•1•

Short Story Series 3101

Terkadang, hidup terasa amat memenatkan. Ketidakadilan yang berlaku membuatkan hidup seolah tiada guna. Ya, bukan hidup itu sendiri yang membuatkan kita lelah namun kehadiran insan-insan yang bertanduk syaitan di persekitaran. Hairan. Bagaimana insan sebegini boleh wujud dan menyeksa mereka yang tidak mempunyai apa-apa salah terhadap mereka? Adakah mereka mendapat kepuasan melalui perbuatan tersebut? Kepuasan yang seperti apa?

Allahuakbar, Allahuakbar......!

Dia mengesat matanya yang layu setelah azan maghrib sayup-sayup kedengaran. Tangan yang pada mulanya mengesat mata kini turun pindah ke bucu kanan bibirnya yang luka akibat dibaling dengan gelas kaca oleh sepupunya, Iza petang tadi. Sakit. Perih.

"Aduh, macam mana aku nak keluar bilik macam ni? Mesti ibu dan ayah dah balik dah waktu macam ni. Aku nak jawab apa kalau diorang tanya nanti?" dia mengeluh dengan nafas panjang.

"Kenapa aku perlu dilayan sebegini? Apa salah aku? Aku penat, ya Allah," bisik hatinya.

Air mata yang tadinya surut akibat terlena kini mula bergenang kembali. Sejujurnya dia sudah penat untuk menangis. Namun hanya air mata sahaja yang sudi menjadi peneman setia disaat tiada sesiapa di sisi. Esakan kini mula kedengaran.

"Tisha, bangun," pintu biliknya dikuak dari luar.

Esakan kuat tadi kini sedaya upaya ditelan supaya susuk tua yang menghampirinya itu tidak mengesyaki apa-apa. Air mata diseka laju dengan belakang tangan.

"Ya Allah dah maghrib dah ni. Kenapa bilik ni gelap macam takde penghuni," sang ibu menghidupkan suis lampu.

"Ehehe Tisha pening tadi sebab itulah Tisha terlena sampai tak perasan pulak dah malam," sengihnya.

"Tisha ni. Sejak kebelakangan ni kerap betul sakit kepala. Sampai mata pun dah naik merah. Tisha fikir apa ni, nak?" susuk tua tersebut mengusap kepala anak perempuan tunggalnya. Kerisauan menyelubungi hati yang sudah sedia gundah gulana.

Perbuatan ibunya ketika itu amat menyentuh hatinya. Terasa ingin sekali dia memeluk erat insan bergelar ibu dihadapannya itu lalu menangis sepuasnya. Namun dia tidak sanggup untuk menjadi penambah beban kepada masalah ibu bapanya yang sudah sedia ada. Mahu tidak mahu dia perlu tampil kuat walaupun hati, jiwa dan perasaannya sudah berkecai bak serpihan kaca.

"Mana ada Tisha fikir apa-apa, bu. Mungkin sebab cuaca dua tiga hari ni panas sangat kut sebab itulah Tisha pening je," dalih Atisha.

"Ada betulnya jugak tu," wanita itu mengangguk setuju dengan fakta yang diberikan oleh anak gadisnya.

Sejak kebelakangan ini, cuaca tersangatlah panas di tengah hari namun di sebelah petang pula hujan lebat berserta ribut petir.

"Eh ni kenapa dengan bibir Atisha ni? Tisha bergaduh ke?” ibu yang baru perasan akan keadaan bibir anaknya mula kelihatan bimbang.

'Ah sudah...,'

"Tak, tadi Tisha nak minum lepastu masa Tisha minum, kaki Tisha tersadung. Ha lepastu ibu tahu-tahu sendiri ajelah apa yang jadi," dia mereka alasan untuk tidak menceritakan hal yang sebenar kepada ibunya.

"Ya Allah, Nabila Atisha! Kalau nak minum tu duduk. Yang Atisha pergi minum sambil berjalan tu dah kenapa? Kan dah merasa," bebel ibu setelah mendengar alasan yang diberi.

"Ehehe ibu janganlah marah. Benda dah jadi dah pun. Lain kali Atisha janji kalau Atisha nak minum, Atisha duduk dulu baru minum," dia sengih panjang seperti kerang busuk lalu memeluk lengan ibunya untuk memujuk.

"Ewah ewah, rancak betul dua beranak ni berborak," tiba-tiba kedengaran suara yang menyampuk di muka pintu. Sinis.

Senyuman Atisha mati serta-merta. Mata yang tadinya bersinar kini kembali kelam.

"Tisha ni ha, Long. Cuai betul sampai tercederakan diri sendiri," jawab ibu selamba.

"Oh ye ke? Teruk sangat ke?" soal lelaki itu acuh tak acuh.

Ibu sekadar menggeleng.

"Ha kalau dah tahu tak teruk, tak payah nak manjakan dia sangat. Dia ni dah besar. Kalau masih nak manjakan dia macam ni, nanti tak pandai hidup berdikari pulak dia," lelaki itu mendekati mereka berdua.

"Kau tak masak ke malam ni?" soalnya ke ibu.

"Tak. Tapi Razak ada belikan lauk tadi,"

"Lauk? Untuk korang anak beranak aje ke? Ada belikan lebih?" soalnya lagi.

"Ada aje kitaorang beli lebih tu,"

"Ha baguslah kalau macam tu. Hidangkanlah makanan tu cepat. Lapar ni," arah lelaki yang berusia dalam lingkungan lewat 50-an itu sambil menggosok perutnya.

"Ha yelah. Along tunggu kejap aku pergi panaskan lauk tu," ibu mula mengatur langkah untuk keluar dari bilik Atisha.

"Tisha pergi mandi tau. Jangan lupa solat Maghrib," toleh ibu kearahnya sebelum meneruskan langkah untuk ke dapur memanaskan makanan.

Atisha mengangguk. Dia mencapai tuala yang tergantung di hujung katil lalu berdiri hendak mengatur langkah ke bilik air.

"Pak Long nak duk tercegat kat sini je ke?" tanyanya tanpa perasaan.

"Bibir kau tu kenapa?" soalannya tidak dijawab namun disoal dengan soalan lain.

Dia diam tidak menjawab.

Lelaki itu mencengkam wajahnya kasar lalu didekatkan dengan wajahnya. Kedengaran nafas kencang Atisha di telinganya.

"Kau gaduh dengan Iza tadi, kan?" dia tersenyum sinis sambil memandang tepat mata Atisha yang sedaya upaya untuk mengelak dari memandang wajahnya.

"Itulah engkau. Suka sangat cari pasal dengan anak aku tu. Kan padan muka dah mendapat," ujarnya.

"Untuk pengetahuan Pak Long, Tisha takde kacau pun anak Pak Long yang seorang tu. Kalau boleh tak nak tahu pun apa-apa tentang dia. Dia tu je tak senang duduk kalau sehari tak cari pasal dengan Tisha!" dia menepis kasar tangan lelaki yang mencengkam wajahnya itu lalu mendorongnya untuk keluar dari bilik.

"Dasar kurang ajar punya budak!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience