BAB 2.

Fantasy Series 3582

"HAMBA berdua tidak melakukan perkara terkutuk tersebut.  Dengan nama Allah SWT!" Damak mahu mencari Al Quran, dia rela menjunjungnya. Habis semua yang ada di atas para yang melekat pada dinding papan berlubang itu, dia punggahnya.

"Allahu anak! Sudah. Sudah, baiklah hamba mengerti. Tapi apakan daya mu, nak… titah sultan tidak boleh di buat main-main…" Kata Nila Utama sambil mengarahkan matanya sekejap pada Damak, sekejap pada anak muridnya itu. 

"Tidak mengapalah. Jika sudah kehendak takdir hamba sebegini rupa. Hamba rela pergi dari sini. Lagi pun, apalah saja hamba ini hanya dagang tak bertanah. Sukma tidak perlulah pergi dari sini," ujar Damak seraya merenung Puteri Sukma Cempaka di sisi dua lagi dayangnya. 

Nila Utama mengeluh lalu menggeleng.  "Tunggu sebentar anakanda Damak. Mari ikut tok," ujar Nila Utama. Membuatkan mata Puteri Sukma Cempaka dan Damak merenung Nila Utama lama. Atas dasar apa?

"Sukma, tok mahu tuan hamba cubalah cari peluang waktu ayahanda mu itu sejuk hatinya dan bawa-bawalah berbincang.  Mengenai Damak, biar tok yang uruskan... akan tok bawa dia keluar dari daerah ini."

"Hah, eloklah sangat tu Nila Utama. Tuan hamba juga jika mahu berpaling tadah pada kekuasaan beta dipersilakan." 

"Ayahanda!" 

"Sukma Cempaka! Dengan siapa tuan hamba berkata kasar sebegitu rupa?" Sahut Raja Semanggi masih lagi dengan wajah tegangnya semenjak anakanda tunggalnya itu sudah menconteng arang ke mukanya. 

"Tapi…" 

"Sukma Cempaka. Tok, tidak pernah mengajar tuan hamba berkata kasar pada ayahanda Sukma. Baiklah, hamba juga akan pergi sekiranya apa yang hamba lakukan ini mencemar duli…" Ayatnya halus namun tajam di pendengaran Raja Semanggi. 

Raja Semanggi kemudian membawa arah pandangan ke anak tunggalnya pula. "Dan tuan hamba pula kenapa tidak bersiap lagi? Tidak mahukah ikut Damak kesayangan? Atau mahu di nikahkan?" Sindiran Raja Semanggi membuatkan kesemua mata terhala tepat pada dirinya. 

"Ada sesiapa yang tidak berpuas hati? Silakan ikut. Arahan sultan jangan sesekali di sanggah.  Tidak begitu, Nila Utama?" Raja Semanggi pula menghantar kata-kata sinis pada Nila Utama yang menunduk lalu mendongak seraya mengangguk lemah. 

Puteri Sukma Cempaka berlari sambil terkesat-kesat kelopak matanya. 'Sampainya hati ayahanda …' Batinnya bersuara di kala bibir merah delimanya membisu seribu bahasa. Diikuti dayang-dayang. Raja Semanggi menapak pergi dari berpeluk tubuh dia menunduk, memejam mata yang  bergenangan lalu sepasang tangan itu menyilang di belakang tubuh. Langkahnya lemah. 

Di hadapan jendela, Permaisuri Ratna Sari juga sudah beberapa kali mengesat matanya yang rajin sangat mengeluarkan cairan bening.

Raja Semanggi kian menghampiri dan sebenarnya dia nampak akan permaisuri hatinya itu.  Sengaja dia berbuat seperti tidak nampak dek matanya juga sudah di kandungi airmata. Laju dia memanjat anak-anak tangga. 

Di kamar peraduan, sudah jenuh para dayang memujuk Puteri Sukma Cempaka agar merayu pada baginda sultan namun gadis itu tetap dengan keputusannya.

"Apa gunanya Mak Inang? Perintah raja tak usah disanggah kelak binasa badan.  Tidak mengapalah. Tak usahlah kamu semua menangisi pemergian hamba. Hamba akan pulang semula setelah masa itu tiba," ujarnya yang sudah memasang nekad. 

Wajah penuh senyuman serakah milik Raja Gentala bermisai lebat itu, akan senantiasa terpahat di ukiran jiwanya. Puteri Sukma Cempaka tetap akan membersihkan namanya dan juga pemuda dagang itu kerana mereka benar-benar tidak bersalah. Tiada niat pun dalam hati untuk berkendak, sepertimana tuduhan Raja Antan dan Raja Gentala. 

'Sekarang bergembiralah dengan sepuas hatinya, wahai Raja Gentala kerana pabila hamba pulang kembali ke sini hamba akan pastikan di wajah tidak sesekali mampu untuk tersenyum. Ini janji hamba pada Pura Semanggi.' 

Cekal. Nekad itulah yang sudah terencana di akal fikiran Puteri Sukma Cempaka. Kain sutera yang membaluti sudah dia tukarkan dengan baju melayu serta kain dayangnya. Tiada lagi sebarang perhiasan waima gelang pusaka hadiah dari arwah nenda Kesuma. Biarlah semua tersimpan dalam bekas mengkuang ini dahulu.

"Mak Inang, tolong jaga bonda Sukma baik-baik ya. Mulai sekarang hamba sama saja seperti kamu semua. Hamba adalah Sukma Cempaka. Insan terbuang…"  Usai dia noktahkan kata meluru Permaisuri Ratna Sari lantas mendakapnya erat.

Berkumandanglah senandung tangisan di kamar peraduan itu. 

Raja Semanggi terus tersandar ke dinding sambil memegang dadanya yang tiba-tiba merasa sakit. Dia tidak mampu nak melihatnya, lidah dia sudah menutur kata. Dan dia juga pemerintah, terpaksa menjadi seorang yang tegas pada undang-undang walau pada darah dagingnya sendiri. 

Dek tidak dapat menahan lagi rasa sebu di dada, Raja Semanggi membuka langkah di temani kerutan seribu di mukanya. Di sebalik dinding dayang yang diasak seribu penyesalan itu, langsung ditarik oleh satu tangan sasa.  Raja Gentala dengan seorang lagi pembantunya dan mereka baru saja sampai dengan Raja Antan bagi menyaksikan drama airmata keluarga yang tidak lama bakal dia gulingkan.

Pemergian Sukma Cempaka membuka lembaran baru serta jalan untuk dia menyusup semakin ke dalam lagi dalam pemerintahan Kerajaan Semanggi.  Raja Gentala tersenyum-senyum sendirian saat suara sang nujum dari istana hinggap sudah menyampaikan berita melalui pengantara angin.  

"Sakitlah!" Si dayang meronta-ronta. Menghenyak-henyakkan pegangan kejap Raja Gentala agar terlepas namun sukar sekali kerana kudrat perempuan tidak sama dengan lelaki. 

"Tuan hamba, sudah bubuh cecair yang beta suruhkan itu?" Soal Raja Gentala setelah sampai dan tangan si dayang turut dia lepaskan.  Sambil menyoal dagu berwajah muncung itu Raja Gentala dongakkan sambil tersenyum. 

"Ya, sudah sayang…" Jawabnya seraya tersenyum lagi. Dan kini dia mahu menuntut janji Raja Gentala yang mahu memperisterikannya. Perlahan-lahan jarinya bermain-main di bahu sang Raja bermisai melentik itu. 

"Aduh! Kenapa ni sayang?" Soalnya dengan wajah berkedutan menahan kesakitan kala Raja Gentala memulas tangannya ke belakang.  Tubuh belakangnya melekap ke tubuh hadapan Raja Gentala. 

"Siapa sayang tuan hamba tu, ya?" Sindir Raja Gentala lalu diiringi gelak tawa pengikutnya.  Tebal dan merah wajah si dayang yang sudah di hurungi rasa malu. Apakah janji yang Raja Gentala buat itu hanya lakonan semata-mata?

"Hei, tuan hamba ingat layakkah menjadi permaisuri beta bakal pewaris serta pemegang tampuk pemerintahan Semanggi? Hah, tuan hamba cantik sangatkah? Adakah tuan hamba secantik Ratna Sari atau Sukma Cempaka? Atau tuan hamba lupa ya yang tuan hamba itu hanya kain pengelap kaki beta sahaja!" 

Hahahhaha!

"Sampai hati tuan hamba mempermainkan hati hamba? Tuan hamba tahu tak hamba terlalu sayangkan tuan hamba? Kekanda ambillah adinda dan jadikanlah adinda isteri kekanda. Adinda mengandungkan anak siapa kanda? Anak siapa?" Suara si dayang dari perlahan penuh rayuan menjadi sedikit meninggi pabila wajah Raja Gentala mencebir-cebir bila dia berbicara perkara itu. 

"Manalah beta nak tahu anak siapa?" Sindir Raja Gentala lagi sambil bermain dengan hujung misainya. Dia sengaja menambah bara dalam api kemarahan dayang itu. 

"Tuanku. Raja Antan…" Panggil si pengikutnya.  

"Apa tunggu lagi? Bawa perempuan ini dan …" Arah Raja Gentala pada pengikut-pengikutnya sementara itu, dia menapak ke arah Raja Antan yang sudah pun sampai. 

"Diam, kalau mahu selamat!" Ancam si pengikut pada si dayang yang mahu menjerit pada Raja Antan sambil mereka bertiga mengheretnya ke belakang istana. Dayang yang malang itu benar-benar menyesal kini.  

Dalam kamar peraduan. Raja Semanggi menepuk-nepuk dadanya yang sakit.  Sementara itu, Permaisuri Ratna Sari dan Sukma Cempaka menapak ke arah kamar.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience