BAB 18

Romance Completed 7221

‘’Big bos, panjang pun umur. Along baru terfikir nak call Ed, Along ingat Along nak bawa orang rumah pergi bercuti ke Eropah. Along nak serahkan kembali restoran ni kepada pemiliknya yang sebenar. Dahlah tu, perjanjian Ed dengan Nita pun dah habiskan? Ambillah balik, hak milik Ed ni.’’ Sedang rancak Edry, Adli dan Adam menjamu selera, Amzar datang ke meja mereka dan bersuara.

Mereka mendongak dan memandang wajah Amzar yang semakin berseri sejak bergelar seorang suami. Lama juga Amzar mengambil masa untuk mencari ganti Erizza. Walaupun Amzar dan Erizza ditunangkan tanpa perasaan cinta, tapi Amzar tetap setia. Puas dipujuk supaya Amzar mencari penganti, akhirnya berhasil juga setelah Amzar bertemu kembali cinta pertamanya yang terpisah selepas masing-masing melanjutkan pelajaran ke Negara orang.

‘’Alah, Along ni,Ed sibuklah sekarang ni. Ed kan dah bekerja di pejabat papa. Macam mana Ed nak uruskan restoran ni? Along pergilah bercuti, balik nanti Along uruskanlah semula.’’ Edry cuba memujuk Amzar yang sedang tersenyum. Amzar menarik kerusi dan duduk.

‘’Bukannya Ed kena jaga restoran ni 24 jam. Ed kerjalah di pejabat seperti biasa. Restoran ni pantau sesekali saja. Semua urusan serahkan saja pada Chef Azli dan Encik Baharuddin.’’ Tenang saja Amzar berkata. Dia menepuk perlahan bahu Edry yang berhenti menyuap kerana permintaan Amzar memang meresahkan hatinya. Kalau Azza dapat tahu, mesti Azza akan merayu untuk kembali bersamanya lagi. Apa pula kata pekerja-pekerja restoran yang lain? Hati Edry sedang berbicara sendiri.

‘’Along, please la..buat macam biasa. Ed belum bersedia untuk ambil alih.’’ Edry masih cuba merayu. Pinggan nasi yang sedang berada di depannya, ditolak ke tengah meja. Edry menarik gelas minuman miliknya dan menyedut minumannya perlahan. Dia mendongak dan memandang Amzar. Mereka bertatapan seketika. Amzar mengeleng pantas. Sudah tiba masanya Edry menghentikan lakonannya. Edry harus bertanggungjawab dan menguruskan harta miliknya mulai hari ini.

‘’Bahar!’’ Amzar melaung nama Encik Baharuddin dan mengamit dia datang ke meja mereka. Edry mengeluh keras. Dia benar-benar tertekan dengan keputusan mendadak Amzar.

Encik Baharuddin yang dipanggil segera mendapatkan Amzar. Matanya sedang merenung tajam ke arah Edry yang juga sedang memandang ke arahnya dengan wajah bersahaja.

‘’Saya nak pergi bercuti Bahar, sebelum tu saya nak perkenalkan kepada awak dengan pemilik sebenar restoran ni.’’ Amzar mula bersuara dan memandang Encik Baharuddin dan Edry sambil tersenyum.

‘’Hah? Pemilik sebenar? Maksud bos?’’ Encik Baharuddin bertanya kembali. Amzar terus tersenyum. Sudah pasti semua pekerja termasuk Encik Baharuddin akan terkejut mendengar berita ini. Amzar tahu apa yang berlaku. Dia tahu sangat Edry sering diperlekehkan sejak dia menjadi tukang cuci pinggan mangkuk dalam restoran ini. Semuanya kerana Edry yang sering minta cuti dan culas dalam melakukan kerja yang disuruh.

‘’Restoran ini bukan hak saya Bahar. Saya cuma orang tengah yang menjalankan tugas yang telah diamanahkan. Pemilik sebenar restoran ini adalah adik ipar saya. Sekarang ni, semua urusan dan tandatangan, awak kena jumpa dia. Dia yang akan mengambil alih semula restoran ini mulai hari ini.’’ Tenang saja Amzar bercerita. Encik Baharuddin sudah terangguk-angguk tanda faham. Adli menjungkitkan keningnya kepada Edry. Inilah masanya kau tunjukkan kuasa kau pula. Adli berkata di dalam hati dan memberikan isyarat mata kepada Edry. Mereka berbalas senyuman.

‘’Pemilik sebenar restoran ni ada di depan kita sekarang.’’ Amzar berkata lagi. Encik Baharuddin memandang tiga orang lelaki yang ada bersama mereka. Dia meneka pemilik restoran adalah Adli. Dia terus menghulurkan tangan kepada Adli untuk bersalam.

‘’Selamat datang bos.’’ Serentak tangan dihulur Encik Baharuddin bersuara. Adli memandang Edry dan tanpa berlengah, tangan Encik Baharuddin tetap disambut. Amzar dan Adam pula sudah meledakkan tawa sementara Edry tersenyum lucu.

‘’Hari ini kita ada masakan special, kalau bos nak, saya boleh suruh chef kita sediakan.’’ Encik Baharuddin bersuara lagi dan mengengam kemas jari jemari Adli.

‘’Tak apa, saya dah kenyang. Encik Bahar yakin ke, saya bos baru awak?’’ Adli sengaja menguji Encik Bahruddin. Laju pula Encik Baharuddin mengangguk.

‘’Ya, saya yakin 100%, sebab setiap kali bos datang ke sini bersama Edry, bos yang belanja. Nak harapkan Edry ni, hurmm..’’ Encik Baharuddin menjawab pertanyaan Adli dan mengakhirinya dengan keluhan keras. Serentak dengan itu pandangan tajam dihadiahkan lagi untuk Edry.

‘’Kenapa awak suka memandang rendah pada orang lain? Awak tahu tak, kulit bukuyang nampak hodoh, tak semestinya cerita dalam buku tu tak best. Boleh tak, awak baca dulu buku tu, baru menilai hasil penulisnya. Janganlah nak kutuk sebarangan sebelum awak tahu isi buku tu.’’ Edry tiba-tiba berawak bagai dengan Encik Baharuddin. Terbuntang seketika mata Encik Baharuddin bila mendengarnya. Amzar pula langsung tak mencelah. Biarkan saja Edry selesaikan masalah ini.

‘’Aku tahu, kau dah dapat kerja bagus sekarang ni. Dah pakai cantik, siap bertali leher segala. Kau berlagak ya. Kau nampak tak pintu tu..’’ sambil menudingkan jarinya ke arah pintu, Encik Baharuddin bersuara serius.

‘’Kalau tak kerana Encik Amzar dan bos aku ni, dah lama aku halau kau keluar dari restoran ni.’’ Encik Baharuddin menyambung kata-katanya. Matanya merenung tepat ke arah Edry. Mengeluh lagi Edry dibuatnya, kepalanya digeleng berkali-kali.

‘’Apa perasaan awak, kalau bos awak yang halau awak keluar dari pintu tu? Awak bekerja di restoran ni sejak restoran ni dibuka lagi. Gaji awak pun lebih tinggi dari pekerja lain. Tak bolehkah awak bersyukur dengan apa yang awak dapat? Rezeki yang awak dapat selama ini adalah pemberian Allah. Pernahkah awak bersyukur dengan rezeki tu?’’

‘’Kau siapa nak tanya aku dengan soalan macam tu. Kau tak layak nak menyoal aku tau. Biadap, umur kau dengan umur aku jauh beza tau. Tak reti nak hormat orang ke? Jangan nak berlagak sangat dengan jawatan kau sekarang. Aku boleh buat kau kena pecat serta merta kalau aku ambil tindakan. Kalau setakat makan gaji di syarikat sebagai kerani tu, aku tak heranlah.’’

Sungguh angkuh kata-kata Encik Baharuddin, sedangkan Edry bersuara dengan nada yang selamba. Dia kenal sangat dengan Encik Baharuddin yang suka menghina orang bawahannya, terutama Edry yang pernah menjadi tukang cuci. Katanya, tukang cuci langsung tak ada masa depan. Selalu juga Edry menjawab kata-katanya. Masa depan bukan terletak pada pekerjaan yang dipegang. Yang penting kerja itu halal dan mendapat keredhaan Allah.

‘’Sekejap Bahar. Saya kenalkan..sebenarnya ini adik kandung saya. Dia bukan bos awak. Edry Adha ni baru adik ipar saya, suami kepada adik perempuan tunggal saya dan ini pula adik bongsu saya.’’

Sebelum Encik Baharuddin menyambung ayat-ayatnya, Amzar mengambil keputusan untuk mencelah. Kalau nak diharapkan Edry mengenalkan dirinya sendiri, sampai ke sudah Edry takkan lakukan. Itu yang Amzar fikir bila mendengar perbualan mereka. Edry Adha memang suka mengenakan orang dengan watak selambanya.

‘’Edry ni pemilik sebenar restoran ni dan empat buah lagi restoran yang berada di bawah seliaan saya selama ini. Edry ni bukan seperti yang awak sangka. Dia bukan kerani cabuk seperti yang awak fikir. Dia anak ke-2 kepada Tan Sri Ramli, dan kini menjadi Pengarah Urusan yang baru di syarikat Ramli & Family’s Holding Sdn Bhd. Awak tersalah menilai orang Bahar. Edry ni bukan saja bijak menguruskan bisnes, tapi dia juga pencipta lagu yang sedang meningkat naik sekarang. Dia mungkin tak pernah muncul di tv..’’

‘’Alonggggggggg..sudah-sudahlah tu..’’ Amzar belum habis bercerita, Edry mencelah dan berwajah masam. Serentak, Amzar, Adli dan Adam meledakkan tawa. Encik Baharuddin saja yang sedang menundukkan kepala dengan mimik wajah tidak percaya bercampur takut andai dia akan dipecat kerana kelancarannya berkata-kata sebentar tadi dan penghinaan yang pernah dilakukannya kepada Edry.

‘’Bahar...tentu awak dah sedar sekarang ni, kan? Orang yang awak hina tak ada apa-apa selama ini, sebenarnya dialah yang membayar gaji awak selama bertahun ini. Ya, rezeki tu memang Allah yang beri, tapi awak kena tahu, selepas ditemuduga, Ed yang memilih setiap pekerja. Saya dah banyak kali nak pecat awak kerana berkelakuan kasar dengan Edry, tapi Ed bukan macam awak.

Dia ada hati budi. Dia tak nak anak-anak dan isteri awak merana kerana kelakuan awak yang suka menilai orang kerana miskin. Awak tahu tak Bahar, miskin bukan satu kekurangan yang patut dipertikaikan. Allah tak pernah memandang hambaNYA kerana rupa ataupun harta. Yang akan dinilai di Akhirat nanti, adalah amalan yang kita lakukan di atas dunia ini.’’ Panjang lebar pula Amzar berleter. Encik Baharuddin sedang menunduk malu kerana sikapnya sendiri.

‘’Ed..Along serahkan kembali semua harta milik Ed. Along nak cuci tangan buat masa ni. Along tak nak fikir pasal bisnes lagi. Along nak cari bahagia Along sendiri. Tapi, kalau Ed masih memerlukan bantuan Along, call saja Along bila perlu. Along akan bantu sedaya mungkin, cuma Along nak Ed akan mula menjadi seorang bos yang bertanggungjawab dengan apa yang Ed dah mulakan. Semua ini adalah impian Ed sendiri sejak dulu. Takkan Ed masih nak lepas tangan? Hargailah pergorbanan Nita selama sepuluh tahun ni demi impian gila Ed ini. Along tahu, Nita sebenarnya terseksa sejak hidup terpisah dengan Ed.’’

Dalam membicarakan soal bisnes dan tanggungjawab, Amzar tersasar tajuk, nama Anita turut terbabit sama. Edry tercenggang seketika, tak sangka pula, Amzar akan mengungkit sejauh itu. Tak mahu membantah, Edry hanya mengangguk mengiakan.

‘’Pasal Bahar ni, Ed buat keputusan sendiri sama ada nak pecat dia atau sebaliknya.’’ Amzar berkata lagi dan dia memandang ke arah Encik Baharuddin yang masih menundukkan wajah. Ternyata Encik Baharuddin sedang berada dalam keadaan yang sangat getir. Seolah berada di hujung keris dan menanti andai keris itu akan dibenamkan ke tubuhnya.

‘’Encik Bahar ni dah lama bekerja di sini, cuma yang Ed paling tak suka sikap dia yang suka mengipas bos sendiri dan suka menghina orang bawahannya. Tapi, Ed akan bagi peluang kedua untuk dia, kalau sikap dia yang berlagak tu masih ada lagi, Ed takkan teragak-agak untuk cari penganti.’’ Edry bersuara serius. Kata-katanya ditujukan untuk Encik Baharuddin, namun dia langsung tak memandang wajah Encik Baharuddin. Edry seolah sedang bercakap dengan Amzar, bukan dengan Encik Baharuddin.

‘’Awak dengar tu Bahar. Saya dah cakap tadi, Ed ni ada hati budi, kalau saya jadi dia..tak ingin saya nak biarkan awak terus bekerja di sini. Sikap awak terhadap Ed memang tak boleh dimaafkan. Jangan ingat, awak ada segalanya, awak boleh menghina orang sesuka hati. Dunia ini hanya sementara saja Bahar. Apa yang awak harapkan di atas dunia ini? Kalau awak bahagia dengan kehidupan awak dengan menghina orang, jangan ingat awak akan terlepas di Akhirat nanti.’’

Amzar masih terus memberikan teguran untuk Encik Baharuddin. Umur Amzar dan Encik Baharuddin tak jauh bezanya. Amzar cuma tua dua tahun saja dari Encik Baharuddin, bezanya Encik Baharuddin yang nampak lebih berusia kerana tubuhnya yang sedikit gempal dan berperut buncit. Kepalanya pula, botak di depan, licin berkilat dan kulitnya sedikit gelap.

‘’Tak apalah Encik Amzar, saya yang akan letak jawatan, carilah orang lain mengantikan saya. Macam yang Encik Amzar cakap tadi, rezeki tu datang dari Allah. Pasti ada rezeki saya di mana-mana..’’ Encik Baharuddin yang menunduk sejak tadi kembali bersuara. Dia sengaja berkata begitu, sedangkan dalam hatinya berharap agar Edry akan merayunya untuk terus bekerja di restoran ini.

‘’Baiklah..kalau itu keputusan awak. Ed..hari tu Ed cakap ada kawan Ed sedang cari kerjakan?’’ Amzar berkata lagi sambil memandang Edry dan memberi isyarat mata. Edry yang sedang blur, mengangguk tanpa sedar. Mindanya sedang bekerja, siapakah kawannya yang sedang mencari kerja itu?

‘’Bila awak nak letak jawatan? Saya akan minta Katrina sediakan surat perjanjian perletakan jawatan awak dan saya nak awak tandatangan sekali.’’ Sekali lagi Amzar mencari helah untuk mengenakan Encik Baharuddin yang nampak sudah mengelabah. Dalam melawan keegoaannya agar tidak tunduk di bawah Edry sebagai majikannya, Encik Baharuddin masih berharap agar masih ada harapan untuknya bekerja di restoran ini. Tapi, lain yang dia harap, lain pula yang terjadi.

‘’Restoran ni nak guna pekerja ke? Nita nak..boring ar jadi PA Encik Adli ni. Semakin lama, semakin menyampah pula kerja dengan dia.’’ Anita yang sedang berada di belakang mereka mencelah tiba-tiba. Niat dia datang nak suruh Edry hantar dia balik ke rumah kerana dia tak mahu masuk ke pejabat semula. Tapi, bila terdengar ada kerja kosong yang diperlukan untuk mengantikan Encik Baharuddin sebagai pengurus restoran, terus dia mencelah tanpa teragak-agak lagi. Terdiam lama Edry dibuatnya.

‘’Habis tu, siapa pula yang nak gantikan Nita jadi PA Angah?’’ Adli bertanya balas. Anita mengangkat bahu tanda tak nak ambil tahu.

‘’Sayang..tu perut dah semakin membesar. Tak payah nak kerja. Duduk rumah saja, berehat. Kalau dah bosan jadi PA, jadi suri rumah sepenuh masa.’’ Edry mencuba nasib. Kalau Anita nak jadi pengurus restorannya, dia tak kisah kerana dia yakin Anita mampu melakukannya.

Tapi, dengan keadaan Anita sekarang, dia pula yang bakal runsing sepanjang masa memikirkan kesihatan Anita yang mungkin akan terjejas nanti. Dia bukannya boleh datang selalu ke restoran ini untuk menjenguk keadaan Anita. Lagi pun, ramai pekerja di restoran ini yang tak menyukai Edry sebelum ini termasuk ketua chef mereka yang menganggap Edry sebagai anak emas Amzar. Semuanya akibat salah faham antara Edry dan rakan-rakan sekerjanya.

‘’Huh! Semuanya tak boleh. Jadi PA awak pun tak boleh. Nak jadi pengurus restoran pun tak boleh. Apanya yang boleh?’’ Anita cukup tak puas hati dengan jawapan yang Edry beri. Suri rumah sepenuh masa? Nampak sangat nak kurung aku 24 jam dalam rumah. Anita berbicara sendiri di dalam hati.

‘’Hmm..nak tahu apa yang boleh, tunggu malam nanti, abang bagitau apa yang boleh.’’ Edry menjawab sambil tersengeh. Dia memandang tepat ke wajah Anita dan bibirnya tak lekang dengan senyuman. Mindanya sudah terbayangkan sesuatu yang nakal. Anita terus mencebik, sementara Adli dan Amzar sudah ketawa tanpa sedar. Adam pula sudah menjungkitkan keningnya berkali-kali. Encik Baharuddin pula, perlahan-lahan berundur pergi bila terasa dirinya tak diperlukan lagi. Terlajak perahu, boleh diundur. Terlajak kata, cari kerja lainlah jawabnya.

‘’Hantar Nita balik. Letih, nak balik tidur.’’ Dengan mimik wajah yang masam, Anita berkata geram kerana rasa dipermainkan oleh empat orang lelaki kesayangannya.

‘’Nak balik rumah mama ke? Jomlah, balik dengan Adam.’’ Orang lain yang Anita ajak, Adam pula yang menawarkan diri. Anita memuncungkan bibir lagi.

‘’Abang..hantar Nita. Tak nak balik dengan Adam. Tak best.’’ Anita bertegas. Ke empat-empat pasang mata sedang memandang ke arahnya. Seketika kemudian, masing-masing sudah melebarkan senyuman. Edry yang tersipu-sipu dengan permintaan Anita.

‘’Abang nak kena balik pejabat. Nita balik dengan Adam dulu, nanti abang pergi ambilNita di rumah mama. Kita tidur di Genting malam ni. Bolehkan? Abang ada meeting sejam lagi. Jomlah Ad..’’ sambil berkata Edry bangun dan mengelus perlahan belakang Anita. Cuba memujuk Anita yang sudah menarik muncung sekali lagi. Adli dan Adam juga turut bangun.

‘’Dah..mak buyung..jom balik dengan Adam jer. Selalunya, boleh saja dating dengan Adam. Hari ni nak bermanja pula dengan abang Ed ni, kenapa? Saja nak tayang la tu.’’ Adam mengambil alih dan berada di sebelah Anita. Edry sempat memegang tangan Anita sebelum berlalu keluar bersama Adli yang sudah tersenyum lebar melihat perubahan wajah Anita.

‘’Ishh..meeting, meeting, meeting. Tak habis-habis dengan meeting. Ni yang lecehnya kalau kahwin dengan orang kerja pejabat ni. Kononnya buka restoran untuk capai impian. Kerja pejabat juga yang dia pilih.’’ Anita mengomel sendiri bila Edry dan Adli sudah hilang dari pandangan. Amzar dan Adam saling berpandangan.

‘’Pergi balik, tidur. Tak payah membebel lagi. Adam, bawa mak buyung ni balik. Along nak selesaikan hal restoran, sebelum pergi bercuti. Cakap kat mama, malam ni Along dengan Kak Long balik makan malam.’’ Amzar menghalau Anita dan Adam keluar. Menghalau cara halus, sambil menolak perlahan tubuh Anita berniat untuk bergurau. Terdengar Anita berdecit dan menjeling Amzar yang sudah ketawa melihat mimik wajah Anita, adik manja kesayangannya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience