Sepasang mata itu galak merenung kertas putih yang ditampal pada papan kenyataan yang terdapat di ruangan kelas tersebut. Hanya dia saja insan yang berada di dalam kelas itu. Berdiri teguh di depan papan kenyataan tersebut sedangkan yang lain sudah berlalu 5 minit keluar mencari makan untuk mengisi perut. Sudah menjadi kebiasaan untuk Aimi tidak keluar rehat pada waktu tersebut. Sebelum berangkat ke sekolah, dia akan bersarapan agak berat di rumah. Dulu adalah juga sekali dua dia keluar rehat bersama yang lain. Dek perangainya yang cepat jemu pada satu makanan, dia terus memutuskan untuk tidak rehat lagi di kantin sekolahnya.
Sudahlah mahal. Kuantiti pula tak seiring dengan harga. Aimi bukanlah anak orang senang. Tapi tak juga susah. Ada baiknya dia berjimat. Tak adalah emaknya banyak keluar modal.
"Kau tengok apa, Mi?" Aimi menoleh ke tepi. Daniel atau mesra dipanggil Den, turut melihat apa yang dilihati oleh Aimi tadi. Den meskipun mempunyai sikap yang nakal dan suka bermain-main ketika sesi belajar, Aimi senang dengannya. Tahap nakal Den tak ada sampai buat orang sakit hati. Entah kenapa ada beberapa pelajar lain membencinya. Itu tak hairan sangatlah. Ini, cikgu pun ada.
"Tarikh trial? Eh, lagi dua bulan weyh! Patutlah cikgu-cikgu pulun bagi set kertas soalan lately ni," kata Den menjawab sendiri pertanyaannya yang diajukan pada Aimi. Aimi tersengih sedikit. Lately? Wow, Daniel is speaking!
"Ya."
"Soalan sains set 2, kau dah siap?"
Aimi mengangguk. "Nak tengok? Boleh?" Den tersengih. Aimi memandangnya lama. Bersama senyuman meleret di bibir, Aimi mengatur langkah ke mejanya dan menarik kerusinya. Mulut beg dibuka sedikit lalu tangannya menggagau mencari kertas soalan Sains yang diberi tempoh hari oleh Cikgu Azlina. Cikgu Sains paling sporting dan seronok kalau belajar. Tapi baik dan sportingnya jangan sesekali dicabar. Orang kata, yang biasa baik ni kalau sekali dah marah, cikgu yang kita nampak lagi garang tu pun kalah garangnya.
"Terima kasih, Mi. Kau memang terbaiklah. Aku tengok jap eh," kata Den sebaik saja lembaran kertas itu bertukar tangan. Aimi hanya bergumam dan duduk di kerusinya. Sebuah buku tulis berkulit tona kayu dikeluarkan. Helaian demi helaian diselak sehingga ketemu helaian yang kosong tanpa sebarang coretan dakwat pena. Tangan kirinya yang bebas tanpa memegang apa-apa mula mencari-cari pen yang dikhususkan pada buku itu saja. Tatkala sudah jumpa, penutupnya dibuka lalu ditutup di hujung pen itu. Kini, tangan tersebut lincah mencoret sesuatu di atas helaian kertas tersebut.
"Soalan no.13 ni macam mana kau dapat, Aimi?" laung Den memandangkan lelaki itu duduk selang tiga meja di depannya. Dia memusing ke belakang apabila gadis itu tak menjawab pertanyaannya. Den terdiam. Dia tersengih sedikit dan terus menghadap semula ke depan. "Aimi and her world again," seloroh Den kemudian terkikih kecil. Begitulah Aimi. Masa rehatnya akan dihabiskan dengan menulis sesuatu yang mereka sendiri tak tahu apa. Adalah juga Den pernah cuba curi-curi nak baca apa yang ditulis oleh Aimi. Tapi tertangkap. Dan paling tak boleh lupakan, kata-kata Aimi waktu tu betul-betul membuatnya tersentap.
"Kalau ada orang pecah masuk rumah kau, kau marah tak?"
Den angkat bendara putih sejak dari haritu. Malah, dia siap mengingatkan lagi kepada rakan-rakannya yang lain. Bukanlah kerana takut dengan Aimi. Cuma kata-kata Aimi mengingatkannya pada satu kata yang sering juga menjadi ingatan setiap insan. Hormat. Ya, Aimi tegurnya tentang kehormatan. Jika Aimi pun tak pernah sibuk-sibuk dengan apa yang dia ada, kenapa pula dia sibuk-sibuk dengan apa yang Aimi ada?
"Wow, meniru! Ni mesti kertas Aimi, kan? Amy, kenapa kau bagi kertas kau dekat Den ni. Bilanya nak pandai buat sendiri kalau asyik ditolong je?" Kelas itu mula riuh dengan suara Ana, pengawas sekolah paling dibenci oleh budak-budak lain kerana sikapnya terlalu tegas dan suka melaporkan kesalahan mereka kepada cikgu disiplin. Di belakang Ana, terdapat lagi dua orang kawannya, Zu dan Caca. Mereka murid biasa seperti Aimi dan Den. Mereka walaupun berkawan dengan Ana, selagi boleh langgar peraturan, mereka langgar. Janji tak nampak dek mata Ana. Mereka berdua pun suka berhibur. Serius-serius pun mahu kemana?
"Ala, bisinglah kau. Bukan aku tiru semua pun. Nahlah, Mi. Ambil balik. Acah pula minah ni. Terima kasih," ucap Den secara acuh tak acuh. Jadi lain perangainya tatkala Ana muncul. Selain pelajar lain, Den salah satu yang membenci Ana. Eloklah tu, benci sesama sendiri. Bila nak buang perangai syaitan tu pun tak tahu. Ana mendengus. Memberi jelingan sekali dan terus mendekati Aimi yang menutup bukunya.
"Berkeraslah sikit, Amy. Takkan nak biar je si Den tu buli kau sampai habis SPM?" saran Ana bersama keluhan kecil. Dalam banyak-banyak orang, Ana saja yang panggil dia Amy. Katanya barulah nampak sesuai sikit dengan dirinya. Entah apa yang sesuai pun tak tahu. Aimi tersenyum kecil.
"Den takkan buli aku."
"Yakin bebenor mike ate budak si Den tu tak buli mike nye?" soal Zu pula yang memang tak hilang loghatnya. Dari kecil memang dah dibasahkan dengan loghat. Mak ayahnya juga tak lekang bercakap menggunakan loghat negeri Perak itu di rumah. Itu pasal sampai terbawa-bawa ke sekolah. Ada juga yang lain tapi sepekat Zu itu, hanya Zu saja. The one and only, Zulaikha Idris!
"Yakin. Hidup ni kan kena yakin? Tak yakin, manusia tak ke mana," balas Aimi membuatkan Ana dan Caca sudah mengalih wajah ke tempat lain. "Yelah, Amy. Yelah...," jawah Ana sebagai wakil pada Zu yang sedikit terkedu. Mereka tiga dah biasa dengan kata-kata Aimi. Bermadah tak habis.
"Balik ni, jom. Kita pekena cendol. Semalam teman pergi idok buka. Mungkin hari ni ada."
"Boleh juga. Aku pun dah lama tak minum cendol. Kau, Ca? Ah, kau mesti pergi punya. Tak ada duit pun kau pergi juga," kata Ana membuatkan Caca tersengih kambing. Betul kata Ana. Asal dia dapat keluar berjalan petang-petang lepas habis sekolah, jadilah. Tak ada duit pun tak apa.
"Nak join, Amy? Jomlah. Kau dah lama tak lepak dengan kita orang. Asyik duduk rumah je," ajak Caca. Serentak mereka bertiga melihat ke arah Aimi yang lurus saja pandang ke hadapan. Apa yang ditengok pun tak pasti.
"Entah. Adik kau tu lagi pandai merayap aku tengok daripada kau. Jomlah, Amy. Kalau tak ada duit tak apa, aku boleh belanja. No worries!" Ana tersenyum. Aimi mengalih pandangannya. Bibirnya terjungkit senyuman kecil. Kepalanya mengangguk.
"Cendol. Sedap." Aimi mengangguk lagi. Mereka yang lain terjongket kening. Hairan. Aimi menarik nafas sebentar kemudian menggeleng perlahan. Mereka bertiga mula berubah riak.
"Seriuslah, Amy? Cendol mi cendol! Panas-panas ni!" Zu membentak sedikit. Nikmat dunia apa Aimi dustakan ni? Nak menangis pula dia rasa.
"Ya tapi tak. Kau orang pergilah," kata Aimi dan terus berdiri. Rupa-rupanya waktu rehat sudahpun tamat dan cikgu yang mengajar subjek seterusnya sudah masuk. Zu dengan muncung dibibir berlalu ke tempatnya manakala Ana dan Caca pula menghadap ke hadapan. Mereka dua duduk didepan Aimi saja. Sebaik saja salam diberi dan selesai membaca doa sebelum memulakan pelajaran, Ana sempat menoleh ke belakang.
"Kalau nak pergi cakap tau," pujuk Ana. Aimi hanya mengangguk dan melabuhkan punggung di kerusinya. Terasa lengannya dicuit, Aimi menoleh ke sebelah kanan. "Pergi mana?" bisik Yusra. Aimi menjeling sekilas di depan. Dia mendekatkan diri ke Yusra.
"Cendol," bisiknya pula membuatkan Yusra terangguk-angguk faham. Tak pula dia tanya lebih-lebih. Maka, sesi pelajaran pun bermula sehinggalah tamat waktu persekolahan pada hari tersebut.
***
"Angah, nanti petang ambil adik dekat sekolah ya?" laung Biah, emak kepada empat anak dara di rumah itu. Aimi yang sedang menyuap makanannya mengangguk faham. Seraya kunyahannya habis, dia menoleh ke arah Biah yang sudah berada di muka pintu belakang rumah mereka. "Nak pergi dah?" soalnya membuatkan Biah menoleh.
"Iya, mak pergi dulu ya? Nanti lauk tu masuk dalam periuk. Jangan lupa ambil adik-adik. Kunci pintu sekali," pesannya.
"Ya, mak." Sebaik saja puteri keduanya itu menyahut, Biah terus keluar. Menapak ke rumah kawannya yang tak jauh dari situ. Selang dua buah rumah dari kediaman mereka. Begitulah rutin Biah tiap petang. Lepas saja siap melakukan kerja-kerja di rumah, dia akan bersiap-siap pula untuk ke rumah Janda Milah. Menolong kawannya itu buat tempahan kuih. Dan Aimi lah yang akan jadi suri rumah sementara dalam rumah tersebut pada sebelah petang. Biah senang hati bila mana Aimi tak seperti anak-anak gadis lain yang kadang kala tak lekang di rumah. Anak sulungnya pula, sudah bekerja. Jauh sama sekali nak jaga rumah melainkan hari cuti. Suaminya pun tak ketinggalan.
Siap makan, Aimi membasuh pinggan dan melakukan apa yang dipesan oleh emaknya tadi. Kuali yang digunakan oleh Biah untuk masak tengah hari tadi disental sebersih mungkin kemudian membilasnya. Kuali digantung cermat. Lantai dapur pula jadi mangsa pembersihannya. Sesudah itu, merasakan semuanya dah kemas dia mengatur langkah ke biliknya. Tubuh direbah di atas katil bujang. Menggeliat dia meregangkan otot dan menghembus nafas kasar.
Handphone di tepi bantal dicapai. Masih berbaki 2 jam setengah lagi sebelum dia mengerjakan ibadah solat Asar dan bersiap-siap untuk ambil adik-adiknya di sekolah petang.
"Nasiblah aku tak ikut pergi makan cendol. Kalau tak...," Kalau tak, habis lebur waktu tidurnya di petang hari. Inilah salah satu punca dia malas nak keluar ke mana-mana. Dia suka tidur!
assalamualaikum pemula kata, saya tak tau nak cakap apa.
Share this novel