BAB 19

Romance Completed 7221

‘’Singapura, seorang rakyat Malaysia disahkan kritikal selepas dijangkiti Virus Zika ketika datang melancong ke sini minggu lalu. Norazza Rima Binti Mohd Shah Iskandar kini sedang terlantar di wad I.C.U..’’

Anita membaca berita di muka depan surat khabar Kosmo dengan suara yang kuat sambil membelek gambar yang turut disiarkan. Gambar wajah yang telah dikaburkan dibelek dengan tekun. Nama Norazza Rima tu yang lebih menarik minatnya untuk terus membaca berita tersebut.

‘’Abang, bekas GF abang ke ni? Takkan kena virus Zika? Cuba abang tengok gambar ni. Abang cam tak?’’ Anita berkata sambil mengamit Edry yang sedang melakukan senaman ringan di halaman rumah mereka. Hujung minggu macam ni, mereka mengambil peluang bercuti ke Genting sambil menyedut udara segar haruman bunga-bungaan. Rumah kecil yang comel dan di kelilingi oleh kebun bunga mawar ini cukup segar udaranya walaupun kesejukan yang dirasakan sehingga ke tulang.

‘’Biarlah..kena virus Zika ke, Tika ke, Mika ke..tak payah ambil pedulilah. Yang penting sekarang ni, abang dan dia dah tak ada apa-apa.’’ Tegas sekali nada suara Edry. Langsung tak berminat untuk ambil tahu perkembangan terkini Azza.

‘’Takkanlah tak ada langsung perasaan simpati kot? Abang dengan dia dulukan...’’

‘’Abang tak pernah ada perasaan pun pada Azza tu. Abang sedar, abang dah ada isteri. Abang dah ada tanggungjawab. Abang rapat dengan dia pun, sebab nak buat Nita cemburu. Tapi, Nita tu macam orang tak ada perasaan.’’ Anita belum habis mengungkapkan ayat-ayatnya, Edry sudah memangkas kata-kata Anita dan berjalan menghampiri Anita. Dia duduk di depan Anita dan memegang kedua-dua belah tangan Anita.

‘’Nita tak ada perasaan ke, atau abang yang tak ada perasaan?’’ Anita bertanya Edry kembali dengan nada tak puas hati. Sakit hatinya bila Edry tuduh dia tak ada perasaan, sedangkan hati dia bagai dilapah melihat kemesraan Edry dengan Azza.

‘’Nita ingat tak, bila abang kenalkan Nita kepada Azza sebagai adik angkat. Selamba saja Nita bercakap dan bersalam dengan Azza tu. Kalau perempuan lain jadi Nita, mungkin abang atau Azza dah kena balun pun.’’ Edry cuba mengingatkan Anita ketika pertama kali dia membawa Azza untuk diperkenalkan pada Anita.

‘’Memanglah, takkan Nita nak tunjuk perasaan pula. Kalau abang sendiri pun tak sudi beristerikan perempuan macam Nita ni, takkan Nita pula nak tergedik-gedik dengan abang.’’ Anita menjawab selamba. Matanya merenung ke dalam mata Edry. Dan, sesaat selepas itu Anita sudah mengaduh kesakitan.

‘’Sakitlah..abang ni, suka sangat jentik dahi Nita ni kenapa?’’ Anita bersuara garang. Geram melihat Edry yang sedang tersengeh selepas dahinya dijentik sedikit kuat.

‘’Bila pula abang cakap abang tak sudi beristerikan Nita? Suka sangat serkap jarang. Kalau abang tak sudi, tak hingin abang nak nikah dengan Nita yang terlebih manja ni. Abang nak tanya sikit, boleh tak?’’ dalam menjawab soalan Anita, Edry juga turut menyoal. Ada satu persoalan yang sudah lama bersarang dalam mindanya.

‘’Nak tanya apa?’’

‘’Kenapa Nita sudi nikah dengan abang? Setahu abang, kita tak pernah dipaksa pun. Papa kata, semuanya terpulang pada kita berdua. Kenapa Nita setuju?’’

‘’Abang pun, kenapa abang setuju?’’ Anita bertanya balas. Dia juga teringin untuk mendengar jawapan Edry.

‘’Sebab, abang memang sukakan Nita sejak dulu, tapi bila papa tunangkan Kak Erizza dengan Along, terpaksa abang pendamkan perasaan abang. Bila papa cakap nak jodohkan abang dengan Nita, abang rasa bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal saja.’’

‘’Tipulah. Abang jangan nak tipu Nita. Kalau betullah, abang sukakan Nita sejak dulu, kenapa abang buat perjanjian gila tu? Bukan sepuluh hari abang. Sepuluh tahun tau, Nita tunggu untuk mendapatkan suami Nita ni. Abang ni memang kejam betul tau. Cakap tak serupa bikin. Suka Nita, tapi mendera Nita sampai macam tu sekali. Mengarut sungguh.’’ Anita melepaskan rasa amarahnya yang telah dipendam sekian lama. Sungguh, dia langsung tak percaya Edry sukakan dia sejak dulu lagi.

