Series
160
AROMA vanila dan lavender dari lilin wangi yang lembut mula memenuhi ruang tamu banglo mewah yang terletak di pinggir kota Kuala Lumpur. Ruth Sabrina melangkah perlahan mengelilingi meja makan kayu jati bersaiz sederhana yang telah dihias rapi. Jemarinya menyapu halus tepi meja memastikan tiada sezarah habuk pun yang mencacatkan pemandangan.
Ruth menyusun dua set pinggan porselin putih bersih di atas meja bersama sudu dan garpu perak yang berkilat. Sepasang lilin tinggi berdiri tegak di tengah-tengah hanya menunggu masa untuk dinyalakan sebaik sahaja jejaka yang bertahta di hatinya melangkah masuk ke pintu rumah.
Hari ini merupakan hari yang amat bermakna buat Ruth. Tepat tiga tahun yang lalu, dia secara rasmi menjadi isteri kepada Zafrel Armand. Tiga tahun bukannya satu tempoh yang terlalu panjang. Namun bagi Ruth, setiap detik yang dilalui bersama Zafrel terasa begitu berharga. Rumah tangga yang dibina atas dasar cinta dan saling melengkapi itu adalah impian yang telah menjadi kenyataan.
Ruth tersenyum sendiri apabila matanya tertumpu kepada sebuah kotak hadiah berbalut kertas pembalut warna biru kelabu; warna kegemaran Zafrel yang diikat rapat dengan pita reben berkilat. Kotak hadiah itu mengandungi sebuah jam tangan edisi terhad yang sudah lama dikehendaki oleh suaminya. Ruth terpaksa membuat tempahan khas beberapa bulan yang lalu dan menunggu dengan penuh kesabaran semata-mata untuk memberikan kejutan yang tiada tandingan buat Zafrel pada malam ini.
‘Abang mesti gembira bila nampak jam ni,’ bisik Ruth perlahan.
Senyuman manis terukir di bibirnya sepanjang masa. Dia boleh membayangkan wajah Zafrel yang terpukau dan pelukan erat yang bakal diterimanya sebagai tanda terima kasih dari sang suami.
Jam di dinding menunjukkan angka 5:30 petang. Ruth menarik nafas dalam-dalam lalu mencapai telefon bimbitnya dari atas meja kopi. Dia menatal skrin dan menekan nombor suaminya. Tidak sampai tiga kali deringan, suara garau Zafrel yang kedengaran sedikit letih memecahkan kesunyian.
"Helo, sayang..." tegur Zafrel di hujung talian.
"Abang... Abang kat mana tu? Banyak lagi ke kerja dekat pejabat?" soal Ruth lembut cuba menyembunyikan rasa keterujaannya.
Dengusan nafas Zafrel kedengaran kasar di hujung sana. "Abang baru nak kemas barang. Ada dua tiga dokumen penting yang kena abang semak dengan lembaga pengarah tadi. Tapi abang dah janji kan? Malam ni khas untuk kita berdua. Abang akan bertolak balik sekarang juga. Dalam pukul 6:30 atau 7:00 malam abang sampailah, bergantung pada keadaan trafik."
Ruth merasa lega mendengarnya. Ternyata Zafrel berpegang pada janji.
"Baguslah kalau macam tu. Ruth dah masak makanan kegemaran abang. Ruth tunggu abang balik, ya. Jangan bawa kereta laju-laju sangat." Sempat Ruth menitipkan pesanan.
"Iya, sayang. I love you."
"I love you too, abang."
Talian diputuskan. Ruth menggenggam telefon bimbitnya ke dada dengan perasaan berbunga-bunga. Untuk meluahkan kegembiraan yang melimpah-ruah ini, Ruth tahu hanya ada seorang sahaja insan yang paling sesuai untuk dihubungi, Qistina Sofheya yang merupakan sahabat karibnya sejak zaman universiti lagi. Qistina bukan sahaja kawan biasa, malah sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri. Segala duka dan suka Ruth kerap dikongsikan bersama wanita itu.
Tanpa berlengah, Ruth menekan butang panggil pada nama Qistina.
"Helo, Ruth! Happy 3rd Anniversary!" Suara Qistina kedengaran amat ceria di hujung talian sebelum sempat Ruth mengucapkan salam.
Ruth tertawa kecil. "Terima kasih, Qis. Kau memang tak pernah lupa kan?"
"Mana boleh aku lupa! Hari bahagia sahabat baik aku sendiri. Macam mana persediaan malam ni? Semua dah siap ke?" tanya Qistina berminat.
"Nak siap dah. Makanan dah siap masak. Hadiah untuk Zafrel pun dah tersusun atas meja. Cuma tinggal nak bakar lilin je bila Zafrel sampai nanti. Aku betul-betul rasa nervous tapi happy sangat, Qis," kongsi Ruth jujur.
"Wah, bertuah betul Zafrel dapat isteri macam kau ni. Eh, kalau ada apa-apa yang kau nak aku bantu, cakap je tau. Aku boleh tolong belikan kek ke, atau tolong hias apa-apa yang patut. Aku sanggup hantarkan sekarang." Qistina bertanya penuh semangat.
"Eh, tak payahlah Qis, menyusahkan kau je. Semua dah lengkap dah. Terima kasih banyak-banyak atas tawaran kau tu." Ruth menolak secara halus.
Di sebalik keseronokan itu, wajah Ruth tiba-tiba mengendur sedikit. Hatinya yang tadi riang kembali disunting rasa terkilan yang sudah beberapa minggu terpendam dalam jiwanya. Dia mengeluh kecil.
"Kenapa ni, Ruth? Tiba-tiba mengeluh pulak?" Qistina dapat menangkap perubahan nada suara sahabatnya itu.
Ruth melabuhkan punggung di atas sofa empuk. Dia termenung seketika cuba mencari jawapan sesuai untuk Qis.
"Entahlah, Qis... Kadang-kadang aku rasa sunyi sangat kebelakangan ni. Zafrel terlalu sibuk dengan kerja syarikat dia. Sejak projek baru tu mula, dia selalu balik lewat malam. Bila balik je, dia dah terlalu penat dan terus tidur. Kami jarang sangat ada masa berkualiti berdua. Kadang-kadang aku rasa macam aku ni hidup sorang-sorang aje kat rumah ni."
Qistina mendiamkan diri seketika sebelum membalas dengan nada yang cukup lembut dan rasional.
"Ruth, kau kena faham... Zafrel tu kan baru dapat jawatan tinggi kat syarikat tu. Tanggungjawab dia besar. Dia bekerja keras siang malam pun untuk masa depan kau orang berdua juga. Sebagai isteri, kau kena lebih memahami tuntutan kerjaya dia. Jangan cepat berkecil hati. Zafrel tu sayang sangat dekat kau, aku tahu."
Nasihat Qistina itu bagaikan air dingin yang menyiram kehangatan rasa bimbang dalam dada Ruth. Dia mengangguk perlahan, walaupun Qistina tidak dapat melihatnya.
"Betul juga kata kau tu, Qis. Mungkin aku yang terlalu emosional. Yalah, kerja dia bukannya mudah. Terima kasih ya sebab sentiasa ingatkan aku."
"Sama-sama, Ruth. Dah, jangan fikir yang bukan-bukan. Malam ni malam korang berdua. Pergi siap-siap, pakai baju yang paling cantik dan sexy!" seloroh Qistina sebelum mengakhiri perbualan mereka.
Ruth tersenyum semula. Kata-kata Qistina memang sentiasa boleh buat jiwa dia tenang. Ruth bangun dari sofa lalu menuju ke bilik tidur utama untuk bersiap. Dia memilih gaun malam berwarna merah hati yang anggun dengan solekan tipis pada wajahnya dan menyembur wangian kegemaran Zafrel. Dia mahu malam ini menjadi malam yang paling indah dalam lipatan sejarah perkahwinan mereka.
Sementara itu, di dalam sebuah kereta sedan mewah yang sedang bergerak perlahan di tengah-tengah kesesakan lalu lintas jalan raya ibu kota, Zafrel Armand mengusap tengkuknya yang terasa lenguh. Fikirannya sarat dengan pelbagai hal berkaitan kewangan syarikat. Akan tetapi, apabila mengingati janjinya bersama Ruth, bibirnya automatik mengukir senyuman. Dia tahu kebelakangan ini dia agak mengabaikan isterinya kerana kerja. Justeru, dia akan pastikan dia akan menebus semula masa yang telah terbuang.
Tiba-tiba, skrin paparan dashboad keretanya menyala menandakan ada panggilan masuk daripada Qistina Sofheya. Zafrel menekan butang terima pada stereng kereta.
"Helo, Qis. Ada apa? Aku tengah bawa kereta ni, bertolak balik rumah," kata Zafrel terus terang.
Suara Qistina di hujung talian tidak lagi ceria seperti semasa dia bercakap dengan Ruth sebentar tadi. Suaranya kedengaran terketar-ketar dengan tangisan yang ditahan-tahan.
"Zaf... tolong aku, Zaf..." rayu Qistina dengan suara yang garau dan pecah kerana menangis.
Zafrel serta-merta berasa hairan dan cemas. "Qis? Kenapa ni? Kau menangis ke?"
"Zaf... aku tak tahu nak minta tolong siapa lagi. Masalah keluarga aku... ayah aku tiba-tiba rebah kat rumah. Abang aku pulak buat hal lagi kat sini. Aku tak tahu nak buat apa, Zaf. Aku takut sangat. Tolonglah aku…." adu Qistina dalam esakan yang semakin parah.
Zafrel memegang stereng dengan lebih kemas. Wajahnya berubah serius. Qistina adalah sahabat rapatnya dan juga Ruth. Mendegar saja Qistina berada dalam keadaan cemas begitu membuatkan Zafrel rasa bertanggungjawab untuk membantunya.
"Kau kat mana sekarang, Qis?” soal Zafrel bimbang.
"Aku... aku ada kat kawasan kedai berhampiran bistro berdekatan pejabat kau. Tolonglah Zaf, datang sekejap." Suara Qistina semakin tenggelam dalam tangisan.
Zafrel serba salah. Hatinya berbelah bahagi antara janji malam ulang tahun bersama Ruth dan situasi cemas yang dihadapi oleh Qistina. Namun mendengarkan esakan Qistina yang seolah-olah kehilangan arah, Zafrel membuat keputusan pantas. Dia menyangka ia hanya mengambil masa yang singkat untuk menenangkan Qistina sebelum dia meneruskan perjalanan pulang.
"Baik, Qis. Kau tunggu kat situ. Aku datang sekarang. Jangan ke mana-mana." Zafrel memberi arahan.
Talian dimatikan segera. Zafrel dengan berat hati menukar lorong kenderaan dan membuat pusingan U di persimpangan jalan seterusnya. Sebelum itu, dia dengan pantas mencapai telefon dan menaip mesej ringkas buat isterinya, Ruth.
Jam di dinding rumah sudah menunjukkan pukul 7:45 malam. Lilin di atas meja makan masih belum dinyalakan. Makanan yang dimasak rapi sudah pun mula dingin di bawah tudung saji.
Ruth duduk bersendirian di meja makan yang dihias indah itu. Gaun merah hati yang dipakainya terasa longgar dan tiada serinya lagi. Telefon bimbit di hadapannya tiba-tiba berbunyi menandakan ada mesej masuk. Dengan penuh harapan, Ruth terus membuka mesej tersebut.
Hubby Sayang
"Sayang, maaf sangat-sangat. Abang kena ubah rancangan malam ni. Ada urusan kecemasan yang abang kena selesaikan secepat mungkin. Abang mungkin balik lewat sikit. Sayang makanlah dulu ya, jangan tunggu abang." Buru-buru Zafrel menerangkan.
Hati Ruth terasa seolah-olah dihempas batu besar. Air mata yang ditahan sejak tadi mula bertakung di kelopak matanya. Urusan kecemasan? Syarikat lagi? Pada malam ulang tahun mereka yang ketiga? Seriously, abang?
Kekecewaan yang amat sangat menyelubungi dada Ruth. Dia memandang kotak hadiah berbalut reben biru kelabu di atas meja. Rasa teruja yang dirasakannya petang tadi bertukar menjadi kepahitan yang sukar ditelan. Dia memadamkan lampu ruang makan dan melangkah ke sofa dengan perasaan yang hampa dan kosong. Ruth meletakkan kepalanya di atas armrest sofa, membiarkan kegelapan malam menemaninya.
Beberapa jam berlalu. Jam menunjukkan pukul 9:30 malam. Ruth yang tersengguk-sengguk menahan mengantuk dan sedih bertindak menatal skrin telefon bimbitnya tanpa hala tuju semata-mata untuk mengalihkan fikiran. Dia kemudiannya membuka aplikasi Instagram.
Semasa menatal feed media sosialnya, jarinya terhenti serta-merta pada sebuah hantaran terbaru daripada sebuah akaun bistro terkemuka yang sering menjadi tumpuan di pusat kota. Gambar tersebut memaparkan suasan bistro yang romantik dengan pencahayaan malap. Namun, bukan suasana bistro yang menarik perhatian Ruth, melainkan dua figura yang duduk berhadapan di sebuah sudut bistro berkenaan.
Walaupun gambar itu diambil dari jarak agak jauh oleh pengunjung lain yang memuat naik gambar suasana, Ruth sangat kenal dengan struktur belakang tubuh dan kemeja biru gelap yang dipakai oleh suaminya. Dan di hadapan suaminya, duduk seorang wanita yang cukup dikenali. Qistina!
Dada Ruth terasa semakin sempit. Matanya membulat tidak percaya.
'Urusan kecemasan syarikat? Bersama Qistina di bistro?' fikir Ruth. Semerta hatinya mula diserang rasa curiga yang amat sangat.
Belum sempat Ruth memproses apa yang dilihatnya, satu notifikasi mesej WhatsApp masuk daripada Qistina.
"Ruth, aku nak minta maaf sangat-sangat kalau kau terperasan apa-apa atau kalau Zaf ada beritahu kau. Tadi aku ada masalah keluarga yang betul-betul berat. Aku tak tahu nak minta tolong siapa jadi aku terpaksa panggil Zaf sekejap untuk teman aku tenangkan fikiran. Tolong jangan salah faham ya, Ruth. Zaf tolong aku atas dasar kawan je. Kejap lagi dia bertolak balik rumah kau."
Mesej daripada Qistina itu seolah-olah mengesahkan apa yang dilihatnya di media sosial. Ruth menarik nafas dalam-dalam. Jarinya terketar-ketar memegang telefon.
'Kawan... mereka cuma sahabat baik,'
Ruth cuba memujuk hatinya sendiri. Lagipun, Qistina yang berterus terang dengannya. Qistina yang menasihati dia petang tadi supaya lebih memahami Zafrel. Takkanlah Qistina sanggup menikamnya dari belakang? Dan takkanlah Zafrel tergamak menduakannya? Mereka bertiga sudah kenal lama.
Ruth memejamkan mata, menekan dada yang terasa sesak. Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa dia perlu bersikap rasional dan tidak mengikut perasaan cemburu yang buta. Zafrel cuma membantu seorang sahabat yang dalam kesusahan.
Ketenangan sementara yang cuba dibina oleh Ruth hancur berderai dalam saat seterusnya.
Bzzzt... Bzzzt…
Satu mesej gambar masuk daripada nombor yang tidak dikenali (+6011-XXXXXXX).
Ruth membuka mesej tersebut dengan hati yang berdebar-debar. Sebaik sahaja gambar itu dimuat turun sepenuhnya, darah Ruth terasa gemuruh dan berhenti mengalir.
Gambar itu diambil dari sudut jarak dekat yang sangat jelas. Di atas meja bistro berkenaan, kelihatan tangan Zafrel sedang menggenggam erat jemari Qistina. Wajah Zafrel kelihatan begitu redup dan prihatin memandang wajah Qistina yang tunduk sebak.
Di bawah gambar tersebut, tertera satu kapsyen ringkas daripada nombor misteri itu:
"Adakah ini yang dinamakan 'sekadar sahabat'? Kasihannya wahai isteri yang setia menunggu di rumah."
Tangan Ruth terlepas telefon bimbitnya ke atas sofa. Air matanya mengalir deras tanpa dapat ditahan lagi. Kesakitan di dadanya terasa begitu nyata dan menghancurkan seluruh kepercayaannya dalam sekelip mata.
Siapakah pemilik nombor misteri yang menghantar gambar ini? Dan apakah sebenarnya hubungan di antara Zafrel dengan Qistina? Boleh gila aku dibuatnya!
Share this novel