BARU beberapa langkah dia menapak masuk ke dalam rumah namanya sudah diseru.Langkahnya serta- merta terhenti. Tubuh dipusing menghadap suara yang memanggilnya.
“Nawal dari mana?” Lembut suara Nurin menyapa gegendang telinganya.
“Keluar dengan kawan,” balasnya ringkas.
Mata Nurin jatuh pada beberapa beg kertas yang berada di tangan Nawal. Sakan shopping!
“Banyaknya beli.”
“Kawan belanja,” bohong Nawal. Padahal semua barang-barang itu dibeli dengan duit Tan Sri Hamidi.
“Baik betul kawan Nawal tu. Nanti sampaikan salam akak pada dia ya?”
“Hmm,” balas Nawal malas.
“Bila Nawal final exam?” soal Nurin lagi.
“Dua minggu lagi kut. Entah.” Nawal menjongket bahu. Lagipun sudah hampir sebulan dia ponteng kuliah.
“Kak Leya cakap minggu depan.”
Nawal mengeluh perlahan. Ni lagi seorang! Selain Aiman, Leya juga selalu menyibuk halnya. Leya ialah kawan baik Nurin. Mereka rapat sejak sekolah lagi. Sekarang Leya bekerja sebagai pensyarah di universiti Nawal belajar.
“Nanti Nawal tengok baliklah jadual. Nawal naik dulu, penat.” Sengaja dia memberi alasan.
“Sekejap Nawal. Akak nak cakap sikit.”
“Apa lagi kak? Nawal penat ni,” rungut Nawal.
“Jangan minum arak lagi Nawal. Nawal tahu kan
haram hukumnya.”
“Nawal bukannya sengaja nak minum malam tu. Nawal stres sangat. Jadi Nawal minumlah. Bukannya selalu sangat Nawal minum kak.” Selamba Nawal membalas.
Mengucap panjang Nurin mendengar jawapan yang keluar dari mulut Nawal.
“Nawal, hukumnya tetap haram. Sikit ke banyak ke, arak tu haram.” Kali ini suaranya berubah tegas.
Nawal meraup kasar wajahnya.
“Yang Kak Nurin nak bising-bising ni kenapa? Dosa pahala Nawal, tak ada kaitan dengan akak. Jadi akak tak perlu susah-susah nak nasihatkan Nawal. Jangan risau, dekat akhirat nanti Nawal tak akan tuntut apa-apa pun daripada akak. Hidup Nawal, biar Nawal yang atur sendiri. Akak tak perlu nak masuk campur.” Nawal terus angkat kaki berlalu menuju ke biliknya.
Pintu biliknya sengaja dihempas kuat tanda protes. Nurin mengesat perlahan air matanya. Sayu hatinya melihat Nawal. Nawal sudah banyak berubah. Entah mana silapnya. Sungguh dia terlalu rindukan Nawal yang dulu.
PETANG itu Nawal keluar bersama dengan Ashraf. Dia dan Ashraf baru saja berkenalan beberapa minggu lalu. Nawal tahu Ashraf salah seorang anak orang kenamaan. Oleh kerana itu dia beria-ia mahu berkawan dengan lelaki itu. Boleh dia menumpang senang.
“You, purse I tertinggalah dekat hotel. You ikut I balik hotel sekejap boleh?” soal Ashraf.
Nawal hanya mengangguk setuju. Mereka berdua beriringan masuk ke dalam sebuah hotel bertaraf lima bintang. Pintu lif terbuka, Nawal terus melangkah masuk. Ashraf sudah tersenyum lebar. Nampaknya Nawal sudah masuk ke dalam perangkapnya.
“I tunggu dekat depan ni jelah.” Nawal menolak untuk mengikut Ashraf masuk ke dalam biliknya.
“Jomlah masuk sekali sayang. Tolong I cari purse I sekali. I tak ingat I letak dekat mana tadi.” Ashraf cuba memujuk.
Nawal serba salah. Buatnya mereka ditangkap khalwat, tak pasal-pasal nikah percuma.
“Jomlah sayang.” Ashraf masih memujuk.
“Hmm, yalah.” Nawal akur. Dia mengikut Ashraf masuk ke dalam bilik.
“You tolong cari ya,” pinta Ashraf.
Nawal hanya menurut. Dia mula mencari di celahan sofa. Tiba-tiba Ashraf memeluknya dari belakang.
“Ash!” Nawal terjerit kecil. Dia terkejut dengan tindakan berani lelaki itu.
Ashraf hanya tersenyum sumbing. Makin dieratkan pelukannya.
“Ash, please stop. Jangan macam ni,” rayu Nawal.
“Shhh… just enjoy it sayang.” Dia cuba mencium
pipi Nawal tetapi gadis itu pantas mengelak. Ditolak kuat tubuh Ashraf. Melepaskan diri daripada pelukan lelaki itu.
“Sayang!” Ashraf menarik kasar lengan Nawal.
Tubuh Nawal dihumban di atas katil.
“Relaks sayang. Jangan takut.” Senyuman masih tidak lekang di bibirnya. Membuatkan Nawal semakin takut.
Nawal mengesot ke belakang sehinga tubuhnya tersandar di kepala katil. Ashraf sudah memanjat katil. Ditarik kedua-dua belah kaki Nawal. Nawal meronta-ronta ingin dilepaskan. Air mata sudah membasahi pipinya. Menyesal kerana mengikut Ashraf masuk ke dalam bilik.
“Lepaskan I Ash! Please jangan buat I macam ni,” ujar Nawal separuh merayu.
Namun Ashraf sedikit pun tidak mempedulikan rayuannya. Bibirnya mula menjelajah di seluruh wajah dan leher Nawal.
“I boleh bayar you, Nawal. Tak susah pun, you cuma perlu layan I je.” Ashraf ketawa besar.
Nawal mengumpul segala kekuatan yang dia ada. Kakinya menendang celah kelangkang Ashraf.
“Aduh!” Ashraf meringis kesakitan.
Kesempatan itu Nawal gunakan untuk melarikan diri. Dia terus berlari keluar dari bilik hotel itu.
“Nawal!” Ashraf pantas mengejar.
Nawal menoleh ke belakang. Ashraf sudah semakin hampir dengannya.
“Tolong!” Sekuat hati Nawal meminta pertolongan.
“Nawal.”
Nawal tergamam. Ah dalam ramai-ramai orang kenapa mesti dia?
“Abang tolong!” Nawal menyorok di belakang Aiman. Aiman pun Aimanlah. Dia betul-betul perlukan pertolongan ketika ini.
“Kenapa ni?” soal Aiman hairan.
“Dia... dia nak rogol Nawal,” balas Nawal sambil jari telunjuknya dihalakan tepat ke arah Ashraf.
Aiman tergamam.
“Penipu! Kalau kau nak tahu, perempuan ni dah ambil duit aku,” bidas Ashraf.
Pandangan Aiman beralih semula kepada Nawal.
“Betul ke?”
Laju Nawal menggeleng.
“Nawal tak ambil. Dia yang bagi,” balas Nawal
mempertahankan diri.
“Berapa duit kau yang dia ambil?” soal Aiman.
“Sepuluh ribu,” balas Ashraf.
Aiman terkedu. Sepuluh ribu? Gila! Entah apa yang Nawal buat dengan duit sebanyak tu.
“Pulangkan balik duit dia Nawal,” arah Aiman.
Nawal diam. Dia menunduk memintal jari sendiri.
Nak pulang macam mana? Dah habis dah pun duit tu.
“Nawal, abang cakap pulangkan balik duit tu.”
“Dah habis,” jawab Nawal perlahan.
Aiman merengus geram. Dia menggeleng perlahan.Tangan menyeluk poket seluar. Buku cek dikeluarkan.
“Ambil ni. Dia dah tak ada hutang lagi dengan kau. Jangan kacau dia lagi.” Aiman menghulurkan cek bernilai sepuluh ribu kepada Ashraf.
Ashraf menyambut huluran Aiman. Dia terus beredar dari situ. Sempat dia mengerling sekilas memandang Nawal. Tak guna! Habis segala rancangannya.
Nawal tarik nafas lega. Fuh! Nasib baik si penyibuk ni ada. Kalau tak, entah apa nasib aku.
“Nawal buat apa dengan semua duit tu?” soal Aiman. Tajam matanya merenung wajah Nawal.
“Beli barang belajar,” bohong Nawal. Padahal duit itu sudah habis dibelanjakan membeli pakaian dan tas tangan berjenama. Siap belanja kawan-kawan lagi.
“Nawal jangan nak tipu abang. Nawal ingat abang budak-budak ke yang Nawal senang-senang nak tipu. Mana pergi duit tu?”
Nawal tayang muka menyampah. Memang dasar penyibuk! Haish, nasib baiklah kau dah tolong aku tadi.
“Abang tu buat apa dekat sini? Check in dengan perempuan eh? Nawal beritahu Kak Nurin.” Nawal mula mengubah topik.
Berdesing telinga Aiman mendengar tuduhan Nawal. Laju tangannya menjentik dahi Nawal.
“Nawal ingat abang macam Nawal ke? Abang datang sini sebab kerja. Macam mana Nawal boleh ada dekat sini? Siap check in dengan lelaki yang bukan mahram pula tu. Lepas tu cakap diri tu kena rogol, padahal Nawal yang serah diri.” Panjang leteran Aiman. Lepas satu, satu masalah yang Nawal buat.
Nawal menggosok perlahan dahinya yang dijentik Aiman tadi. Panjang sedepa muncungnya.
“Memang dia nak rogol Nawal. Nawal cuma teman dia cari purse dia. Nawal masih ada akallah. Abang ingat Nawal ni murah sangat ke senang-senang nak serah diri dekat lelaki? Nawal masih ada maruah.”
Aiman ketawa mengejek.
“Oh, ada akal? Abang ingatkan Nawal tak ada akal. Tak habis-habis cari masalah. Lepas ni apa lagi Nawal nak buat?”
Nawal ketap hujung bibir.
“Ikut abang balik cepat.” Aiman terus melangkah meninggalkan Nawal di belakangnya.
Nawal cepat-cepat mengikut langkah Aiman. Sambil itu matanya meliar memerhati sekeliling. Manalah tahu kalau tiba-tiba Ashraf muncul semula.
Share this novel
knp kena guna ncoins yee?
alaaa...knp unlock baru nk sambung baca