BAB 1.

Fantasy Series 3582

ISTANA PURA SEMANGGI,

KALAKIAN, Puteri Sukma Cempaka sedang enak menyantap nasi dengan ayahanda serta bondanya tatkala pintu dewan santapan terbuka luas lalu memaparkan wajah-wajah bengis dengan lembing tertujah pada mereka bertiga.

Syahadan, api-api dari dalam bekas kandil di dinding meliang rakus mencipta bayangan kesemuanya dari belakang. Bagaikan sebuah petanda geruh bakal berlaku. 

"Patik tidak menyangka perawan yang patik sanjungi,  kuat menjaga kehormatannya sanggup berkendak dengan lelaki asing itu!" Bagai gempita membelah langit suara Raja Antan memarahi Puteri Sukma Cempaka.  

Tegang wajah bonda serta ayahanda Puteri Sukma Cempaka bila mendengar akan pertuduhan tersebut.  

Hatta walang menjemput sukma Puteri ayu itu, sehingga nasi yang baru dijemput dalam tangan terlepas semula ke dalam pinggan. Mata semakin bergenangan di kala mendengar suara parau ayahandanya yang tercinta. 

Dari sisi Raja Antan yang masih bercekak pinggang itu ada wajah sedang menyembunyikan senyuman megah kerana satu daripada rencana durjana bakal menemui titik kejayaan.  

"Benarkah bagai apa yang dikata, anakanda ku Sukma? Tidakkah anakanda sedar akan siapakah diri anakanda itu? Dia hanya lelaki dagang yang kita tolong buat sementara waktu saja. Tergamaknya anakanda menuba wajah ayahanda dengan bonda!" Suara Raja Semanggi turut sama bergempita membuatkan semakin kuat bawah bibir Puteri Sukma Cempaka gigit. 

"Kalau iya pun kanda, dengar dahulu apa kata anakanda kita ini.  Dinda tidak percaya anakanda Sukma sanggup memberi kita najis." Sahut si isteri di sebelah dengan mata tajam merenung wajah Raja Gentala. 

"Ratna Sari, kanda juga sukar mahu mempercayainya… benarkah begitu wahai Raja Antan. Apakah ada buktinya sabit kata-kata itu? Setahu beta, anakanda Sukma jarang pergi ke teratak tamu tanpa berteman jika mahu disabitkan kesalahan berkendak, Antan."

"Tuan hamba berdua buktinya!"  Laju Raja Gentala bersuara dan memajukan diri ke depan bersama dengan seorang lagi hulubalang istana. 

"Mata hamba menjadi saksi perlakuan sumbang mereka berdua. Mahu bukti bagaimana lagi? Jikalau Raja Semanggi ketua yang adil lagi saksama seharusnya berfikiran seperti penguasa bukannya sebagai ayahanda tercinta!" 

Pedas sekali sindiran yang diluahkan membuatkan Puteri Sukma Cempaka semakin mengenggam nasi sehingga lumat selumatnya. 

"Wahai anakanda, tolong jelaskan kekeliruan ni anakanda. Jika benar anakanda berkendak ayahanda seharusnya menghukum perbuatan anakanda yang memalukan itu. Ayahanda tidak boleh berlembut dalam soal agama." Raja Semanggi bingkas bangun dan bersuara tegas serta menekan.

"Kanda!" 

"Adinda jangan masuk campur.  Biar kanda uruskan geruh yang sudah anakanda lakukan!" Muktamad.  Dan Permaisuri Ratna Sari membungkam di meja hanya mata merenung kasihan pada sang puteri tunggalnya itu. Sukar sekali dia mahu mempercayai akan kata-kata berbaur fitnah itu.  Dia mengenali anaknya melebihi yang lain namun bagaimana mungkin mahu menyanggah kata Raja Semanggi. 

"Anakanda Puteri Sukma Cempaka!"

"Sudahlah tu. Tidak ingin lagi patik beristerikan bunga yang tiada madunya…"

"Raja Antan! Jaga bahasa mu dulu sebelum membahasakan patik. Dan sekiranya ini keinginan mu. Baik, patik sudi menerimanya…"

"Jadi benarlah Tuan Puteri berkendak dengan Damak dagang hina itu?" Kata-kata dari Raja Gentala membuatkan jiwa amarah Sukma Cempaka semakin merengsakan dadanya.

Semakin kejap dia mengenggam tangannya.  Ingin saja dia keluarkan kesaktiannya itu jika terpaksa. Dalam hal ini, memang dia tidak bersalah mengapa pula dia yang menerima tuduhan? 

Namun siapa dia mahu bersuara hanya perawan desa yang lemah dan seorang anakanda.  Bagaimana mahu dia menyanggah kata-kata ayahandanya lagi?

Apa yang sudah berlaku ini pun dia sudah dikatakan sudah membaling najis inikan pula menyanggah menegakkan kebenaran!

"Raja Gentala. Tolong jaga bahasa mu itu… beta lebih tahu siapakah Sukma daripada tuan hamba. Jadi berbudilah dalam bicara tuan hamba. Jika benar anak beta yang bersalah, biarlah kami berdua memberikannya hukuman," sahut Permaisuri Ratna Sari lelah.

"Argh! Sudahlah semua itu tiada gunanya lagi. Sukma, Sukma tidak kanda sangka… adinda sanggup bermain wayang di belakang kekanda.  Apa yang kurang pada kanda ini kalau nak di bandingkan dengan dagang melarat tu, hah?" Raja Antan menyembur lagi. Semakin merah padam wajah Raja Semanggi dan juga Puteri Sukma Cempaka.

"Jadi, sudah kanda tahu kan? Kanda memberi... adinda sudah pun menerimanya.  Moga Allah SWT berkati kehidupan kanda dengan sunti pilihan.  Tapi ingat kata-kata adinda ini... biar bunga tidak bermadu, dari buah yang sudah ditebuk namun dapat di halangi dengan sarung… adinda terima apa saja keputusan kanda dan juga ayahanda.  Jika patik di hukum buang daerah pun patik terima, Tuanku…" 

Sinis sekali lontaran bicara Puteri Sukma Cempaka menunduk.  

Namun tidak lama kemudian, dia bangun tanpa menghiraukan pandangan tajam kesemuanya, dia berlari sambil terkesat-kesat pelupuk mata.  Larian lajunya menuju ke arah gelanggang.  

Puteri Sukma Cempaka terus melompat tinggi sambil tangan bersimpang-siur dalam membuka tari silatnya.  "Iyargh!!!"  Pekikan Puteri Sukma Cempaka mengejutkan para mergasatwa belantara berdekatan Pura Semanggi dan juga Kampung Pauh Dilayang. 

Kelima-lima jamung yang bersangkutan di batang pokok pisang tanpa daun terpadam, dan batang juga terbelah dua setelah menerima libasan tangan harimau berantai dari penangan Puteri Sukma Cempaka. 

Nila Utama bersilang tangan memerhati setelah dia mendapat tahu akan geruh yang terjadi.  Dan dia juga mengenali akan peribadi anak gadis itu. Tapi dia juga tak mampu nak bersuara pada perkara yang dia juga tidak nampak. 

"Argh!!!"  Sekali lagi pekikan Puteri Sukma Cempaka memecah kesepian malam Pura Semanggi. Dan kali ini, diiringi bunyi letupan-letupan berapi dari jurus api bentara nya.  

"Iyargh!!!" Puteri Sukma Cempaka memekik dan melompat tinggi lalu hinggap atas dahan pokok. Nila Utama menapak tenang sambil tangan melibas-libas supaya tompok-tompok api atas tanah gelanggang terpadam. Membahayakan!

"Sukma Cempaka! Cukup tu Tuanku Puteri.  Bukan begini caranya!" 

"Tok Guru tak tahu apa-apa!"  Pekik Puteri Sukma Cempaka dan kedengaran agak biadap.

"Siapa kata?" Sahut Nila Utama kekal tenang dan tersenyum penuh makna.

"Hamba tak bersalah tok guru.  Hamba di fitnah!"  Puteri Sukma Cempaka seakan enggan turun. Tiada siapa pun yang tahu derita hatinya saat itu.

"Hamba di fitnah tok guru. Hamba tak buat itu semua. Hamba tak pernah masuk ke kamar pemuda dagang itu seorang diri. Hamba ..." Lirih sekali nada suara Puteri Sukma Cempaka.

"Hamba tahu.  Turunlah dan mari kita berbincang elok-elok…" Nila Utama juga mahu menenangkan serta membujuk. Jika tidak bersalah sekali pun, dia sebagai perawan di raja tidak manis berada di atas pokok tanpa bersebab.

Mahu atau tidak, Puteri Sukma Cempaka akhirnya akur lalu dia melompat turun. Melangkah dengan wajah tertunduknya untuk mendekati Tok Nila Utama. Dari jauh, Raja Antan dan Raja Gentala saling berpandangan melihat perlakuan Puteri Sukma Cempaka dengan Nila Utama.

"Sabar, patik yakin Raja Semanggi pasti akan membuang puterinya itu. Siapa yang tidak kenal dengan ketegasan Raja Semanggi!" Raja Gentala berkata-kata sambil melurut-lurut jambangnya.

Manakala Raja Antah tetap rasa sedih dengan sikap Puteri Sukma Cempaka. Mawar dia beri racun dia terima.

kalakian/ ketika itu
syahadan lalu
kendak skanda
kandil pelita
sahmura permata

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience