IPS#03

Drama Series 160

DEBARAN di dada Ruth bagaikan gendang perang yang dipukul bertalu-talu. Nafasnya terhela pendek dan tidak sekata. Telefon bimbit bersarung hitam di tangannya terasa bagaikan bara api yang membakar tapak tangan. Dia hampir saja mengalirkan air mata mengenangkan nasib diri. Semerta akal warasnya meronta-ronta supaya dia tetap tenang. Dia tidak boleh melenting melulu tanpa usul periksa. Qistina sedang berada di bilik tetamu dan Zafrel sudah keluar ke pejabat. Segala teka-teki ini perlukan jawapan, tetapi bukan dengan cara hilang kawalan.

Ruth menarik nafas sedalam-dalamnya cuba memadamkan riak gelisah pada wajahnya. Dia melangkah perlahan menuju ke bilik tetamu lalu mengetuk daun pintu itu dua kali sebelum membukanya sedikit. Kelihatan Qistina sedang berdiri di sisi tingkap, merenung keluar dengan wajah yang kelihatan tegang sebelum dengan pantas mempamerkan senyuman manis sebaik sahaja pandangan mereka bertembung.

"Qis, kau tinggalkan telefon bimbit ni dekat sofa tadi," kata Ruth dengan nada suara yang dikawal sebaik mungkin. Dalam kepayahan, Ruth mengukir senyuman tawar di bibirnya.

Wajah Qistina serta-merta berubah pucat. Mata sahabat baiknya itu membulat seketika sebelum pantas merampas telefon tersebut daripada genggaman Ruth dengan tangan yang sedikit terketar-ketar.

"Oh... ya Allah! Terima kasih, Ruth. Aku... aku memang cuai sangat hari ni. Telefon kedua ni khas untuk nombor alternatif kerja keluarga aku. Jadi aku selalu terlepas pandang," ujar Qistina tergagap-gagap sebagai menyembunyikan rasa gelisah yang teramat sangat.

Ruth hanya mengangguk perlahan. Pandangannya melekat kepada gerak-geri Qistina yang kelihatan tidak keruan itu dengan ekor matanya.

"Tak apa, Qis. Simpanlah elok-elok. Kejap lagi kalau nak apa-apa kat dapur, ambil je tau. Aku nak masuk bilik kejap."

Ruth memusingkan badannya dan melangkah keluar. Ada seribu satu tanda tanya berlegar di dalam hatinya. Alasan telefon alternatif kerja keluarga? Bukankah semalam Qistina berkata dia menggunakan telefon itu untuk menguruskan hutang along abangnya? Kenapa sekarang penjelasannya berubah? Segala kenyataan itu semakin mengukuhkan rasa curiga di jiwa Ruth. Buat sementara waktu dia memilih untuk memendamnya dahulu dan menunggu masa yang tepat untuk membongkar segala kepalsuan yang sedang berselindung di sebalik topeng persahabatan.

Hari berganti hari, ketegangan di dalam rumah tangga Ruth dan Zafrel kian terasa biarpun mereka cuba berlagak seperti biasa di luar. Zafrel kelihatan semakin sibuk dengan urusan Armand Group, syarikat pemaju hartanah terkemuka tempat suaminya memegang jawatan pengarah eksekutif kanan.

Siang telah berlabuh. Ketika mereka sedang menikmati makan malam di meja makan, suasana sunyi seketika sebelum deringan telefon bimbit milik Zafrel memecahkan kesunyian. Zafrel mengerling ke arah skrin telefon yang tertera nama si pemanggil. Wajahnya kelihatan sedikit serba salah.

"Sayang, abang... abang perlu angkat panggilan ni sekejap. Penting," kata Zafrel teragak-agak.

Tanpa menunggu jawapan daripada Ruth, Zafrel terus bangun dari kerusi meja makan dan melangkah keluar menuju ke arah balkoni luar rumah. Dia merapatkan pintu kaca gelongsor bagi mengelakkan suaranya didengari dengan jelas.

Ruth yang duduk di kerusi meneruskan suapannya dengan perlahan. Deria pendengarannya tajam menangkap nada suara Zafrel di sebalik dinding kaca. Walaupun percakapan itu perlahan, kedudukan balkoni yang tidak jauh membuatkan beberapa patah perkataan Zafrel menyapa pendengaran Ruth.

"Ya, Qis... jangan risau, aku akan uruskan semuanya." Suara Zafrel kedengaran begitu lembut dan mesra. Mesra… perbuatan yang sudah lama hilang daripada perbualan mereka berdua di rumah.

Hati Ruth terasa dihiris sembilu. Nama panggilan mesra yang dulunya hanya milik Ruth kini diungkapkan begitu sahaja kepada sahabat baiknya sendiri. Mengapa suaminya perlu memanggil Qistina dengan nada selembut itu pada lewat malam? Apakah hubungan mereka sudah melampaui batas ikatan seorang sahabat lama?

Beberapa minit kemudian, Zafrel kembali ke meja makan dengan senyuman hambar di bibirnya sebagai cuba berlagak seolah-olah tiada apa yang berlaku.

"Siapa telefon tadi? Larut malam begini pun masih ada urusan pejabat ke?" soal Ruth dengan nada tenang sengaja menguji kejujuran suaminya.

Zafrel menelan air liur perlahan sebelum menjawab, "Oh... itu Qistina. Dia telefon sebab nak minta pandangan tentang masalah kerja dia. Kesian dekat dia, stress sangat dengan macam-macam perkara sejak kebelakangan ni."

Ruth mengukir senyuman nipis. Senyuman yang penuh dengan kepahitan.

"Oh, Qistina... Dia memang banyak merujuk pada abang sekarang ni ya."

Zafrel mengangguk cepat seolah-olah mahu menyedapkan hati isterinya.

"Yelah, dia kan kawan kita. Lagipun, dia tengah mencari arah tuju kerjaya baru sekarang."

Ruth mendengar penjelasan itu persis angin lalu yang berdesir. Lantak kau oranglah. Aku cuma harap kebenaran akan terbukti suatu hari nanti.

Keesokan harinya, ketika Ruth dan Qistina sedang bersarapan bersama di ruang dapur manakala Zafrel sudah pun keluar awal ke pejabat. Topik kerjaya itu kembali dibangkitkan. Qistina menghirup air tehnya perlahan sebelum meletakkan cawan kaca itu ke atas meja dengan keluhan kecil.

"Ruth... sebenarnya aku tengah mempertimbangkan untuk berhenti terus dari tempat kerja lama aku tu. Suasana kerja dekat situ dah tak sihat, bos aku pilih kasih," luah Qistina dengan wajah yang kelihatan sugul dan tertekan.

Ruth yang mendengar keluhan itu merasa simpati. Sebagai seorang wanita yang juga meminati bidang kreatif dan pernah bergelumang dalam dunia reka bentuk serta pengurusan projek sebelum mendedikasikan diri sepenuhnya sebagai suri rumah, Ruth cuba memberikan semangat.

"Kalau tempat kerja tu menyekat potensi kau, Qis, memang lebih baik kau cari peluang lain. Kau kan ada banyak kebolehan dalam bidang pengurusan dan strategi perniagaan. Kalau kau nak, kau boleh aje sertai projek baharu studio reka bentuk yang aku rancang dengan beberapa rakan lama dulu. Aku boleh tolong cadangkan nama kau," cadang Ruth ikhlas berniat mahu membantu sahabat baiknya bangkit semula.

Qistina menggeleng perlahan sambil tersenyum kelat. "Terima kasih, Ruth. Niat kau baik sangat. Tapi... sebenarnya semalam aku ada berbincang dengan Zafrel masa dia telefon aku."

Ruth terpempan. Keningnya berkerut. "Zafrel? Kau bincang pasal kerja kau dengan Zafrel semalam?"

"Ha’ah," jawab Qistina bersahaja, seolah-olah tiada apa yang janggal.

"Zafrel ada tawarkan aku peluang pekerjaan di Armand Group. Dia kata syarikat dia tengah perlukan penasihat projek khas untuk pembangunan hartanah baru mereka. Zafrel kata kelayakan aku sangat sesuai dengan jawatan tu."

Dunia Ruth seolah-olah terhenti berputar seketika. Jantungnya berdegup kencang bukan kerana gembira, tetapi kerana terkejut. Zafrel tidak pernah langsung menyebut tentang tawaran kerja itu kepada dirinya sepanjang malam tadi. Suaminya membuat keputusan sebesar itu melibatkan Qistina tanpa berunding atau meminta pendapatnya terlebih dahulu sebagai seorang isteri.

"Zafrel tawarkan kau kerja di Armand Group?" Suara Ruth terketar-ketar menahan rasa marah dan kecewa yang meluap-luap di dada.

"Tetapi... kenapa dia tak beritahu aku apa-apa pun semalam?"

Qistina kelihatan pantas mengubah ekspresi wajahnya menjadi serba salah dan mempamerkan riak seolah-olah dia kesal kerana menceritakan hal itu.

"Eh, Ruth! Janganlah marah dekat Zafrel. Mungkin dia sibuk sangat sampai lupa nak beritahu kau. Lagipun, dia cuma berniat nak bantu aku keluar dari masalah kewangan dan kerjaya aku je. Janganlah anggap bukan-bukan."

"Bukan masalah anggap bukan-bukan, Qis... Tapi ini soal keputusan besar. Armand Group tu syarikat besar dan Zafrel buat keputusan libatkan kawan baik isterinya tanpa bincang dengan aku," rintih Ruth gagal menyembunyikan rasa kecil hatinya di hadapan Qistina.

Suasana di ruang tamu banglo itu mendadak sunyi sepi tatkala bayang-bayang keraguan semakin menebal di jiwa Ruth. Dia memandang cawan teh yang sudah sejuk di atas meja seolah-olah mencerminkan kehangatan rumah tangganya yang kian pudar dimamah masa. Ingatannya melayang pada hari-hari awal perkahwinan mereka, ketika Zafrel berjanji untuk sentiasa telus dalam setiap perkara. Namun kini, janji itu kelihatan berkecai di atas altar kepentingan peribadi. Di sebalik dinding konkrit yang tersergam indah ini, rahsia-rahsia kecil mula bertunas menjadi duri dalam daging.

Ruth menyedari bahawa dia tidak boleh terus-menerus hidup dalam naif dan penafian. Setiap gerak-geri suaminya dan sahabat baiknya itu mula membentuk sebuah teka-teki besar yang menuntut jawapan tuntas. Hatinya berbolak-balik antara rasa bersalah kerana bersangka buruk dan ketakutan bahawa kebenaran yang bakal terbongkar nanti akan meranapkan seluruh dunianya dalam sekelip mata.

Tidak lama kemudian, Zafrel pulang ke rumah lebih awal pada petang itu kerana ada dokumen yang tertinggal. Mendengar perbincangan tegang yang masih belum selesai antara isterinya dan Qistina di ruang tamu, Zafrel segera melangkah masuk.

"Abang, kenapa abang tawarkan Qistina kerja di Armand Group tanpa beritahu Ruth langsung?" soal Ruth terus-terang menuntut penjelasan di hadapan mereka berdua.

Zafrel mengeluh berat, meraup rambutnya ke belakang dengan rasa jengkel.

"Itu saja ke puncanya, Ruth? Abang cuma tawarkan jawatan penasihat projek kepada Qis sebab kelayakan dia memang menepati keperluan syarikat. Lagipun, Qis sedang dalam kesusahan. Sebagai kawan, salah ke kalau abang bantu dia dapatkan pekerjaan yang stabil?"

"Tapi kenapa mesti di syarikat abang? Dan kenapa sembunyikan daripada Ruth?" desak Ruth. Suaranya bergetar menahan tangis.

"Sebab abang tahu kalau abang beritahu awal pun, sayang akan mula memikirkan benda yang bukan-bukan cemburu tak bertempat macam ni!" balas Zafrel dengan nada yang mula meninggi. Hilang sudah kesabarannya.

"Qis tu sahabat kita, Ruth. Tolong jangan jadi seorang yang terlalu sempit fikiran dan bersangka buruk terhadap orang yang sedang susah!"

Qistina yang duduk di sofa menundukkan kepalanya. Padahal dia sedang menyembunyikan senyuman sinis di sebalik kebisuannya. Lakonannya sebagai mangsa keadaan membuahkan hasil apabila Zafrel kini menentang isterinya sendiri demi mempertahankan dirinya.

Dengan berat hati dan perasaan yang hancur berkecai, Ruth akhirnya mengangguk perlahan menyerah kalah kepada hujah suaminya. Dia tidak mempunyai kekuatan lagi untuk berbalah.

"Baiklah... kalau itu keputusan abang dan kehendak Qis, selamat datang ke Armand Group."

***

BEBERAPA minggu kemudian, Qistina secara rasmi memulakan tugasnya di ibu pejabat Armand Group sebagai Penasihat Projek Khas di bawah seliaan langsung Zafrel. Kehadiran Qistina di pejabat itu dengan cepat menarik perhatian warga kerja, terutamanya barisan pengurusan kanan yang memantau setiap gerak-geri wanita tersebut.

Jam 3.50 petang. Satu petang yang sunyi di ruang pantri eksklusif tingkat pengurusan, Farhan; orang kanan Zafrel yang sudah bertahun-tahun berkhidmat dan mengenali Ruth dengan baik sedang membancuh kopi apabila Qistina melangkah masuk dengan senyuman megah yang jelas terlihat di wajahnya.

Farhan memandang Qistina dengan pandangan yang tajam dan penuh curiga. Sebagai individu yang setia kepada keluarga Zafrel dan mengenali peribadi Ruth sejak majlis perkahwinan mereka tiga tahun lalu, Farhan tidak pernah menyenangi kehadiran Qistina yang terlalu cepat mendaki kedudukan penting tanpa melalui saluran prosedur biasa syarikat.

"Cik Qistina... saya tengok jadual kerja awak sejak beberapa minggu ni agak luar biasa. Hampir setiap masa mesyuarat strategik projek dikhususkan bersama Encik Zafrel secara tertutup," tegur Farhan dengan nada dingin sengaja menyindir kelayakan wanita itu.

Qistina mengecilkan matanya memandang Farhan dengan senyuman sinis di bibir. Dia tahu Farhan adalah pengikut setia Ruth dan lelaki itu merupakan ancaman besar kepada rancangan sulit yang sedang diatur olehnya bersama Zafrel di belakang tabir.

"Farhan, jaga bahasa awak. Saya dilantik atas kapasiti profesional dan mendapat kelulusan terus daripada Pengarah Eksekutif Kanan sendiri. Jangan cuba meragui kewibawaan saya," balas Qistina dengan nada penuh angkuh sebelum meninggalkan ruang pantri tersebut dengan langkah seangkuh ratu.

Farhan menggeleng perlahan. Dia dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena di sebalik hubungan mesra antara majikannya itu dengan Qistina. Dia bertekad untuk menyiasat latar belakang pelantikan Qistina dengan lebih mendalam demi melindungi rumah tangga Ruth yang semakin goyah.

Malam itu setelah pulang ke banglo mewah milik Zafrel di mana Qistina masih menumpang sebagai tetamu sementara, Qistina masuk ke bilik bacaan peribadi Zafrel di rumah tersebut sementara menantikan kepulangan lelaki itu dari mesyuarat luar.

Sambil mengemas beberapa dokumen lama di atas meja kerja Zafrel, tangan Qistina tanpa sengaja menyentuh sebuah fail bertulis tangan yang terselit di celah timbunan buku lama arkib peribadi Zafrel.

Qistina menarik fail tersebut keluar. Ketika dia membuka helaian pertama fail yang sudah sedikit kekuningan itu, matanya terbeliak luas.

Itu adalah fail lama berkaitan sebuah projek perniagaan mega dan rahsia peribadi yang pernah diusahakan bersama oleh Ruth dan seorang individu misteri pada masa lalu. Sebuah rahsia besar yang boleh meranapkan seluruh empayar Armand Group jika ia terbongkar ke pengetahuan umum.

Bibir mungil milik Qistina tersenyum senget. Menarik. Dia pasti akan cari siapa yang terlibat dalam fail itu. Rahsia silam Ruth telah mencetus satu rancangan jahat dalam kepalanya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience