Penerangan panjang dari Miss Vija akhirnya terhenti tatkala pintu kelas tersebut diketuk seseorang. Serentak semua terarah ke arah pintu. Termasuk Aimi. Seorang guru perempuan melayu melangkah masuk dengan senyuman di bibir. Dia mendekati Miss Vija.
"Sorry Vija, I interrupt you. Ni hah I ada assist budak baru masuk you punya kelas. Tadi I ada minta tolong dengan budak tingkatan 5 juga but maybe dia terlupa agaknya," jelas cikgu tersebut pada Miss Vija. Miss Vija mengangguk perlahan.
"Eh, come here, darling. Don't be shy to your new classmate," seloroh Miss Vija membuatkan sebahagian dari mereka yang tergelak. Dia dan cikgu tadi memanggil-manggil pelajar itu masuk ke dalam. Yang lain apalagi? Terjengah-jengah macam tengah mengintai. Saat pelajar itu menapak masuk, pelajar perempuan yang lain sudah tersenyum-senyum. Yang pelajar lelaki pula ada yang menjeling menyampah.
"Weyh aku habaq dah dia masuk kelas kita. Hang tak caya!" marah Caca pada Ana. Tiba-tiba pula terkeluar loghat Kedah nya. Ana berdecit perlahan dan memerhatikan semula pelajar lelaki tadi. Zu berdecit banyak kali dan menggeleng-gelengkan kepalanya.
"Herlok. Teman suka. Teman suka," puji Zu dan terkekek bersama rakannya disebelah. Riuh rendah kelas itu jadinya. Miss Vija menenangkan mereka. Cikgu yang membantu pelajar tadi sudahpun berlalu pergi.
"Okay since this is English class, why not you introduce yourself to your new friends? Right?" saran Miss Vija dan memandang ke depan. Pelajar itu mengulum senyuman dan mengangguk. Makin menggeletislah pelajar-pelajar perempuan melihat senyuman lelaki itu. Manis sekali.
"Alright. My name is Muhammad Hail." Dia memperkenalkan diri. Pelajar lain mula terpinga-pinga dengan namanya. Den menggaru mukanya dengan kerutan di muka.
"Hai?"
"Hail. H-A-I-L. Hail. Muhammad Hail," jelasnya siap mengeja satu persatu namanya. Barulah mereka mengangguk faham. Sekali dengar namanya memang boleh tersilap panggil. Unik sekali nama yang dipegang.
"Okay, Hail. Where are you from? And what's a make you to be here?" tanya Miss Vija lagi.
"Oh, I'm from Kuala Lumpur. But I was born in Perak. I'm here because my father asked to continue studying here and sit under his care," jawab Hail lancar. Miss Vija mengangguk faham dan tidak bertanya lebih. Dia lalu meminta salah seorang pelajar lelaki mengalihkan barang-barangnya di meja kosong tersebut yang bakal diduduki oleh Hail.
"You can sit there, my dear," Miss Vija menunjuk ke arah belakang di sebelah kanan. Hail mengangguk dan terus melangkah ke meja kosong yang sudah kemas tersebut. Mereka yang lain masih tak lepas menumpukan perhatian pada Hail. Baru masuk saja, auranya sudah kuat. Kuat membuatkan para pelajar perempuan lain berpotensi untuk curang dengan kekasih hati mereka dan seangkatan dengannya. Yusra menunduk dan menjengah sedikit. Dia menyenggol lengan Aimi. Membuatkan gadis itu mengerlingnya.
"Kacak. Handsome. Ganteng. Wasim. Hansamu."
"Dah-dah. Ya, dia memang kacak, Yusra. Dah pandang depan. Sambung belajar," kata Aimi apabila bahasa asing sudah mula keluar dari mulut Yusra. Yusra pun lebih kurang macamnya. Cuma, Yusra masih pandai bergaul dan berhibur seperti yang lain. Tak seperti Aimi. Suka dalam dunianya.
Mata Yusra kini tertumpu pula pada Aimi. Dia tersengih mengejek. "Kau mengakuinya, Nur Aimi? Seriously? Dunia dah terbalik ke?" dia terkikih perlahan dan menggigt bawah bibirnya. Aimi tergelak kecil. Nota yang sudah tertulis di papan putih di salin laju. Aimi mengukir senyum.
"Sebagai manusia... aku mengakuinya. Muhammad Hail. Yang terpuji dan disegani," ujarnya seraya menoleh ke arah Hail. Lelaki itu sedang mengeluarkan buku tulisnya dari beg. Dia turut menoleh ke arah Aimi. Aimi tersentak saat mata mereka berdua berlaga pandangan. Hail merenungnya dan tak lama kemudian, dia menghadiahkan senyuman kepada gadis tersebut dan menghadap ke hadapan. Aimi terdiam.
***
Aimi mengetuk-ngetuk jari jemarinya di meja belajarnya. Macam biasa, hanya dia saja di rumah. Biah akan pergi ke rumah janda Milah untuk menyiapkan tempahan kuih dan adik-adiknya pula sudah pergi ke sekolah agama. Sambil dia mengetuk jari, bibirnya juga ternganga. Merenung kosong siling bilik itu. Akhirnya, dia berhenti mendongak dan membuat perkara tak berfaedah itu. Dia menghembus nafas sedikit kuat. Pergelangan tangannya yang tiba-tiba berasa gatal digaru. Hilang sudah gatalnya tapi kuku masih leka menggaru.
Akhirnya dia bangkit dari duduknya. Pelik. Pelik sangat-sangat. Bukan kebiasaan Nur Aimi tiba-tiba saja melakukan tingkah yang tak pernah dia lakukan. Tengoklah sekarang ni. Dia tak buat apa-apa dari tadi dan hanya termenung, gigit jari dan menggaru badannya yang kejap-kejap terasa gatal.
"Tidur. Ya, aku tak tidur lagi. Perut pun dah kenyang ni. Haih, kenapa aku boleh lupa nak tidur petang?" monolognya sendiri dan terus ke katil. Tubuh dihempas. Alarm di set lalu handphone nya diletakkan di tepi bantal. Seperti kebiasaan. Kelopak mata dikatup. Berharap dia akan dibuai bahtera lena sehingga waktu memanggil menyedarkannya semula ke dunia realiti. Aimi mengiring ke kiri dan kanan. Berlanjutan hingga 15 minit, akhirnya dia bangun. Dahinya yang berpeluh kerana cuaca panas dan wap bahang dalam bilik itu diseka kasar. Dia mendengus dan menggeleng.
Dia bangun. Laci meja dibuka kasar. Buku tulis yang sentiasa dibawa kemana-mana itu diambil bersama pennya juga. Kemudian, shawl jersey hitam milik Aina yang disangkut pada muka pintu dicapai. Aimi keluar dan menghempas pintu tersebut. Langkah diatur naik ke atas, lalu di ruang tamu dan akhirnya pintu rumah dibuka separuh. Bersama gaya malas, Aimi mengenakan shawl tersebut. Dia duduk bertenggek di muka pintu bersama bukunya.
Penutup pen dibuka. Helaian yang pernah dicoret dengan pen dakwat hitam basah itu diselak sehingga ketemu muka yang baru. Yang bersih suci tanpa sebarang coretan. Dia merenung dada buku tersebut.
Tak sampai 5 minit, Aimi mencampak pennya dan meletakkan buku itu ketepi. Kali ini dia mengeluh dengan lebih kuat namun segera dia menggeleng. Teringat pula pesan arwah neneknya supaya menjadi seorang manusia itu jangan sering mengeluh. Setiap ujian yang dilalui pasti akan ada jalan penyelesaiannya.
"Baru hari ni kita bertentang mata. Tapi mengapa auramu masih tidak hilang? Sehingga aku tak mampu lakukan apa-apa," rintih Aimi. Dia beristighfar panjang. Dia menggosok-gosok wajahnya.
Pin! Pin!
Aimi berhenti menekup wajah. Terkebil-kebil dia menatap ke arah Den yang tiba-tiba saja memarkir motor di hadapan rumahnya. Bersama sengihan di bibir, Den mencabut helmet yang dipakainya lalu mengemaskan sedikit rambutnya yang serabai. Dia mengangkat tangan. "Assalamualaikum," laungnya. Serupa pakcik-pakcik menyapa rakan-rakan di warung.
"Waalaikumussalam. Kau nak apa tiba-tiba datang ni?" soalnya hairan. Nasib baiklah dia dah siap melitup rambut. Kalau tak dapat dosa percuma macam tu aje dek Den sudah terlihat auratnya. Den turun dari motosikalnya lalu mengambil satu kertas. Melihat Den yang teragak-agak itu, Aimi segera berdiri dan turun berhadapan dengan Den. Sempat dia melihat kiri dan kanan.
"Ni hah Ana minta aku bagikan kertas ni dekat kau. Kau kan satu group dengan dia, kan? Hah ni dia dah siap print."
"Oh ya ke? Lah, susah-susah dia je. Aku boleh je pergi ambil dekat rumah dia nanti. Tak payah nak hantar-hantar," balasnya sambil menyelak kertas tersebut. Den menjuih bibir. "Engkau nak pergi rumah Ana? Dunia terbalik baru kau kesana, mi. Tak adalah ni kebetulan tadi Ana nampak aku kat kedai cendol Pak Maon tu. Alang-alang dia minta aku pass dekat kau. Aku turutilah kan nanti bising pula minah tu," jelas Den membuatkan Aimi tertawa sedikit.
'Cendol lagi?' Aimi menggeleng kepala. Kuat makan cendol betul kawan-kawannya ni. Dia memandang ke arah Den pula. Keningnya berkerut sedikit. "Kau dari mana sebenarnya ni?"
"Oh, aku pergi pekan. Mak aku suruh beli barang. Lepas tu aku singgah rumah Hail kejap."
"Rumah Hail? Hail duduk sini?"
"Eh taklah dia duduk Melaka." Den berloya buruk. Aimi menjongket kening. Den mengeluh perlahan. "Dah kalau dia sekolah dekat sini, dia duduk sini ler, Aimi. Kan tadi dia dah cakap dia duduk dengan bapa dia," jelas Den lagi.
"Kau nak tahu? Rupa-rupanya dia tu anak Imam Halim! Terkejut aku bila datang rumah dia tadi. Auto berkopiah aku," sambung Den dan kali ini Aimi tertawa sedikit kuat. Beria-ia betul lelaki itu bercerita. Dia menampar lengan Den menggunakan kertas yang ada ditangannya. "Memandai kau berkopiah," ketawanya lagi. Ah, anak pak imam rupanya. Patut elok benar kejadian.
"Eh, mi. Aku balik dululah. Nanti mak aku cari aku pula," pamit Den dan berlalu ke motosikal Honda Ex5 milik abangnya. Helmet dipakai ala kadar.
"Dalam kampung kau tak payah beria nak pakai helmet. Pakai pun tak betul," kata Aimi yang melihat gaya Den memakai helmet itu secara terbalik. Maknanya, visor helmet tu dibelah belakang. Den tergelak kemudian terus mencabut dan meletakkan di raga motornya. Dia mula menghidupkan motor dan memulas sedikit.
"Balik dulu, mi. Assalamualaikum!" laungnya dan terus membuat pusingan. Sempat dia mengangkat tayar depan motornya dan memecut keluar dari halaman rumah Aimi. Aimi yang membalas salamnya menggeleng perlahan. Itu kalau terjatuh, memang dia buat tak tahu je. Daniel... Daniel... .
Suasana di kediaman rumah Sa'adon pada malam hari jumaat itu kelihatan meriah dengan bacaan Yaasin dan doa selamat juga dituruti nyanyian Qasidah yang dipersembahkan oleh anak-anak tahfiz di kampung tersebut. Aimi sangkakan dia saja yang berada disitu, ternyata kawan-kawannya ada sekali di rumah Sa'adon. Cuma Zu saja tidak hadir ke majlis tersebut. Aimi dengar dari Caca, awalnya Zu mahu ikut mereka tapi bila dah sampai di rumah untuk mengambilnya, dengan muka ketat macam baru lepas habis perang ketiga, Zu dengan berat hati menyuruh Caca dan Ana pergi. Bila ditanya kenapa dan sanggup menunggu, Zu terus menutup pintu dengan kasar.
"Period agaknya. Tak pun gaduh dengan pakwe dia," teka Ana. Caca mengerutkan dahi dan menggeleng. "Pakwe? Zu dah ada ke? Asal aku tak tahu?" soalnya tak puas hati. Ana berdecit geram. "Aku agak je kan? Entah-entah dia period. Tak pun adik dia buat hal. Mana nak tahu?" ujarnya sedikit geram dan perbualan mereka bertiga, maaf, berdua hanya terhenti disitu saja. Mereka fokus menonton nyanyian Qasidah itu semula. Sesekali kedengaran suara Ana ikut menyanyi bersama. Seusai sudah persembahan Qasidah, Sa'adon selaku tuan rumah menjempur mereka semua yang hadir untuk menjamu selera. Sambil itu dia mengucapkan ribuan terima kasih kepada Imam Halim, pelajar tahfiz dan para jemaah masjid lain.
"Ngah, angah makan dengan kawan angah ke?" soal Biah tatkala melihat Aimi bergerak mengikut langkah Ana dan Caca yang kelihatan terburu-buru ingin keluar itu. Aimi menoleh. Dia mengangguk kecil. "Nanti ambilkan mak kuih sikit. Tengok adik-adik nak makan apa sekali, ya?" pinta Biah lembut dan Aimi sekali lagi mengangguk. Kelihatan emaknya sudah berlalu ke belakang di mana kawan-kawannya berkumpul dan berbual disitu. Aida dan Aira sudah meluru keluar. Hanya Aimi yang masih tegak berdiri di tengah ruang tamu tersebut. Dia menghembus nafas perlahan dan akhirnya turut keluar.
"Mi, kita orang kat sini!" laung Caca tatkala terlihat kelibatnya. Aimi menoleh sekilas dan berjalan ke meja yang menjamu pelbagai juadah dan manisan. "Angah, apa benda tu?" tanya Aira sambil menunding ke arah satu jenis kuih yang kelihatan pelik baginya tapi nampak lazat di mata orang dewasa. Aimi menoleh. Apam puteri ayu. Dia menunduk sedikit. "Tu kuih apam puteri ayu. Aira nak ke?" soalnya. Aira bergumam lama dan akhirnya menggeleng. Dia terus berlari ke arah Aida yang sedang mengisi air dia meja bertentangan dengan meja yang Aimi berdiri. Aimi hanya diam. Sememangnya Aira rapat dengan Aida berbanding dia dan Aina. Mungkin jarak umur mereka tak terlalu jauh ataupun perangai Aida yang suka bermain dan melayan karenahnya membuatkan dia lebih mesra dengan kakaknya itu.
"Nak pergi mana pula tu? Sinilah," panggil Ana apabila Aimi yang memegang sepinggan kuih pelbagai jenis meluru ke arah lain. Aimi berhenti dan menoleh. "Hantar kat mak jap," katanya dan terus melangkah masuk semula ke dalam rumah. Ana dan Caca memandang sesama sendiri. 3 minit kemudian, Aimi kembali dan terus melabuhkan punggung di kerusi yang kosong di meja mereka bertiga itu.
"Kau tak nak makan?" tanya Caca sambil menghirup kuah bihun sup. Matanya meliar memandang sekeliling. Meriah sekali. Seperti kenduri kahwin pula sedangkan baru kenduri doa selamat. Aimi meneguk air sirapnya. "Kejap lagilah," katanya. Dia turut memerhati keadaan di kawasan rumah itu. Tiba-tiba telinganya menangkap gelak tawa seseorang. Perlahan dia menoleh ke belakang. Biji matanya membesar sedikit.
Den yang sedang galak mengambil makanan dan..., Hail. Lelaki itu sedang tertawa apabila Den membuat lawak jenaka bodohnya sambil memegang pinggan yang baru ada dua jenis kuih. Aimi kembali menghadap ke hadapan. Hendak pelik tapi langsung tak jadi apabila teringat kata-kata Den dua hari yang lepas. Hail anak kepada Imam Halim. Dan malam ni, Imam Halim ada menjayakan majlis doa selamat yang dipinta Sa'adon. Jadi, mustahil kalau Hail tak ada bersama, kan?
"Masya Allah, indah sekali ciptaan Tuhan, ya?" Ana yang entah bila sedang merenung Hail juga menghentikan lamunan Aimi. Kini, fokus tiga anak dara sunti itu tertumpu pada Hail yang sedang mengambil air. Senyuman di bibir lelaki itu langsung tak lekang. Caca tersengih dan menggeleng perlahan. "Ini siapa yang jadi bini dia ni, memang jackpot! Till jannah like white people say!" entah betul ke tidak tatabahasanya tu, Caca hentam saja.
"Kau tahu tak, na? Semalam ke bila eh aku nampak Tisya dengan budak kelas dia asyik-asyik lalu depan kelas kita tahu? Lepas tu, Zu cakaplah. Itu mesti nak tengok Hail. Maklumlah, dahi licin."
"Hmm, macam kau tak biasa dengan perangai dia? Tunggulah minggu depan. Aku sembur dia."
"Kau sembur dia tak ada guna pun. Dia mana takut dengan kau," balas Caca selamba. Ana memandangnya tidak puas hati. Ada ke patut? Cubalah support kawan sikit. Ana menjuih bibir. "Habis tu, nak letak Aimi baru dia takut?" soalAna. "Maybe?" Caca menjungkit bahu. Aimi masih diam. Langsung tak mencelah perbualan mereka berdua. Kerana terlalu lama duduk mendengar topik yang tak kena dengan jiwanya, perlahan dia bangun dan melangkah ke meja makanan semula. Kawasan itu mula sedikit lenggang memandangkan rata-rata tetamu sudah mengambil makanan dan ada yang sudah pulang awal ke kediaman masing-masing.
Aimi mengambil pinggan dan mula mencedok nasi kuning sedikit. Agak puas hati, dia bergerak mengambil lauk pauk disitu pula. Sedang dia memilih sama ada untuk mengambil lauk ayam atau daging, satu suara lembut menegurnya. "Sikitnya makan. Kenyang ke makan sikit tu?" tegur suara tersebut. Aimi terus mendongak wajah. Hail. Lelaki itu tersenyum kecil ke arahnya. Aimi terbungkam sendiri. Hail yang kelihatan segak dengan baju melayu berwarna ungu lembut itu sedikit sebanyak membuatkan hati perempuan Aimi terusik. Dia menunduk.
"Kalau baca bismillah, Insha Allah kenyang," jawab Aimi menyambut tawa halus Hail. Sekali lagi Aimi menatap ke arahnya. Dia mengemam bibir dan terus mencedok lauk daging dendeng sesenduk.
"Ai...mi, kan?" tanya Hail berbaur kepastian. Malu sekali jika dia tersilap nama. Maklumlah, baru 3 hari bersekolah disitu. Aimi yang hanya diam sekadar mengangguk. Hail tersenyum lagi. "Den bagitahu tadi. In case, kalau awak tertanya mana saya tahu nama awak?" bicara Hail lagi tanpa dipinta gadis itu. Setiap langkah Aimi bergerak di meja makan itu dia akan mengikut. Aimi mula berasa sedikit tidak selesa. Bukan tak selesa apa, dari awal Hail menegurnya tadi lagi dia sudah dapat rasakan ada empat pasang mata sedang memerhatikannya. Air liur diteguk kasar.
"Awak dah habis ambil makanan ke?"
"Kenapa?"
"Ambillah lagi."
"Awak tuan rumah ni ke?"
Hail menggeleng. "Jadi?"
"Ambillah lagi." Hail menatapnya. Aimi terpinga sendiri. Apa pula masalah budak Hail ni? Sibuk-sibuk pula suruh dia mengambil makanan lagi. Ambil banyak-banyak, kalau tak habis bukan ke membazir tu? Dia menghembus nafas perlahan. Buah oren yang siap dipotong dan diisi dalam dulang makanan tu diambil. Dia memandang Hail. "Puas?" tanyanya. Dia berharap sekali yang lelaki itu akan melepaskannya dan biar dia menikmati makanannya bersama Ana dan Caca. Namun, harapan Aimi menjadi sirna apabila Hail menggeleng.
"Kat sana ada makanan lagi. Jom pergi sana pula?" ajak Hail membuatkan Aimi terkedu. Matanya bergerak melihat lelaki itu sudah mengorak langkah mendekatinya. "Tapi saya nak makan yang ni," balas Aimi namun tak diendahkan oleh Hail. Malah, Hail mengambil pinggannya dan terus berlalu ke meja lagi satu. Aimi semakin tak faham. Inikah perwatakan Hail sebenarnya? Mereka baru kenal kot!
"Sudahlah. Saya makan memang tak banyak. Nanti membazir. Awak nak saya samakan awak dengan syaitan dulu ke baru awak berhenti?" tanya Aimi dan serta merta langkah Hail terhenti. Lelaki itu menoleh ke arahnya dengan wajah sedikit terkejut. Aimi langsung tak kisah malah keningnya berkerut menandakan dia tak senang dengan perbuatan Hail.
Hail tak lama kemudian tersenyum dan mencapai lagi sebiji karipap. Itu membuatkan nafas Aimi tersingkap sedikit. Dia berpusing menghadap gadis itu lalu menghulurkan pinggan tadi. Aimi memandangnya hairan. "Now, your meal is complete. Ada nasi, lauk, sayur, buah and kuih as dessert. Nah," hulur Hail bersama senyumannya. Teragak-agak Aimi menyambut. "Jangan muncung sangat. Awak pun tak ubah dengan makhluk tu kalau masam muka depan rezeki Allah," katanya menambah bungkaman Aimi.
"Selamat menjamu selera, Ai...mi. Hihihi." Dia perlahan mengatur langkah meninggalkan Aimi sendiri di kawasan makanan itu. Sekembalinya Aimi di meja, sengihan nakal Ana dan Caca menjadi jamahan matanya.
"Selamat menjamu selera, Aimi...."
"Diamlah," keras suaranya dan mengundang gelak tawa mereka berdua. Aimi terus menjamah makanannya sebaik saja selesai membaca doa makan. Untung di badan, tak ada makanan yang bakal jadi buangan. Pinggan yang seakan penuh tadi kini tinggal sisa yang tak boleh ditelan saja. Kalau tak habis tadi, memang dia akan cari anak Imam Halim itu.
Share this novel