•2•

Short Story Series 3101

"Oi perempuan, bangun!" Iza mencubit-cubit lengan dan perut Atisha kuat. Sakit hatinya melihat Atisha yang masih terbaring lena di katil.

"Ih kau ni dah kenapa?" tengking Atisha sambil menepis tangan Iza yang ligat merayap mencubit tubuhnya.

"Kau jangan rasa nak jadi tuan puteri sangat boleh tak? Nak membuta aje kerja," dia mula memulas lengan Atisha kuat. Tidak puas betul hatinya apabila Atisha berani menepis tangannya seperti tadi.

"Ouch!" Atisha mengerang kesakitan. Dahinya berkerut menahan lengan yang sakit dipulas Iza.

"Biarlah kalau aku tidur sekalipun. Aku tak mengacau hidup kau pun kan? Lagipun jam masih awal lagi ni," dia melihat jam di dinding yang menunjukkan baru pukul 7 pagi.

Selalunya memang sudah menjadi kebiasaan buat dirinya untuk menyiapkan sarapan sejurus selepas menunaikan solat subuh. Namun disebabkan hari ini dia cuti dan senggugutnya juga terasa agak luar biasa jadi dia bercadang untuk berehat di bilik sehingga sakit yang dirasakan berkurangan.

"Tak mengacau kau cakap? Eh aku lapar kau tahu tak! Buatkan makanan untuk aku. Aku nak keluar pukul 10 ni," ujarnya sambil menarik lengan Atisha untuk bangun dari baringnya.

"Kau buatlah sendiri. Lagipun engkau yang nak makan, kan," dia menepis tangan sepupunya itu lagi sekali. Terasa ingin sahaja dia mendorong susuk tubuh yang berada di hadapannya itu.

"Kau dah pandai menjawab eh sekarang. Aku tak kira, kau bangun sekarang! Kalau tak...," Iza yang geram mula bersikap agresif lalu cuba mencekik Atisha yang masih berbaring kerana tidak menghiraukan dirinya.

"Woi, kau nak buat apa ni hah!" Atisha sedikit terjerit akibat terkejut dengan tindakan Iza.

"Lebih baik kau ikut cakap aku sebelum aku cekik kau sampai kau hilang nyawa," ugutnya dengan wajah yang sudah merona merah.

"Heh kamu berdua ni dah kenapa? Kecoh-kecoh awal pagi macam ni," Mak Long yang mendengar kekecohan mereka berdua turut masuk ke dalam bilik Atisha. Dia menarik tubuh anak gadis bongsunya yang masih sedaya upaya untuk mencekik Atisha itu.

"Kau ni cerdik sikit boleh tak? Kalau kau nak bunuh dia sekalipun janganlah tinggalkan kesan yang sudah terang lagikan bersuluh macam ni. Kau nak masuk penjara ke?" bebel Mak Long ke Iza.

Hati Atisha terasa bagai ditusuk dengan belati tajam apabila mendengar kata-kata seperti itu keluar dari mulut seorang insan yang merupakan ibu saudaranya sendiri.

"Engkau ni kenapa?" dia menoleh ke arah Atisha yang masih mencari nafas akibat dicekik dengan pandangan tajam.

"Iza ni yang tiba-tiba serang Atisha, Mak Long," ujarnya meraih simpati.

Mak Long sekadar memandang wajah anaknya menginginkan sebuah jawapan.

"Iza lapar, mak," dia menggosok perutnya sambil mulut dimuncungkan. Dia tahu bahawa ibu kesayangannya itu tidak akan memarahi malah akan menyebelahinya.

"Kau dengar, kan? Iza lapar. Bukan dia seorang, semua orang dalam rumah ni lapar. Kau buat apa lagi masih terbaring bak puteri raja kat sini? Buatkanlah makanan," Mak Long menatap wajah Atisha tidak berkelip. Tidak sedikit pun riak kasihan terpapar di wajahnya.

Atisha menggagahkan dirinya untuk duduk di birai katil sambil tangannya mengusap bahagian perut yang sakit. Dahinya merembeskan peluh dingin dek menahan kesakitan yang dialami.

"Perut Atisha sakit, Mak Long. Atisha senggugut," dia masih berusaha untuk mendapatkan simpati wanita tersebut. Sebagai wanita, mustahil dia tidak memahami apa yang Atisha sedang rasakan.

"Habis tu kau nak aku buat apa? Kau nak aku panggil Azmir suruh terajang perut kau sekali baru kau nak sihat ke?" sinis wanita itu.

"Aku tak kira. Yang aku tahu pukul 8 nanti kitaorang pergi kat dapur, makanan dah siap tersedia. Faham?” jari telunjuk dihalakan tepat di muka Atisha sebagai tanda mengugut.

"Dah, jom kita keluar, Iza," dia menarik lengan Iza untuk keluar dari bilik tersebut.

Mahu tidak mahu, sakit mahupun tidak, dia perlu juga menurut kata-kata ibu saudaranya itu. Tangannya mencapai telefon yang terletak di bawah bantal lalu jarinya pantas menaip menghantar pesanan WhatsApp kepada sang ibu.

'Nanti kalau ibu balik dari rumah Madam Haze, tolong belikan ubat tahan sakit untuk Tisha. Tisha senggugut. Sakit sangat'

...

Ibu yang bekerja sebagai tukang cuci di rumah Madam Haze amat bersyukur kerana wanita kacukan Belanda itu sangat baik terhadap mereka tiga beranak. Walaupun gaji tidak seberapa namun setidaknya dapat juga dia membantu meringankan beban yang digalas suami tercinta. Dia juga amat terhutang budi dengan Madam Haze kerana beliau sering bersikap baik terhadap anaknya seperti anak sendiri. Sekiranya ada apa-apa yang buruk bakal berlaku kepada dirinya atau suami, dia percaya bahawa dia dapat mengharapkan Madam Haze untuk memerhati keadaan satu-satunya anak perempuan tunggal yang disayangi.

Bip! Bip! Bunyi notifikasi telefon mematikan lamunan panjang.

"Siapa mesej? Atisha ke?" tanya Madam Haze yang datang dari arah belakang lalu mengambil duduk di sebelahnya.

Dia menghirup teh panas yang disediakan oleh ibu. Memang sudah menjadi kebiasaan bagi dia menikmati sarapan bersama ibu sebelum ibu memulakan apa-apa kerja di rumah itu.

”Ha'ah. Siapa lagi?" jawabnya dengan senyuman lalu membaca pesanan ringkas yang dikirim Atisha.

"Dia apa khabar sekarang, kak? Dah lama tak dengar khabar anak perempuan saya yang seorang tu," tanyanya lagi bersulam tawa. Wajah manis Atisha bermain di fikiran.

"Dia baik aje. Cuma sekarang dia tengah senggugut. Dia mintak saya belikan ubat tahan sakit untuk dia nanti," jawab ibu yang masih tidak lengkang dengan senyuman. Walaupun dia agak khawatir dengan keadaan anaknya sekarang namun dia tahu Atisha merupakan seorang anak yang tidak mudah lemah dengan kesakitan sebegitu rupa.

"Lah ye ke? Kakak Rosnah tak nak balik ke? Kesian dengan dia kesakitan macam tu," ujar Madam Haze prihatin.

"Eh tak ape. Biar kakak habiskan kerja ni dulu lepas tu kakak balik," dia menolak tawaran untuk balik tersebut dengan lembut.

"Betul ni?" tanyanya menginginkan kepastian.

"Betul," Ibu mengangguk tegas.

"Kalau macam tu, kakak mintak izin sambung buat kerja dulu, ye. Madam sarapan dulu nanti kakak kemaskan," ujar Ibu lalu mengatur langkah hendak ke dapur meneruskan kerjanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience