Bab 20
"MAIRA keluar juga malam ni?" tanya Puan Kartina apabila melihat Umaira meniti anak tangga turun ke bawah.
"Ye, ibu. Tuan Syed baru sampai," jawab Umaira mengatur langkah menuju ke ruang tamu.
"Oh, ye ke?"
Umaira yang ingin mencium tangan Puan Kartina, terus tidak jadi apabila terdengar loceng rumah berbunyi. Terlihat Mak Som tergopoh-gopoh berjalan menuju ke pintu lalu membukanya luas.
"Sila kan masuk tuan," pelawa Mak Som bersama senyuman tipis.
Syed Redza terus melangkah masuk ke dalam. Sejujurnya Umaira akui, ini lah salah satu sikap lelaki itu yang dia sukai. Setiap kali Syed Redza ingin membawanya keluar, lelaki itu pasti akan datang berjumpa sendiri dengan Puan Kartina untuk meminta izin walaupun dia sudah memberitahu awal pada ibunya.
"Assalamualaikum, aunty," sapa Syed Redza dengan senyuman nipis.
"Wa'alaikumsalam," sambut Puan Kartina, membalas senyuman.
Syed Redza terus mencium tangan bakal ibu mentuanya itu. "Saya nak bawa Maira pergi tengok wayang malam ni, aunty." ujarnya dengan sopan. Sempat lagi dia melirik ke arah Umaira yang berdiri disebelahnya itu.
"Okay. Jangan lewat balik nanti ye," pesan Puan Kartina.
"Okay, ibu. Kami pergi dulu." Umaira segera mencium tangan Puan Kartina.
Setelah kelibat kereta Syed Redza hilang dari radar mata, Puan Kartina terus mengeluh panjang. Dia mengatur langkah menuju ke ruang tamu kembali. Punggung dilabuh di atas sofa.
****
"BETUL ke, awak nak bawa saya pergi tengok wayang?" soal Umaira berpeluk tubuh. Dia merenung sisi wajah lelaki yang sedang memandu disebelahnya itu. Ya, setiap kali mereka keluar, Umaira akan dijemput oleh Syed Redza. Kononnya mereka keluar untuk temujanji tetapi yang nyatanya, Syed Redza akan menghantar Umaira ke hotel dan Umaira akan menghabiskan waktu bersendirian di dalam hotel dengan menonton filem atau drama sepanjang malam sehingga waktu tengah malam. Setelah itu, Syed Redza akan menjemput dan menghantar Umaira pulang ke rumah seperti biasa.
Semuanya atas permintaan Umaira sendiri dan Syed Redza terpaksa akur dengan semua itu. Puncanya, Umaira mahu membuat Puan Kartina merasa bimbang lalu menggesa mereka berdua bernikah secepat mungkin.
"Yup. Sekali sekala tu, kita betul-betul keluar dating. Dah banyak dosa saya tanggung tipu ibu awak demi awak," perli Syed Redza bersahaja.
Umaira terus mencebik. "Habis tu, awak tak tipu mama awak ke?"
Syed Redza terus menggeleng kecil. Bercakap dengan perempuan, memang begini lah jadinya. Asyik nak menang je.
Tiba sahaja di panggung wayang, mereka terus saja disambut oleh pekerja disitu.
"Awak dah booking tiket ke?" soal Umaira hairan apabila mereka terus sahaja dibawa masuk ke dalam pawagam mewah itu. Pawagam itu hanya menyediakan beberapa buah katil premium dengan selimut dan bantal yang lembut dan empuk.
"Yup." Syed Redza dengan selamba sahaja duduk bersandar di katil yang terletak ditengah-tengah. Sementara Umaira masih berdiri memandang sekeliling. Berkerut nipis dahinya, hairan. Hanya mereka berdua sahaja di dalam pawagam itu.
"Kenapa tak ada orang?" soalnya memandang Syed Redza yang sedang bersandar sambil melunjur kaki dengan santai itu.
"Mungkin orang tak suka tengok movie romantic. Orang zaman sekarang kan lebih suka tengok movie action, thriller..." jawab Syed Redza. Padahal, dia memang menempah pawagam itu untuk mereka berdua sahaja. Bertih jagung yang dibelinya tadi terus dimasukkan ke dalam mulut.
Umaira menarik muka sebal. Movie belum start lagi, dia dah makan pop corn? Kepala menggeleng kecil lalu melabuh punggung di sebelah Syed Redza.
"Cerita apa ni?" soal Umaira sambil menarik selimut lembut itu menutup kaki panjangnya.
"Just watch. I'm sure, you will like it," ujar Syed Redza tanpa memandang Umaira. Tangannya tidak berhenti memasukkan bertih jagung ke dalam mulut. Ruang pawagam pun mula gelap. Sementara layar putih di depan mata mula bernyala. Umaira yang bersandar penuh di kepala katil itu terus terkedu apabila melihat gambar filem yang terpampang di dada layar pawagam itu. Automatis tubuhnya duduk menegak lalu menoleh memandang tajam ke arah Syed Redza yang cuba menahan senyum itu.
"Awak!"
"I'm sorry. Saya tersalah booking tadi." Selamba badak Syed Redza memberi alasan.
"Apa? Tersalah booking? Apanya yang tersalah booking?" soal Umaira mula naik bengang. Dia mengetap bibir menahan geram apabila memandang wajah tak bersalah lelaki itu.
"It's okay, Maira. Cerita ni tak adalah seram sangat. Saya dah tengok trailer dia tadi," ujar Syed Redza sambil mengunyah bertih jagung.
Ternganga mulut Umaira. "So, awak memang sengaja lah kan booking movie ni? Awak tahu tak, saya takut tengok cerita hantu?" Bahu Syed Redza terus dipukul geram.
"Saya tak nak tengok. Saya nak balik!" bentak Umaira.
"Maira sayang. Movie dah nak start tu," ujar Syed Redza, langsung tidak ambil pusing dengan pukulan Umaira.
"Saya nak..."
"Eeeeehehehe..." Tiba-tiba bunyi hilaian ketawa bergema di segenap ruang.
Kejung sesaat tubuh Umaira sebelum dia meloncat ke sebelah.
Syed Redza terpempan apabila melihat Umaira kalut menarik selimut menutup tubuh lalu menempel wajah di dadanya. Hampir sahaja bertih jagungnya tertumpah akibat kekalutan Umaira.
"Awak memang sengaja kan!" Sempat Umaira menampar lalu mencubit geram dada Syed Redza. Sakit hatinya.
"Auuchh!" Syed Redza terus mengusap dadanya sambil tersengih. Bertih jagung diletakkan di meja di tengah-tengah katil itu.
"It's okay, sayang. I'm here, okay," pujuk Syed Redza sengaja mengambil kesempatan dengan memeluk dan mengusap belakang Umaira dengan lembut.
"Dasar!" Umaira menjeling geram lalu mencubit sekali lagi. Tapi kali ini bukan di dada, tetapi di perut.
"Aauuchh! Maira, please." Tangan Umaira terus ditangkap lalu ditarik memeluk pinggangnya. Umaira terpaksa akur kerana ketakutan lebih menguasai diri berbanding rasa meluat dengan tingkah Syed Redza.
Sepanjang tayangan itu berlangsung, Umaira langsung tidak mahu melepaskan pelukannya. Malah semakin erat pelukannya setiap kali mendengar bunyi-bunyian yang menyeramkan.
Satu jam sudah berlalu, Syed Redza tidak lagi merasa pergerakan tubuh Umaira. Sebaliknya gegendang telinganya disapa bunyi dengkuran halus. Dia pantas menunduk menatap wajah Umaira yang berada di atas dadanya itu. Terbit senyuman kecil di hujung bibir apabila melihat Umaira sudah pun terlena di dadanya. Tanpa segan silu, dia mengeratkan lagi pelukannya sehingga tamat tayangan.
****
UMAIRA tersenyum sendiri. Dia menunduk sambil merenung tangannya yang bermain dengan sebatang pen itu. Peristiwa semalam terus berulang tayang di benak fikiran. Terasa lucu tetapi malu sendiri.
"Pulak dah.... perangai lama dia dah datang balik. Tersenyum-senyum tu dah kenapa?" Umaira yang masih mengelamun itu, terus tersedar lalu memutar kerusinya menghadap meja. Terlibat Syafiqa mencebik duduk di depan meja sambil berpeluk tubuh.
"Hari tu, asyik tengok cincin. Dah sekarang, mengelamun pula," perli Syafiqa sambil menggeleng nipis.
"Bila kau masuk? Aku tak dengar pun," kata Umaira cuba berlagak seperti biasa. Dia merapatkan dirinya ke meja lalu menarik fail yang dibawa Syafiqa tadi lalu diselak.
"Tadi dah. Aku ketuk banyak kali, kau langsung tak dengar. So, aku masuk je lah. Rupanya, mengelamun tak sudah-sudah. Kali ni, mengelamun apa pula kau?" soal Syafiqa.
"Bila masa pula aku mengelamun," dalih Umaira. Dia berpura-pura menyibukkan diri menyemak kertas kerja itu.
"Eleh! Macam lah aku tak tahu korang pergi dating semalam," usik Syafiqa.
"Bila masa pula kitaorang dating?" Sekali lagi Umaira berdalih.
"Kau ingat aku tak tahu ke? Siap peluk bagai. Romantik dia kalah pengantin baru berbulan madu," usik Syafiqa berbaur perliab.
Umaira terkedu. "Macam mana kau tahu?" soalnya dengan mata tidak berkedip.
Syafiqa terus meleret senyum. "Ha! Mengaku pun kau. Aku tengok dekat Instagram Tuan Syed pagi tadi."
Membuntang mata Umaira ketika itu. "Apa yang ada dekat IG dia?"
"Haih. Takkan lah kau tak tahu. Dia siap tag kau lagi. Kau tengok lah sendiri IG kau tu," ujar Syafiqa.
Umaira dengan segera meraih telefon di atas meja. Jantungnya berdegup kencang apabila melihat satu notifikasi tertera di skrin telefon. Dengan sekali tatal, mata Umaira terus terjegil apabila melihat gambarnya yang sedang tidur sambil memeluk tubuh Syed Redza. Sementara lelaki itu tersenyum nipis sambil melentok sedikit kepala di atas kepalanya menatap kamera.
Umaira terus menekup mulut yang sedikit ternganga dek tidak percaya apatah lagi melihat emoji berbentuk hati merah di kapsyen gambar tersebut.
Ada rasa bahang kedua belah pipi Umaira ketika ini. Sempat juga dia melihat gambar-gambar yang lain. Syed Redza juga ada memuat naik beberapa gambar mereka berdua semasa majlis pertunangan. Sekarang dia percaya, lelaki itu ternyata benar-benar hebat dalam membawa peranan sebagai tunangnya.
Syafiqa tertawa geli hati melihat wajah kemerah-merahan rakannya itu. "Sweetnya korang dua. Kata tak suka, tapi kenapa sampai berpeluk-peluk tu?"
"Ni semua dia punya pasal lah. Dia sengaja bawa aku pergi tengok wayang cerita hantu? Dengan alasan tersalah booking konon. Kau kan tahu, aku takut tengok cerita hantu. Bukan saja-saja pun aku peluk dia," ujar Umaira cuba menutup malu lalu menyandar tubuh di dada kerusi.
"Tapi, takkan lah peluk dia sampai tertidur pula tu. Mesti seronok kan tidur berbantalkan dada Tuan Syed tu. Hangat seluruh badan," usik Syafiqa lagi sambil mengangkat kening berkali-kali.
"Sudah lah kau. Malas aku nak layan." Umaira menjeling sebal lalu mengerling jam di tangannya. Tiba-tiba telefonnya yang berada di atas meja berbunyi. Dia pantas menatal lalu membaca mesej yang baru diterimanya itu. Bibirnya terus menguntum sinis.
"Bagus lah kau tak datang hari ni," gumam Umaira sendiri. Mesej itu sengaja tidak dibalasnya.
"Siapa babe?" soal Syafiqa.
"Siapa lagi? Tuan Syed kau lah. Dia kata, dia tak dapat bawa aku keluar lunch hari ni, sebab dia ada meeting. Bagus lah tu. Tak lah aku rimas hari-hari keluar lunch dengan dia je," ujar Umaira lalu memutar bebola matanya ke atas.
"Eleh! Ye lah tu. Tapi, asyik tengok jam je dari tadi." Lagi-lagi Syafiqa mengusik.
Umaira terus membaling pennya ke arah syafiqa namun sempat Syafiqa menangkap pen itu. "Kau ni memang nak kena dengan aku kan?" Bibir diketap geram.
"Relax lah, babe. Aku gurau je."
"Ha, tahu pun takut. Dah, jom! Kita pergi lunch," ajak Umaira. Dia pantas bangkit dari duduknya lalu menggalas beg di bahu. Sementara Syafiqa juga turut sama berdiri.
"Aku ambil beg aku dulu."
****
SEDANG Umaira melangkah masuk ke dalam sebuah restoran, langkah kakinya terbejat apabila terlihat satu figura yang cukup dikenalinya sedang berjalan di hadapan. Langkah lelaki itu juga turut sama berhenti seketika. Mereka saling berbalas pandangan. Satu perasaan mula menyerbu diri. Cemburu dan kecewa. Keduanya bercampur baur menjadi satu apabila melihat seorang wanita cantik berdiri di sebelah lelaki itu.
"Babe, jangan tegur dia. Kau di tempat public ni. Ramai mata memandang," tegur Syafiqa berbisik di telinga Umaira dari arah belakang.
Umaira yang bagai baru tersedar dari lamunan itu, terus mengerdipkan mata. Nafas di tarik dalam sebelum dia mengangguk nipis ke arah Zakuan, tanda menyapa dari jauh. Begitu juga Zakuan yang berdiri tidak jauh darinya. Tiara yang berdiri di sebelah Zakuan turut sama menunduk nipis. Dengan langkah berat, mereka pun mengatur langkah mengambil haluan masing-masing.
"Babe, are you okay?" soal Syafiqa mula risau memandang wajah Umaira yang berubah suram itu. Umaira hanya menunduk tidak mampu menyembunyikan rasa kesedihannya.
"Babe, apa dah jadi antara kau dengan Zakuan? Dah dua minggu berlalu, kau langsung tak nak cerita dekat aku apa yang terjadi malam kau jumpa Zakuan hari tu. Dia tak dapat terima ke, tentang pertunangan kau tu?" soal Syafiqa ingin tahu. Mereka berdua memilih untuk duduk di meja yang paling hujung dan sunyi di dalam restoran mewah itu. Demi mengelak dari pandangan mata pelanggan yang menjamu makan tengah hari disitu. Umaira pasti, segelintir pelanggan disitu kenal akan dirinya dan juga Zakuan.
"Dia cuba untuk terima walaupun terasa berat. Dia kata, hati dia sentiasa terbuka untuk terima aku nanti walaupun dia tak menyokong ataupun bersubahat dalam hal ni. Dia tahu, perkahwinan macam ni dilarang sama sekali dalam Islam," cerita Umaira terdengar sayu.
"Sabar lah, Maira. Kalau betul dia memang jodoh kau, korang pasti akan kembali bersama," pujuk Syafiqa lembut.
"Kami sama-sama terseksa, Fiqa. Dia sendiri mengaku sampai sekarang dia belum dapat move on. We really do love each other..." luah Umaira mula sebak.
Syafiqa tidak terkejut mendengar itu. Dia segera menggenggam tangan Umaira."Sabar babe. I'm sorry. I shouldn't ask you about this from the beginning." Punggung diangkat lalu mengambil tempat disebelah Umaira. Tisu di atas meja terus diraih lalu diberikan pada Umaira.
"Dah, jangan nangis. Nanti orang tengok, lain pula cerita dia. Kau pun tahu kan, orang zaman sekarang ni tak boleh nampak benda-benda pelik. Terus buat cerita itu ini tanpa usul periksa terlebih dulu. Tambahan lagi, kau dah macam artis sejak bertunang dengan Tuan Syed tu. Ramai orang kenal. Dah lah..." pujuk Syafiqa sambil mengusap sisi bahu Umaira. Sempat lagi dia melirik ke kiri dan ke kanan memandang sekeliling. Takut-takut ada yang mengambil gambar dalam diam untuk dijadikan bahan sensasi di sosial media nanti.
Tidak lama, telefon Umaira tiba-tiba berbunyi. Dengan tangan lemah, Umaira meraih telefonnya yang berada di atas meja itu. Dia terkedu apabila membaca isi mesej tersebut.
'Maira, are you crying? Please, don’t cry. I hate to see your tears.'
Umaira terus angkat wajah. Matanya yang berkaca-kaca itu mula meliar memandang sekeliling ruang restoran itu mencari kelibat Zakuan yang duduk di hujung ruang restoran menghadapnya. Dapat dia melihat, Zakuan sedang merenungnya dengan pandangan sayu. Hati Umaira dipagut hiba, namun sedaya mungkin dia menahan airmatanya dari tumpah. Dia harus kuat demi lelaki itu. Biarlah mereka terseksa menanggung rasa rindu ketika ini asalkan nanti mereka pasti akan bersama kembali.
Tiara yang duduk di sebelah Zakuan juga turut sama memandang Umaira. Terlepas keluhan halus dari bibirnya di saat ini. Dia juga turut merasa simpati dengan situasi yang dihadapi oleh Zakuan. Bukan dia tidak tahu dan sedar, Zakuan selalu termenung di pejabat sejak mengetahui akan pertunangan bekas isterinya itu.
Share this novel