Series
160
KEHENINGAN malam di dalam banglo mewah itu terasa begitu mencengkam dada Ruth Sabrina. Skrin telefon bimbit yang terpelanting di atas sofa masih bernyala memaparkan imej yang meranapkan segenap jiwa dan raganya dalam sekelip mata. Jemari Zafrel yang menggenggam erat tangan Qistina seolah-olah terpahat kukuh di ruang mata, menusuk tajam ke lubuk hatinya. Sakit tak terkata!
Tanpa membuang masa, Ruth dengan tubuh yang menggigil segera mencapai semula telefon bimbitnya. Dia menekan nombor tidak dikenali yang menghantar gambar tersebut dengan harapan agar ada jawapan yang munasabah daripada si pengirim.
“Nombor yang anda dail tidak aktif atau tiada dalam perkhidmatan...”
Suara operator automatik di hujung talian itu menambahkan luka di hati wanita itu. Ruth mencuba berkali-kali, namun jawapannya tetap sama. Nombor itu telah dipadamkan atau dinyahaktifkan serta-merta selepas mesej tersebut dihantar. Seseorang nampaknya melakukannya dengan sengaja, ibarat melontar batu lalu menyembunyikan tangan, meninggalkan Ruth dalam gelora curiga yang maha hebat.
Jarinya kemudian beralih pada aplikasi WhatsApp untuk mencari nama Qistina. Hatinya berbolak-balik, mahu menuntut penjelasan, namun akal warasnya menahan. Dia tidak mahu bertindak melulu sewaktu emosi sedang bergejolak.
Jam di dinding terus berputar perlahan memakan masa yang terasa begitu panjang. Hampir pukul 12:30 tengah malam, bunyi ketukan pintu utama memecahkan kesunyian malam. Disusuli dengan bunyi kunci bilik air dan daun pintu dikuak perlahan.
Zafrel melangkah masuk ke dalam ruang tamu dengan wajah yang jelas keletihan. Kemeja biru gelap yang dipakainya sedikit berkedut. Tali lehernya sudah dilonggarkan dan kotnya pula disangkut pada lengan. Dia melihat Ruth masih duduk di sofa dalam keadaan separuh gelap tanpa menyalakan lampu utama.
"Eh, sayang? Belum tidur lagi?" Zafrel menyapa mesra walaupun nadanya kedengaran sarat dengan rasa bersalah. Dia melangkah mendekati isterinya dan mahu mengucup dahi Ruth seperti biasa.
Ruth mengelak perlahan-lahan menjauhi Zafrel dengan menarik kepalanya ke belakang. Zafrel terpempan sejenak.
"Abang lewat malam ni baru balik. Urusan syarikat ke, atau urusan peribadi?" Soalan Ruth keluar dari bibirnya dengan nada yang tenang tetapi kedengaran dingin lantas membuatkan Zafrel menelan air liur.
Zafrel mengerutkan dahi cuba menyembunyikan riak kerisauan di wajahnya. Dia melabuhkan punggung di sofa bersebelahan Ruth.
"Sayang... kan abang dah jelaskan tadi melalui mesej. Abang ada mesyuarat tergempar dengan klien antarabangsa. Lepas tu ada dokumen penting yang perlu diselesaikan segera di pejabat. Sebab tu abang balik lewat." Semudah itu Zafrel memberi alasan.
Ruth menatap wajah suaminya dalam-dalam. Mata yang dulunya pernah menjadi sumber kekuatan baginya, kini kelihatan menyimpan seribu satu rahsia. Mesyuarat tergempar konon.
"Mesyuarat tergempar eh? Mesyuarat tu perlu buat di bistro mewah di pusat bandar ke? Pukul sembilan malam?" soal Ruth lagi. Matanya tepat memandang mata Zafrel yang mula dilarikan fokusnya kepada Ruth tadi.
Zafrel terkelu sekaligus bibir terkunci. Wajahnya jelas berubah pucat. Ruth tahu?
"Sayang... awak tahu dari mana ni?" Zafrel melembutkan suaranya semasa menyoal.
"Ruth tak sengaja nampak gambar bistro tu di media sosial, abang. Dan... Ruth tahu Qistina ada bersama abang di sana."
Ruth menarik nafas panjang dan menahan sebak di kerongkongnya.
"Abang kata ada kecemasan syarikat, tapi kenapa Qistina yang ada dengan abang? Bukannya klien?" Suara Ruth sudah tenggelam-timbul menahan tangis.
Zafrel menghela nafas panjang. Kedua-dua belah tangannya naik meraup wajahnya sendiri. Dia kelihatan tertekan. Dalam masa yang sama, dia juga cuba mencari alasan yang kukuh.
"Oh... Qis. Pasal ni, sayang... Qis tertekan tadi. Masalah keluarga dia betul-betul parah. Ayahnya sakit, abang kandungnya buat masalah besar dekat rumah. Dia hilang arah dan telefon abang sebab tak tahu nak minta tolong siapa. Sebagai kawan lama dan kawan kita berdua juga, takkan abang nak abaikan dia dalam kesusahan?"
Ruth menggeleng perlahan. Air mata yang cuba ditahan akhirnya tumpah juga di pipi.
"Abang, Ruth faham Qistina kawan kita. Tapi malam ni malam ulang tahun perkahwinan kita yang ketiga, abang. Kenapa mesti Qistina? Kenapa abang perlu berbohong kepada Ruth dan cakap ada mesyuarat pejabat?"
Mendengar nada Ruth yang mula meninggi, Zafrel mengeluh berat dan mula menunjukkan rasa kurang senangnya.
"Sebab abang tahu kalau abang cakap abang pergi temankan Qis, sayang mesti akan merajuk dan fikir bukan-bukan. Macam sekarang ni. Sayang ni terlalu cemburu tanpa sebab yang kukuh." Zafrel sudah hilang sabar.
"Cemburu tanpa sebab?" Ruth tergelak kecil. Sinis lagi pedih kedengarannya.
"Abang tinggalkan isteri yang tunggu di meja makan on our 3rd anniversary demi menemani seorang wanita lain di bistro romantis. Dan abang kata Ruth cemburu tanpa sebab, huh?"
"Cukup, Ruth!"
Zafrel mengangkat tangan tanda menghentikan perbualan itu. Suaranya mula meninggi kerana rasa tertekan diasak pelbagai perkara.
"Abang penat. Abang baru balik kerja. Kepala abang serabut dengan masalah syarikat. Dan sekarang abang nak kena hadap syak wasangka sayang pula. Qis tu hanya sahabat kita. Tak lebih dari itu. Tolong jangan jadi seorang yang sempit fikiran."
Zafrel terus bangun dari sofa dan melangkah berat menuju ke bilik air meninggalkan Ruth sendirian dalam kegelapan malam. Tangisan Ruth pecah perlahan-lahan. Kata-kata Zafrel tadi telah menyayat hatinya lebih dalam daripada luka pisau.
Suasana malam itu terus membeku di ruang tamu yang kini terasa begitu asing bagi Ruth. Dia memeluk tubuhnya sendiri yang diselubungi dingin penyaman udara. Namun begitu, dingin itu tidak setanding dengan rasa beku yang mencengkam hatinya. Ingatannya berputar kembali kepada saat-saat awal perkahwinan mereka iaitu ketika Zafrel berjanji di pelamin bahawa lelaki itu tidak akan pernah membiarkan air matanya tumpah sia-sia. Janji manis itu kini bagaikan ditiup angin lalu.
Kedengaran bunyi pancuran air mengalir deras di dalam bilik air seolah-olah menjadi saksi kepada retak menanti belah yang mula menguasai mahligai cinta mereka. Ruth menyeka sisa air matanya dengan hujung lengan baju. Dia cuba menanam rasa husnuzon di dalam jiwa, mahu percaya bahawa suaminya tidak mungkin sekejam itu. Sebaliknya, bayangan tangan Zafrel yang menggenggam erat jemari sahabat baiknya sendiri terus berlegar-legar di minda, mencengkam kewarasannya.
Qistina adalah tempat dia meluah rasa. Wanita sama yang menyuruhnya bersabar dengan kerjaya Zafrel. Mengapa takdir seolah-olah mempermainkan kepercayaannya? Di satu sudut hati, dia bertekad untuk mencari jawapan yang pasti biarpun kebenaran itu kelak bakal merobek seluruh sisa jiwa raga yang tersisa.
***
KEESOKAN paginya, suasana di dalam banglo itu masih diselubungi ketegangan sisa semalam. Zafrel sudah keluar awal pagi ke pejabat tanpa sempat mereka berbicara panjang. Ruth duduk di meja dapur sambil menghirup kopi panas yang sudah suam. Fikirannya melayang jauh entah ke mana.
Tiba-tiba, loceng pintu utama berbunyi tiga kali. Ruth melangkah perlahan ke pintu dan merakamkan pandangan melalui lubang intip. Dia terkejut melihat Qistina berdiri di luar sambil membawa sebuah beg kertas besar dengan senyuman serba salah di wajahnya.
Ruth membuka pintu. Sebelum Ruth sempat berkata apa-apa, Qistina terus menerpa masuk dan memeluk tubuh Ruth dengan erat.
"Ruth... Ya Allah, aku datang ni nak minta maaf sangat-sangat," jerit Qistina dengan nada bersalahnya.
Ruth terpempan. Dia meleraikan pelukan itu dan memandang sahabat baiknya. "Qis? Kau buat apa kat sini pagi-pagi ni?"
Qistina mengangkat beg kertas yang dibawanya. Di dalamnya terdapat sebuah kek coklat moist kegemaran Ruth yang dibeli dari sebuah kafe kegemarannya.
"Aku tak dapat tidur malam tadi sebab fikirkan hal semalam. Aku tahu Zaf ada beritahu kau pasal malam tadi kan? Aku rasa bersalah sangat sebab ganggu masa kau orang berdua. Aku bawa kek ni khas untuk minta maaf dekat kau, Ruth. Tolonglah jangan marah aku."
Melihat air mata bergenang di tubir mata Qistina, hati Ruth yang rapuh segera cair. Sifat syak wasangkanya mula mereda. Qistina adalah sahabat setianya sejak zaman kolej; mustahil wanita sebaik Qistina mempunyai niat jahat terhadap rumah tangga sahabatnya sendiri.
"Dah lah tu, Qis. Masuklah dulu," ujar Ruth sambil mengajak sahabatnya duduk di meja makan.
Sambil menikmati secawan teh yang dibancuh oleh Ruth, Qistina mula membuka cerita tentang kemelut keluarganya. Wajahnya kelihatan mendung dan penuh kesedihan.
"Sebenarnya, Ruth... masalah keluarga aku makin teruk. Ayah aku bukan je sakit, tapi bisnes kecil keluarga kita orang hampir bankrap. Abang aku pula terbabit dengan hutang along sebanyak puluhan ribu ringgit. Rumah kitorang nyaris dilelong minggu ni. Aku pening kepala sangat, Ruth. Aku tak ada tempat nak mengadu. Sebab tu aku merayu dekat Zaf semalam untuk temankan aku sekejap tenangkan fikiran dekat bistro tu. Aku betul-betul terdesak," cerita Qistina panjang lebar.
Ruth merasa sebak mendengar kisah hidup Qistina yang berat diuji. Sifat simpati dalam diri Ruth spontan mengambil alih rasa curiganya semalam. Dia langsung tidak menyangka sahabat baiknya menanggung derita kewangan dan keluarga yang begitu rumit di belakangnya.
"Ya Allah, Qis... Kenapa kau tak pernah cerita awal-awal dekat aku? Kalau kau susah, kau kan tahu aku dan Zaf boleh bantu setakat yang mampu," kata Ruth dengan penuh rasa ihsan sambil memegang tangan Qistina.
Qistina merenung tangan Ruth yang memegang jemarinya sebelum tersenyum tipis.
"Aku tak nak menyusahkan kau, Ruth. Tapi... kalau kau betul-betul ikhlas nak bantu aku... boleh tak kalau kau pinjamkan aku sejumlah wang untuk selesaikan hutang along abang aku dulu? Nanti aku bayar ansur-ansur dekat kau dan Zafrel."
Tanpa berfikir panjang tentang implikasi atau menyelidik cerita sebenar di sebalik masalah hutang abang Qistina itu, Ruth mengangguk perlahan.
"Berapa banyak yang kau perlukan, Qis? Jangan risau, aku akan bincang dengan Zaf nanti. Aku yakin Zaf pun sudi bantu kau."
Belum sempat Qistina menjawab, pintu utama banglo terbuka dari luar. Zafrel melangkah masuk kerana tertinggal fail penting di rumah. Dia terkejut melihat Qistina sudah berada di meja makan bersama Ruth.
"Qis? Kau buat apa kat sini pagi-pagi ni?" tanya Zafrel dengan nada terkejut.
Qistina segera bangun dari kerusi lantas mempamerkan wajah serba salah. "Zaf... aku datang nak minta maaf dekat Ruth sebab ganggu malam anniversary kau orang semalam. Dan aku ada ceritakan masalah aku dekat Ruth tadi."
Zafrel memandang isterinya, kemudian beralih kepada Qistina. Wajah Zafrel kelihatan tersentuh melihat kebaikan hati Ruth yang begitu suci. Zafrel melangkah mendekati isterinya dan meletakkan tangan di atas bahu Ruth.
"Sayang... terima kasih sebab sudi faham keadaan Qis. Hati sayang memang sangat baik... sebab tu abang sayang sangat dekat awak," puji Zafrel ikhlas di hadapan Qistina dan spontan mengucup lembut dahi isterinya.
Di sebalik senyuman manis dan ucapan terima kasih yang diungkapkan oleh Qistina kepada Ruth, sepasang mata Qistina menyorot tajam. Jelingan sekilas dilontarkan ke arah Zafrel yang sedang merangkul bahu isterinya. Rasa tidak senang bertakhta di hatinya mendengar pujian melangit yang diberikan Zafrel kepada Ruth. Bagi Qistina, pujian itu sepatutnya menjadi milik dirinya, bukan wanita di sisinya itu.
"Abang kena pergi pejabat semula ni. Ada fail tertinggal," kata Zafrel sambil mengerling jam tangannya. "Qis, kau tak apa-apa ke duduk sini?"
"Sebenarnya Zaf... aku tak berani nak balik rumah lagi. Abang aku masih ada kat rumah tu. Dia mengamuk lagi pagi tadi. Aku tak mahu balik seorang diri. Boleh tak kalau kau tumpangkan aku tinggal di bilik tetamu rumah kau orang untuk sehari dua ni sampai keadaan reda?" pinta Qistina dengan suara separuh merayu dan memandang Zafrel dan Ruth silih berganti.
Ruth tanpa ragu-ragu mengangguk. "Tinggallah sini dulu, Qis. Bilik tetamu tu sentiasa bersih. Kau tak perlu risau."
Zafrel mengangguk perlahan, memberikan kebenaran. "Baguslah kalau macam tu. Ruth ada teman kat rumah ni bila abang tak ada."
Selepas Zafrel bersiap dan bergegas keluar semula menuju ke pejabat, suasana di rumah kembali sunyi. Qistina meminta izin untuk masuk ke bilik tetamu bagi menyegarkan diri dan berehat sebentar.
Ruth mengemas sisa cawan di atas meja makan. Sambil membawanya ke sinki, pandangannya terarah ke arah sofa ruang tamu di mana Qistina duduk tadi. Di atas kusyen sofa itu kelihatan sebuah telefon bimbit bersaiz lebih kecil yang berbalut sarung hitam terbiar di atas tempat duduk.
‘Eh, telefon siapa pula ni? Qis tinggalkan telefon dia ke?’ Ruth tertanya-tanya sendiri.
Ruth mengambil telefon bimbit tersebut. Dia bercadang untuk membawanya ke bilik tetamu dan menyerahkannya kepada Qistina. Namun, sewaktu dia mengangkat telefon itu, skrin peranti tersebut tiba-tiba bernyala sendiri apabila mengesan sentuhan jari memaparkan notifikasi mesej WhatsApp yang baru sahaja masuk.
Ruth tidak berniat untuk mengintip, tetapi matanya terlekat secara automatik pada tetingkap mesej yang tertera terang di skrin hadapan telefon kedua milik Qistina itu.
Nama pengirim pada skrin tersebut tertera nama Zafrel. Dan isi kandungan mesej pendek itu membuatkan seluruh darah di tubuh Ruth terasa sejuk beku, mengalir turun ke hujung jari.
“Jangan risau, Qis. Aku akan ada selalu dengan kau. I promise.”
Dunia Ruth terasa berputar kencang. Telefon di tangannya hampir terlepas jatuh. Sekali lagi, nafasnya terhenti.
Share this novel