MAKA, sekalian cakerawala dan seluruh buana membungkam sepi, bagaikan menangisi akan ceritera dalam kamar peraduan yang di huni tiga susuk tubuh berwajah muram durja.
Citra yang ada di wajah Raja Semanggi, sudah cukup menjadi jawapan pada Sukma Cempaka bahawa kehadiran dia di situ sememangnya tidak di perlukan lagi. Benci benar ayahandanya pada dirinya yang semakin di asak rasa masyghul.
"Hamba Sukma Cempaka ingin datang mengadap ke bawah Duli yang Di Pertuan Sultan Pura Semanggi buat pengakhir kali… hamba buat sekian kali, ingin memohon ribuan ampun serta halalkan makan dan minum hamba…" Sukma Cempaka merafak sembah pada Raja Semanggi yang pada ketika itu, tidak langsung memandang arahnya walau Permaisuri Ratna Sari memberi isyarat dengan dirinya yang kian longlai.
Wajah penuh masyghul milik anakanda tunggalnya, menyatakan ketidakpuasan sukmanya namun dia sudah mafhum pada titah duli kesuma yang tak boleh disanggah.
Jika disanggah beerti menderhaka padanya. Oleh itu, kesemua rakyat jelata setiap daerah bersultan sudah mafhum padanya dan ini termasuklah Sukma Cempaka. Perlahan-lahan dia bangunkan tubuhnya, sambil merafak sembah kali terakhir sebelum dia meninggalkan istana.
"Ampun Tuanku, beribu-ribu ampun. Sembah patik harap di ampun dan memohon limpah kurnia dari Tuanku untuk patik mengundurkan diri…" Kata-kata terakhir dari Sukma Cempaka dan tatkata itu juga, Raja Antan dan Raja Gentala baru sampai setelah terpaksa berkeras dengan hulubalang mahu menemui Paduka Sultan.
"Ya Allah, kanda… keras sungguh sukma tuan hamba pada anak kita. Sukma Cempaka, tunggu nak!!!" Berlari Permaisuri Ratna Sari untuk mendapatkan anak tunggalnya itu.
Sekali lagi, Raja Semanggi memegang dadanya setelah anakanda tercinta menyembah maklum buat kali terakhir. Hatta kalakian, Raja Antah dan Sukma Cempaka bertembung di muka pintu istana dengan Sukma Cempaka memalingkan mukanya.
Mulut Raja Antan bergerak-gerak seperti ingin meluahkan sesuatu tetapi Sukma Cempaka seperti enggan mahu memandangnya walau seketika cuma. Raja Gentala perasan pada sandiwara di hadapannya itu sambil menarik senyum sengetnya.
Jari menggentel hujung misai melentiknya dan dia sudah tidak sabar-sabar lagi mahu menaiki takhta. Dia amat-amat pasti Baginda Sultan akan jatuh gering tidak lama saja lagi setelah cukup tiga kali, dia meminum cairan tersebut sebanyak tiga kali.
"Sukma Cempaka…" Akhirnya Raja Antan melantunkan nada bicaranya. Dia juga nampak Puteri Sukma Cempaka memejam matanya.
Jauh di dalam sudut hati, Raja Antan memang ada rasa bersalah tetapi mustahil matanya mahu menipu dengan apa yang terhidang. Biar pun, Damak sudah pergi dahulu dengan Tok Nila Utama namun rasa cemburu di hati Raja Antan masih lagi membara tatkala Sukma Cempaka juga di buang daerah.
"Sukma… pandanglah hamba sayang…" Pinta Raja Antan. Raja Gentala semakin mengherotkan bibirnya tanda menyampah melihat lakonan dua ekor merpati itu. Dia sebenarnya sudah tidak tertahan lagi mahu naik ke atas dan menemui Raja Semanggi. Dia ingin melihat dengan mata kepalanya, bagaimanakah keadaan Raja Semanggi bila kehilangan anakanda yang tercinta dan mungkin juga tidak lama saja lagi bakal kehilangan isteri kesayangan.
"Ke tepi… hamba mahu pergi sekarang… ke tepi hamba pohon pada tuan hamba berdua," pinta Sukma Cempaka. Raja Gentala sememangnya sudah berada di tepi tangga dan Raja Antan dalam keterpaksaan dan dengan langkah beratnya dia mengenepikan diri membiarkan wanita berbaju melayu berkain batik biasa itu menuruni takah tangga tanpa ingin mendongak untuk merenung wajahnya.
"Benci sangatkah dinda pada kanda sehingga sesaat pun tidak mahu merenung mata kanda?" Soal Raja Antan sedikit meninggi pada tubuh yang pada ketika itu sudah makin jauh dan membelakangi mereka berdua. Raja Gentala mengerling ke arah Raja Antan sambil mencemuh kebodohan Raja Antan dalam hati.
Langkah terhenti. Sukma Cempaka kekal di situ tanpa mahu berpaling. Menitis lagi cecair bening dari mata turun ke pipi. Sesekali gendongan kain berisi sehelai, dua pakaian persalinan di naik-naikkan ke bahu kanannya.
"Apa guna di harap lagi wahai Raja Antan. Dia kan sudah punyai pecahan hati yang lain. Tak usahlah tuan hamba nak bermuram durja berwajah masyghul masih ramai lagi nak dara yang menanti. Lagi pun, sesuaikah tuan hamba seorang Raja beristerikan dengan bunga yang layu?" Sindiran Raja Gentala benar-benar sudah mencabar Sukma Cempaka jika dia tidak ingatkan dia berada di mana dan tidak mahu menambah rasa sakit hati pada ayahandanya lagi sudah lama dia menerpa dan menendang Raja Gentala.
"Raja Antan, sudahlah… mari kita naik ke atas…" Pohon Raja Gentala tatkala dia melihat begitu keras sekali hati seorang Sukma Cempaka sehingga ke saat itu langsung dia tak berpaling pada mereka berdua. Malahan dia menyambung langkahnya.
"Sukma, maafkan kanda…" Raja Antan bersuara perlahan dan sayu kedengaran di telinga Raja Gentala. Dia sudah pun berada di beranda dan sekali lagi memanggil Raja Antan.
"Ya Allah Sukma!!!" Terduduk Permaisuri Ratna Sari tidak sempat mendakap puterinya itu buat terakhir kali. Dia sudah makin menjauhi istana Pura Semanggi walaupun Ratna Sari tahu ke mana halanya tapi resah tetap mahu bertandang di lubuk sukmanya sebagai seorang bonda.
Sukma Cempaka itulah satu-satunya buah hati pengarang jantungnya. Tiada sesiapa lagi yang akan melihat mereka berdua seandainya jatuh gering. Laju dia mendongak pada Raja Antan dan Raja Gentala yang pada tika itu juga sedang merenungnya.
"Puas hati tuan hamba sekalian?" Tinggi nada suara Permaisuri Ratna Sari. Sekali dengan jelingan tajam pada Raja Gentala yang sedang membuat mimik muka mengejek. Raja Antan menunduk dan menyepikan diri.
"Raja Antan, mari…" Panggil Raja Gentala enggan mahu melayan Ratna Sari. Dia tahulah nanti apa yang perlu dia lakukan setelah Raja Semanggi sudah tiada nanti. Raja Antan yang mematung menuruti Raja Gentala ke arah kamar peraduan Raja Semanggi.
"Tuan hamba berdua memang kejam. Kejam!!!" Meraung lagi Permaisuri Ratna Sari sambil di dengari seluruh jelata dalam istana itu. Buana benar-benar menyepi menguatkan lagi dendangan senandung ratapan seorang ibu yang baru saja kehilangan anaknya.
"Sukma, anakanda beta…" Panggil Raja Semanggi dari jendela dia nampak pemergian anaknya itu. Dadanya masih sakit. Satu ketukan pada pintu memalingkan wajah basahnya pada dua susuk tubuh lengkap berbusana baju melayu, sampin, tengkolok dan keris tersisip di pinggang.
'Hahahaha… puas hati aku…' Batin Raja Gentala girang melihat keadaan merusuh yang tercitra di tampang wajah Raja Semanggi kala itu. Tapi tidak pada Raja Antan, hati semakin di rundung penyesalan tidak bertepian.
ADAPUN dia melangkah sekadar menuruti makrifat. Sang mentari di langit nan mendung mengiringi langkah itu dengan tidak menerikkan pancarannya. Geruh yang melanda walau menyakitkan tetapi menggundahkan rasanya saat itu.
Tiada langsung kata maaf yang terluah dari bibir ayahandanya. Keras sungguh titah duli kesuma yang terpaksa dia hadapi. Terkesat-kesat dahinya yang merenik dengan peluh.
Biar bayu membelai dan kepanasan sang suria tidaklah menzalimi namun bahangnya kekal jua terasa kerana dia masih lagi berpijak di bumi Pura Semanggi. Selagi itulah ia akan memburu.
Tapak kaki makin terasa panas dan mulai ingin melecet dek hentaman pada batu-batu kecil panas. Ditajamkan derianya untuk mendengar sebarang aliran. 'Arah itu kedengaran dari utara…' Batin berkata dan kaki menuruti.
Dan tidak memakan masa beberapa minit. Setelah puas menyelak, menebas semak-samun akhirnya dia sudah menapak di atas tanah tebing sebatang kali yang merupakan sempadan ke daerah lain.
Dia meliarkan pandangannya. Akhirnya dia sudah ternampak ada satu baluk. Laju dia meneruskan langkahan.
"Dan sepertimana dititahkan ayahanda. Akan anakanda tunaikan… selamat tinggal bondaku … Pura Semanggi… selamat tinggal akan hamba kembali lagi setelah masa itu tiba…" Sukma Cempaka berkata-kata setelah berada di dalam baluk lantas dia duduk dan mendayung. Bunyi kocakan dan ciutan beburung mengiringi pemergian Puteri Sukma Cempaka.
Di satu tempat, pendeta tua itu hanya tersenyum sambil menatap renungan makrifatnya. Dia terangguk-angguk pada kedua-duanya, walau dari arah yang berlainan.
Sementara itu, Nila Utama dan Damak sudah pun sampai di daerah asal Nila Utama. Dari Nila Utamalah, pendeta tua itu tahu akan kisah Sukma Cempaka yang bakal dia temui.
baluk/ perahu kecik
mafhum/ sedia mklumi
kalakian/ ketika itu, kmudian
syahadan sama mkna
masyghul / sedih
titah duli kesuma/ perintah raja
Share this novel