Titisan hujan yang turun membasahi bumi turut membasahi tubuhnya. Dia tenggelam dalam fikirannya sendiri. Walau air mata bisa disembunyikan dalam titisan yang gugur dari langit itu, esakannya langsung tidak mampu untuk dibendung lagi.
Mengapa dia perlu ditakdirkan untuk hidup sebegini?
Soalan sebegini tidak henti-henti bermain di fikirannya. Penat. Lelah untuk meneruskan semua ini.
"Kau hidup ni memang tak ada guna ke? Kau dah tahu bapak kau tu dah menganggur tak bekerja, kau tak ada usaha nak cari kerja ke? Kau ingat mak, bapak, dan abang aku tu kuli korang ke nak beli keperluan korang dalam rumah ni? Lebih baik kau mati ajelah senang sikit hidup kami. Mak bapak kau boleh kitaorang campak kat rumah orang tua,"
Hamburan kata-kata Iza masih jelas terngiang di telinganya. Dia tidak sangka seseorang boleh mengeluarkan kata-kata sebegitu terhadap ahli keluarga; darah daging sendiri.
"Hina sangat ke aku? Tak berguna sangat ke aku? Aku dah usaha cari kerja kat merata tempat. Salah aku ke kalau diorang tak nak terima pekerja?" monolognya dalam esakan.
"Apa salah aku sampai aku perlu dibenci macam ni? Tolonglah, aku tak nak hidup macam ni!" ujarnya lagi lalu menumbuk-numbuk kuat tembok yang berada di jambatan tersebut.
"Habis tu? Awak nak terjun dari jambatan ni ke?" sampuk satu susuk tinggi lampai yang tiba-tiba datang mendekatinya.
Atisha terkedu seketika mendengarkan soalan yang keluar dari mulut lelaki itu. Siapa dia? Kenapa dia tiba-tiba ada kat sini?
"Saya berteduh dekat pondok hujung sana semasa hujan lebat tadi. Tiba-tiba saya dengar ada bunyi suara orang menangis sebab itu saya datang mendekat. Maaf, saya tidak bermaksud untuk menyibuk urusan cik," jelas lelaki misteri tersebut. Walau agak mendatar namun ada kelembutan dalam suaranya.
Atisha kaku diam tidak bersuara. Dia tidak sangka ada yang memerhatinya menangis sedari tadi. Air mata yang sebelumnya mengalir deras kini terhenti tanpa dipaksa. Riak wajah dingin mula dipamer buat lelaki itu.
"Saya tahu cik tengah dilanda masalah sekarang ni. Kalau menangis boleh buat cik merasa lega, cik luahkanlah segalanya melalui air mata. Jangan ditahan-tahan air mata yang ingin mengalir," ujarnya lagi.
Masih seperti sebelumnya, Atisha tidak memberikan sebarang respon. Cuma wajahnya yang dingin sahaja menjadi peneman lelaki itu berbicara.
Dia yang merasa janggal kerana tidak dilayan oleh Atisha mula menggosok tengkuk yang tidak meremang. Senyuman tipis diukir perlahan.
"Saya mintak maaf sekali lagi sebab dah mengganggu cik kat sini. Saya mintak diri dulu, ya" dia mula berpaling dan melangkah untuk meninggalkan Atisha berseorangan di situ.
"Aku tak dilanda sebarang masalah pun. Cuma aku yang menjadi masalah kepada semua orang yang ada disekeliling aku," Atisha bersuara tenang.
Langkah lelaki itu terjeda seketika mendengar Atisha yang akhirnya mahu mengeluarkan kata-kata. Dia menoleh sekilas ke arah gadis yang membelakanginya pada masa itu sekiranya dia ingin meneruskan kata-kata.
"Dan untuk soalan kau tadi, tak. Tak ada gunanya aku terjun dari jambatan ni. Jambatan ni rendah. Memang tak akan mati punya. Lebih baik lagi kalau aku minum racun tikus," sambungnya sebelum melangkah pergi tanpa pamit.
Melihatkan gadis itu meninggalkannya, dia juga turut meneruskan langkah ke arah berlawanan. Agak bimbang dengan pernyataan terakhir gadis itu, namun dia berharap agar gadis itu hanya beromong kosong.
...
"Ya Allah, Atisha! Tisha pergi mana dengan basah lencun bagai macam ni?" tanya ibu gusar.
Tuala segera dicari dan diambilnya. Dia mendekati lalu mengelap wajah dan rambut anak gadisnya yang masih berdiri di luar pintu.
"Tisha keluar cari kerja tadi. Tak sangka pulak hari tiba-tiba hujan," jawab Atisha lemah.
"Tisha jalan kaki ke pergi bandar?" soal ibu lagi dengan wajah yang berkerut.
"Tak. Tisha guna grab, cuma masa balik tadi Tisha mintak dia hantar sampai taman hujung kampung je sebab nak jimat kos," jelasnya dengan senyuman mendatar.
Ibu sekadar mengangguk. Tidak ingin bertanya lebih lanjut melihat keadaan anaknya yang basah dan kesejukan itu.
"Pergi masuk dalam. Mandi. Kalau rasa macam nak selesema, nanti mintak ubat kat ibu," arahnya.
Atisha mengangguk lalu berlari-lari anak masuk ke rumah untuk ke bilik mandi supaya lantai tidak basah terkena air dari pakaiannya.
...
"Apa lauk kita malam ni, mak?" tanya Iza sejurus melabuhkan punggungnya di sebelah sang ibu di meja makan.
"Ayam masak lemak dengan sayur kangkung tumis," jawab Mak Long ringkas sambil menyenduk nasi ke pinggan suami dan anak-anaknya.
"Alah... ni je?" keluhnya. Bibirnya muncung panjang sedepa.
"Dah ni je yang Mak Ngah kamu masak, kamu makan ajelah," tegur si bapa.
"Boleh tak lain kali mak suruh dia masak makanan lain? Tak selera langsung nak makan lauk asyik macam ni aje. Mak suruhlah dia masak daging ke," pujuk Iza.
"Banyak pulak cekadak kau nak makan daging bagai. Dah lah orang tua yang sorang tu dah tak ada kerja," sampuk Azmir sambil menyuap makanan ke dalam mulut.
"Ish aku tak cakap pun suruh guna duit dia. Guna duit kitalah," Iza mencebik geram.
"Ha iyalah. Nanti mak beli daging, mak masak untuk kamu. Sekarang kamu makan je apa yang ada," Mak Long bersuara untuk mengelakkan dua beradik tersebut bergaduh di meja makan.
"Fuyooo mak nak masaklah," Iza melonjak gembira.
"Mestilah. Daging mahal kot. Takkan nak kongsi dengan diorang. Kalau nak, kena beli sendirilah,"
"Betul," Pak Long mengangguk.
"Sebab tu Iza sayang mak," ujarnya sambil mula mengambil lauk di depan mata.
"Aik? Tadi kata tak ada selera tapi makan jugak," usik Azmir.
"Lapar," satu jelingan maut dihadiahkan buat si abang.
"Eh kenapa dengan lengan kamu tu, Mir?" tanya Pak Long yang melihat keadaan lengan Azmir yang terluka saat ingin menuang air oren ke dalam cawan.
Azmir terkedu seketika.
"Aduh, lengan baju ni terselak pulak!" getusnya dalam hati.
"Eh ya Allah! Apa jadi kat tangan kamu ni, Mir?" Mak Long yang juga baru perasan bersuara bimbang.
"Oh, yang ini...," dia cuba mengekalkan riak wajah tenang.
"Hari tu, Azmir tolong Mak Cik Senah yang hampir kena ragut, lepas tu peragut tu libas tangan Mir dengan parang," dia mula mereka cerita.
"Habis tu? Apa jadi? Kenapa abang tak cerita kat kami?" tanya Iza pula.
"Alah sikit je. Dah bawak pergi klinik dah. Abang malaslah nak heboh pasal benda kecik macam ni," dia mengelat.
"Sikit kamu cakap? Cuba bayangkan masa tu peragut tu dilibasnya leher kamu. Kan dah sia-sia si Syuhada tu jadi janda muda," leter Pak Long.
"Aduh melebih pulak bapak aku ni," keluhnya dalam hati.
"Eh ayah ni, cakap macam nak suruh Mir mati awal je,"
"Ha'ahlah abang ni dah kenapa?" Mak Long geram.
"Tak ada, ayah risaukan kamu aje,"
"Oh ya, bercakap tentang Syuhada, urusan dia kat Kuala Lumpur akan selesai minggu depan jadi tak lama lagi dia akan duduk sini dengan kita semua," Azmir mencari kesempatan untuk menukar topik.
Syuhada Athira. Seorang model dan selebriti terkenal di platform Instagram yang bertapak di Kuala Lumpur. Namun disebabkan cintanya terhadap seorang lelaki bernama Azmir Fazriq, dia sanggup menterminasi kontraknya dengan agensi permodelan ternama untuk hidup bersama dengan lelaki tersebut.
"Ye ke? Ya Allah tak sabarnya nak sambut menantu model mak balik sini," ujar Mak Long penuh kegirangan. Tidak sabar rasanya dia ingin memperagakan menantunya itu kepada penduduk kampung.
"Dia dah tak ada kontrak dengan agensi dia lagi. Jadi dia bukan model lagi, mak,"
"Mak peduli apa. Yang penting dia terkenal. Populariti dia akan buat penduduk kampung ni hormat dengan kita," senyuman penuh makna diberikan buat anak lelakinya itu.
Share this novel