Nukilan Ai - 4

Drama Series 11394

Sedar tak sedar, genap seminggu sudah Hail bersekolah disitu. Perwatakannya yang mesra dan ramah itu disenangi ramai. Bahkan, cikgu-cikgu juga senang dengannya. Mustahillah kalau cakap baru seminggu duduk disitu dia tak ada peminat. Dengan rupa paras yang kacak dan manis ketika senyum itu, masya Allah! Dua kali toleh belakang. Dari yang tingkatan 5 sampailah budak tingkatan 1, ada saja peminatnya. Buktinya, sudah dua kali dia menerima surat cinta yang dia tak kenal siapa. Salah satu daripadanya ada mengajak untuk berhubungan dan satu lagi hanya sekadar meluah.

Hail tak memberi jawapan apa-apa. Dia hanya simpan surat-surat itu dilaci meja belajarnya di rumah dan membuat biasa. Den pula tak habis-habis mengusiknya. "5 tahun aku sekolah kat sini, satu surat pun aku tak pernah dapat. Kau baru je masuk dah ada fans. Mana aci macam ni. Hmph!" rajuknya. Memaling wajah ke arah lain. Waktu itu, mereka berdua sedang berehat di salah satu pondok wakaf di tepi kantin. Mulanya hanya Hail saja duduk disitu tapi tak lama kemudian, Den muncul bersama plastik air oren ditangan. Dalam banyak-banyak pelajar lain, Den saja yang suka berkepit dengan Hail. Tak pula Hail mahu turut serta dalam geng Den yang rata-rata lebih kurang sama je dengan Den.

"Ala, tak kemana pun peminat apa semua ni. Nanti jumpa yang lagi handsome, dia orang larilah minat orang lain pula," balas Hail sambil melipat-lipat plastik makanannya yang sudah tinggal sisa sos sambal keropok lekor. Den diam tidak membalas. Dia sibuk memerhatikan pelajar-pelajar lain yang masih menikmati waktu rehat mereka.

"Den," panggil Hail dan disambut gumaman Den. "Nak tanya sikit boleh?" tanya Hail lagi membuatkan Den akhirnya menoleh ke arahnya. Dia mendongak sedikit dengan kening terjungkit. Hail merapatkan dirinya ke meja pondok.

"Aimi tu jarang ke keluar rehat pergi makan?" soalnya menyebabkan bibir Den mengukir sengihan sinis. Jarang keluar rehat, Hail?

"Bukan jarang. Memang tak keluar pun. Kalau keluar pun, pergi tandas jelah agaknya. Ah, dengan library. Itu jelah tempat dia. Kantin ni lambat lagi dia nak jejak kalau tak ada apa-apa," jelas Den mendapat anggukan faham dari Hail. Den menyisip sedikit air orennya yang masih bersisa.

"Aimi tu... nak aku kata dia introvert, dia masuk je dengan semua orang. Baik pun baik. Pandai. Selalu tolong aku kalau aku tak faham apa-apa subjek. Tapi tulah, dia suka sangat buat hal dia sendiri. Duduk diam je baca buku. Lepastu, bila ada orang buat lawak, kadang gelak. Kadang dia tenung orang tu macam tak ada perasaan. Risau aku," cerita Den. Dia menghadap semula ke arah Hail.

"Tapi aku memang senang dengan si Aimi ni. Entahlah, she's giving different vibe. Jarang nampak dia buat hal. Usik orang lagilah. Tapi kalau ada yang usik dia, siap sedialah."

"Kenapa?"

"Mulut Aimi tu boleh tahan pedas. Sindir dia jenis bahasa tinggi punya sindir. Nak kena fikir hadam lama-lama baru faham. Kalau yang blur-blur tapi acah macam terpaling bagus dan pandai tu, memang termenung macam orang bodohlah jawabnya," jawab Den. Hail tiba-tiba teringat momen di rumah Sa'adon tempoh lalu. Betul kata juga Den. Aimi hampir-hampir nak samakan dia dengan pengikut Iblis itu gara-gara dia asyik mengambil makanan buat gadis tersebut. Sedangkan niatnya mahu gadis itu cukup makan saja. Entahlah, tiba-tiba dia rasa sakit mata apabila melihat nasi Aimi yang tak sampai sepuluh suap hari tu. Nasib baiklah dia dah minta maaf dan Aimi minta untuk lupakannya. Cuma gadis itu sempat berpesan yang dia memang makan dengan jumlah yang tak banyak.

Dia menggaru keningnya sendiri. "Kau tanya-tanya pasal Aimi ni, kau minat dia ke?" Den tersengih nakal. Hail tersentak sedikit. Kawannya itu masih menjungkit-jungkit kening bersama senyumannya. Hail menggulum senyuman dan menggeleng kecil. "Mana ada," jawabnya ringkas. Den menjuih bibir. "Yelah tu mana ada," tutur Den dan hanya dibiarkan tak berbalas. Hail memaling wajah ke arah lain. Dia lantas berdiri tatkala bunyi loceng berdering. Menandakan waktu rehat sesi kedua itu sudahpun tamat.

"Petang ni jom main bola," ajak Den pada Hail yang ketika itu sedang mengemas begnya. Waktu sekolah sudah habis. Habis hilang seksa mengantuk yang Den tahan waktu kelas Sejarah tadi. Siapalah yang letak waktu tersebut di hujung pembelajaran?

"Tengoklah. Kalau ayah aku tak ada minta tolong apa-apa dekat masjid, aku datang main," kata Hail dan menzipkan begnya. Dia mengerling sekilas ke bahagian kanannya. Meja yang sudah kosong itu ditatap. Den yang sudah berada di muka pintu belakang bersandar dan mengeluh kasar. "Hail, lekaslah. Kau tenung apa lagi tu?" panggilnya menyentakkan Hail. Hail berpaling dan terus mendekati Den. Baru beberapa langkah, Hail berhenti. Dia memandang Den.

"Den, aku ada terlupa sesuatulah. Kau balik dululah. Aku rasa ummi aku ambil pun lambat lagi ni," kata Hail teragak-agak. Den menjungkit kening hairan. "Apa benda pula kau terlupa ni? Aimi? Aimi dah balik lama dah. Kau pergilah cepat, aku tunggu kat parking motor," katanya. Hail berdecit perlahan. Ada ke patut petik nama gadis itu? Tak habis-habis nak mengungkit tentang Aimi.

"Bukan pasal Aimi lah. Benda lain. Lama ni. Kau baliklah dulu. Ya? Kau balik dulu tahu?"

Den merenungnya sekejap. Berat nafasnya dihembus. Dia akhirnya akur. "Jangan lambat sangat. Macam nak hujan ni. Mungkin petang ni tak jadi main. Tak apalah aku balik dulu. Kau jangan lama-lama pula. Sekolah ni keras!" pesannya dan mengorak langkah meninggalkan Hail yang sudah tersengih. Saat kelibat Den semakin jauh, Hail tanpa membuang masa terus bergegas mengatur langkah ke perpustakaan sekolah. Sesekali dia mendongak melihat cuaca yang kian mendung.

"Harap-harap tak tutup lagilah," suaranya perlahan. Dia memijak tangga menaiki tingkat satu dimana perpustakaan sekolah berada. Melihat pintu pusat sumber pengetahuan itu masih terbuka biarpun separuh, Hail menarik nafas lega. Dia melangkah ke rak kasut. Terkebil-kebil dia melihat sepasang kasut putih tersusun kemas di rak tersebut. Ada yang masih belum pulang kah? Dia bermonolog sendirian. Ada pun begitu, dia tetap meneruskan niatnya. Kasutnya diletakkan di sebelah kasut pelajar tersebut.

"Eh, ada lagi yang tak balik?" tanya guru yang dipertanggungjawabkan menjaga pusat sumber tersebut. Hail mengemam senyuman.

"Maaf cikgu. Saya nak pulangkan buku. Alang-alang, saya nak pinjam buku lagi. Boleh?" pintanya lembut. Guru itu tersenyum kecil dan mengangguk. "Iya, boleh. Pergilah cepat. Ingatkan kawan awak sekali kat rak sana tu. Dari tadi dia tak keluar-keluar," kata guru tersebut membuatkan Hail terpinga sendiri. Kawan dia?

Tak tanya lebih, Hail terus bergerak ke arah rak bahagian fiksyen. Apa yang dia kagum dengan perpustakaan sekolah ini adalah jumlah buku kategori fiksyennya lebih banyak jika dibandingkan dengan sekolah lamanya. Masa ia sekolah menengahnya masih lagi mempunyai buku cerita hikayat untuk bacaan kanak-kanak? Tak tertarik dia mahu menyinggah. Hendak pergi ke perpustakaan awam di luar, jauh pula dari rumah mak cik saudaranya.

Ralit mata memilih buku yang berkenan di hati. Namun, masih belum jumpa jua. Jam tangan dikerling. Cuaca di luar di jenguk jauh. Makin gelap dari sebelumnya. 'Ummi dah sampai ke belum, ya?' detiknya di dalam hati. Dia mula dilanda kegusaran. Mahu cepat kerana tak mahu umminya menunggu lama jika sudah sampai. Tapi, dia belum jumpa buku yang menarik untuk dipinjam.

"Astaghfirullah hal adzim. Terkejut aku," suara kecil itu menghentikan pencariannya. Dia menoleh ke samping. Besar biji matanya tatkala bersabung pandangan dengan gadis yang satu hari ini disebut-sebut saja. Aimi.

'Ternyata dia empunya kasut tu?' soal Hail namun tak diluahkan secara lisan. Matanya masih galak merenung raut wajah Aimi yang bersih itu. Gadis itu menjatuhkan pandangan dan berdehem kecil.

"Tak balik lagi?" Aimi membuka bicara. Halus saja suaranya. Hail yang sudah kembali ke dunia realiti, mengukir senyuman kecil. Dia pusing menghadap ke rak buku semula.

"Sepatutnya saya yang bertanya soalan tu. Awak tak balik lagi?" Hail mencapai salah satu buku fiksyen thriller. Kulit buku itu dibelek-belek sambil dia membaca sinopsis di belakang. Agak menarik. Tapi entah kenapa macam tak kena dengan jiwanya, dia letak semula buku tersebut di tempat asal dan menyambung pencariannya.

"Nak pulangkan buku. Nak pinjam sekali," balas Aimi ringkas. Dia masih statik berdiri di tempatnya. Tak pula dia masuk meletakkan buku di rak tersebut. Hail memandangnya. "Jadi tujuan kita sama." Pandangannya jatuh ke buku yang ada di pegangan kiri dan kanan Aimi. "Boleh saya tengok buku tu?" pintanya sambil menunding jari di tangan kanan Aimi. Aimi mengebil-ngebilkan matanya lantas mengangkat buku tersebut. Novel berkisah percintaan. Perlahan dia menghulur pada lelaki di hadapannya ini.

Buku bertukar tangan. Hail membelek-beleknya bersama senyuman yang sukar Aimi ungkapkan. "Ma...," entah kenapa, tiba-tiba saja lidah gadis itu jadi kelu dan sukar untuk berkata-kata. Hail yang sedang membaca sinopsis pantas mendongak mencari wajahnya. Melihat kening lelaki itu terjungkit, laju dia menggeleng. Hail menyembunyikan senyuman.

"Patutlah awak baca. Bahasanya indah sekali. Saya pinjam boleh?"

"Ambillah. Bukan kepunyaan saya pun," balas Aimi tanpa memandang. Kembang kuncup pipinya. Hail tergelak halus dan mengangguk. Lama mereka berdiam disitu sehinggalah deheman dari guru perpustakaan itu menerpa pendengaran.

"Cikgu dah nak balik ni. Lama lagi ke pilih buku tu?" tanyanya sekadar mengingati pelajarnya. Melihat jendela luar yang seakan putih itu, mungkin saja langit sudah merembeskan air matanya pada petang tersebut. Aimi menoleh ke kiri dan kanan. Buku yang masih di pegangan tangan kiri terus diletakkan di rak itu dan mula mengatur langkah untuk keluar.

"Tak jadi pinjam ke?" soal Hail pelik namun tak dibalas. Sama juga soalan guru itu apabila melihat Aimi menonong keluar tanpa sebarang buku di tangan.

Sebaik saja selesai mengecop tarikh peminjaman buku, guru tersebut dan Hail sama-sama keluar dari perpustakaan tersebut. Guru itu mengunci pintu manakala Hail sedang memakai kasutnya. Kelibat Aimi di cari namun tak kelihatan. 'Dah sampai depan agaknya?' tekanya sendiri seraya membetulkan beg sandangnya.

"Hujan agak lebat ni. Kamu hati-hati ya balik tu? Ni, parents ambil ke naik motor?"

"Parents datang ambil."

"Oh baguslah kalau macam tu. Hati-hati ya? Cikgu balik dulu. Assalamualaikum," kata guru tersebut dan mengorak langkahnya ke bilik guru yang sederet dengan perpustakaan tersebut. Ada mahu mengambil beberapa barangnya sebelum beransur pulang. Hail menjawab perlahan salam tersebut lalu laju menuruni anak tangga. Sesekali jam tangannya dikerling. Makin dia mempercepatkan langkahnya. Risau umminya menunggu.

Dan ternyata benar. Kereta jenama Vios hitam milik umminya terparkir elok di hadapan luar pintu pagar sekolah. Dia yang masih berteduh di tempat letak basikal itu menarik nafas perlahan. Berfikir cara untuk meredah agak dirinya tak terlalu basah kuyup. Dia menoleh ke kiri dan kanan. Tertangkap pula matanya tatkala melihat Aimi, yang turut berteduh jauh di bawah bumbung yang sama dengannya sedang mendongak. Merenung langit yang masih merintih sedih. Tergaru kepala Hail. Macam mana pula dia tak sedar keberadaan gadis itu? Sangkanya sudah pulang. Dia menghadap semula ke hadapan dimana tempat pelajar memarkir motosikal mereka. Ada satu saja motosikal disitu masih terletak elok dan dibasahi hujan. Barangkali motosikal milik Aimi.

Dengan perlahan dia mendekati Aimi. Gadis itu segera menoleh apabila perasan kehadirannya. Dia hanya memandang tanpa bersuara. "Itu motor awak ke?" tanya Hail dan hanya diangguk oleh Aimi. Hail mengangguk faham. "Macam mana awak nak balik ni? Hujan lebat."

"Tunggu redalah."

"Mungkin lama hujannya ni. Sanggup ke awak berlama disini?" tanya Hail lagi. Terselit nada kerisauan di bicaranya. Aimi diam. Melihat hujan yang seakan menangis tak mahu berhenti, dia termanggu sendiri. Ada benar kata lelaki itu. Sanggup ke dia nak lama-lama disini sedangkan dia sudahpun kesejukan dan lapar. Maklumlah, tak makan pada waktu rehat.

"Saya redahlah," katanya putus. "Bahayalah," marah Hail. Keningnya berkerut. Aimi menoleh. "Jadi, awak nak saya buat apa?"

"Tumpang dengan saya. Saya minta ummi hantarkan awak balik. Motosikal tu biarkan dulu. Kalau hujan dah reda petang nanti, saya dengan Den hantarkan motor awak dekat rumah," cadang Hail. Berharap gadis itu setuju dengan cadangannya. Bukan apa, dia tak sampai hati membiarkan gadis itu seorang diri di sini biarpun masih berada di dalam kawasan sekolah. Lama Aimi mendiamkan diri. Memikirkan saranan lelaki itu. Akhirnya, Aimi menggeleng perlahan. Dia menunduk pandangan.

"Terhutang budi saya dengan pertolongan awak. Kalau gadis-gadis lain, pasti hati mereka cair melebur kerana sikap keprihatinan awak ni. Tapi saya minta maaf sangat-sangat. Saya tak mampu nak terima pertolongan awak tu. Biarlah saya dekat sini. Mengira titisan air hujan yang meluahkan perasaannya ni. Siapa tahu juga hujan ni menangis seorang diri dan memerlukan teman?" katanya seraya mendongak. Hail tersengih sinis. Dia merenung wajah Aimi bersama gelengan kecil.

"Dalam waktu gentir ni, awak masih berkesempatan untuk bermadah?"

"Pergilah balik. Kasihan ummi awak dah tunggu lama dari tadi," halau Aimi secara lembut. Tapak tangannya di sua keluar. Membiarkan ia basah dengan air hujan. Tatapannya kosong. Hail yang masih merenungnya akhirnya mengeluh perlahan. Dia mengangguk kecil.

"Baik. Awak hati-hati. Jangan jauh dari pondok guard ni. Senang apa-apa jadi nanti awak boleh minta tolong dekat sini. Saya balik dulu. Assalamualaikum," pamitnya lalu terus berlari keluar dari tempat teduhannya tanpa menoleh ke belakang. Aimi yang masih bermain air hujan itu menjawab salamnya perlahan.

Pintu kereta dibuka. Dia menerobos masuk ke dalam dan menutup pintu kereta sedikit kuat. "Apa yang lama sangat, Hail? Ada extra class ke?" tanya Hajah Safiyahh. Handphone di tangannya diletakkan ke bawah. Hail yang sedikit kuyup itu dipandang. Anak lelakinya itu menggeleng.

"Tak adalah, ummi. Tadi Hail pergi library kejap lepastu tunggu ummi. Ingatkan ummi belum sampai lagi tu yang duduk bawah tu. Tak perasan pula," jelasnya walaupun ada sedikit berbaur penipuan disitu. Tak perasanlah sangat, ya? Walhal dia sedang cuba berperang dengan Aimi tadi.

"Ummi, kejap. Dalam kereta ni ada payung tak?" soal Hail menghentikan Hajah Safiyahh yang baru saja ingin menurunkan handbrake. Hajah Safiyahh bergumam dan menjungkit bahu. "Entahlah. Ummi tak pasti pula. Cuba Hail tengok dekat belakang ada tak?" arahnya. Terus remaja itu menoleh. Mencari-cari benda yang dinamakan payung itu. Sebaik saja matanya menangkap sebatang payung warna hitam di lantai kereta, dia terus mengambilnya. "Nak buat apa dengan payung tu?" soal Hajah Safiyahh. Hail tersenyum. Dia mula membuka pintu kereta. Menambahkan lagi kekerutan di Hajah Safiyahh.

"Kejap ye ummi!" Hail terus keluar dan berlari masuk semula ke dalam kawasan sekolah. Jeritan Hajah Safiyahh hanya dibawa angin begitu saja.

Aimi yang masih berdiri teguh sambil merenung hujan itu terkejut apabila melihat kedatangan Hail kembali. Dia berhenti memeluk tubuh. "Awak belum balik lagi?" soalnya sambil menoleh ke sekeliling. Hail yang sudah berada di bawah bumbung tempat parkir basikal itu menarik senyuman. Payung di tangannya dihulurkan kepada Aimi. Bersilih ganti pandangan gadis itu.

"Hail, saya...,"

"Ambillah. Mungkin awak rasa segan dengan saya lagi. Tapi, ini je mungkin saya dapat tolong awak. Awak ambillah. Bawa motor tu hati-hati. Saya minta diri dulu," sebaik saja payung bertukar tuan, Hail meminta diri. Yang benar-benar pamit. Sempat dia menghadiahkan senyuman setulus ikhlas hatinya pada Aimi sebelum dia berlari keluar dan masuk ke dalam kereta. Dan tak lama itu, kereta Vios tersebut hilang dari pandangan. Hanya bau asap keretanya saja masih segar di rongga pernafasan. Maka dengan ini, tinggalah Aimi keseorangan bersama sebatang payung di tangan. Lama dia menatap payung tersebut sebelum bibirnya bergerak-gerak. Membentuk segaris senyuman. 'Terima kasih lelaki baik,' ucapnya dan terus membuka gulungan payung tersebut.

Keesokan harinya, jumlah pelajar di dalam kelas 5 Naim itu sedikit berkurang kerana ketidakhadiran pelajar. Yusra yang menjengah pandangan di luar tingkap hanya memuncung. Terasa janggal sedikit dia rasakan apabila sisi kirinya kosong tanpa penghuni. Hail pula yang jauh dari tempat duduk Yusra dan Aimi, masih menatap hairan akan tempat duduk yang kosong itu.

"Aimi rajin datang sekolah. Kalau dia tak datang tu mesti sebab dia sakit. Lambat lagilah kalau dia nak ponteng saja-saja," kata-kata Den pagi tadi sebelum bermula perhimpunan pagi terngiang-ngiang dalam ingatan. Kerisauannya mula melanda. Apakah kerana hujan semalam, gadis itu jatuh sakit? Tapi dia sudah memberikan payung. Ya Allah, kau lindungilah Aimi. Supaya gadis baik itu sentiasa di bawah jagaan-Mu. Kerisauan Hail terpaksa ditepis begitu saja tatkala guru subjek pertama pada hari itu sudahpun masuk.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience