Series
160
CAHAYA matahari pagi menembusi celah langsir bilik tidur utama dan menyinari ruang yang dihias kemas. Di sebalik ketenangan yang cuba dipamerkan oleh Ruth Sabrina, jiwanya masih bergelora menanggung sisa curiga yang belum terlerai. Ketika dia sedang melipat kain di ruang tamu, telefon bimbitnya di atas meja tiba-tiba berdering memecahkan kesunyian pagi. Ruth mengerling skrin dan melihat nama abang kandungnya terpapar, Harith Firash.
Ruth menarik nafas panjang sebelum menyambut panggilan tersebut. "Helo, abang..." tegurnya dengan nada ceria yang sengaja dipalsukan.
"Helo, adik. Macam mana cuti hujung minggu? Sihat ke? Zafrel sihat?" Soalan pertama yang keluar dari mulut Harith sentiasa tentang kesejahteraan adiknya itu.
Harith merupakan seorang abang yang sangat mengambil berat. Malah, nalurinya sebagai seorang lelaki sering kali dapat merasai jika ada sesuatu yang tidak kena dengan adiknya walau sejauh mana pun jarak memisahkan mereka.
Ruth tersenyum hambar walaupun abangnya tidak dapat melihatnya. "Alhamdulillah, abang. Adik sihat, Zafrel pun sihat. Semuanya baik-baik saja kat sini. Abang macam mana dekat kampung?"
Harith mengeluh perlahan di hujung talian. Nada suaranya kedengaran serius.
"Adik, jangan cuba nak tipu abang. Suara adik tu kedengaran lain macam. Ada apa-apa berlaku ke antara adik dengan Zafrel? Kalau ada apa-apa, jangan simpan sendiri. Beritahu abang."
Ruth dengan pantas menafikannya. "Eh, mana ada apa-apa, abang. Tak ada apa-apa pun. Zafrel penat sikit sebab projek baru kat Armand Group, tu je. Janganlah risau sangat."
Harith terdiam seketika sebelum bersuara beserta amaran.
"Baiklah kalau adik kata tak ada apa-apa. Tapi abang nak ingatkan... manusia ni ada yang pandai bermuka-muka, adik. Jangan terlalu mudah mempercayai orang, terutamanya kawan rapat yang kita anggap keluarga sendiri. Kadang-kadang, musuh dalam selimut lebih berbahaya daripada musuh yang ada terang-terangan di depan mata."
Kata-kata Harith itu menusuk tepat ke lubuk hati Ruth. Apakah abangnya tahu sesuatu? Atau itu hanya tebakan biasa seorang abang yang prihatin? Sebelum Ruth sempat bertanya lebih lanjut, Harith menamatkan perbualan kerana ada urusan kerja di luar.
Letusan kata-kata abangnya itu membawa ingatan Ruth jauh mengimbas kembali zaman universiti mereka dahulu. Ketika itu, Qistina Sofheya bukanlah sesiapa apatah lagi orang senang. Qistina berasal dari keluarga yang serba kekurangan dan sering kali terputus wang belanja dan hampir putus kuliah kerana masalah yuran pengajian yang tertunggak.
Ruth lah insan pertama yang menghulurkan tangan tanpa memikirkan darjat. Ruth jugalah yang sudi membahagikan duit sakunya, membayar yuran Qistina secara senyap-senyap menggunakan wang simpanannya sendiri dan mengajak Qistina tinggal bersama keluarganya ketika cuti semester. Ingatan Ruth masih segar pada malam di kafeteria universiti di mana Qistina menangis teresak-esak di bahunya sambil melafazkan janji setia.
"Ruth, aku janji... aku tak akan sekali-kali mengkhianati persahabatan kita ni. Kalau bukan sebab kau, aku mungkin dah putus belajar lama dulu. Budi kau ni akan aku kenang sampai bila-bila. Sumpah, aku takkan rampas apa pun yang jadi milik kau," kata Qistina bersungguh-sungguh ketika itu sambil menggenggam erat jemari Ruth.
Janji manis itu dahulu kini bagaikan deretan duri menyiksanya. Bagaimana seorang sahabat yang pernah ditolong kesusahan sanggup menikam belakangnya sebegini rupa?
Ruth melangkah perlahan menuju ke kabinet kayu di sudut bilik bacaan. Tempat di mana dia menyimpan pelbagai diari lama dan dokumen lipatan kenangan zaman pembelajarannya dahulu. Jemarinya yang halus membelek helaian album gambar lama yang kian pudar warnanya. Kelihatan foto dia dan Qistina berdiri berdampingan di tangga dewan kuliah utama dan tersenyum lebar menyambut hari konvokesyen mereka lima tahun lalu. Pada waktu itu, tiada rahsia, tiada hasad dengki, bahkan tiada persaingan antara mereka. Ruth mengusap lembut gambarnya sendiri sebelum beralih kepada raut wajah Qistina dalam foto tersebut. Betapa tipisnya sempadan antara keikhlasan dan pengkhianatan dalam jiwa seorang manusia.
Mengapa sifat manusia boleh berubah mendadak sebegini rupa sebaik sahaja wang, kedudukan dan kuasa mula mengambil alih tempat dalam kehidupan? Ruth teringat sewaktu Zafrel mula-mula mengenali Qistina menerusi dirinya. Zafrel ketika itu cuma seorang pegawai pengurusan pertengahan yang serba kekurangan dari segi jaringan perniagaan. Ruth yang banyak menggunakan latar belakang keluarganya untuk memperkenalkan Zafrel kepada pelabur-pelabur berpotensi, sehingga suaminya mampu mendaki tangga kejayaan di Armand Group. Segala titik peluh, perancangan rahsia dan cadangan strategik yang tersusun rapi di dalam fail peribadinya dulu telah diserahkan sepenuhnya kepada Zafrel demi melihat lelaki yang dicintainya itu berjaya.
Namun hari ini, Ruth seolah-olah ditolak ke tepi. Malah, dia dianggap hanya seorang suri rumah yang terlalu banyak berprasangka. Qistina pula dengan mudah melangkah masuk mengaut hasil usaha yang tidak pernah ditanamnya. Dalam kesunyian bilik itu, Ruth memeluk album gambar tersebut ke dada. Satu tekad kecil mula bercambah di lubuk hatinya yang paling dalam.
Jika benar ada rahsia silam dan niat tersembunyi yang sedang disusun di sebaliknya, dia tidak boleh lagi terus berpeluk tubuh. Dia perlu mengumpul kekuatan dan bukti kukuh. Kepercayaan yang musnah mungkin tidak akan dapat dicantum semula, tetapi sekurang-kurangnya dia tidak akan membiarkan maruah dan pengorbanannya dipijak-pijak begitu sahaja tanpa jawapan yang pasti.
Langkah Ruth terpaku di muka pintu bilik bacaan apabila angin malam dari luar menyapa lembut langsir jendela. Dia merenung jauh ke luar menyaksikan lampu-lampu jalan raya di kota Kuala Lumpur yang bersinar megah. Di sebalik kemewahan hidup yang dinikmatinya hari ini, tersembunyi sebuah hakikat pahit yang kian meretak tanpa dia sedari. Rumah tangga yang dibina di atas nama cinta selama tiga tahun kini diuji dengan badai yang tidak pernah dijangka. Apakah kesabarannya selama ini disalah ertikan sebagai kelemahan? Setiap kali dia memandang wajah Zafrel, dia mencari kelibat lelaki yang pernah melafazkan ikrar setia di sisi pelamin.
“Abang janji akan jadi suami yang terbaik di dunia I promise, sayang,” lafaz Zafrel penuh yakin di atas pelaminan.
Namun, bayangan itu semakin pudar digantikan dengan kelibat asing yang penuh dengan rahsia dan dalih. Ruth menyedari bahawa air mata tidak akan mampu menyelesaikan masalah. Dia perlu berdiri di atas kakinya sendiri, merungkai setiap helai benang penipuan yang ditenun kemas di belakangnya. Jika benar Qistina dan Zafrel mempunyai agenda tersembunyi, dia bertekad untuk menjadi pemerhati yang lebih bijak, menanti masa yang tepat sebelum tirai kebenaran disingkap sepenuhnya tanpa belas kasihan.
“Pengantin ready? Satu… dua… tiga….”
Klik! Klik! Klik!
Terasa bagaikan semalam mereka berdua mengambil gambar dengan photographer yang dikenali sebagai Abang Joe itu.
Ruth menatap bingkai gambar perkahwinan mereka yang tergantung megah di ruang tamu. Dia merasai satu kelompongan yang dasyat. Senyuman manis yang terukir pada wajah Zafrel di dalam gambar itu kini kelihatan seperti satu arkib seni yang menyayat hati. Betapa mudahnya manusia melupakan pengorbanan silam demi memenuhi tuntutan nafsu dan kedudukan duniawi. Dalam kebisuan malam yang semakin larut, Ruth berjanji pada dirinya sendiri bahawa dia tidak akan terus menjadi mangsa yang bodoh atau berserah kepada takdir tanpa sebarang perlawanan.
Setiap kepingan teka-teki yang ditinggalkan oleh Zafrel dan Qistina akan dicantumkan perlahan-lahan. Biarpun proses itu menuntut pengorbanan emosi yang besar dan menyeksakan jiwa, dia rela berbuat demikian demi membersihkan kembali maruah dirinya sebagai seorang isteri yang selama ini setia berkorban segenap jiwa dan raga.
Pada malam yang pilu itu, suasana di banglo mewah mereka tiba-tiba berubah ceria. Zafrel pulang awal dari pejabat sekitar pukul 7:30 malam dengan membawa beg kertas berisi makanan kegemaran Ruth dari sebuah restoran terkenal di ibu kota. Lelaki itu kelihatan begitu mesra dan melemparkan senyuman manis dan merangkul pinggang isterinya sebaik sahaja melangkah masuk ke ruang tamu.
"Sayang... abang balik awal malam ni. Abang ada belikan makanan kegemaran sayang ni, chicken chop special," kata Zafrel riang. Bibirnya menyentuh pipi Ruth lembut.
Ruth terkesima seketika. Sifat dingin yang cuba dipamerkannya sejak beberapa hari lalu cair serta-merta di sebalik sentuhan mesra suaminya. Jantungnya berdegup kencang, dibuai rasa rindu yang teramat sangat kepada Zafrel yang dulunya begitu menyayanginya tanpa syarat.
Mereka menghabiskan makan malam bersama dalam suasana yang amat romantis. Lilin yang dihias di atas meja makan dinyalakan dan tawa kecil kembali bergema di ruang makan itu seolah-olah tiada sebarang badai yang pernah melanda rumah tangga mereka. Ruth merasa bahagia yang teramat; dia mula menganggap mungkin apa yang berlaku sebelum ini hanyalah salah faham dan prasangka buruknya sahaja.
Selepas makan malam, ketika mereka duduk berdua di sofa ruang tamu sambil menonton televisyen, Zafrel memegang tangan Ruth erat-erat. Wajah suaminya kelihatan serius tetapi dipenuhi kelembutan yang mencairkan hati Ruth.
"Sayang..." suara Zafrel kedengaran begitu romantik.
"Ya, abang?" balas Ruth lembut. Kepalanya disandarkan pada bahu tegap suaminya. Zafrel mengusap rambut Ruth perlahan-lahan.
"Abang minta maaf kalau kebelakangan ni abang terlalu sibuk dengan Armand Group sampai abaikan sayang. Abang tahu abang banyak salah dengan sayang. Tapi... abang nak kita buka lembaran baru. Dah tiba masanya untuk kita rancang masa depan kita lebih jauh lagi."
Ruth mendongak memandang wajah suaminya dengan penuh tanda tanya. "Maksud abang?"
Zafrel tersenyum manis. "Abang rasa... dah tiba masanya kita ada cahaya mata. Keluarga kecil kita ni perlukan penyeri. Abang nak jadi bapa kepada anak-anak sayang."
Mendengar kata-kata itu, air mata kegembiraan mengalir di pipi Ruth. Tanpa berfikir panjang, Ruth merangkul leher suaminya dengan erat.
"Abang... betul ke ni? Ruth teringin sangat nak ada anak dengan abang..." rintih Ruth terharu. Zafrel membalas pelukan itu dengan senyuman manis yang terukir di bibirnya walaupun terselindung di sebalik bahu isterinya.
Namun, kebahagiaan itu tidak bertahan lama. Sekitar pukul 10:30 malam, ketika mereka berdua sudah masuk ke dalam bilik tidur utama dan bersedia untuk melelapkan mata, telefon bimbit Zafrel yang diletakkan di atas meja sisi katil tiba-tiba berdering nyaring.
Zafrel membuka mata dan mengerling skrin telefon tersebut. Wajahnya yang tadinya tenang serta-merta berubah tegang. Nama yang tertera di skrin adalah Qistina. Ruth yang turut terjaga melihat skrin telefon itu berkerut dahi. Zafrel dengan pantas menolak panggilan tersebut tanpa mengangkatnya, lalu meletakkan telefon itu secara tertangkup di atas meja.
"Siapa telefon lewat malam ni, abang?" tanya Ruth perlahan. Nada suaranya mula diselubungi rasa curiga semula.
"Oh... spam call je, sayang. Jangan risau," jawab Zafrel cuba menampakkan riak tenang sambil memeluk kembali tubuh isterinya. "Dahlah, jom tidur. Esok abang nak mesyuarat awal."
Ruth menutup mata, tetapi hatinya tidak tenang. Rasa gelisah dan tidak sedap hati datang serentak. Firasatnya mula berkerja keras mencipta teorinya tersendiri. Tidak sampai sepuluh minit kemudian, telefon Zafrel bergetar lagi. Kali ini bukan panggilan, tetapi notifikasi mesej WhatsApp yang masuk. Cahaya skrin yang bernyala di dalam bilik yang gelap itu membolehkan Ruth mencuri pandang sekilas.
Qistina
"Zaf, tolong aku... aku ada kecemasan besar kat luar ni. Aku tak ada sesiapa melainkan kau. Tolong datang sekarang..."
Zafrel merengus perlahan di sebelah Ruth. Dia berhati-hati melepaskan rangkulannya dari tubuh isterinya, seolah-olah takut Ruth terkejut.
"Sayang, abang... abang kena turun ke bawah kejap ambil fail yang tertinggal dalam kereta kat garaj. Sebentar ya," tipu Zafrel terang-terangan sambil menyarung t-shirt hitamnya.
Ruth hanya mengangguk perlahan dalam keadaan pura-pura tidur membiarkan suaminya keluar dari bilik. Selepas bunyi pintu bilik ditutup rapat, Ruth menunggu beberapa minit sebelum dia perlahan-lahan membuka mata dan bangkit dari katil.
Dia melangkah keluar dari bilik tidur utama secara senyap-senyap. Dia menuruni anak tangga dengan berhati-hati menuju ke ruang tamu.
Alangkah terkejutnya Ruth apabila mendapati pintu utama banglo sudah terbuka seluas-luasnya. Manakala, kereta Zafrel sudah tiada di garaj luar. Suaminya telah pergi menemui Qistina pada lewat malam sekali lagi.
Dengan hati yang hancur berkecai dan perasaan marah yang teramat, Ruth kembali ke bilik tidur utama untuk menunggu kepulangan suaminya. Jam demi jam berlalu, Ruth cuma ditemani kesunyian malam yang mencengkam dan air mata bungkam.
Menjelang pukul 3:00 pagi, keletihan dan kesedihan yang bertimpa-timpa akhirnya menewaskan ketahanan fizikal Ruth. Tanpa sedar, matanya terkatup rapat dan dia terlena di atas katil seorang diri.
Beberapa jam kemudian, dalam samar-samar cahaya subuh yang mula menyinsing, Ruth terjaga dari tidurnya. Dia meraba ruang sebelah katil suaminya dengan tangan kanannya.
Katil itu kosong dan sejuk. Sebelah katil suaminya langsung tidak disentuh. Zafrel tidak pulang langsung ke rumah sepanjang malam.
‘Sampai hati abang,’ rintih hati Ruth dengan hiba.
Share this novel