•3•

Short Story Series 3101

Dia menggagahkan jua dirinya untuk menyiapkan sarapan buat penghuni rumah tersebut walaupun dirinya menahan sakit yang teramat dek kitaran bulanannya itu. Rembesan peluh dingin segera dilap menggunakan hujung lengan baju. Sesekali dia mengetap bibir akibat rasa kurang menyenangkan seperti tusukan yang amat tajam di bahagian perut.

"Tak apa, Tisha. Lepas ni kau rehat," dia mengusap kepalanya sendiri untuk memujuk diri supaya tidak menangis.

"Kau tengah masak apa ni?" tanya satu suara garau yang berada di belakangnya. Bukan suaranya sahaja, bunyi nafasnya juga jelas kedengaran di belakang Atisha.

"Mi goreng," jawabnya tanpa menoleh ke arah gerangan empunya suara tersebut.

"Mi goreng je? Jemulah asyik makan benda sama je," keluh Azmir yang sengaja memanjakan suaranya.

"Habis tu? Kau nak makan apa? Chicken chop? Lamb chop? Bersyukurlah sikit," ujar Atisha yang geram mendengar keluhan lelaki tersebut.

Soalan bonus!

"Kalau boleh aku nak makan kau," dia terus merangkul pinggang Atisha dari belakang masuk dalam pelukannya. Rambut panjang gadis itu pula diurai dari ikatannya.

Atisha yang kaget diperlakukan sebegitu terus mendorong tubuh sasa itu dengan segala kudrat yang ada pada dirinya. Jantungnya berdegup kencang bagai ingin terkeluar dari rangka badan.

"Kau ni dah kenapa? Dah tak siuman ke bangsat!" tengkingnya.

"Aku masih siuman lagi, sayang," walaupun telah didorong, dia masih cuba untuk memeluk gadis itu. Kali ini bahu kiri Atisha pula dikucupnya.

Dalam usaha untuk melepaskan diri dari pelukan Azmir, dia berjaya mencapai sebilah pisau yang sebelumnya digunakan untuk menghiris bawang lalu melibas lengan lelaki itu tanpa berfikir panjang.

"Wow, garang!" Azmir ketawa kecil. Darah yang mengalir di lengan dek libasan itu dijilat sedikit olehnya.

"But I like it. Sebab tu aku suka kau," ujarnya lagi sambil menenung gadis tersebut dari atas ke bawah; dari rambut ke hujung kaki.

Dasar jantan gatal!

"Kau merepek apa ni setan? Kau sedarlah sikit yang kau tu dah
ada bini," getar suara Atisha mendengar kata-kata yang keluar dari mulut lelaki tersebut.

"Memang aku dah ada bini. Cantik. Mantap. Padu. Tapi sekarang dia tak ada kat sini. Dan dia tak sama dengan kau. Dia lain. Kau lain," selambanya.

"Jantan jenis apa kau ni, hah?"

"Chill. Aku tak mintak banyak pun. Dapat peluk cium kau pun aku dah cukup bahagia," dia masih dengan sengihan sinisnya.

"Dasar jantan bertopengkan setan," Atisha mengetap giginya kuat. Kalau ikutkan hati, mahu sahaja dia membunuh lelaki yang berada di hadapannya itu saat ini.

"Well, memandangkan kau masih jual mahal dan mi yang kau goreng tu pun dah hangus, jadi aku lepaskan kau buat masa sekarang," ujarnya tenang walaupun telah dihamburkan kata-kata kesat dan dilibas oleh Atisha. Dia berundur lalu meninggalkan Atisha seorang diri di dapur seolah tiada apa yang telah berlaku.

Psycho!
...

"Assalamualaikum,"

"Waalaikumsalam. Ayah!" sahut Atisha terus berlari lalu menerpa ayahnya di muka pintu.

"Allahuakbar!" sang ayah terkejut apabila terus diterpa dan dipeluk anak gadisnya sebegitu rupa.

"Ada apa-apa ke ni? Tiba-tiba je peluk ayah macam ni," usiknya dengan ketawa kecil.

"Tak ada apa-apa. Cuma dah lama rasanya Tisha tak bermanja dengan ayah macam ni," Atisha mengeratkan pelukan.

Ingin rasanya dia menceritakan tentang perkara yang terjadi pada dirinya pagi tadi. Namun apabila difikirkan semula, dia tidak sanggup untuk melihat senyuman manis ibu mahupun bapanya itu terhapus akibat mengetahui tentang perkara itu. Biarlah dia sahaja yang tahu apa yang telah berlaku.

"Kalau iya pun nak bermanja, tunggulah ayah duduk dulu. Atisha ni pun," si bapa meleraikan pelukan lalu menarik lembut lengan anaknya untuk duduk di sofa di ruang tamu.

"Ibu kata Tisha tak berapa sihat hari ni. Nah, ayah ada belikan ubat untuk Tisha," ujar ayah lalu mengeluarkan dua paket coklat Cadbury Black Forest 165g dari dalam beg sandangnya terus dihulurkan kepada anak gadis yang disayangi itu.

"Wah! Ayah macam dapat baca je fikiran Tisha, kan," Atisha tergelak melihat 'ubat' yang dihulurkan ayahnya.

"Amboi, amboi! Seronoklah dia dapat hadiah macam tu," usik ibu yang mendekati mereka dua beranak dengan seteko teh panas dan sepinggan pisang goreng yang dibawa di atas talam aluminium.

"Atisha tak mintak, ayah sendiri yang nak bagi," dia mengenyit mata ke arah ayahnya sebelum berpindah tempat duduk supaya ibunya dapat duduk di sebelah suami tercinta.

"Bukan selalu," ayah membalas kenyitan mata anaknya.

"Macam mana kerja hari ni, bang? Okey?" tanya ibu berbasa-basi sambil menghulurkan secawan teh panas kepadanya.

"Oh, kerja...," senyuman di wajah sedikit memudar.

"Ha, kenapa?"

"Dah alang-alang Rosnah tanya tentang tu, abang sebenarnya ada nak cakap sesuatu,"

"Cakaplah," ujar ibu sedikit berdebar.

Teh panas dihirup untuk membasahkan tekak yang tiba-tiba terasa kering.

"Kilang tempat abang kerja tu... dah jatuh muflis. Jadi...," ayah teragak-agak untuk menghabiskan ayatnya.

"Muflis?"

"Ha'ah, muflis,"

"Faham. Jadi abang dah diberhentikan kerja. Betul?" ujar ibu tenang walaupun pada hakikatnya hati dia sedang dilanda gelora pada saat itu.

Ayah mengangguk perlahan.

"Tapi dia ada bagi wang pampasan untuk setiap pekerja. Walaupun tak banyak tapi alhamdulillah,"

"Alhamdulillah," ibu mengeluh kecil. Tidak mampu untuk berkata apa-apa. Hendak kecewa pun, tiada guna kerana ini bukan salah siapa-siapa.

"Maafkan ayah, Tisha," pandangannya dialih ke arah Atisha yang membisu sedari tadi.

"Kenapa ayah mintak maaf kat Atisha pulak? Ayah tak ada salah apa-apa kat Tisha," ujarnya lalu mengukir senyuman tipis.

"Maafkan ayah sebab tak mampu nak tunaikan janji untuk kita keluar dari rumah ni. Ayah tahu, Atisha berharap sangat nak pindah, kan?" suara ayah bertukar sayu.

"Ayah, ayah tak perlu mintak maaf. Lagipun ni bukan salah ayah. Bukan ayah yang mintak untuk diberhentikan kerja. Jangan salahkan diri ayah. Benda ni di luar jangkaan kita. Atisha tak kisah pun kita tak jadi pindah. Kita dah ada tempat tinggal untuk berteduh dan berlindung ni pun Atisha dah bersyukur sangat," ujar Atisha panjang lebar untuk menenangkan hati ayah kesayangannya itu.

"Dah lah. Jangan sedih-sedih. Kita minum dulu. Kang sejuk pulak teh dengan pisang goreng ni," sampuk ibu cuba untuk menceriakan kembali suasana.

Ayah mengangguk, diikuti oleh Atisha.

Dia melihat coklat di tangan yang diberikan oleh ayahnya sebentar tadi. Tiba-tiba rasa bersalah yang tak terhingga menyelubungi diri. Walau ditimpa masalah, ayah tetap memikirkan dan mengutamakan tentang dirinya. Dia merasakan dirinya ketika ini bagai sebuah beban dan tidak layak untuk menerima walaupun hadiah yang 'tidak seberapa' ini.

"Aku mesti cari kerja dan bantu diorang," monolognya dalam hati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience