BAB 1

Romance Completed 7221

Lima minit lagi maka genaplah 30 minit Anita tercongak di depan cermin membelek wajahnya sedari tadi. Ke hulu ke hilir ada saja alat dicarinya untuk memecahkan jerawat yang tumbuh mekar bagai cendawan lepas hujan di wajahnya itu.Parut jerawat pula bewarna kemerah-merahan, berbekas dan kemerahan. Dia benar-benar stress.

Masalah kulit wajah yang dilaluinya membuatkan Anita sedih lebih-lebih lagi apabila rakan-rakan sekerjanya pun seakan menyisihkan dirinya. Kalau ada yang sudi dekat dan berbual dengannya pun tak ramai, boleh dibilang dengan jari. Anita hairan, kenapa manusia terlalu memandang pada kecantikan wajah, sedangkan kecantikan hati itulah yang patut diutamakan.

Semakin lama bekerja di tempat yang sama, Anita semakin tertekan. Hari-hari hatinya merusuh kerana kejian rakan-rakan sekerja yang jijik melihat wajahnya. Dia tak minta jadi begini, dia sendiri pun terpaksa menanggung rasa malu memiliki wajah begini.

Akhirnya Anita membuat keputusan untuk bekerja di syarikat milik ayahnya, tapi hanya sebagai pekerja biasa yang paling rendah pangkatnya. Tiada siapa pun yang tahu, Anita adalah anak bos syarikat. Anita tak mahu mengaku dan memberi amaran juga pada ayah dan abangnya yang juga bekerja di syarikat yang sama.

Hari ini hari pertama Anita di syarikat ini. Anita resah kerana takut dirinya dicemuh oleh rakan-rakan barunya kerana memiliki wajah hodoh, namun Anita sudah bersedia mental dan fizikal. Kalau pekerja di sini juga tak boleh menerima kehadiran Anita yang berwajah hodoh, Anita terpaksa menerima semua ketentuan takdir, bahawa dirinya sedang diuji dengan wajahnya.

‘’Anita..’’ Anita memperkenalkan diri selepas bersalam dengan pekerja-pekerja perempuan di dalam tempat kerja barunya. Anita mengawal rasa debar dalam hatinya, dia berwajah selamba agar tidak ketara perasaan rendah diri yang sedang bersarang dalam jiwanya.

‘’Lina.’’ Pekerja pertama juga mengenalkan diri sambil menyambut salam Anita.

‘’Syaza.’’ Gadis kecil molek bersuara. Bibirnya terhias sedikit senyuman mesra.

‘’Shimah.’’ Pekerja yang sudah berusia 35 tahun pula menyambut salam yang dihulurkan oleh Anita. Seperti Syaza, dia juga mengukirkan senyuman mesra, salam perkenalan dengan rakan sekerja baru.

‘’Azhar.’’ Seorang pekerja lelaki tampil dan memperkenalkan diri seperti yang lain. Matanya merenung Anita dan menilik Anita atas dan bawah sambil bibir tersenyum senget. Anita hanya menganggukkan kepala sebagai tanda menyambut salam perkenalannya, namun wajahnya sudah berona merah bila ditenung oleh Azhar.

‘’Asmida.’’ Pekerja seterusnya menyambut salam Anita, tapi salamyang disambut hanya di hujung jari. Terasa benar hati Anita dengan pandangan tajam Asmida dan reaksi yang Asmida beri, namun Anita nak berfikiran positif.

Pekerja-pekerja seterusnya hanya menganggukkan kepala sambil menujukkan tag nama masing-masing. Anita turut berbuat perkara yang sama. Setakat ini, Anita masih berpuas hati dengan penerimaan rakan-rakan sekerja barunya.

‘’Cik Jerawat! Masuk ke bilik saya, nak bincang pasal kerja awak. Interview hari tu, tak sempat nak tanya soalan-soalan penting, jadi sebelum awak mulakan kerja, kita berbincang dulu.’’ Suara seseorang kedengaran di penjuru pejabat. Anita menoleh kalut dan seorang lelaki sudah melambai kepadanya. Anita keliru, panggil aku ke? Hatinya berbicara sendiri.

‘’’Dia panggil saya ke?’’ Anita bertanya pada Lina yang kebetulan paling dekat dengan dirinya. Lina mengangkat bahu, tanda dia pun tak pasti.

‘’Saya ke?’’ Anita bertanya kembali lelaki yang melambai tadi mohon jawapan. Dia sendiri keliru kerana dia juga ada nama seperti orang lain.

‘’Yalah. Siapa lagi yang ada jerawat selain awak?’’ soalan Anita berbalas soalan juga. Lelaki yang bersuara itu tersenyum mengejek sambil masuk ke bilik pejabatnya sendiri. Anita menghela nafas geram. Hatinya membebel di dalam.

Tanpa berlengah lagi, Anita melangkah laju menuju ke bilik pejabat lelaki itu. Anita menahan perasaan geramnya sambil cuba memaniskan wajah bila melalui meja rakan-rakan sekerja barunya yang sedang memerhatikan langkah Anita. Anita menerpa masuk tanpa mengetuk pintu.

Anita mengengam penumbuk sambil membuntangkan mata. Hatinya panas bila bos barunya mengelar dirinya Cik Jerawat di depan pekerja-pekerja lain. Dengan langkah yang laju Anita menuju ke meja bosnya, Anita mengigit bibirnya sendiri. Sampai saja di tepi meja, Anita mencapai sebuah fail dan melontar ke arah bos barunya.

‘’Cik Jerawat?’’ sambil menyoal bos barunya, fail melayang di udara. Nasib baiklah bos baru Anita sempat mengelak. Kalau tak, mesti bercalar juga wajah bos baru Anita.

‘’Oii..apa ni? Cedera wajah Angah yang handsome ni, Angah saman sejuta.’’ Adli bersuara garang, namun dalam hati ketawa gembira melihat wajah tegang Anita di depannya. Hobi Adli setiap kali ada Anita bersamanya adalah membuli Anita secukupnya. Tak habis dengan itu, Adli juga kuat menyakat Anita sejak kecil lagi. Mereka memang rapat, tapi sikap membuli Adli, kadang-kadang membuatkan Anita bengang dengannya.

‘’Jahat. Orang ada nama la.’’ Anita membentak keras seraya menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan Adli dengan wajah masam. Adli ketawa ceria mendengar Anita berkata begitu, ditambah dengan wajah masam Anita dengan bibir yang terkumat kamit mengutuk dirinya.

‘’Ed suruh Angah bawa Nita pergi restoran dia, lunch nanti. Nak raikan isteri dia yang baru mula kerja. Nak pergi tak?’’ tanpa menjawab bebelan Anita, Adli memulakan kata, berkenaan hasratnya memanggil Anita masuk ke biliknya. Anita mengerut kening. Hairan.

‘’Ishh..buat apa? Suruh dia raikan GF dia sudahlah. Ada GF buatlah macam ada GF.’’ Anita menjawab sambil mencebik. Adli terus ketawa dengan respon Anita. Dia tahu keegoan Anita. Di luar kata tak nak, tapi dalam hati, siapa yang tahu.

‘’Aikk..ayat macam orang jealous saja.’’ Adli masih ingin menguji Anita, sambil berkata Adli merenung wajah Anita tanpa berkalih sedikit pun. Bibir Adli sudah melebar dengan senyuman bila melihat Anita mencebik lagi.

‘’Tak ada maknanya, nak jealous bagai.’’ Anita bersuara tegas dan matanya dibulatkan. Adli pula sudah ketawa kuat melihat reaksi Anita yang seterusnya.

‘’Jomlah..Angah pun dah lama tak jumpa dia. Lunch nanti Nita tunggu Angah di bus stop depan simpang tu. Angah ambil Nita di situ, atau nak pergi sendiri or nak suruh Ed datang ambil?’’ soalan Adli bersambut dengan gelengan pantas oleh Anita. Pergi dengan Adli, ibarat menunggu hukum pancung dari semua rakan-rakan sekerja barunya. Tak habis dengan kes gelaran Cik Jerawat, nanti timbul pula gosip lain tentangnya.

‘’Nita pergi sendiri. Tak naklah Nita kena gosip dengan Encik Adli. Handsome tak apalah jugak.’’ Anita menjawab lagi sambil mula tersenyum kemenangan. Anita membelek pula wajah Adli. Angahnya tak hodoh, kacak pun tak juga. Kulitnya sawo matang. Ada kumis nipis, berbulu kening tebal, bulu mata lentik, lesung pipit di pipi kiri dan kanan. Kulit wajah pula, yang sedang-sedang saja, tak ada jerawat dan jeragat. Bolehlah, walaupun tak sekacak model antarabangsa.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience