BAB 1

Romance Completed 469164

AIMAN melangkah masuk ke dalam sebuah kelab malam. Kali pertama dia menjejakkan kakinya ke tempat maksiat ini. Jika tidak kerana Nurin, dia tidak akan sesekali melangkah ke tempat ini. Matanya meliar mencari seseorang.

Bunyi lagu yang dipasang kuat di dalam kelab ini menyakitkan telinganya. Ditambah dengan keadaan kelab yang agak kelam ini membuatkan Aiman rimas. Dia melewati lautan manusia yang sedang seronok menari mengikut rentak lagu yang dipasang DJ di kelab itu.

Saat matanya terpandangkan seorang gadis yang sedang seronok menari di tengah-tengah kelab malam itu, Aiman mengucap panjang. Segera langkah diatur menuju ke arah gadis itu.

“Nawal!” Lengan Nawal terus direntap kasar.

Nawal yang sedang leka menari tadi terkedu.

“Lepaslah!” Dia menarik kembali tangannya. Tajam dia merenung wajah lelaki itu. Ah, kenapalah dia boleh ada dekat sini?!

“Sini!” Aiman terus mengheret Nawal keluar dari lautan manusia yang masih lagi rancak menari.

“Sakitlah!” Nawal meronta-ronta ingin melepaskan diri. Tetapi Aiman langsung tidak memberi peluang untuk dia melepaskan diri. Kuat pegangan lelaki itu.

Sampai di luar kelab malam barulah Aiman melepaskan pegangan tangan Nawal.

“Apa Nawal buat ni ha? Tak malu ke menari terkinja- kinja macam tu?” marah Aiman. Berbeza sekali sikap Nawal dengan kakaknya, Nurin.

“Kau jangan nak sibuklah. Aku tahu apa aku buat. Kau tu cuma orang luar. Bukannya sesiapa pun. Jangan masuk campur urusan aku,” bidas Nawal kembali.

“Nawal minum air kencing syaitan tu?” soal Aiman. Bau arak kuat melekat pada tubuh Nawal. Sah! Nawal teguk air haram itu. Mengucap panjang Aiman dibuatnya.

“Kalau betul aku minum pun kenapa?” Nawal tiba-tiba ketawa.

Aiman menggelengkan kepalanya. Sudah tidak tahu bagaimana lagi ingin menasihati bakal adik iparnya itu. Nawal sudah jauh tersasar.

“Bintang ... bulan ... aku petik bintang...”

Tangannya terkapai-kapai di udara seperti sedang memetik sesuatu.

“Tengok, entah berapa banyak Nawal teguk air kencing syaitan tu sampai mabuk macam ni.”

Nawal hanya ketawa. Tangannya masih terkapai- kapai di udara.

“Ikut abang balik!” Aiman terus menarik tangannya, namun Nawal lebih pantas menepis.

“Aku tak nak baliklah! Aku nak menari lagi. Kau janganlah kacau hidup aku.” Tubuh Aiman ditolak menjauhinya.

“Nawal tak kesian ke dekat Kak Nurin? Tak kesian ke dekat mak? Apa perasaan dia orang kalau tengok Nawal dalam keadaan macam ni?”
Nawal masih ketawa. Tubuhnya terhuyung-hayang. Dia mula menari sepertimana dia menari di dalam kelab tadi.

“Balik sekarang Nawal!” Lengan Nawal direntap kasar. Aiman mula hilang sabar.

“Sakitlah!” Nawal meringis kesakitan.

“Kita balik sekarang. Kak Nurin dekat rumah tu risau dengan Nawal.”

Nawal rasa seperti ada sesuatu yang ingin keluar di kerongkongnya. Kepalanya juga mula terasa pening.

“Kenapa ni?” soal Aiman.

“Nak mun...”

Tiba-tiba...

Uwekkk...

“Nawal! Ah, shit...” Aiman berdecit perlahan.
Mana tidaknya, Nawal tiba-tiba sahaja muntah. Habis baju yang dipakai terkena muntah gadis itu.

“Sorry...” Nawal tersengih. Mulutnya dikesat dengan belakang tangan.

Pandangan Nawal semakin lama semakin kabur. Tubuhnya hampir tersungkur jatuh tetapi Aiman pantas menahan. Dia terus mencempung tubuh Nawal lalu dibawa masuk ke dalam kereta. Nawal sudah tidak sedarkan diri lagi.

KERETA yang dipandu Aiman berhenti di hadapan sebuah rumah teres. Dia terus keluar dari perut kereta. Pintu tempat duduk sebelah pemandu dibuka. Nawal masih dibuai mimpi.

“Nawal bangun!” Pipi Nawal ditampar perlahan. Namun, tiada respons. Nawal tidur mati!

“Argh, menyusahkan betullah.” Aiman mendengus geram.

“Abang!”

Aiman menoleh. Nurin keluar dari rumah. Terkocoh- kocoh gadis itu mendapatkannya.

“Ya Allah, Nawal!” Nurin menekup mulutnya. Luluh hatinya melihat satu-satunya adik yang dia ada dalam keadaan begitu.

“Abang jumpa dia dekat kelab malam yang Nurin cakap tu,” beritahu Aiman.

“Nawal mabuk?” soal Nurin.

Aiman mengangguk perlahan. Nurin terpandangkan kesan muntah di T-shirt yang tersarung di tubuh Aiman.

“Nawal muntah dekat abang ke? Nurin minta maaf,” pinta Nurin kesal. Serba salah dengan Aiman. Sudahlah dia terpaksa menyusahkan Aiman mencari Nawal tengah- tengah malam begini.Dia terpaksa meminta pertolongan Aiman kerana tiada siapa yang boleh menjaga ibunya jika dia keluar mencari Nawal sendiri.

“Tak apalah, Nurin. Sikit je.” Aiman senyum segaris.

“Nurin minta maaf sangat-sangat sebab dah menyusahkan abang. Terima kasih sebab tolong Nurin cari Nawal.”

Aiman mengangguk.

“Nurin tak perlu risaulah. Abang tolong bawa Nawal masuk dalam ya?”

“Tak apa ke?”

“Tak apa. Abang dah cuba kejut dia tadi, tapi tak dia tak bangun-bangun.”

“Terima kasih, abang,” ucap Nurin lagi.

Aiman terus mencempung tubuh Nawal lalu dibawa masuk ke dalam rumah. Sebaik dia meletakkan Nawal di atas katil, dia terus berlalu keluar dari bilik gadis itu. Nawal langsung tak sedarkan diri. Memang tidur mati betul!

“Abang balik dulu ya Nurin. Esok kita jumpa.” Aiman meminta diri. Lagipun hari sudah lewat. Tak manis jika dia terus berada di rumah bakal isterinya itu. Apa pula kata jiran-jirannya nanti.

“Abang nak minum dulu? Nurin boleh buatkan air. Sementara tu boleh Nurin basuhkan dulu baju abang yang kotor tu,” tawar Nurin.

“Eh, tak apa. Abang boleh basuh dekat rumah nanti. Dah lewat ni. Nurin pergilah berehat. Mesti penat kan. Esok kita jumpa.”

“Tak apalah kalau macam tu kita jumpa esok je.
Thank you again abang.”

“You’re welcome. Good night sayang.” Senyuman lebar diukir buat Nurin sebelum dia berlalu masuk ke dalam kereta.

“Good night.” Nurin melangkah masuk ke dalam rumah sebaik kereta Aiman sudah meluncur laju meninggalkan kawasan rumahnya. Dia mengeluh perlahan. Pening kepalanya memikirkan tentang Nawal. Ada saja hal yang adiknya itu buat. Semakin hari perangai Nawal semakin melampau.

Adiknya itu sudah berani masuk ke kelab malam dan meneguk air kencing syaitan itu. Puas sudah dia menasihati Nawal. Tapi ibarat mencurah air ke daun keladi. Tak memberi kesan apa-apa pun kepada Nawal. Malah, makin menjadi-jadi pula perangainya.

LANGKAH kaki diatur menuju ke bilik Nawal. Tombol pintu dipulas perlahan. Matanya jatuh pada sekujur tubuh yang sedang terbaring di atas katil. Dia menghampiri Nawal. Sayu hatinya melihat keadaan Nawal.

Entah di mana silapnya sehingga Nawal berubah menjadi begitu liar sekali. Mungkin salahnya kerana terlalu manjakan Nawal selama ini. Apa saja permintaan Nawal dia turuti.

“Maafkan kakak, ayah. Kakak tak mampu nak jaga keluarga kita dengan baik,” ujarnya sebak.

Teringat janjinya kepada arwah ayahnya.
Sudah sepuluh tahun arwah ayahnya meninggalkan mereka. Arwah ayahnya meninggal dunia akibat kemalangan. Ibunya pula terkena serangan strok sehingga mengakibatkan dia lumpuh separuh badan. Puan Azura hanya mampu terbaring di atas katil. Dan sejak itu juga, Nurin menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

Dia bekerja keras untuk menampung perbelanjaan mereka tiga beranak.
Nurin menarik nafas dalam-dalam. Air mata yang mengalir segera dikesat dengan belakang tangan. Dia menarik selimut menutupi tubuh Nawal yang sudah lena tertidur itu.

“Selamat malam, Nawal.” Dahi Nawal dikucup lembut sebelum dia melangkah keluar meninggalkan bilik Nawal.

Share this novel

liyana
2021-02-05 15:35:30 

terkejut saya bila ada nama kwn dlm ni...hilman


NovelPlus Premium

The best ads free experience