‘’Abang suka Nita. Abang sayang Nita, tapi abang juga ada impian. Orang selalu kata abang ni bergantung dengan harta keluarga. Abang tak suka dikaitkan dengan keluarga. Abang nak raih kejayaan sendiri. Abang nak bina kerjaya dengan hasil titik peluh sendiri. Abang bercita-cita nak jadi chef, tapi papa tak restu. Papa nak abang ambil alih syarikat juga. Sebab tu abang lantik Along untuk jaga semua restoran abang. Papa tak tahu pun pasal semua restoran tu. Abang minta Along rahsiakan dari semua orang kecuali Ad.’’Edry berterus terang dengan Anita. Serius benar dia bercerita. Anita mengangguk mempercayainya, tapi masih tersimpan sedikit kemuskilan dalam hatinya.

‘’Kenapa abang masih panggil Angah Ad? Abang macam tak bersedia nak jadi adik ipar dia saja.’’ Anita melencongkan topik perbualan mereka. Tergaru kepala Edry dibuatnya. Dia tiada jawapan untuk soalan itu. Sekian lama berkawan dengan Adli, nak panggil Adli dengan panggilan Angah, memang terasa berat sangat bibirnya itu.

‘’Nita tak jawab lagi soalan abang. Kenapa Nita sudi nikah dengan abang? Sengaja nak mengelat ya?’’ Edry cuba mengelak untuk menjawab soalan yang tiada jawapannya. Anita disoal pula dengan soalan yang belum ada jawapannya.

‘’Abang jawab dulu soalan Nita. Kenapa abang masih panggil Angah Ad?’’ Anita mencari helah lagi. Dia tak mahu rahsia hatinya yang telah disimpan sekian lama terbongkar dengan mudah.

‘’Kamikan sebaya. Abang rasa pelik pula nak panggil dia Angah. Nak panggil abang Ngah pun rasa macam nak terkeluar belian. Lagi pun, kalau abang panggil dia Angah, nanti nak kena respect dia 24 jam pula. Tak bestlah kalau macam tu.’’ Edry mencipta juga alasan demi mendengar jawapan Anita.

‘’Sekarang giliran Nita pula jawab soalan abang tadi. Kenapa Nita setuju? Setahu abang, Nita pun ramai peminat sejak sekolah lagi. Masa Nita belajar di U pun, ramai senior dan junior yang nak kawan dengan Nita. Kenapa Nita masih setia dengan abang? Abang dah bagi peluang, kenapa Nita tak ambil peluang tu?’’ bertubi-tubi Edry ajukan soalan. Nita sudah tersenyum dan ingin terus mengelak. Dia mengusap perutnya perlahan-lahan. Sesekali dia mengerutkan dahi seolah sedang menahan sakit.

‘’Perut Nita memulaslah bang. Baby dah lapar agaknya ni. Abang tolong masakkan untuk Nita ya. Nita macam teringin sangat nak makan nasi goreng yang abang masak. Nasi goreng berlauk campur budu dan ulam. Sedap gila masa first Nita makan dulu. Teringat-ingat sampai sekarang ni.’’

‘’Lapar lagi? Tadikan dah makan? Tembamlah isteri abang nanti.’’ Helah Anita menjadi. Edry terus melupakanjawapan yang ingin didengarnya. Dia terus menuju ke dalam rumah dan berjalan ke arah dapur.

‘’Abang masak sedap-sedap tau. Baby yang nak makan. Jangan masin sangat, nanti tekanan darah Nita naik. Biar pedas sikit, tak apa. Baby kata dia suka pedas. Lauk tu kalau lebih sikit, lagi bagus. Ulam tu kalau ada lagi banyak , lagi sedap. Kalau abang masukkan ikan tenggiri goreng, lagi kaw. Nita suka. Baby cakap, baby pun suka.’’ Anita mengambil kesempatan mengarah Edry. Dia tersenyum lebar bila Edry hanya mengangguk mengiyakan saja semua kata-katanya. Ada ke semua bahan-bahan tu? Anita menyoal pula diri sendiri di dalam hati.

Selamat tinggal episode hitam, selamat tinggal kenangan jerawat jatuh subur mekar bagai hutan amazon di mukaku. Kini aku mengecap kebahagiaan dalam definisi yang aku cari dalam mencari pasangan dan paling penting dalam berkongsi hidup. Sederhana dan saling melengkapi dan apa yang lebih membuat aku menjadi wanita terbahagia apabila suami menjaga dan melayani aku tak ubah seperti permaisuri dan merasa akulah wanita paling cantik di dunia saat berjuta manusia memandangku sebagai wanita hodoh.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience