I don’t know why,
But I still believe,
It will be…
You and I.
Perlahan buku yang dibaca itu dikatup rapat. Annur menghela nafas perlahan sambil memandang tingkap yang basah dihempas hujan petang. Annur tersenyum mengenangkan kenangan dia dan Zuhair suatu ketika dahulu. Telefon pintar Annur pandang sambil tersenyum.
Mana mungkin telefon itu sunyi ketika dia tidak sesibuk sekarang. Perlahan Annur buka aplikasi WhatsApp dan lihat kembali mesej-mesej lama kami semula. Mesej-mesej yang membuatkan Annur hidup dan bertahan sehingga ke hari ini.
“Ini cara kita, sebab hanya ada kita saja dalam cerita ini.”
Itu katanya.
Mungkin kisah kita semua berlainan dengan yang lain.
“DENGAN ini saya mengisytiharkan Perintah Kawalan Pergerakan satu Malaysia bermula dari…” Pengisytiharan dari TV yang Annur dengar mula membuatkan Annur rasa tidak senang hati kerana tahun ini dah masuk tahun kedua Malaysia di bawah arahan perintah kawalan pergerakan. Semua orang macam nak gila memikirkan apa yang akan jadi kalau Covid ini makin berleluasa.
Giliran untuk mendapatkan vaksin juga belum lagi dipanggil. Annur rasa semua orang sedang merasa tekanan. Cuma berlainan. Tapi, bagi Annur. Annur perlu mencari sesuatu atau mungkin teruskan misinya dari tahun lepas mencari teman hidup atau teman yang boleh dikatakan ‘kawan’ untuk berbagi rasa.
Tak apa kita cuba. Sekurangnya kita cuba, kata Annur dalam hati. Bukan terdesak mencari peneman tetapi lebih kepada mencari kawan, dan mungkin dari situ ada sinarnya selalu dia cari.
Aplikasi Tinder dibuka dan tergelaknya keseorangan melihat bio atau deskripsi calon-calon pilihan yang ada sehinggalah dia terlihat lelaki bernama Zuhair.
“Not bad. Tak acah langsung pengenalannya. Why not untuk mencuba. Online je pun.” Annur berkata perlahan pada dirinya dan tara!
Baru saja dia menggeserkan skrinnya, rupanya lelaki itu juga telah menyukai profilnya. Entah kenapa hatinya kegembiraan. Manakan tidak, ini juga satu pencapaian dalam arena atas talian.
Ting!
Hai…
Haisy… Di situlah bermulanya perkenalan bersama lelaki yang Annur kenal sebagai Zuhair.
ZUHAIR
Kita tukar borak tempat lain okay ke? I tak suka sangat borak kat sini. Tak pandai nak guna sebenarnya.
ANNUR
Oh, okay.
ZUHAIR
Okay? Okay, apanya? Cepatlah, mana?
ANNUR
You tengah minta nombor phone I secara halus ke?
ZUHAIR
Secara terangan I mintak sekarang ni. Boleh ke?
ANNUR
You bagi dulu. Biar I yang contact you. Deal?
DISANGKAKAN hanya untuk mengirim pesanan ringkas, namun ternyata tidak. Sangkaan Annur meleset. Jam menunjukkan jam 9.30 tengah malam dan Zuhair menghantarkan mesej.
ZUHAIR
You… dah tidur ke?
Annur tersenyum. Memang matanya kadang-kadang mengantuk awal, tapi siapa je tidur awal waktu PKP ini? Lantas, mesej itu dibalas.
ANNUR
Ya. Belum lagi. Kenapa tu?
ZUHAIR
Nak call boleh?
Annur berdecit mulut. Dia bukan suka sangat untuk berborak di telefon dengan orang yang dia tidak kenal sangat. Tak selesa. Tapi Zuhair ni lain betul ya auranya.
ZUHAIR
You tak biasa ya orang call you? Okay, I janji. Kalau you rasa tak seronok bual dengan I. You terus letak je call tanpa kata apa-apa so I faham. Okay?
Haisy, lelaki ini. Sangat halus dan… berani ya. “Okay Annur, kita try…”
ANNUR
Okay.
Pap!
Selepas berbual selama dua jam lebih, Annur mengerling jam di dinding. Sudah 2.00 pagi. Apa yang dia dah lakukan dan apa yang lelaki ini dah buat dengannya.
Betul ke aku berbual dengan orang tadi ni? Ke hantu? Okay tak apa esok pagi check semula, kata Annur pada diri sendiri.
“KAU biar betul?” tanya rakannya yang berada di skrin komputer ribanya. Semenjak PKP ini panggilan video adalah cara berhubung yang paling digemari serata dunia. Senang cerita semua yang di atas talian menjadi nombor satu pilihannya.
Annur tergelak seperti tidak percaya. “Ya, weh. Aku dah tampar pun diri sendiri. Sumpah aku tak ambil barang ke mabuk ke malam tadi. Kau tengok log call aku ni.” Annur menunjukkan telefonnya ke skrin untuk Bibi melihatnya.
Melopong mulut Bibi melihat ada panggilan pada pukul 1.00 pagi dan tamat pada 3.30 pagi. Apa dorang borak ni, kata Bibi dalam hati.
“Kau rasa apa sekarang ni?”
“Nak rasa apa lagi? Rasa tak percaya jelah yang ada sekarang ni. Ke aku berborak dengan bunian malam tadi?” Annur berkata dengan rasa tak percaya.
“Tapi dia herlokkkk wehhh. Dia sangat soft, dia sangat gentle, dia sangat-sangat kelakar dan sangat entah. Betullah kut cinta tu buta, kan?” tanya Annur kepada Bibi.
Bibi tergelak. “Dah kau nampak dia handsome maksudnya tak butalah tu.”
Annur tergelak juga. “Aku dah jadi girlfriend orang ke?”
Kring! Kring! Kring!
Bunyi telefon di tangan membuatkan Annur mencampakkan telefon pintarnya secara tidak sengaja.
“Kau dah kenapa?” jerit Bibi dari dalam skrin. Tergelak dia melihat telatah Annur.
Mata Annur membulat. “Weh dia call. Confirm dia bukan hantu mahupun bunian kan?” Annur menunjukkan skrin telefon kepada Bibi. Bibi mengangguk kepala dan terkejut sama.
“Weh, aku angkat dululah. Pape gerak lu.”
Panggilan video diputuskan. Dan panggilan telefon diangkat.
“Hello?” Annur menyapa.
“Hai sayang.” Suara di sebelah menyapa.
Haaa… kenapa bunyi sayang dia sedap di telinga ya?
TOK! TOK! TOK!
Ketukan pintu membuatkan Annur tersedar daripada lamunannya mengingat kembali detik perkenalan dia dan Zuhair.
“Umi dengan ayah keluar dulu. Jangan lupa kunci pintu,” pesan Puan Nazua. Annur menggosok dadanya perlahan.
“Ya, umi.”
Penampilannya dibelek kali terakhir. Degupan jantungnya sudah tidak setara. Pelbagai rentak dihasilkan manakan tidak ini adalah pertemuan kali pertama dia dan Zuhair berjumpa selepas 5 bulan perkenalan.
“Ya Allah, tolong aku ya Allah. Kalau inilah dia jodohku, Kau permudahkanlah.” Annur melangkah keluar dari bilik dengan harapan membawa pulang kenangan yang manis-manis saja.
“KERETA warna putih. Ha, ya.” Annur menjawab dalam gagap. Annur akan menjemput Zuhair di hotel penginapannya kerana Zuhair bukan berasal dari kota raya ini.
Tok! Tok! Tok!
Ketukan tingkap di sebelah penumpang membuatkan jantung Annur kembali laju dan sangat resah. Dan, apabila dia melihat wajah Zuhair di depan jantungnya mahu pecah. Namun, tangannya pantas membuka pintu yang dikunci dengan cepat. Terus saja Zuhair masuk ke dalam kereta dan kini mereka duduk bersebelahan.
“Ni you ke?” Soalan itu terpacul dari mulut Zuhair.
Senyuman Zuhair sama seperti gambar selfienya dan dalam panggilan video.
Kami tertawa bersama dan serentak mengatakan ayat yang sama. “Eee, finally jumpa depan-depan.”
Entah kenapa hati Annur rasa pelbagai rasa dan benarlah rama-rama tu wujud dalam perut ni sebab dia sedang merasakannya.
“Asal you tenung I lama-lama ni?” Annur resah gelisah.
“I tengah fikir macam mana nak langsaikan hutang I kat you,” kata Zuhair dengan pandangan mata yang menusuk jauh ke dalam hati Annur. Renungannya sangat lembut. Seperti kata-katanya.
Annur kerutkan wajah. “Hutang?”
Zuhair angguk. “Hutang nak mengurat you.”
Haish, kenapa lelaki ini kerap buat aku jatuh cinta. Jatuh cinta bukan sekali je ke? Ni banyak kali kut.
“PKP pun dah longgar dan macam tak wujud pun ada ni. So, apa plan korang?” tanya Bibi sambil bersandar pada bonet kereta yang memandang pemandangan kota raya. Bukit Ampang antara tempat terkenal nak melihat pemandangan kota raya Kuala Lumpur.
Prak!
Tin Nescafe dibuka dan Annur meminumnya dahulu sebelum menjawab soalan. Terasa kelat kerana hubungannya dengan Zuhair tidak seperti pasangan yang lain. Mereka jarak jauh dan komunikasi hanya melalui telefon.
“Plan apa maksud kau?”
“Apa-apa planlah. Pasal korang punya relationship ke? Benda nak back to normal dah.” Pertanyaan Bibi membuatkan Annur merasakan memang tidak ada siapa memahami cara dia dan Zuhair.
Helaan nafas yang berat menjelaskan jawapan Annur. “Kau pun cakap benda nak back to normal so kita semua ni pun tengah nak cari step untuk mula semula. Lagi-lagi tentang kerjaya dan kehidupan. Sama juga macam Zuhair. PKP ni memang buat dia tertekan dan terkesan. Kalau kau nak cakap pasal plan kahwin tu ke apa. Buat masa ni memang tak ada, takat borak-borak tu adalah. Aku pun ada plan aku jugak.” Annur membalas panjang.
Bibi mengangguk tanda faham. “Dia layan kau okey tak?”
Automatik terus tersenyum wajah Annur. “Kitorang sangat bahagia dengan cara kitorang.”
Ting!
ZUHAIR
Malam nanti I call sayang. I ada meeting. Have fun keluar tu. Take care.
KELUHAN dilepaskan. Annur memandang telefon pintarnya menanti panggilan Zuhair seperti biasa. Kadang-kadang dalam hatinya sangat merindukan suasana dulu. Matanya menjadi kuyu dan layu. Tapi hatinya tidak pernah layu dalam perasaan ini. Lalu, Annur tertidur.
Ting!
Pesanan mesej daripada Zuhair masuk. Annur masih lena dan dibuai mimpi.
ZUHAIR
Sayang, sorry I busy sangat tadi. Lepas tu terlelap kejap, tahu-tahu dah tengah malam. Sayang dah tidur ke? I call boleh ke?
Masih sepi.
Seberapa ketika.
Ting!
ZUHAIR
Sayang?
ZUHAIR
Sayang dah tidur ya?
ZUHAIR
Okeylah. I tak nak ganggu lena sayang. Nanti ada masa I call sayang okey.
Ting!
ZUHAIR
Click this link.
Malam itu terus sepi dan Annur lena dalam dakapan malam. Entah bagaimana Annur tersedar dan terus mencapai telefonnya dan melihat jam ketika itu. Keluhan dilepaskan. Jam 3.30 pagi.
Matanya membesar melihat ada banyak mesej yang masuk dan bibirnya mengukir senyuman dan lantas terus saja membaca mesej-mesej yang dikirim oleh Zuhair.
Ada pautan yang diberi oleh Zuhair terus saja Annur menekan pautan itu dan terus pergi ke aplikasi YouTube dan speaker telefonnya mengeluarkan lagu Seribu Tahun, Imran Ajmain.
Laju saja air matanya mengalir mendengar lirik lagu itu. Bukan tidak pernah dia mendengar lagu ini sebelum ini. Entah kenapa kali ini lain perasaannya. Mungkin apa saja yang jadi aka nada pada waktu yang tepat dan orang yang tepat.
Mesej terakhir dibaca oleh Annur dengan suara perlahan. “Jangan putus harapan. Sedia… setia.”
LANGKAH demi langkah diatur oleh Annur. Mesej yang dia dapat tadi mengatakan Zuhair ada di kawasan yang berhampiran lebih tepat dia ada mesyuarat di hotel sekitar KLCC. Laju jantung Annur ketika mendapat mesej itu. Manakan tidak kenapa tidak beritahu dia sebelum mahu ke sini. Lagipun sebelum ini Zuhair menghilangkan diri selama 16 hari.
16 hari tanpa berhubung. Bagai nak gila jiwa Annur. Adakah dia kena tinggal? Atau adakah apa-apa jadi pada Zuhair tanpa dia ketahui? Dia mahu marah kepada Zuhair apabila mereka bertemu nanti dan mahu merajuk.
Beginilah cara mereka, berjumpa bila Zuhair ada di kawasan Kuala Lumpur. Setiap kali Zuhair di sini pasti mereka akan bertemu, walau sebentar cuma. Teringat kembali kata-kata Zuhair yang mahu dia mengikut Zuhair bekerja selepas mereka berkahwin nanti. Annur pandang sekeliling bangunan seakan-akan menikmati pemandangan kota raya.
Macam mana aku nak tinggalkan kota raya ni? Tapi, tak naklah kalau lepas kahwin kena tinggal lagi. Tak sanggup, kata hati Annur.
Lintasan pejalan kaki ketika ini rancak dengan kenderaan dan cuaca sangat baik dan berangin. Jiwa Annur ketika ini menggebu dengan perasaan rindu. Dia beratur di balik orang ramai yang ingin melintas. Menunggu lampu isyarat pejalan kaki berwarna hijau.
Tet! Tet! Tet!
Bunyi itu menandakan isyarat untuk pelintas jalan kaki. Entah macam mana matanya tertancap pada sosok yang menunggu di seberang jalan sambil tersenyum memandangnya.
Tuhan, terima kasih kerana benarkan perasaan ini hadir dalam hati aku.
Perlahan bibir Annur bersuara bila berhadapan dengan Zuhair.
“Mana you pergi?”
“Sorry sebab tunggu I lama sangat.” Terus saja Zuhair tersenyum bahagia dan mencapai tangan Annur untuk bawa Annur pergi, pergi mengenal cinta yang hanya mereka dapat merasainya.
Semasa Zuhair menarik tangan Annur sempat dia berbisik, “Ku tak putus harapan. Sedia, setia.”
Share this novel