Nukilan Ai - 2

Drama Series 11394

"Esok saya ada buat kenduri kecil-kecilan. Kalau kalian sudi, jemputlah datang ya?" jemput Sa'adon tatkala tazkirah ringkas dari imam masjid itu sudah selesai.

"Maaflah bertanya. Kenduri apa tu? Doa selamat ke, Don?" tanya Udin yang masih di dalam kelompok bulatan kecil itu. Mereka yang lain mengangguk tanda ingin mengajukan soalan yang sama seperti Udin. "Iya. Bulan depan dengan keizinan Allah, anak nombor tiga aku tu akan berkahwin. Itulah maknya sibuk ni nak buat doa selamat. Doa-doa moga majlisnya lancar," jelas Sa'adon panjang. Mereka mengangguk faham dan mengaminkan doa tersebut meskipun dari titip bicara saja. Kata-kata juga satu doa.

"Dapat orang mana, Don?" kali ini, tauke kedai runcit paling ramai dikunjungi, Man Getah pula bertanya. Dia dipanggil Man Getah kerana dulu dia bekerja di ladang getah. Memandangkan di kampung ini ramai juga yang belakangnya berakhir dengan nama Man, akhirnya dia dipanggil Man Getah. "Katanya orang Johor," jawab Sa'adon.

"Kira jauhlah ya nak menghantarnya?" Pak Sabri memandangnya.

"Hahaha. Nampak gaya begitulah. Ah, orang kalau dah sayang. Lautan deras pun sanggup ku redahi. Ye dok?" kata Sa'adon bersama tawa mereka yang lain.

"Ha Sa'adon, nanti saya panggil budak tahfiz sekali. Kita buat qasidah lepas bacaan Yasiin. Macam mana?" Entah bila masa imam Halim muncul, tiba-tiba kedengaran suaranya mencelah. Sa'adon tersentak. "Betul ke ni, mam? Saya buat kecil-kecilan je ni. Takut tak terjamu pula," khuatirnya. Imam Halim hanya tertawa kecil. "Kita datang nak meraikan. Bukan nak makan semata, Don. Niat tu yang penting. Ingat tu semua," jelas Imam Halim kepada mereka semua. Sa'adon tertunduk tersenyum malu.

"Yelah, mam. Terima kasih ya. Jemputlah orang rumah sekali kalau tak keberatan."

"Insha Allah."

Pulang saja ke rumah, Pak Sabri terus mengunci rantai motornya di bawah rumah itu lalu berlalu naik ke rumah. Ruang tamu dijengah. Sunyi. Jam di dinding di kerling. Baru 9:35 malam. Dia mengatur langkah ke dapur. Barulah telinganya mendengar suasana sedikit riuh di ruang makan merangkap dapur sekali di bawah. Kelihatan anak isterinya sedang sibuk menjamah keropok lekor sambil berbual kosong.

"Abah dah balik!" sahut anaknya yang paling kecil. Aira. Baru masuk darjah 2. Pak Sabri tersenyum kecil dan menggosok rambut Aira yang masih teruja dengan kepulangannya. Matanya beralih pula ke arah anak ketiganya, Aida. Leka benar dia mengunyah keropok lekor itu sambil menonton sesuatu di telefon.

"Lambat balik, bang. Ada makan-makan ke?" tanya Biah selepas menyalami suaminya. Dia bangun dan bergerak ke arah heater. Isinya dijengah kemudian dia mengangkat heater tersebut dan berlalu ke singki. Air diisi sehingga 1 liter dan dikembali meletakkan heater tersebut di tempatnya. Pak Sabri memang kebiasaan akan minum kopi selepas pulang dari masjid.

"Tak adalah. Saja duduk berbual dengan dia orang. Tu yang lambat. Ha ni alang-alang dah cakap, si Sa'adon jemput kita datang rumah dia. Ada doa selamat katanya," katanya. Tangannya mencapai seketul keropok lekor. Dia tersentak sedikit.

"Aih, kak long. Bila masa kak long ada? Awal balik kerja harini?" tegurnya pada anak sulungnya yang masih khusyuk makan. Aina selaku puteri sulungnya hanya menjeling dan menjuih bibir.

"Abah tu asyik tengok mak aje, mana nak perasan kak long kat sini? Dah lama balik, bah. Lepas maghrib tadi," jawabnya dan menjilat jarinya sehingga menghasilkan bunyi. Akibatnya, badan belakangnya ditampar oleh Biah. Dia mengaduh sakit.

"Apa mak ni?"

"Makan macam tu buat apa? Sopan sikit tak boleh?" tegurnya dan disambut hilai tawa adik-adiknya. "Apa gelak-gelak? Seronok eh kau orang. Ni kerja sekolah tak ada ke? Senang lenang bukan main kak long tengok," ujarnya kemudian berdiri mengangkat pinggannya dan berlalu ke dapur.

"Dah siap dah~" seloroh Aida dan terkekek lagi. Aira mengangguk laju. "Haah dah siap dah," sambutnya dan melibaskan rambut pendek paras bahunya ke belakang. Aida yang berada di sebelahnya menjeling menyampah. Sibuk je budak ni!

Aina yang sudah meletakkan rak di pinggan mengangguk perlahan. Dia memandang dua orang adiknya. Kedua tangan dilabuh pada kerusi yang bertentangan dengan mereka berdua. "Kalau dah siap baguslah. Dah tu, tak reti nak masuk tidur? Tengok jam pukul berapa sekarang? Esok bangun pagi mulalah liat apa semua," bebelnya. Dulu, Biah yang rajin membebel tapi sekarang, dia pula yang ambil alih.

Aida merengus tak puas hati. Badannya sengaja dilorotkan. "Ala, kejaplah kak long. Cerita tak habis lagi ni," rungutnya. Aina menggelengnya dan bercekak pinggang. "Tak ada, tak ada. Simpan handphone, pergi masuk tidur sekarang. Ke kau nak aku rampas dulu handphone tu baru kau nak ikut?" kali ini, Aina terpaksa menggunakan mode ugutannya dan kuasanya sebagai seorang kakak. Dia tak mahu adik-adiknya terlalu leka dengan gajetnya. Dibiar lama nanti, entah apa-apa pula yang dibelajarnya. Budak zaman sekarang mudah terpengaruh. Lain jika nak disamakan dengan zamannya.

"Eii sikit-sikit ugut. Yelah, yelah. Aira, jom. Kejap lagi ada mak lampir bising pula," gumam Aida namun jelas di pendengaran Aina. Terjegil biji mata kakaknya. Mak lampir dia panggil? Ada kena pulasan telinga kejap lagi ni. Hmph! Kecil besar, kecil besar Aina menghantar pandangan ke arah adik-adiknya yang berjalan masuk ke bilik itu. Sempat dia menyuruh Aida mengemaskan beg Aira dan begnya supaya tak kelam kabut ke sekolah esok.

"Janganlah kasar sangat, long. Adik-adik kau tu baru nak membesar elok hah," pesan Biah memecah kesunyian di dapur itu. Aina yang kembali duduk bersama telefon Aida di tangannya mengeluh perlahan. "Mak, sebab nak membesarlah kak long kena kasar dengan dia orang. Jangan dimanjakan sangat. Cukup baiklah tu kak long suruh stop main handphone. Kalau tak sampai ke pukul 11 malamlah mainnya nanti. Betul tak, bah?" Aina memandang Pak Sabri. Pak Sabri yang sedang menghirup kopinya hanya diam. Tak mengangguk tak juga menggeleng.

"Iya tapi jangan selalu sangat. Nanti budak-budak tu makan hati," pesan Biah lagi dan kali ini Aina diam. Dia memaling wajah ke arah lain. Bibirnya terjuih sedikit. Makan hati? Hmm. Dia akhirnya meminta diri untuk masuk ke dalam bilik. Mahu berehat. Tinggallah pasangan suami isteri itu di dapur berbual sesama mereka.

Aimi mengangkat wajah. Wajah sugul Aina menjadi jamahan pandangannya. Dia tersenyum kecil. Mata dikalih menatap aksara yang tersusun kemas di buku novel hikayat yang dibacanya. Halaman tersebut diselak ke halaman baru. "Kalah dengan mak lagi?" tanyanya bersama tawa kecil. Dengusan Aina membuatkan dia makin tersenyum lebar. Dia menoleh sedikit. Kelihatan Aina sudahpun merebahkan diri di atas katil dan menghembuskan nafas yang kedengaran berat di telinga Aimi.

"Aku tegur adik-adik kau tu elok dah. Apa yang kasar? Mak dulu tegur aku kasar-kasar tak ada pun aku pertikai. Makan hati? Aku lagi makan hati," luah Aina. Aimi yang masih fokus pada pembacaannya mengangguk perlahan. Dia tahu Aina terasa. Selalu sangat telinganya ni jadi tempat luahan kakaknya. Tak pasal mak mesti masalah di tempat kerja. Boyfriend ada juga tapi Aina jarang nak buka topik tentang kekasihnya. Soal itu, Aina lebih memilih untuk diprivasikan.

"Aku minta maaf bagi Aida dengan adik. Aku minta maaf juga sebab kau terpaksa dewasa lebih daripada umur kau. Aku faham apa yang kau rasa sebab kita berdua kakak. Tapi aku harap sangat kau marah mak malam ni je. Esok, kau anggaplah apa yang jadi tadi tak berlaku. Mak bukan tak sayang kau, long. Dia nak kau nasihat adik-adik dengan cara yang elok."

"Dah cukup elok, ngah. Elok sangat. Apa lagi yang aku kena buat? Nak kena belai-belai dulu baru dianggap tak kasar?" soal Aina sedikit tidak berpuas hati.

"Doa."

"Hah?"

Aimi memandangnya. Dia mengangguk kecil. "Doa. Kau dah usaha jadi kakak yang baik. Yang berlaku tegas. Nasihati adik-adik. Sekarang, kau serahlah dekat Dia Yang Maha Kuasa supaya dilembutkan hati budak-budak tu," jelas Aimi. Aina diam. Tegun dia menatap ke arah Aimi yang masih dengan bacaannya. Tak lama kemudian, dia tersengih dan menunduk sedikit. Aimi. Pendiriannya membuatkan dia teringat kepada arwah nenek mereka.

"Didikan nenek tak pernah salah. Kau betul-betul buatkan aku teringat dekat dia, ngah," tutur Aina yang kini sedikit sebanyak sudah melupakan hal tadi. Aimi terdiam di tempatnya sendiri. Dia merenung dinding di depannya kosong kemudian menjatuhkan pandangan ke buku novel itu semula. Selera bacanya tiba-tiba lenyap begitu saja.

"Kalau kau rindukan dia, aku apatah lagi," nadanya mendatar. Bingkai gambar yang sudah lama ditelangkup di atas meja belajarnya dipandang. Aimi menghela nafas panjang. Penanda buku di ambil seraya diletakkan di celahan buku. Buku novel tersebut ditutup dan dibiarkan saja terletak di atas meja.

"Aku tidur dulu. Esok nak sekolah," katanya apabila telah baring di katil bersebelahan Aina. Aina tersenyum. "Ya, tidurlah." Dia bangun dan berlalu ke tepi pintu. Suis lampu ditutup. Dia kembali semula ke katil. "Aku minta maaf. Aku tak ada niat nak bangkitkan pasal arwah nenek. Selamat malam, ngah," ucapnya sambil menggosok lengan Aimi perlahan. Dia tahu, jauh di sudut hati Aimi, dia masih berduka. Aimi yang membelakangi Aina hanya diam dan semakin menarik selimut mereka. Matanya di pejam rapat.

***

"Ada budak baru masuk sekolah kita."

"Ya ke? Kau dengar dari mana?"

"Ala aku dengar dari Tisya. Kau pun tau kan Tisya tu semua benda dia ambil tahu."

"Oh... eh lelaki ke perempuan? Dia masuk kelas mana weyh?"

"Lelaki. Err... masuk kelas mana tu tak tahulah pula."

Aimi yang dari tadi memasang telinga menjengah lagi. Dia menoleh semula ke arah rak buku tersebut dan mengambil sebuah novel yang dari tadi menarik perhatiannya. Saat buku itu sudah berada kemas dalam pegangan, dia mengatur langkah ke kaunter peminjaman buku. Dua orang pengawas perpustakaan sekolah itu terus menghentikan perbualan mereka apabila perasan kehadiran Aimi. Aimi menguntum senyuman kecil.

"Ada budak baru nak masuk?" saja Aimi bertanya. Mereka berdua tersentak. Salah seorang dari mereka yang sedang mengeluarkan kad tarikh meminjam itu mengangguk perlahan. "Ya, Aimi. Kau pun tahu?" soalnya. Dia menjengah ke belakang melihat tarikh di kalendar.

"Buku ni mungkin takkan habis dalam masa seminggu. Boleh panjangkan sikit tarikh pinjam?" pinta Aimi tatkala gadis di hadapannya sudah menulis tarikh di kolum tersebut. Gadis bernama Anissa itu tersenyum sedikit.

"Kau ulat buku, Aimi. Mesti habis punya. Tak sampai minggu depan, silap-silap esok kau dah hantar buku ni lepas tu pinjam yang lain," kata Anissa kemudian tertawa kecil. Aimi tersenyum sedikit. Masa ia? Bukan waktunya akan habis sepanjang masa di buku. Dia pun ada kerja lain. Baca itu hobinya ketika waktu lapang saja.

"Kau tahu dari mana, Aimi? Tisya juga ke?" soal gadis di sebelah Anissa. Orangnya berkulit sedikit tanned memandangkan dia juga salah satu atlet sekolah. Tapi, itu semua tak dijadikan sebagai ukuran. Kulit je terbakar waktu ni. Tunggu esok dah habis sekolah, lawa kalah mak datin nanti.

"Aku tahu dari kau oranglah," jawabnya tenang. Gadis itu terkedu sedikit. Anissa disebelah di pandang. Dia mendekatkan diri ke Anissa. "Kuat juga eh suara kita?" bisiknya yang dia rasakan sudah cukup perlahan namun tetap jelas di pendengaran Aimi. Aimi menoleh ke pintu. Salah satu papan tanda menunjukkan tanda amaran dan berbaur larangan disitu di pandang. Dia menghadap semula ke arah Anissa dan kawannya.

'Hiasan semata-mata,' getusnya. Buku yang sudah siap ditulis tarikh itu diambil. Dia tak lupa untuk mengucapkan terima kasih pada Anissa dan kawannya sebelum keluar dari perpustakaan sekolah tersebut. Kasut yang disusun di rak diambil dan dicampak ke lantai koridor. Kakinya mula menyarung kasut sekolah tersebut.

'Budak baru? Lelaki? Tingkatan berapa?' soalnya sendirian. Dia mula mengorak langkah menuju ke kelas. Dahinya sedikit berkerut memandangkan bahang pada pagi itu terasa perit. 'Belum masuk tengah hari lagi dah panas,' ujarnya lagi di dalam hati dan menghela nafas perlahan.

"Haa... Aimi, kenapa berkerut-kerut tu? Ada orang cari gaduh ke?" tegur Cikgu Kamal. Cikgu Geografinya. Wajahnya yang berkerut sedikit memudar tatkala ditegur. Aimi cuba memaniskan wajah.

"Eh, cikgu. Tak adalah. Tak ada siapa cari gaduh pun. Matahari tu silau. Pagi-pagi pun dah panas bahang."

"Hahaha. Biasalah tu, Aimi. Belum masuk tengah hari lagi. Alamatnya, kami semua tidur sebab panas. Eh ni, cikgu nak minta tolong kamu boleh?" pinta Cikgu Kamal. Dia mengerling sekilas pada jam tangannya. Aimi sekadar mengangguk.

"Kamu tolong ambilkan set geometri dengan pencil box cikgu dekat atas meja. Nanti bawa ke kelas 4 Naim. Cikgu tak cukup tangan ni. Boleh ke?" jelasnya lagi. Memang betul. Di tangan Cikgu Kamal ada sebuah beg projector LCD dan disebelahnya pula beg laptop. Aimi mengangguk. Dia tak keberatan sama sekali untuk menolong. Kalau cikgu masa lepas rehat waktunya nak marah kerana dia lambat masuk ke kelas pun, dia ada alasan yang kukuh.

"Terima kasih ya, Aimi. Cikgu pergi dulu. Dah lambat ni," tanpa menunggu balasan dari pelajarnya itu, dia bergegas pergi. Aimi kembali mengorak langkah menuju ke bilik guru yang terletak sebaris dengan perpustakaan sekolah. Memang ada hikmah betul. Masuk saja ke dalam bilik guru itu, ada beberapa orang guru menegurnya dan Aimi sekadar membalas ala kadar saja. Meja Cikgu Kamal dicari. Bukannya dia tak tahu cuma dia kadang-kadang pelik dengan ubahsuai dalam bilik guru ni. Ada aje perubahannya.

"Geometri dengan pencil box," dia bergumam sendirian. Buku novelnya diletakkan di atas meja. Set geometri yang diletakkan disisi kotak pensil yang sudah menindih buku tersebut. Dia menyatukan barang tersebut.

"Kejap lagi ada orang assist kamu. Cikgu dah minta tolong dia dah. Nanti dia datang. Awak nak rehat dulu ke?"

Saat Aimi baru mengatur langkah untuk berlalu dari meja Cikgu Kamal, entah mana tersilapnya. Kotak pensil tadi terjatuh membuatkan Aimi terus merengus kecil. Dia terus menunduk mengambil kotak pensil tersebut.

"Tak apa, cikgu. Saya masih kenyang makan sarapan pagi tadi," ucap pelajar itu bersama senyumannya.

Aimi meletak kemas kotak pensil tersebut dan terus mengorak langkah keluar dari bilik guru tersebut. Dia terdiam di tempatnya sendiri. Keningnya sedikit berkerut. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan seorang pelajar lelaki sedang membelakanginya, mengangguk kecil memberi respon pada guru yang berada di hadapannya. Aimi menatapnya lama kemudian terus berlalu pergi dari bilik guru itu. Dan tanpa sedar, pelajar lelaki yang menjadi tatapan Aimi tadi bertindak menoleh ke pintu bilik guru yang terbuka luas itu lama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience