BAB 3

Drama Series 556

“Along, jangan marah emak ya? Kalau boleh emak tak nak along keluar dari
sini, ini rumah along juga. Along yang bina rumah ini.” Emak memandang
wajahku sayu.

Aku tersenyum nipis. Memang aku membinanya tetapi dengan duit haram yang
aku terima. Emak mana tahu? Tidak mungkin aku memberitahunya. Pasti
hancur hati emak. Aku hanya memberitahunya bahawa rumah itu dibina oleh
suamiku, emak percaya kerana suamiku bukan calang-calang orang. Bergaji
dan berpangkat besar. Aku tidak pernah kekurangan apa-apa. Aku ikutkan
hawa nafsu untuk jadi orang terkenal. Penulis terkenal. Aku lupa diri,
aku ketepikan adab dan akhlak dalam berkarya. Aku buang jauh-jauh
natijah yang bakal menimpa. Aku butakan mata dengan pandangan orang. Aku
pekakkan telinga dengan teguran orang, terutama kawan-kawanku.

“Esok, along akan keluar dari rumah ini mak. Sesekali along telefon emak
ya?” Aku memegang tangannya lembut. Kuusap perlahan lalu kucium dengan
penuh rasa kasih dan sayang.

“Maafkan emak, along,” luah emak.

Kulihat matanya berkaca. Aku tahu emak pasti bersedih dengan apa yang
berlaku.

“Hussin tak telefon along?” tanya emak, bertanyakan tentang suamiku.
Erk… bekas suamiku. Aku diceraikan dengan talak satu sebaik sahaja aku
ditangkap kerana menulis cerita lucah. Suamiku mengamuk, habis semua
perkataan keluar dari mulutnya. Merah padam wajahnya. Matanya tajam
memandangku.

“Kau cemar nama abang! Kau lupa siapa abang? Kenapa kau buat semua ini
hah? Kau sengaja nak menghancurkan maruah dan harga diri abang ke? Kau
tak kasihan dengan anak kita? Kenapa? Apa lagi yang kurang?” jerkah suamiku.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience