleh Anna. Perasaan takut yang semakin perlahan mengecil kini menular semula membayangkan pelbagai perkara buruk yang boleh terjadi.

"Amanda. Kau ok?" tanya Anna bila melihat sahabatnya itu masih kelu dan tidak memberi sebarang respon.

"Amanda?"

Amanda dengan perlahan berpaling dan melihat wajah Anna dengan perlahan.

"Aku ada sesuatu yang hendak aku beritahu." kata Amanda.

Anna merenung tepat ke wajah Amanda. Kali ini giliran Anna pula yang merasakan debaran terhadap apa yang hendak di beritahu oleh Amanda. Tetapi ianya tidak di tunjuk kan pada luaran. Sebaliknya Anna mengambil langkah untuk bersikap tenang dan bersahaja.

"Aku sedia mendengar." Balas Anna.

Amanda membuka mulut dan menceritakan tentang peristiwa yang di laluinya pada hari itu. Sedikit demi sedikit. Perkara demi perkara. Fakta demi fakta. Persoalan demi persoalan. Amanda menceritakannya dengan penuh terperinci dan teliti. Tidak tertinggal walau satu perkara pun. Segala rasa dan fikiran di luahkan Amanda kepada Anna.

Anna mendengar dengan penuh teliti dan emosi. Dia cuba memahami perasaan dan situasi yang di lalui oleh Amanda sepenuhnya. Matanya tidak berkelip untuk seketika. Mengecil dan membesar semula. Di dalam wilayah imaginasinya, Anna cuba membentuk visual dan bayangan untuk penstrukturan semula penceritaan Amanda untuk dia fahaminya setepat yang mungkin.

"Apa yang kau lalui hari ini, memerlukan semangat yang sangat kuat untuk kau pulih dari trauma yang kau hadapi." Kata Anna sambil dia bangun dari kerusinya dan duduk di sebelah Amanda di atas katil. Anna mencari tangan Amanda, lalu di garapnya rapat.

"Kau ok, Amanda?" Anna cuba menghilangkan resah dan gusar di jiwa Amanda. Namun jauh di lubuk hatinya lebih tahu dengan apa yang terjadi kepada Amanda, bukan sesuatu yang mudah untuk di lupakan oleh sesiapa pun.

"Hmm. Aku ok." Balas Amanda yang masih terasa sedikit ruang resah terpalit di hatinya.

"Aku akan sentiasa ada untuk kau. Janganlah rasa yang diri kau keseorangan di dalam perkara-perkara seperti ini. Aku akan sentiasa ada bersama, ok." Balas Anna.

"Terima kasih, aku sangat-sangat menghargainya. Tapi aku ok." Kata Amanda.

Anna mengukirkan senyuman di bibirnya yang menampilkan sedikit kelegaan di hati.
Anna bangun dari kerusi dan berjalan dengan perlahan menghampiri tingkap biliknya. Keadaan yang basah di luar menarik pandangan matanya kepada keadaan cahaya lampu jalan yang mempernampakkan rintisan air-air hujan yang masih turun tanpa tanda untuk berhenti. Kemudian dia berpusing dan menyandarkan punggungnya di ruang kecil kekisi tingkap. Dahinya berkerut memikirkan sesuatu. Dalam sedalam-dalamnya. Amanda hanya memerhati sahabatnya itu dari atas katil.

"Jika lelaki yang kau nampak petang tadi, mempunyai cerita yang sama seperti video yang kita tonton tadi, dan dia masih tidak dijumpai, hilang ke dalam kawasan semak dan hutan seperti yang kau katakan, ini bermakna.."

"Mungkin dia masih hidup." Amanda mencelah kata-kata Anna sebelum sempat dia habis berbicara.

"Dan sangat cedera pada waktu itu untuk dengar suara aku memanggilnya. Mungkin dia mengalami kecederaan yang kritikal pada bahagian matanya sehingga tidak nampak aku di belakang. Aku tidak pasti. Dalam hujan lebat seperti itu, semuanya menjadi terbatas. Aku pula berada jauh di belakang. Segala kemungkinan boleh terjadi, Anna." Sambung Amanda lagi.

"Ya..ya. Kau memang betul." Balas Anna.

"Tetapi cuba kau bayangkan, jika lelaki itu mempunyai punca yang sama dengan apa yang terjadi kepada lelaki di dalam video tadi, dan dia masuk ke residen kita ini, dan seorang daripada penduduk di sini terjangkit dengan dia, dan mati, dan bangun semula menjadi seseorang yang lain...." mata Anna membulat besar diiringi dengan senyuman sinisnya kepada Amanda.

"Kita tidak tahu apakah punca yang terjadi kepada dia. Kita juga tidak tahu sama ada video itu benar atau seseorang ingin mereka satu gurauan kasar secara meluas, untuk publisiti. Kita tidak tahu jika dia ada penyakit yang serius. Kita tidak tahu macam mana penyakit itu boleh merebak. Udara? Sentuhan? Makanan?. Kita tidak tahu apa-apa pun Anna. Dan bukan kah kau sebut tadi yang kau tidak sukakan spekulasi." Amanda bangun dan berjalan ke arah tingkap tempat Anna bersandar. Dia berdiri di sebalah Anna dan memerhati keadaan hujan di luar.

"Tetapi, kalau apa yang kau katakan itu adalah benar-benar berlaku.." Amanda mengunci pandangan matanya ke tiang lampu jalan yang terletak menerangi di hadapan rumah. "...aku akan rindukan segala-galanya." Sambungnya lagi. Anna hanya memandang. Dan tidak berkata apa-apa.

Ibu Anna memanggil nama Anna dari tangga. Makan malam sudah tersedia di ruang makan tingkat bawah. Amanda juga di jemput sekali untuk menyertai. Aroma hidangan yang sangat menyelerakan menusuk dalam ke ruang ronga hidung mereka dalam perjalanan ke dapur. Ibu dan bapa Anna sudah berada di meja makan. Begitu juga dengan adik lelaki Anna. Mereka menyantap hidangan mereka bersama-sama dengan sesi perbualan ringan makan malam itu. Bapa Anna menyelitkan beberapa jenaka sambil menceritakan tentang harinya di pejabat pada hari itu.

Amanda amat senang dengan ibu dan bapa Anna. Mereka adalah orang-orang dari kalangan yang sangat baik dan berbudi pekerti. Sentiasa mengambil berat dan menunjukkan sikap positif mereka dalam banyak perkara. Bukan jenis orang-orang yang mempunyai personaliti yang terlalu garang atau sangat tidak mesra sehingga boleh membuat mereka yang berada di sekeliling berasa tidak selesa.

Mereka menikmati makan malam mereka dengan penuh rasa bersyukur dan bersederhana. Hujan di luar masih turun dengan garangnya. Setiap titisan air hujan turun menghentam permukaan bumbung, dinding, tingkap dan keseluruhan rumah membentuk satu irama dan ikatan jampi yang berupaya memberi satu nikmat perasaan yang selesa dan suam di antara mereka.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience